Wednesday, April 10, 2013

BN jana lebih banyak kekayaan berbanding dengan Pakatan Rakyat

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lebih banyak kekayaan dapat dijana untuk dikongsi pelbagai kaum di negara ini jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13. 

Katanya melalui falsafah kesederhanaan, kerajaan BN melalui perkongsian kuasa yang mewakili pelbagai kaum, berjaya memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni sekaligus ekonomi dapat berkembang dengan pesat. 

“Akan ada lagi yang terbaik. Kami telah memberikan sekian banyak. Dengan mandat kukuh yang diberikan kepada kerajaan, kami boleh melakukan yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Saya boleh menjanjikan itu pada anda…saya tanya pada diri saya sendiri apa lagi yang kaum Cina mahukan? 

“Mereka mahukan ini…mereka mahu keselamatan, mereka mahukan keharmonian. Apa lagi yang mereka mahukan? Mereka mahu kerajaan yang adil dan saksama,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari perdana menteri bersama pertubuhan bukan kerajaan Perak di Dewan Tokong Tow Boh Keong di sini kelmarin. 

Beliau berkata semua itu akan dapat dilaksanakan jika BN terus diberikan kepercayaan dengan mandat yang lebih besar. 

Perdana menteri menjelaskan bahawa kesederhanaan yang menjadi amalan kerajaan BN ialah kunci kepada kelangsungan dan kejayaan negara selain perkongsian kuasa pelbagai kaum yang dicerminkan melalui kesepakatan parti-parti dalam gabungan itu. 

“Bayangkan anda mempunyai sebuah parti yang terdiri daripada mereka yang mempunyai falsafah dan ideologi yang bertentangan atau ekstrem. 

“Adakah anda fikir mereka boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berdaya maju? Jawapannya ialah mereka tidak mungkin mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan berdaya maju. Sebab itulah sebagai rakyat Malaysia kita mesti tolak ekstremisme,” katanya. 

Beliau berkata: “Jika anda percaya kepada kesederhanaan, sokonglah BN”. 

Katanya sejak 55 tahun lepas, kerajaan BN membuktikan ia berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan stabil, manakala agenda transformasi nasional yang dilaksanakan mulai empat tahun lepas turut membawa perubahan dan kemajuan kepada negara. 

Najib berkata pelbagai inisiatif yang dilakukan untuk kesejahteraan rakyat dan negeri ialah hasil kerjasama kerajaan negeri dan pusat di bawah BN. 

“Banyak lagi yang kita (BN) boleh lakukan pada masa akan datang. Pakatan pembangkang membuat janji pilihan raya pada 2008, hanya 15 peratus sahaja janji mereka ditunaikan. 

“Jadi saya ingin mengesyorkan nama pakatan rakyat ditukar kepada ‘pakatan 15 peratus’ sebab itu sahaja yang mereka telah lakukan,” katanya. 

Sebaliknya beliau berkata kerajaan BN telah banyak melakukan perubahan dan rakyat perlu meletakkan kepercayaan yang tinggi bahawa masa depan negara akan lebih baik jika bersama BN. 

“Kita bukan kerajaan populis, kita buat semua untuk rakyat dan kita tahu bagaimana menjanakan kekayaan kepada negara. Jika kita jana lebih banyak kekayaan, kekayaan itu kita kembalikan kepada rakyat,” katanya. 

Beliau mengingatkan rakyat bahawa tiada negara di dunia yang dapat memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat. 

“Jika ia boleh dilakukan, negara lain pun mungkin sudah melakukannya,” katanya sambil mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang. - New Sabah Times

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.