Panas! Panas!.. belum reda isu RCI, timbul pula isu royalti minyak dan gas..
Ekoran dari kenyataan Datuk Musa Aman baru-baru ini yang menyokong gesaan Ketua Menteri Sarawak yang mahukan supaya Kerajaan Pusat menyemak
semula kadar semasa lima
peratus royalti petroleum, ramai pula pihak yang tersentak dan tidak
henti-henti mempertikaikan keikhlasan kerajaan dalam memenuhi tuntutan
ini.
Secara jujurnya tidak ada negeri (pengeluar minyak) di Malaysia yang tidak mahu royalti minyak dinaikkan 100%. Jika dihitung jumlahnya, cukup untuk mengubah landskap sesebuah negeri daripada hutan kepada bangunan pencakar langit.
Namun apakan daya, minyak dan gas itu bukan dikorek menggunakan sudu di lopak-lopak berair di tepi-tepi jalan. Sebaliknya ia memerlukan sebuah pelantar minyak yang dilengkapi dengan alat menggerudi lapisan batu di dasar laut, bangunan mini untuk penginapan para pekerja, tempat pendaratan helikopter dan tempat pemprosesan minyak mentah.
Bukanlah niat BB untuk bercerita mengenai pelantar minyak secara panjang lebar, melainkan sekadar untuk memberikan gambaran bahawa royalti minyak tidak boleh dinaikkan sesuka hati tanpa mengambilkira kos carigali dan kos subsidi yang ditanggung oleh Petronas.
Seperti yang kita sedia maklum, sejak
akhir-akhir ini banyak pihak yang mencadangkan supaya royalti minyak
Sabah dinaikkan dari 5% sehingga 20%, malah ada yang tanpa segan silu menjanjikan royalti sebanyak 70%. Berbagai-bagai pandangan
pro dan kontra dari pelbagai pihak mengenai isu tersebut. Namun kebanyakan
pandangan ini tidak disokong dengan fakta tentang bagaimana royalti
minyak ini boleh ditambah sehingga ke paras tertentu.
Memang benar Petronas telah
memperolehi pendapatan berbilion ringgit daripada usaha carigalinya di
Malaysia termasuk di Sabah, tetapi mungkin pemimpin-pemimpin pembangkang lupa bahawa
Petronas juga menanggung kos carigali sebanyak 85% di 46 buah negara di dunia, tidak
termasuk Somalia dan Kazakhtan. Selain daripada itu, Petronas juga membiayai subsidi minyak kepada rakyat Malaysia serta membayar cukai korporat dan zakat perniagaan.
Berdasarkan fakta ini, agaknya dari mana angka 20% dan 70% itu boleh dijana?
Sebab itu DS Najib perlu menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menyemak semula royalti petroleum ini sekaligus menentukan paras peratusan yang boleh ditingkatkan. Oleh sebab itu juga, tidak perlulah rakyat dan juga pemimpin-pemimpin pembangkang "mewajibkan" nilai 20% atau 70% royalti minyak itu diberikan kepada Sabah kerana semua itu tetap akan dipertimbangkan melalui proses kajian yang terperinci lagi adil.
Kelantangan Datuk Musa Aman berkenaan dengan isu ini juga tidak perlu dipertikaikan. Tidak salah Datuk Musa Aman menjadi orang kedua selepas Taib dalam menyuarakan isu ini kerana hal itu bukanlah keutamaan dalam mencari penyelesaian kepada isu ini.
Berkenaan dengan kenyataan Datuk Musa Aman sebelum ini yang mengatakan janji pemimpin-pemimpin Pakatan berkenaan dengan royalti minyak tidak rasional, juga tidak perlu dipersoalkan. Bagi BB, memang betul janji pakatan itu tidak rasional setelah mereka gagal mengemukakan fakta tentang bagaimana mereka mampu memberikan royalti sebanyak itu kepada Sabah. Kenyataan Datuk Musa Aman itu sebenarnya jelas menunjukkan bahawa beliau BUKAN bermaksud menentang kenaikkan royalti, sebaliknya beliau mempertikaikan kesungguhan pembangkang dalam melaksanakan janji serta sejauhmana mereka mampu menunaikan janji-janji mereka yang hanya bersandarkan teori politik semata-mata, bukannya fakta.
Kita terpaksa akur dengan realiti jika semakan keatas royalti ini disifatkan agak terlewat. Ini kerana, Najib baru 4 tahun menduduki kerusi Perdana Menteri, bukannya 4 dekad. Begitu juga dengan Datuk Musa Aman. Malah sepanjang pentadbiran mereka, bukan RCI dan royalti minyak sahaja yang menjadi fokus kepada tanggungjawab mereka sebagai Perdana Menteri dan Ketua Menteri.
By: Borneo Bullet