Showing posts with label Darell Leiking. Show all posts
Showing posts with label Darell Leiking. Show all posts

Wednesday, August 28, 2013

Kerana Malas Turun Padang, Darell Minta Rakyat Sediakan Soalan Untuknya

Penulis memuji cara kreatif Darell Leiking dalam mendapatkan pandangan daripada penyokong-penyokongnya mengenai soalan yang perlu beliau bangkitkan pada sesi kedua Perlimen yang dijangkan berlangsung antara 22hb September - 04hb Oktober 2013.. Namun pujian penulis hanya JIKA Darell kerap melaksanakan aktiviti turun padang melihat sendiri masalah-masalah yang dihadapi rakyat. Sehingga ke hari ini, batang hidung Darell tidak pernah dilihat memasuki kampung, melawat kawasan-kawasan yang bermasalah terutamanya bagi Parlimen Penampang.. Disebabkan malas turun padang, maka Darell terpaksa mencari jalan pintas (shortcut) untuk mendapatkan soalan-soalan daripada penyokong-penyokong beliau sedangkan beliau tahu bahawa soalan yang bakal diajukan oleh penyokong-penyokongnya pasti lebih kepada soalan berbentuk emosi berbanding dengan realiti..

Sebagai Ahli Parlimen yang baru sahaja diberikan mandat oleh pengundi-pengundi Penampang, beliau sepatutnya bekerja keras membela nasib penduduk Penampang melalui aktiviti turun padang. Sekadar melayari Facebook dan memenuhi undangan temuramah bersama FZ.com tidak akan mampu membawa Darell kepada situasi sebenar. Majoriti penduduk Penampang mengharapkan supaya Darell merasai, menyelami dan memahami masalah mereka, bukan mereka pula yang perlu memahami apa yang dikehendaki oleh Darell sebagai persediannya menghadapi sesi kedua Parlimen. Jika Darell boleh terbang hingga ke Filipina semata-mata mahu melaksanakan agenda tersembunyi PKR di negara itu, takkan untuk keluar masuk kampung yang tidak memerlukan tiket penerbangan boleh menjadi masalah kepada Darell..

Pendek kata, soalan-soalan yang perlu dibawa ke Parlimen perlu dicari sendiri oleh Darell, bukannya mengambil jalan mudah dengan menyerahkan tugas itu kepada penyokong-penyokong beliau.. Baik Darell bersara dari politik jika malas memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.. Berbanding dengan wakil rakyat pembangkang yang lain, sekurang-kurangnya Facebook mereka dihiasi dengan gambar aktiviti turun padang, sebaliknya Darell hanya mempunyai gambar-gambar yang bertujuan untuk mempopularkan dirinya.. Lihat saja cover photo beliau yang langsung tidak menampakkan ciri-ciri seorang Ahli Parlimen.. Darell nampaknya lebih bangga bila ditemuramah berbanding dengan "menemuramah" penduduk Penampang..

Sunday, August 18, 2013

Perpaduan Rakyat Malaysia Adalah Ancaman Besar Kepada Pakatan Rakyat

Facebook Darell Leiking
Bermakna Darell bersetuju bahawa kemerdekaan Malaysia baru mencecah 50 tahun? Bagaimana dengan tanah Malaya yang merdeka pada tahun 1957? Adakah bagi Darell bahawa Malaysia yang dibentuk hari ini hanya merangkumi Sabah dan Sarawak dan tidak termasuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, hinggakan beliau membuat kesimpulan bahawa Malaysia sepatutnya menyambut kemerdekaan yang ke-50 pada tahun ini? Kebiasaannya, bila wujud tarikh-tarikh yang berbeza seperti tarikh kemerdekaan Sabah, Sarawak dan Malaya, sudah tentu yang dipilih itu adalah tarik yang lebih awal.. Malahan tarikh 31 Ogos 1957 sudah lama diterima pakai oleh rakyat di negara ini sebagai titik bermulanya kemerdekaan Malaysia, jesteru kenapa baru hari ini pembangkang seolah meroyan bila ia kekal digunakan?

Penulis sama sekali tidak bersetuju mengenai kenyataan Darell bahawa Malaysia sepatutnya menyambut kemerdekaan yang ke-50. Berdasarkan pemerhatian penulis, tindak tanduk pambangkang Sabah sejak kebelakangan ini sememangnya banyak menjurus kepada usaha memisahkan Sabah dari Malaysia. Walau apapun motif mereka, yang pasti ketiadaan Sabah dari Persekutuan Malaysia, pasti membawa sinar harapan kepada Anwar untuk menduduki kerusi Perdana Menteri. Jesteru, bagi mencapai misi itu, usaha membangkitkan sentimen kenegerian semakin giat dilaksanakan walaupun mereka sedar bahawa tindakan itu telahpun mengundang rasa benci sebilangan penduduk di Semenanjung Malaysia terhadap Sabah dan Sarawak sehingga tercetusnya provokasi kenegerian melalui facebook atau lain-lain media sosial.

Tindakan pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Darell yang gemar menghasut rakyat supaya menyambut kemerdekaan berasingan antara Sabah, Sarawak dan Malaya jelas menunjukkan bahawa mereka memang bencikan perpaduan. Bagi mereka perpaduan yang utuh di negara ini adalah ancaman terbesar untuk mereka meneruskan agenda rampasan kuasa. Mungkin disebabkan perpaduan inilah, maka pemimpin-pemimpin Pakatan seperti Darell, Tian Chua dan Sivarasa terpaksa terbang ke Filipina memohon bantuan pengganas Sulu supaya datang menuntut Sabah melalui pintu belakang. Dan mungkin sebab itu juga, Anwar terpaksa berunding dengan Nur Misuari, yang juga ketua pengganas Sulu, supaya menghantar seberapa ramai tentera tidak bertamadunnya untuk menceroboh Sabah.

Bagaimana agaknya jika sejak dulu hinggalah ke hari ini, Sabah, Sarawak dan Malaya menyambut tarikh kemerdekaan secara berasingan walaupun telah bergabung membentuk Malaysia?? Sudah tentu pembangkang hari ini akan mempertikaikan kenapa wujud perbezaan seperti itu sedangkan ketiga-tiga buah negara ini telahpun bersatu membentuk Malaysia.. Penulis masih ingat, apabila ada pihak yang membuat kenyataan seperti ini "bla, bla, bla... Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak..." bukan main meroyan lagi pembangkang menunjukkan sikap patriotik mereka dengan mengecam pihak yang membuat kenyataan tersebut. Namun, apabila bercakap soal kemerdekaan, mereka pula yang lebih dulu cuba mengasingkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia..

Wednesday, August 14, 2013

AWAS: Petanda Awal Darell Akan Serang KDM

Jika Darell anggap dirinya layak bergelar pemimpin masyarakat, beliau sepatutnya tidak membuang masa bertanyakan soalan yang beliau tahu jawapannya. Malah beliau sepatutnya bersama-sama memikul tanggungjawab memperbetulkan atau memperkukuhkan budaya KDM, bukannya menggunakan isu itu bagi tujuan mengundang pelbagai jawapan negatif terhadap parti lawan. 

Apa yang penulis dapat simpulkan mengenai kenyataan Darell dalam facebook beliau ialah, Darell sengaja membangkitkan persoalan tersebut bagi mendorong penyokong-penyokong buta kayu nya untuk memberikan komen-komen negatif terhadap parti lawan, iaitu parti yang mereka anggap telah gagal membela nasib dan budaya KDM.

Memandangkan Darell telah membangkitkan isu ini, maka penulis ingin juga bertanya apakah sumbangan atau tindakan yang telah dilakukan oleh Darell bagi memperkukuhkan budaya KDM? Jika beliau hanya tahu menimbulkan persoalan, mempertikaikan usaha pihak lain disamping mengapi-apikan rakyat, lebih baik beliau bersara dari politik kerana rakyat Sabah tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai bercakap tapi gagal bertindak.

Mungkin Darell juga patut mengulas mengenai penganugerahan gelaran Huguan Siou kepada Anwar Ibrahim. Kenapa dalam hal itu, Darell tidak mempertahankan gelaran KDM yang sepatutnya dikhaskan kepada kaum KDM? Apa buktinya Anwar berdarah KDM? dan apa pula sumbangan Anwar terhadap suku kaum KDM di negeri ini?.. 

Kepada penyokong-penyokong buta Darell, apa pula pandangan saudara jika Pakatan menjajah Sabah? jika gelaran yang menjadi hak milik pemimpin KDM tidak mampu dipertahankan, bagaimana pemimpin-pemimpin Pakatan seperti Darell mahu mempertahankan budaya KDM?

Tuesday, August 13, 2013

AWAS: Junz Wong dan Darell Leiking Berduet Musnahkan Industri Pelancongan Sabah

Penganjuran perhimpunan haram, pemansuhan undang-undang seperti ISA dan Ordinan Darurat, membela nasib penjenayah yang berada dalam tahanan, bersekongkol dengan pengganas Sulu, bersekongkol dengan aktivis/NGO asing dan seterusnya melancarkan misi menakut-nakutkan orang awam seakan menjadi strategi pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat dalam mendapatkan sokongan rakyat sekaligus menanam bibit-bibit kebencian terhadap kerajaan. Sabah juga tidak terlepas dari pelaksanaan strategi politik kejam lagi tidak bertamadun seperti ini hanya kerana negeri ini kekal menjadi deposit Barisan Nasional dalam setiap Pilihanraya Umum. Namun, di Sabah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat lebih gemar menakut-nakutkan orang awam disamping mensabotaj ekonomi negeri Sabah kerana melalui kejatuhan ekonomi ini maka mereka membayangkan rakyat Sabah akan beralih sokongan kepada parti pembangkang terbesar itu.

Jika kita imbas kembali bentuk-bentuk serangan puak pembangkang melalui aktivis dan NGO asing yang ditaja mereka, pasti ramai yang menyedari bahawa kerajaan negeri Sabah kerap menjadi sasaran apabila perladangan kelapa sawitnya terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negeri Sabah. Walaupun kerajaan Sabah berjaya menyediakan habitat semulajadi haiwan liar seperti Sepilok Rehabilitation Centre untuk keberlangsungan hidup haiwan liarnya, berbanding dengan negara-negara barat yang terpaksa menyediakan zoo untuk haiwan terancamnya, kerajaan Sabah tetap dikritik hebat kononnya melakukan pemusnahan habitat sehingga berlakunya kepupusan haiwan liar. Namun isu ini tidak boleh bertahan lama kerana Sabah banyak memperolehi pengiktirafan diperingkat antarabangsa mengenai usaha atau program-program konservasinya. Malah kedatangan rombongan diraja Britain, William dan Kate ke Lembah Danum juga adalah bukti bahawa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman sentiasa menitik-beratkan pembangunan mampan sepanjang pentadbirannya.

Namun misi pembangkang tidak berhenti setakat disitu, malah mereka lebih agresif sehingga tergamak menuduh kejadian tembak-menembak di Lahad Datu adalah sandiwara umno. Walaupun sudah tersebar luas gambar Anwar yang sedang duduk berbincang dengan ketua pengganas Nur Misuari, puak-puak pembangkang ini tetap menyalahkan kerajaan seolah-olah keganasan itu telah dirancang oleh BN walaupun pada hakikatnya pembangkang lebih banyak mendapat "manfaat" daripada insiden itu. Lebih mendukacitakan apabila anak jati tempatan Sabah Darell Leiking, yang juga Timbalan Setiausaha Agung PKR,  didapati telah terbang ke Filipina sebelum pencerobohan itu berlaku. Insiden ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian sebilangan rakyat negeri ini, malah turut menjejaskan aktiviti perniagaan dan juga membinasakan sektor pelancongan. Namun, hasil usaha gigih menteri pelancongan Sabah Datuk Masidi Manjun, maka sekali lagi usaha pembangkang menjatuhkan industri ini menemui kegagalan apabila jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini tetap meningkat.

Kini strategi Pakatan Rakyat nampaknya lebih halus dan lebih tersirat apabila serangan mereka lebih menjurus kepada agensi atau syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan. Namun matlamat mereka tetap sama iaitu mahu memusnahkan industri yang banyak menyumbang kepada pendapatan negeri Sabah. Terdahulu, Darell lebih dulu mengatur serangan dengan menuduh KKIA tidak mengutamakan ciri-ciri keselamatan terutamanya mengenai sistem pendaratan kapal terbang. Tuduhan tidak berasas ini sekaligus dikaitkan dengan nahas kapal terbang San Farncisco pada 6 Julai lalu bagi menggambarkan betapa bahayanya lapangan terbang Kota Kinabalu ini kepada orang awam termasuk pelancong asing. Hal ini bagaimanapun telah dijelaskan oleh Jabatan Penerbangan Awam secara panjang lebar, dan sehingga kini Darell masih diam membisu.. 

Disebalik kegagalan Darell meneruskan misi jahatnya, Pakatan tanpa rasa bersalah dan tanpa tergerak sedikitpun untuk memohon maaf selepas berjaya mencalarkan imej KKIA, kini mereka gunakan pula pemimpin terbangang dalam sejarah politik Sabah iaitu Junz Wong untuk menyambung "larian baton" yang gagal disempurnakan oleh Darell dengan menuduh KKIA tidak cekap sehingga berlakunya kegagalan menara komunikasi yang kononnya menjadi punca kepada kelewatan penerbangan. Namun tuduhan ini juga kurang jelas kerana faktor kelewatan penerbangan boleh berlaku pada bila-bila masa mengikut keadaan cuaca (DISINI).. Walau apapun alasannya, yang pasti pembangkang tetap tidak akan berganjak dari misi jahatnya sekalipun pembohongan, fitnah dan putar belit mereka berjaya dipertontonkan kepada rakyat.

Monday, August 12, 2013

Polis Wajar Siasat Darell Kerana Dia Tahu Punca Pembunuhan Tiong

Penampang MP Darell Leiking said Tiong’s death should be an eye opener for everyone.

“The serious problem is the illegal cyber gaming outlets operating all over Penampang especially with many of them operating right under the nose of the local authorities and police,” he said in a statement. - Malaysia Today

Hanya kematian Tiong? bagaimana dengan kes kematian lain di negara ini? adakah rakyat tidak perlu kisah dengan kes kematian lain termasuk kemalangan? Darell sepatutnya belajar bagaimana caranya membuat kenyataan menggunakan otak. Darell juga sepatutnya belajar bagaimana caranya menghormati keluarga mangsa dengan TIDAK mempolitikkan kes tersebut untuk kepentingan politik semata-mata. Mana asasnya dakwaan Darell bahawa kes pembunuhan tersebut berkait rapat dengan perjudian haram? Tindakan Darell mengaitkan polis dan pihak berkuasa tempatan jelas menunjukkan bahawa beliau berniat mempergunakan kes ini untuk kepentingan politik.

Jika benar Darell menyedari kewujudan premis-premis perjudian haram di Penampang yang kononnya ditahap serius, kenapa beliau tidak bangkitkan isu itu sejak awal? Bukankah sikap tidak kisah Darell ini jelas menunjukkan bahawa beliau sememangnya mahu perkara ini berlaku supaya beliau berpeluang mempergunakan kes tersebut untuk memburuk-burukkan kerajaan? Di negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, berlaku tiga kejadian kes tembakan dalam tempoh tidak sampai 12 jam. Jesteru, apa pula pandangan Darell mengenai kejadian tembakan di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat? Adakah ianya juga berpunca daripada aktiviti perjudian haram yang mungkin jauh lebih rancak di negeri itu?

Penulis rasa kesal bukan sahaja terhadap kes tembakan yang berlaku di negara ini.. Malah mengenai kewujudan penyiasat bebas dikalangan ahli-ahli politik pembangkang yang cuba berlagak lebih arif, cekap dan pantas berbanding polis. Entah bagaimana caranya mereka menjalankan siasatan sehingga maklumat yang mereka perolehi terlalu lengkap sebagaimana layaknya sebuah jalan cerita yang dikarang oleh manusia biasa. Namun apabila pembangkang dikaitkan dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, jangankan menyiasat, dituduhnya pula kejadian tembak-menembak itu sebagai sandiwara Umno. Dalam kes pencerobohan ini, kenapa Darell tidak dedahkan kepada media tentang hasil siasatan beliau?? Adakah beliau takut berbuat demikian kerana pencerobohan itu berlaku sebaik sekembalinya beliau dari Filipina bersama-sama dengan Tian Chua dan Sivarasa Rasiah? atau mungkin disebabkan sekeping gambar yang menunjukkan Anwar sedang berbincang sesuatu dengan Nur Misuari?

Darell sepatutnya melihat peranan pembangkang dalam meningkatkan kadar jenayah di negara ini. Siapa yang minta supaya Akta ISA dan Ordinan Darurat dimansuhkan? Siapa yang tampil membela nasib banduan dalam penjara? Dan siapa yang cuba mengajar rakyat supaya bertindak membelakangkan undang-undang? Menurut perangkaan polis, kes jenayah kekerasan yang dilakukan oleh bekas tahanan Ordinan darurat sepanjang enam bulan pertama tahun ini telah meningkat sekali ganda menjadikannya 67 kes berbanding 33 kes dalam tahun 2012 (DISINI). Jesteru, siapa yang harus dipersalahkan mengenai peningkatan kes bunuh di negara ini? adakah pihak yang melakukan aktiviti mencegah, atau pihak yang mahu aktiviti pencegahan itu dimansuhkan?

Sunday, August 11, 2013

Darell gambarkan kemasukkan Sabah kedalam Malaysia adalah satu kerugian

"Who has lost more after Malaysia was formed, Sabah or Sarawak? Would both states be more protected if they kept stronger ties through the years? Below, Sarawak's first chief minister." - Darell Leiking

Inilah kata-kata ringkas Darell dalam Facebook beliau bagi membangkitkan rasa benci penduduk Sabah dan Sarawak terhadap Semenanjung Malaysia. Selepas puas memfitnah, membohong dan memanipulasi, seakan tidak sah perjuangan pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat jika tidak melakukan provokasi. Namun yang lebih memualkan ialah apabila masih ada segelintir rakyat negeri ini yang buta kayu menyokong apa sahaja kenyataan dari ahli politik yang hanya tahu menghasut rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedangkan si penghasut itu sendiri tidak pernah menyumbang kepada rakyat.

"Who has lost more after Malaysia was formed, Sabah or Sarawak?".. Walaupun soalan ini lebih kepada membandingkan antara Sabah dan Sarawak, namun mesejnya tetap menggambarkan bahawa kemasukan Sabah dan Sarawak kedalam gagasan Malaysia telah mendatangkan kerugian kepada kedua-dua negeri ini. Entah apa pula jawapan dari Darell jika Sabah tidak menyertai Malaysia dan kemudiannya dituntut oleh kerajaan Indonesia dan Filipina? Adakah pada waktu itu beliau juga akan membuat pertanyaan yang sama? atau bertanyakan "siapa yang lebih banyak mendatangkan kerugian kepada Sabah.. Malaysia, Indonesia atau Filipina?"

Sebagai pemimpin politik, Darell tidak sepatutnya menyembunyikan fakta dari pengetahuan rakyat bahawa keputusan menyertai Malaysia juga berpunca dari tuntutan Indonesia dan Filipina keatas negeri ini. Perkara 7 di dalam “20 Perkara Sabah” bermaksud Perkara 7 tidak boleh diubah oleh Kabinet Negeri mahupun Persekutuan kerana di dalam perjanjian tersebut telah dipersetujui syarat bahawa apabila Sabah telah memasuki Malaysia, Sabah mensyaratkan agar tidak dikeluarkan daripada Kerajaan Malaysia. Ini kerana semasa rundingan ini dilakukan oleh Ketua-Ketua Pemimpin Negeri Sabah ketika itu, Negeri Sabah juga dituntut oleh Kerajaan Indonesia dan Filipina.

Rakyat Sabah tidak pernah lupa bahawa Darell Leiking juga salah seorang dari pemimpin Pakatan Rakyat yang pernah terbang ke Filipina sebelum pencerobohan di Lahad Datu berlaku. Adakah ianya satu kebetulan atau telah dirancang? lebih-lebih lagi apabila kenyataan Darell dalam Facebook beliau seolah-olah menggambarkan bahawa kemasukkan Sabah kedalam Malaysia adalah satu kerugian? Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa tujuan pencerobohan oleh pengganas Sulu itu adalah kerana mahu menuntut wilayah negeri ini. Jesteru, adakah wujud kerjasama antara Darell dengan pengganas diraja Sultan Sulu untuk memisahkan Sabah dari Malaysia sehingga Darell tergamak menimbulkan persoalan yang menjurus kearah misi itu?

Thursday, August 1, 2013

Selepas Insiden Pencerobohan, Darell mainkan isu ILS takutkan orang awam

Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking mendakwa berlakunya kecuaian dalam kerja-kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sehingga boleh menjejaskan keselamatan orang awam. “Seperti sistem mendarat (ILS) yang diwajibkan pemasangannya bagi setiap landasan namun ketika pembinaan Landasan 2, saya diberitahu ia ditinggalkan dan ia tidak dipasang kembali walaupun kerja pembinaan sudah selesai,”katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut Darell, apa yang mengejutkan hasil siasatan beliau sendiri dengan Airmen (NOTAM) mendedahkan sesetengah landasan di lapangan terbang itu tidak dipasang sistem berkenaan. “Ia amat mengejutkan apabila alat yang begitu penting tidak dipasang di lapangan terbang ini, ILS ini digunakan merupakan panduan bagi juruterbang untuk mendarat dengan tepat," kata beliau lagi. - The Malaysian Insider

Sejauhmana kesahihan dakwaan Darell masih belum dapat dipastikan. Malah Darell sendiri mengakui bahawa hanya SESETENGAH landasan di lapangan terbang itu tidak dipasang sistem berkenaan. Bermakna sebahagian landasan lagi telahpun dilengkapi dengan sistem itu dan dapat beroperasi seperti biasa. Dalam kes-kes sebegini, pembangkang sememangnya gemar mencari kesilapan dipihak kerajaan dengan menyembunyikan fakta sebenar disamping membangkitkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan kredibiliti pihak yang berkenaan. Jika benarlah KKIA mengabaikan ciri-ciri keselamatan, bagaimana lapangan terbang ini boleh menduduki tangga kedua tersibuk di Malaysia? Sepatutnya sejak awal-awal lagi para juruterbang telah membuat aduan memandangkan mereka lebih dulu mengesan kelemahan-kelemahan itu.. Namun peliknya, kenapa Timbalan Setiausaha Agung PKR pula yang tersentak? adakah dia pilot?..

Para juruterbang tentunya tidak mahu diri mereka dan penumpang-penumpang mereka menjadi mangsa korban ekoran kecuaian pihak KKIA, jesteru kenapa bukan mereka sahaja yang tampil membangkitkan perkara ini sejak dari awal?... Persoalan ini mungkin terjawab dengan sendirinya apabila siasatan Darell dan Airmen mendapati hanya sesetengah landasan yang tidak dilengkapi dengan sistem ILS ini. Malahan, kelemahan itu juga mungkin masih dalam perhatian dan sedang ditangani oleh pihak KKIA. Timbulnya isu ini tidak semestinya disebabkan KKIA tidak menitikberatkan aspek keselematan, tetapi disebabkan oleh kepantasan Darell berpolitik selepas imejnya terjejas disebabkan kelembaban beliau dalam membangkitkan masalah-masalah rakyat selepas menang kerusi Parlimen Penampang.

Lebih menjadi kemusykilan apabila Darell tidak merujuk atau mendapatkan penjelasan dari pihak yang bertanggungjawab, sebaliknya beliau hanya MENGGESA pihak KKIA bersama Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Menteri Pengangkutan juga Jabatan Penerbangan Awam (DCA) segera mengambil tindakan ke atas aduan yang dibuat berhubung tahap keselamatan di lapangan terbang itu. Jika Darell seorang pemimpin yang sangat perihatin terhadap keselamatan di lapangan terbang, beliau sepatutnya tampil berhadapan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah itu serta-merta. Untuk apa orang awam menyampaikan aduan kepada beliau jika akhirnya aduan itu hanya dijadikan kempen untuk menaikkan populariti beliau?? Lebih baik orang awam membawa masalah itu terus kepada media Sabahkini, Aduan Rakyat dan sebagainya...

Bercakap mengenai soal nyawa yang mana turut dibangkitkan oleh Darell dalam kenyataannya, adakah motif beliau adalah untuk menakut-nakutkan orang awam atau pelancong asing supaya memboikot negeri ini atau KKIA dari terus menjadi tumpuan masyarakat dalam dan luar negara? Ketika krisis pencerobohan di Lahad Datu, Darell turut bersama-sama Tian Chua dan Sivarasa terbang ke Filipina sebelum insiden itu berlaku. Jesteru, jika benar Darell mengambil berat soal nyawa dan keselamatan orang awam, kenapa beliau tidak mengutuk kenyataan Tian Chua apabila rakan beliau ini menuduh kejadian tembak-menembak di Kg Tanduo sebagai sandiwara umno? Jika kita fikir secara mendalam, rancangan Darell hari ini sememangnya konsisten dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu... Kedua-duanya bertujuan untuk menakut-nakutkan orang awam termasuklah pelancong asing. Bezanya, dulu mereka menggunakan khidmat pengganas sulu, sebaliknya hari ini mereka menggunakan kelemahan-kelemahan di KLIA yang mana masih sedang ditangani oleh pihak yang berkenaan.

Monday, May 6, 2013

Apa Salah Bernard Dompok di P174 Penampang?

Apa salah Tan Sri Bernard Dompok sehingga para penduduk di daerah Penampang menolak kepimpinan beliau dan memilih pemimpin baru yang belum terbukti kemampuannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Penampang? Adakah kerana Bernard Dompok berumur 60-an, maka penduduk menolak kepimpinan beliau dan memilih pemimpin yang berumur 40-an? Bullet amat kecewa jika faktor umur menjadi penentu kepada keputusan yang dibuat oleh penduduk Penampang.

Disebabkan kesilapan memilih ini, penduduk Penampang bakal berhadapan dengan kesulitan dari aspek pembangunan. Dompok, bukanlah jenis pemimpin yang tidur selama 28 tahun sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang dan penyokong-penyokongnya, malah pelbagai inisiatif telah dilaksanakan beliau bagi memastikan pembangunan daerah Penampang seiring dengan daerah lain. Dompok, bukan sahaja komited dalam memajukan kawasan yang diwakilinya, malah beliau juga adalah pemimpin yang mudah didekati dan bersifat mesra rakyat.

Jika benar Dompok gagal melaksanakan tanggungjawabnya, bagaimana boleh wujud Kolej Komuniti di Penampang? Adakah Kolej itu tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk Penampang? Dan, adakah cadangan pembinaan jalan dua hala dari Donggongon ke Papar dan sepanjang jalan ke Beaufort yang sudahpun diluluskan, juga tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk di daerah itu?

Masalah bekalan elektrik juga berjaya diselesaikan terutamanya di kawasan pedalaman seperti di Togudon. Bagi menyalurkan bekalan elektrik itu kepada 581 penduduk kampung dan 83 rumah di Kampung Tegudon, RM22 juta telah dibelanjakan untuk projek pemasangan talian kuasa sepanjang perjalanan dari Penampang ke Tambunan.

RM15 juta juga telah diperuntukkan untuk pembinaan 3 buah klinik kesihatan di Kampung Dambai baru-baru ini dimana seramai 132, 390 orang dari 24 buah kampung dan tujuh mukim akan mendapat manfaat daripada kemudahan ini apabila ia siap kelak.

Sebuah bandar teknologi menerusi pembinaan Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang di Jalan Pintas, yang bernilai RM300 juta akan dibangunkan di tanah bekas sawah padi terbiar seluas kira-kira empat hektar. Projek ini dijangka siap pada tahun 2014.

Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Dompok dalam memastikan pembangunan di daerah Penampang seiring atau mungkin lebih baik dari daerah lain. Namun amat malang apabila kerja keras Dompok selama ini bukan sahaja dinafikan, malah tidak dihargai oleh sebilangan penduduk di daerah itu yang taksub dengan agenda perubahan yang dimomokkan calon PKR, Darell Leiking, yang belum terbukti kewibawaannya dalam melaksanakan aktiviti pembangunan di daerah itu.

Berbanding dengan Dompok, apa kelebihan yang ada pada Darell Leiking? Adakah penduduk Penampang telah merasai suatu manfaat yang luar biasa sekembalinya Darell Leiking dari Manila bersama-sama Tian Chua dan Sivarasa? 

Darell, sebelum ini tersentak apabila Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa 3 orang pemimpin pembangkang terlibat dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu. Walaupun Menteri Pertahanan tidak menyebut nama ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu, namun Darell dengan lantas menafikan penglibatan beliau dalam insiden tersebut dan dalam masa yang sama mengakui beliau bersama-sama dengan Tian Chua dan Sivarasa terbang ke Manila sebelum insiden itu berlaku.

--FIKIR-FIKIRKAN LAH WAHAI PENDUDUK PENAMPANG!

Saturday, April 27, 2013

Pencerobohan Lahad Datu: Kenapa Anwar, Tian Chua dan Darell Leiking Buat Penafian?

Dalang terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu sudah dikenalpasti namun masih belum didedahkan buat masa ini kerana dikhuatiri pendedahan itu akan dianggap oleh sesetengah pihak tertentu sebagai permainan politik atau SANDIWARA POLITIK. Namun, sehingga kini beberapa pemimpin dari pembangkang mula membuat penafian bagi menyelamatkan diri supaya tidak dikaitan dengan insiden tersebut. Malah ada juga yang membuat pengakuan awal bahawa dirinya KEMUNGKINAN akan dikaitkan memandangkan dia turut terlibat dalam siri lawatan ke Manila bersama-sama R.Sivarasa dan Tian Chua sebelum pencerobohan berlaku.

Pada 26 April, Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah. Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata segala maklumat dan butir-butir mengenai dalang tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemimpin pembangkang tersebut dan segala butiran serta tindakan hanya akan diketahui selepas pilihanraya. Laporan Penuh (DISINI)

Sebaik pengumuman dibuat, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua mendakwa kenyataan Menteri Pertahanan itu berunsur politik. Beliau mempersoalkan kenapa Ahmad Zahid membuat kenyataan itu menjelang pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini. Beliau juga meminta menteri berkenaan menamakan tiga pemimpin pembangkang yang dikenal pasti menjadi dalang kepada insiden pencerobohan Lahad Datu.

Sementara, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti bahawa Pakatan Pembangkang menjadi dalang dalam serangan pengganas Sulu di Lahad Datu, Februari lalu. Beliau berkata kenyatan Zahid yang mendakwa tiga pemimpin pembangkang terlibat dalam pencerobohan merupakan satu lagi cubaan untuk mengaitkan dirinya dengan pengganas Sulu. Laporan Penuh (DISINI)

Lebih mengejutkan apabila, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Darell Leiking tiba-tiba tampil mendakwa beliau akan disenaraikan sebagai salah seorang pemimpin pembangkang yang dikaitkan menjadi dalang dalam pencerobohan kumpulan militan Sulu ke Sabah. Darell berkata, beliau membuat kesimpulan itu kerana dirinya bersama dengan dua pemimpin PKR iaitu R.Sivarasa dan Tian Chua mengadakan lawatan ke Manila sebelum pencerobohan berlaku pada Februari lalu. Beliau turut berkata lawatan itu tiada kena mengena dengan kumpulan militan Sulu tetapi mereka ke sana untuk mendapatkan maklumat mengenai Manuel Amalilio yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana didakwa terlibat dalam kes penipuan bernilai RM1 bilion dan kini dipenjara dua tahun di Sabah kerana memiliki pasport Filipina palsu. Laporan Penuh (DISINI)

Jika benar ketiga-tiga pemimpin ini tidak terlibat, maka mereka tidak perlu risau dengan pendedahan tergempar oleh Menteri Pertahanan Malaysia. Tian Chua yang terkenal dengan kenyataan "SANDIWARA POLITIK" juga tidak perlu mengulangi kenyataan yang sama bagi melepaskan diri memandangkan segala tindakan hanya akan diambil selepas pilihanraya. Anwar dan Darell juga tidak perlu membayangkan yang diri mereka akan dikaitkan dengan insiden pencerobohan tersebut jika benar mereka tidak bersalah. Segala butiran atau maklumat yang diperolehi oleh Menteri Pertahanan adalah hasil dari siasatan yang dibuat sejak insiden itu berlaku yang mana turut melibatkan kerjasama dari kerajaan Filipina.

Jesteru, tuduhan bahawa pendedahan ini adalah berunsur politik, sandiwara politik atau apa sahaja yang seangkatan dengannya, sama-sekali tidak benar sebagaimana jenayah ini berlaku yang tanpa mengira waktu dan tempat. Penafian demi penafian yang dibuat, baik oleh tiga orang pemimpin diatas mahupun pemimpin-pemimpin lain selepas ini, sebenarnya tidak perlu kerana penafian itu boleh dibuat di mahkamah sekiranya ada antara mereka yang dikenalpasti terlibat.

Komen: Ingatkan hanya dua orang sahaja yang terbang ke Manila.. rupanya TIGA orang.. konon mahu mendapatkan maklumat mengenai Manuel Amalilio.. Tapi persoalannya, siapa ketiga-tiga orang ini yang cuba bertindak sebagaimana layaknya anggota polis?? dan kenapa kali ini mereka tidak terbang ke Manila atau Sulu bagi mendapatkan maklumat mengenai pencerobohan di Lahad Datu?????

**SIAPA TERMAKAN CILI, DIA TERASA PEDASNYA