Showing posts with label Manifesto BN. Show all posts
Showing posts with label Manifesto BN. Show all posts

Friday, April 26, 2013

Perincian 16 Perkara Manifesto BN Sabah

1. MENANGANI PENDATANG HARAM

  • Komitmen untuk melaksanakan saranan-saranan yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berpandukan kepada penyiasatannya terhadap penghijrahan pendatang haram.
2. ORDINAN TANAH
  • Komitmen untuk memelihara dan memperkenalkan ordinan tanah yang relevan dan institusi untuk menyelesaikan pertikaian tanah melibatkan Hak Anak Negeri (NCR) serta mempercepatkan pemprosesan permohonan tanah.
3. KEAMANAN & KESELAMATAN DI BAWAH KAWASAN KESELAMATAN TIMUR SABAH
  • ESSCOM diwujudkan untuk mempertahankan keamanan, melindungi rakyat dan menjamin keselamatan dan kedaulatan Sabah.
  • Menubuhkan kawalan bersama antara awam, polis dan tentera untuk menyelamatkan pantai Sabah daripada pencerobohan.
  • Memperkenalkan 5 batalion anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
  • Menambah anggota daripada Pasukan Gerakan Am (GOF) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  • Mendirikan ibu pejabat di Lahad Datu, meliputi kawasan pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.
4. PELUANG SAKSAMA DALAM PERKHIDMATAN NEGERI
  • Memastikan peluang yang saksama berdasarkan merit untuk semua rakyat Malaysia dan mewakili setiap kaum, cekap serta memberi perkhidmatan mesra rakyat.
5. INDUSTRI MINYAK & GAS
  • Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20% daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah.
  • Mendapatkan lebih banyak manfaat dan penyertaan rakyat tempatan dalam industri minyak dan gas negeri Sabah.
6. PERJANJIAN 20 PERKARA
  • Akan terus mendokong, memaju dan memelihara semangat Perjanjian 20 Perkara.
7. PEMBASMIAN KEMISKINAN
  • Mengurangkan tahap kemiskinan kepada 3% dalam tempoh 5 tahun dengan menyelaras semua program kerajaan untuk memperkasa masyarakat setempat supaya berdikari dan dengan melaksanakan program-program transformasi untuk merubah cara berfikir, membina watak, dan kecekapan mereka.
8. MEMELIHARA ALAM SEKITAR
  • Memastikan penggunaan yang efisien dan pengurusan sumber alam yang mampan.
  • Komitmen untuk memelihara alam sekitar, keindahan semulajadi, aset-aset negeri.
  • Mensasarkan 2014 sebagai tahun pensijilan untuk kawasan hutan berlesen jangka panjang di bawah Forest Stewardship Council (FCS) dan standard alam sekitar yang lain.
9. MEMBANTERAS RASUAH
  • Memasti dan memperbaiki ketelusan dan tadbir urus di semua peringkat perkhidmatan kerajaan.
10. PERUNDINGAN DENGAN MASYARAKAT DALAM PEMBUATAN DASAR
  • Mengukuhkan sistem perundingan yang memastikan penyertaan rakyat dari semua peringkat dalam proses membuat keputusan.
11. SASARAN TERHADAP PEMBANGUNAN BELIA & SUKAN
  • Menyediakan lebih banyak kemudahan latihan untuk para belia bagi melengkapkan mereka menjadi aset penting dalam pembangunan negara.
  • Memperkukuhkan kejurulatihan dan kemahiran pengadilan, menyediakan kemudahan-kemudahan sukan bagi melahirkan generasi atlit yang akan mengharumkan Negeri dan Negara.
  • Memperluaskan program-program yang menggalakkan gaya hidup sihat.
12. MEMPERKASAKAN WANITA & MEMASTIKAN KESAKSAMAAN GENDER
  • Meningkatkan penyertaan wanita secara efektif dalam tenaga kerja dan memastikan kesaksamaan gender dalam membuat dasar di semua peringkat politik, sosial dan ekonomi.
13. MENINGKATKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN
  • Membina kumpulan tenaga kerja yang dinamik dan kemahiran kepimpinan yang sesuai dengan ekonomi moden.
  • Memastikan peluang-peluang saksama bagi semua kaum dan gender untuk mendapatkan bantuan-bantuan pendidikan seperti pinjaman, biasiswa dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam tempatan.
14. PENYERTAAN DALAM EKONOMI MODEN
  • Mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk memenuhi ekonomi moden dan yang berasaskan industri.
  • Menjalankan kajian dan pelaburan untuk memajukan dan mencapai ekonomi berorentasikan eksport.
  • Memastikan penyertaan Bumiputera yang berkembang dan berkesan dalam bidang perdagangan dan industri.
15. MERAPATKAN JURANG PEMBANGUNAN ANTARA BANDAR & LUAR BANDAR
  • Meningkatkan taraf hidup semua masyarakat tempatan di luar bandar terutama di kawasan pedalaman Sabah.
  • Meluaskan rangkaian jalan raya di kawasan luar bandar untuk memajukan pembangunan dan perniagaan.
  • Akan terus mengawal, memantau senarai harga barangan keperluan asas, dan memperkenalkan dasar-dasar dan langkah-langkah tambahan untuk mengurangkan kos sara hidup.
16. KEBERKESANAN BADAN-BADAN NEGERI
  • Mengelakkan pembaziran yang tidak munasabah dan memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian awam.
  • Memperbaiki pentadbiran agensi-agensi kerajaan untuk memelihara kepentingan awam dan memaksimumkan pulangan kepada kerajaan.
  • Memastikan kebertanggungjawaban awam ke atas semua agensi-agensi negeri dan pegawai-pegawai.

Tuesday, April 23, 2013

Manifesto BN Sabah adalah penyelesaian terhadap segala isu

KOTA KINABALU: Manifesto tambahan Barisan Nasional (BN) Sabah adalah penyelesaian terhadap segala isu yang diwar-warkan pihak pembangkang selama ini. 

Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok berkata manifesto itu amat bertepatan kerana ia mengambil kira permintaan rakyat peringkat akar umbi negeri ini. 

“Kesemua 16 perkara utama dalam manifesto ini merangkumi semua isu yang berkaitan dengan rakyat di negeri ini dan ini adalah komitmen BN untuk mendahulukan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran manifesto BN Sabah, di sini, kelmarin. 

Manifesto bertemakan “Kami Telah Tunaikan. Lebih Banyak Lagi Akan Dilaksanakan”, itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. 

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Karanaan Datuk Masidi Manjun berkata, manifesto BN Sabah adalah pelengkap Manifesto BN Pusat. 

“Melalui manifesto ini, BN Sabah berjaya membina identiti sendiri dengan memperjuangkan isu-isu tempatan. Segala yang diwar-warkan oleh pihak pembangkang, BN Sabah telah utarakan penyelesaiannya. 

“Saya fikir sekiranya semua orang membaca dan memahami manifesto ini dengan baik, kita dapati tiada alasan dan sebab mereka untuk tidak suka kepada BN kerana kita telah memberi perakuan bahawa kita akan memperjuangkan semua tuntutan dan isu yang dibangkit oleh rakyat selama ini,” katanya. 

Mengenai isu Pendatang Tanpa Izin (PTI), Masidi berkata BN Sabah telah memberi perakuan bahawa ia akan diselesaikan melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). 

“Ini adalah komitmen BN untuk menyelesaikan pendatang haram di negeri ini. Begitu juga dengan usaha untuk memperkemaskan ordinan tanah. BN memasukkan ordinan tanah dalam manifesto bagi menyelesaikan pertikaian tanah melibatkan Hak Anak Negeri,” katanya. 

Katanya lagi, BN telah mencapai banyak kejayaan termasuk mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhannya kepada 8.1 peratus pada 2012 daripada 19.7 peratus pada 2009. 

“Pembangkang sering melempar tuduhan bahawa kerajaan negeri rasuah, tapi kenyataan adalah sebaliknya kerana Sabah satu-satunya negeri di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan lima bintang oleh ketua audit negara selama 10 tahun berturut-turut dari segi pengurusan kewangan. 

“Jadi saya tidak faham apa lagi tuduhan salah guna kuasa pengurusan kewangan yang mereka (pembangkang) ingin bangkitkan kerana seperti yang kita tahu ketua audit negara adalah badan bebas yang tidak tunduk kepada mana-mana parti atau kerajaan,” katanya. 

Calon BN Parlimen Ranau Datuk Ewon Ebin berkata, manifesto ini memperlihatkan kesungguhan BN untuk membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar untuk menyelesaikan masalah tanah dan mempercepat permohonan tanah mereka. 

Beliau juga yakin komitmen BN Sabah untuk mengurangkan tahap kemiskinan kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun akan datang dapat dicapai.

Monday, April 22, 2013

Musa Aman lancar 16 perkara utama manifesto BN Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada Isnin melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah bertemakan 'Kami Telah Tunaikan Lebih Banyak Lagi Akan Dilaksanakan', yang mengandungi 16 perkara utama, merangkumi hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri ini. 

Manifesto itu merupakan pelengkap kepada manifesto nasional yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak "Manifesto ini adalah komitmen dan iltizam kita semua dalam meneruskan perjuangan yang sentiasa dekat di hati rakyat. 

"Ia telah dipersetujui selepas perbincangan oleh semua parti komponen yang mengambil kira semua pihak kerana kita tidak populis dan kita berpijak di bumi yang nyata," kata Musa yang juga penyelaras BN negeri pada majlis pelancaran di Bangunan Umno di sini. 

Antara kandungan manifesto itu ialah komitmen untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani pendatang haram, memelihara dan memperkenalkan ordinan tanah yang relevan dan mempertahankan keamanan serta keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM). 

Manifesto itu juga mengandungi janji BN yang akan memastikan peluang saksama dalam perkhidmatan negeri, meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah. 

BN juga akan mendokong Perjanjian 20 Perkara selain mengurangkan tahap kemiskinan kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun, memelihara alam sekitar, membanteras rasuah, perundingan dengan masyarakat dalam membuat dasar serta sasaran terhadap pembangunan belia dan sukan. 

Golongan wanita juga tidak dilupakan apabila manifesto itu turut melibatkan usaha memperkasa wanita dan memastikan kesaksamaan gender, meningkatkan pembangunan modal insan, penyertaan dalam ekonomi moden, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta keberkesanan badan-badan negeri. 

Musa berkata segala janji dalam kandungan manifesto itu akan ditunaikan sekiranya kerajaan BN mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum ini. 

Malah, beliau percaya rakyat Sabah akan bijak membuat penilaian terhadap pencapaian kerajaan BN sepertimana terkandung dalam manifesto yang akan diedarkan kepada seluruh rakyat Sabah. 

Menurutnya, manifesto itu akan diedar bersama aku janji BN nasional serta buletin BN dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kadazandusun.Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Musa berkata manifesto yang dilancarkan itu adalah praktikal yang mampu dilaksanakan apabila mentadbir kerajaan negeri dan pusat. 

"Manifesto ini adalah amat realistik dan berpijak di bumi yang nyata boleh dlaksanakan sedangkan manifesto pembangkang semuanya tidak betul dan tidak boleh melaksanakan segala janjinya," katanya. 

Turut hadir kesemua calon BN pada pilihan raya umum ini termasuk pemimpin parti komponen BN iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew.

--BERNAMA

Ringkasan 16 perkara utama manifesto Barisan Nasional Sabah:
  1. Komitmen untuk melaksanakan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani pendatang haram.
  2. Memelihara dan memperkenalkan ordinan tanah yang relevan.
  3. Mempertahankan keamanan serta keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM). 
  4. Memastikan peluang saksama dalam perkhidmatan negeri.
  5. Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah. 
  6. Mendokong Perjanjian 20 Perkara.
  7. Mengurangkan tahap kemiskinan kepada tiga peratus dalam tempoh lima tahun.
  8. Memelihara alam sekitar.
  9. Membanteras rasuah.
  10. Perundingan dengan masyarakat dalam membuat dasar.
  11. Sasaran terhadap pembangunan belia dan sukan.
  12. Memperkasa wanita dan memastikan kesaksamaan gender.
  13. Meningkatkan pembangunan modal insan.
  14. Penyertaan dalam ekonomi moden.
  15. Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
  16. Keberkesanan badan-badan negeri.

Monday, April 8, 2013

Manifesto 2013 Barisan Nasional TERBAIK dalam Sejarah

Perdana Menteri telah pun melancarkan Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihanraya Umum ke 13 pada Sabtu lalu yang bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’. Ianya disambut baik oleh semua golongan dan lapisan masyarakat sekaligus menidakkan manifesto pembangkang yang semakin menjadi bahan jenaka selepas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menyifatkan manifesto pilihanraya mereka adalah "BUKAN JANJI".

Berlainan dengan kerajaan Barisan Nasional, setiap janji manifesto yang dibentangkan pasti bertepatan atau selari dengan slogan yang dilaungkan. Tidak pernah terlintas difikiran pemimpin-pemimpin kerajaan BN untuk mendifinisikan manifesto itu sebagai BUKAN JANJI. Pada tahun 1995, manifesto BN berbunyi Berwawasan, Adil dan Efisien. 1999 pula berbunyi Malaysia Bebas, Sepadu dan Maju, 2004 - Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dan 2008 – Selamat, Aman dan Makmur. Kesemuanya dirangka sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. 

Walaubagaimanapun, manifesto 2013 ini diangkat sebagai yang terbaik dalam sejarah oleh sesetengah pemerhati politik kerana sifatnya yang lengkap, padat dan yang paling penting, berasaskan senario kehidupan sebenar rakyat serta perkembangan dunia. Malah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman turut mengakui bahawa manifesto akujanji Barisan Nasional (BN) yang dibentang Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kali ini sebagai hebat dan terbaik kepada seluruh lapisan rakyat.

Manifesto BN kali ini bukan sahaja berpijak di bumi nyata atau realistik menurut Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, namun di masa yang sama memberi keyakinan dan keazaman kepada rakyat untuk sama-sama berdiri di belakang BN dalam usaha kita membina sebuah negara yang lebih baik. Inti pati manifesto tersebut merupakan usaha dan janji kepada rakyat di mana ia akan dijalankan sebagai tanda terima kasih daripada parti Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Jom layan apa kata pemimpin Sabah mengenai manifesto BN yang dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak:

Manifesto BN hebat dan terbaik kepada rakyat jelata: Musa Aman

TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman menyifatkan manifesto akujanji Barisan Nasional (BN) yang dibentang Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kali ini sebagai hebat dan terbaik kepada seluruh lapisan rakyat. 

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, seluruh lapisan rakyat tidak kira berada di bandar atau di luar bandar, orang muda atau lama mahupun golongan wanita semuanya mendapat manfaat daripada akujanji itu. 

“Satu manifesto yang tepat, lengkap kepada kita semua. Saya percaya ini yang dikehendaki rakyat yang mana mengambil kira semua lapisan dan semua sektor dan rakyat menyambut baik manifesto ini,’’ katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Roadshow Yayasan Sabah (YS) Bersama Rakyat-Program Transformasi Kumpulan YS peringkat Zon Pantai Timur Selatan di Dewan Masyarakat di sini. 

Katanya, melalui akujanji itu rakyat akan lebih bersemangat dan kukuh serta kuat menyokong BN bagi meneruskan perjuangan kerana BN sentiasa menepati janji yang dilakukan. 

“Saya minta kepada rakyat untuk menyokong BN, pemimpin dan parti-parti komponen BN bagi meneruskan perjuangan kita kerana rakyat tetap terbela dalam kerajaan BN dan hidup dalam keadaan aman dan damai,’’ katanya. - New Sabah Times

Manifesto BN berlandaskan bumi nyata: Abdul Rahman

KOTA BELUD: Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan manifesto BN yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu adalah sebuah manifesto yang berlandaskan pada bumi yang nyata. 

Katanya, inti pati manifesto tersebut merupakan usaha dan janji kepada rakyat di mana ia akan dijalankan sebagai tanda terima kasih daripada parti Barisan Nasional (BN) kepada rakyat. 

“Manifesto berkenaan ada menyebut mengenai peluang pekerjaan untuk golongan muda pada masa kini selain pertambahan nilai pada Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan penurunan harga kenderaan nasional.” 

“Seiring dengan itu, sebagai salah satu usaha untuk melaksanakannya saya akan memohon pembinaan sebuah Pusat Sokongan Minyak dan Gas di Kota Belud yang akan membuka peluang pekerjaan sebanyak 1200 bagi membantu golongan muda di sini untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Karnival Mini Koperasi Peringkat Parlimen Kota Belud, di sini, kelmarin (hari ini).  - New Sabah Times

Manifesto BN bertepatan aspirasi rakyat: Liew Vui Keong

SANDAKAN: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada malam Sabtu lepas sesungguhnya amat bertepatan dengan aspirasi rakyat. 

Ini katanya, keperluan dan kebajikan rakyat akan dapat ditunaikan kerana Mohd Najib adalah merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap apa jua keperluan tanpa mengira latar belakang. 

Menurutnya, manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bertemakan ‘1Malaysia, Janji Ditepati Membawa Harapan’ itu juga dilihat begitu signifikan dalam terus membantu golongan sasar. 

“Selain itu, ia juga dilihat akan meningkatkan lagi pelbagai prasarana dan kemudahan untuk rakyat,” jelasnya semasa berucap pada Program Perjumpaan Bersama Wargatua Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Parlimen Sandakan di Balairaya Rumah Murah Sim-Sim, di sini, kelmarin. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Awang Sham Haji Amit dan Ketua Kampung, Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, Haji Kahar Arbain. 

Liew berkata, antara manifesto itu penambahan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan. - New Sabah Times