Thursday, May 9, 2013

Pang Yuk Ming, Edward Yong, Jainab, Limus bakal sertai Kabinet Sabah?

KOTA KINABALU - Spekulasi tersebar luas berhubung barisan baru Kabinet negeri Sabah, dengan penganalisis politik tempatan meramalkan sekurang-kurangnya empat menteri baharu akan dilantik, masing-masing seorang daripada Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu (Upko).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri semalam, dijangka mengumumkan senarai baru Kabinet negeri dalam beberapa hari lagi.

Musa memimpin BN Sabah melakar kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 yang baru sahaja berakhir dan menyaksikan BN mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, memperoleh 48 daripada 60 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

Pembangkang memenangi 12 kerusi berbanding tiga pada 2008.

Sebelum pilihan raya umum, terdapat enam menteri daripada Umno (termasuk Ketua Menteri yang turut menyandang portfolio Kementerian Kewangan) dalam Kabinet negeri, dua menteri daripada PBS, dua daripada Gerakan dan seorang daripada Upko.

Difahamkan selain Naib Presiden Gerakan Datuk Raymond Tan, yang juga anggota Kabinet negeri dalam kerajaan BN sebelum ini, Naib Presiden PBS Datuk Edward Yong Oui Fah, Naib Presiden LDP Datuk Pang Yuk Ming, kedua-duanya bekas menteri muda, disebut-sebut akan dinaik pangkat sebagai menteri penuh bagi slot Cina.

Bagaimanapun, Adun Tanjung Kapor Datuk Teo Chee Kang, Adun Karamunting Charles O Pang Su Pin daripada LDP dan Adun Elopura Au Kam Wah daripada Gerakan mungkin turut dipertimbangkan bagi jawatan menteri penuh atau pembantu menteri.

Barisan kerajaan Sabah terdiri daripada tiga timbalan ketua menteri mewakili kaum Kadazandusun, Cina dan Melayu, bagi menggambarkan konsep perkongsian kuasa antara tiga kaum utama di Sabah.

Seorang penganalisis politik, Salman Nurillah, meramalkan dengan kekalahan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai, yang kalah kerusi Dun Api-Api, saingan bagi jawatan timbalan ketua menteri yang diperuntukkan bagi kaum Cina berkemungkinan antara Raymond Tan (Gerakan) yang lebih berpengalaman dan Pang Yuk Ming (LDP).

"Ini satu lagi keadaan yang rumit bagi ketua menteri kita. LDP menang kesemua kerusi asal yang diperuntukkan kepada parti berpusat di Sabah itu dan pada masa sama, ahli politik veteran Raymond Tan menyandang jawatan timbalan ketua menteri sebelum ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Salman, seorang bekas penjawat awam yang memiliki ijazah undang-undang dari Universiti Malaya dan ijazah Sarjana daripada UiTM, turut meramalkan sama ada Adun Karambunai Datuk Jainab Ahmad atau Adun Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, kedua-duanya bekas pembantu menteri, akan dilantik menggantikan Datuk Azizah Mohd Dun yang kini Anggota Parlimen Beaufort.

Ketika dihubungi, Jainab berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab itu dan berkhidmat kepada rakyat, namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan ketua menteri untuk membuat keputusan.

Menurut sumber daripada Upko, sekurang-kurangnya tiga nama - Adun Nabawan Datuk Bobbey Suan, Adun Paginatan Datuk Siringan Gubat dan Adun baharu bagi Kuala Penyu Limus Jury, disebut-sebut untuk mengisi jawatan dalam Kabinet negeri, menggantikan Datuk Ewon Ebin, Anggota Parlimen Ranau yang juga bekas Adun Paginatan.

Setakat hari ini, belum jelas sama ada terdapat pertukaran tugas bagi bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang memenangi kerusi DUN Usukan, dalam barisan baharu Kabinet negeri.

Sementara itu, Adun Kiulu, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Adun Kundasang Joachim Gunsalam dan Adun Tandek Anita Baranting daripada PBS adalah antara calon berpotensi bagi jawatan pembantu menteri.

3 comments:

  1. pilih yang trbaik untuk disertakan dalam kabinet

    ReplyDelete
  2. Diharapkan YB-YB yang dilantik menjadi menteri/pemb.menteri dpt menjlnkan tugas mereka dg adil dan bijaksana tanpa pilih kasih semua trhdap rakyat dikawasan yang mereka wakili.
    Apa pn dengan kehadiran 12 orang pembangkang dlm DUN Sabah pasti akn menghangatkan DUN bila DUN Sabah bersidang. Kalau dulu kehadiran YB JImmy dari DAP sorang pn DUN Sabah hangat apa tah lagi dg kehadiran veteran politician sprti DTk Jeffry,Dtk Bumburing dan Dtk Lajim saya jangkakan YB Kerajaan BN akan kepanasan utk menjwp soalan-soaln tambahn yg mereka jangkan.

    ReplyDelete
  3. Adun baharu bagi Kuala Penyu Limus Jury, disebut-sebut untuk mengisi jawatan dalam Kabinet negeri,????? Apa sudah Jadi......

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.