Showing posts with label Datuk Yee Moh Chai. Show all posts
Showing posts with label Datuk Yee Moh Chai. Show all posts

Monday, January 14, 2013

Dasar Gaji Minimum: Tak payah ajar itik berenang

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr. Yee Moh Chai, meminta pemimpin pembangkang menghenti dari mempolitikkan isu tentang perlaksanaan dasar gaji. 

“Adalah sungguh menyedihkan apabila ada di kalangan ahli politik pembangkang menimbulkan isu gaji minimum tanpa membuat usul periksa,” katanya diminta mengulas kenyataan seorang ahli pembangkang DAP di Tawau. 

“Mengapa harus mereka memberi perhatian isu ini hanya semata-mata mahu meraih simpati rakyat dan kenapa tidak mereka perbetulkan dahulu masalah dalaman mereka seperti kesilapan teknikal dalam pengiraan undian dalam parti mereka sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Hotel Lintas View kelmarin. 

“Tak payah nak ajar itik untuk berenang. Mereka harus lebih peka dengan masalah isu dalaman parti mereka sendiri sebelum hendak menyelar usaha kerajaan yang sememangnya sudah terbukti membela nasib sekalian rakyat di negeri ini,” kata beliau. 

Tambah beliau, ia adalah gimik serta taktik mereka untuk mengelirukan rakyat. 

Katanya, keputusan oleh kerajaan itu juga bukan dibuat sewenang-wenangnya kerana kerajaan telah melakukan pelbagai kajian dan konsultasi daripada pihak-pihak yang berkenaan sebelum mengumumkannya. DAP, katanya, turut menyelar mengenai tentang kesaksamaan yang diberikan kepada warga asing yang bekerja di negara ini. 

“DAP berkata warga asing tidak harus diberikan hak itu, tapi, seandainya itu terjadi, rakyat tempatan yang akan merana kerana lebih banyak majikan yang akan mengambil warga asing bekerja dengan gaji lebih rendah berbanding warga tempatan,” ujarnya. 

Yee berkata, DAP tidak pernah mempertimbangkan kebaikan kedua belah pihak dengan perlaksanaan itu kerana mereka hanya memperjuangkan motif peribadi mereka dan bukannya berjuang untuk kesejahteraan masyarakat. - New Sabah Times

Sunday, October 28, 2012

SAS - Yong patut jawab, bukan Yee

Semakin dekat Pilihanraya Umum Ke-13, semakin tertekan nampaknya presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee berkenaan dengan isu SAS. Agaknya beliau takut isu SAS ini akan menggagalkan hasrat beliau untuk menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah untuk kali kedua. Orang bilang, berani kerana benar, takut kerana salah. Jika benar Yong Teck Lee takut, bermakna beliau berada dipihak yang salah. Sebab itulah beliau tidak henti-henti membangkitkan isu SAS ini, bukan kerana terdorong untuk mendedahkan kebenaran, sebaliknya sekadar untuk menyelamatkan atau membersihkan diri beliau dari terus di"labelkan" sebagai pembawa bencana kepada 55 ribu pelabur Sabah, yang kebanyakannya terdiri daripada pesara dan yang berpendapatan rendah akibat kejatuhan saham SAS daripada RM1 seunit kepada 17 sen seunit pada tahun 1996.

Berkali-kali SAPP minta supaya Kertas Putih dibentangkan di Dewan Undangan Negeri sedangkan mereka sendiri tahu bahawa usul itu tidak sepatutnya dibenarkan berdasarkan Peraturan tetap 17(1) dan17(2). Berdasarkan peraturan tetap dewan, seseorang ahli dewan tidak layak untuk meminta atau mengarahkan Kerajaan mengeluarkan Kertas Putih kerana hanya Speaker atau Menteri sahaja yang boleh berbuat demikian. Lagipun, mengikut definisi Kertas Putih yang dapat dikaitkan di semua Parlimen Komanwel, adalah dokumen yang dikeluarkan oleh Kerajaan sebagai penyata dasar, dan sering menggariskan cadangan bagi perubahan perundangan, yang boleh dibahaskan sebelum satu-satu Rang Undang-Undang diperkenalkan. Ia juga membolehkan Kerajaan mengumpul maklum balas sebelum dasar dilaksanakan. Bukannya "suka-suka" dikeluarkan semata-mata untuk membersihka nama Yong Teck Lee.

Datuk Yee Moh Chai
Bullet bersetuju dengan kenyataan Datuk Yee Moh Chai bila mana beliau mempersoalkan kenapa hanya pada waktu ini barulah Yong Teck Lee minta Kertas Putih dibentangkan? Jika benar Yong Teck Lee ikhlas mahu mendedahkan kebenaran, beliau sepatutnya sudah mengarahkan dokumen itu dikeluarkan ketika beliau masih menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah.

Dalam kes ini, bukan Datuk Yee Moh Chai yang perlu memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat Sabah terutamanya kepada pelabur-pelabur yang mengalami kerugian, sebaliknya Datuk Yong Teck Lee lah yang perlu memberikan penjelasan kepada rakyat Sabah berdasarkan fakta-fakta yang munasabah jika beliau yakin kejatuhan nilai saham itu adalah berpunca daripada krisis kewangan Asia 1997-1998 atau disebabkan oleh beberapa pemimpin dalam BN Sabah hari ini.

Meletakkan kegagalan sendiri dibahu orang lain adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab sebagai seorang yang pernah memegang jawatan Ketua Menteri Sabah. Jika inilah bentuk kepimpinan yang cuba ditonjolkan oleh Datuk Yong Teck Lee, layakkah beliau menduduki kerusi Ketua Meneri untuk kali kedua? Tidak mustahil, jika pimpinan beliau menghadapi masalah besar seperti ini (SAS) dikemudian hari, sepuluh jari beliau akan dimanfaatkan bukan untuk memohon maaf atau memperbetulkan kesilapan, sebaliknya untuk menuding mana-mana pihak yang beliau benci.

Fakta yang perlu rakyat Sabah tahu ialah, nilai SAS meningkat setinggi RM1.47 seunit pada tahun 1995, peningkatan ini direkodkan selepas setahun ianya diperkenalkan iaitu pada tahun 1994. Kemudian nilainya jatuh pada tahun 1996 ketika Datuk Yong Teck Lee mula mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Sabah. Pada tahun 1997, dimana merupakan tahun kedua Datuk Yong Teck Lee menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah,  nilai SAS jatuh lagi ketahap yang paling rendah. Bukankah semua fakta-fakta ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran Datuk Yong Teck Lee?

Jesteru, tidak perlulah Datuk Yong Teck Lee bersungguh-sungguh cuba menegakkan benang yang basah. Jika beliau mahu, tanpa Kertas Putih pun beliau masih boleh mendedahkan kebenaran atau membersihkan nama beliau. Jika benar beliau tidak bersalah, kenapa beliau tidak ambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Haji Rahman Ghani, CEO Syarikat Warisan Harta Sabah (WHS) yang sebelum ini telah membuat kenyataan akhbar melalui Daily Express bertajuk "Massive Rm114m losses by ex-CM"? Walaupun nama DatukYong Teck Lee tidak disebut, namun secara umumnya rakyat Sabah tahu siapa Ketua Menteri Sabah pada Disember 1997.

By: Borneo Bullet

Friday, September 28, 2012

Yong Teck Lee pernah guna taktik kotor pilihanraya: Episod ke-2

"Is Sabah Deputy Chief Minister Dr Yee Moh Chai conniving to ensure his incumbency in the Api-Api constituency is safe?"

Salahkah pengundi menukar tempat mengundi? Sudah berjuta rakyat (pengundi) di negara ini menukar alamat mengundi, malah ada yang telah menukar alamat lebih dari dua kali. Tidak pernah menjadi kesalahan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia dimana pengundi dihalang menukar alamat mengundi mereka. Itu adalah HAK pengundi itu sendiri dan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Jika mendaftarkan pengundi yang menukar alamat itu salah, bermakna Pejabat Pos selama ini juga telah melakukan kesalahan kerana membantu pengundi mendaftarkan alamat baru mereka.

Pemuda SAPP tembak Presidennya sendiri
Berkenaan dengan dakwaan SAPP kononnya wujud pengundi yang dipindahkan dari Pitas dan Kudat ke kawasan mengundi Kota Kinabalu, persoalannya adakah mereka dipindahkan atau mereka sendiri berpindah kerana telah menetap atau memiliki rumah di sekitar bandaraya ini? berkenaan dengan RM200 itu pula, kenapa tidak ada bukti bergambar atau sebarang dokumen bagi mengesahkan siri tuduhan terbaru SAPP ini? Adakah mereka hanya melihat suasana pendaftaran itu maka terbayanglah difikiran mereka berkenaan dengan taktik-taktik kotor pilihanraya yang kemudiannya diadaptasi menjadi laporan media SAPP?
 
Dalam artikel BB sebelum ini (DISINI), BB ada dedahkan secara ringkas berkenaan dengan taktik-taktik kotor yang diamalkan oleh presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee ketika Pilihanraya Umum 1999. Disini, BB akan dedahkan secara panjang lebar berkenaan isu itu.

Terdapat dua kesalahan yang dilakukan oleh presiden SAPP ketika pilihanraya itu sehingga mahkamah memutuskan untuk membatalkan keputusan pilihanraya bagi DUN Likas 1999 serta membatalkan kelayakan Datuk Yong Teck Lee untuk bertanding selama 5 tahun.

Pada pilihan raya yang diadakan pada 12 Mac 1999, bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Likas setelah memperoleh 9,110 undi dengan kelebihan 4,962 undi. Calon lain yang bertanding untuk kerusi itu ialah Dr. Chong Eng Leong (PBS), Datuk Harris Salleh dari Parti Bersekutu, Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (Pas) dan Saudin Kadis (Bebas).

Pada Jun 2001, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah mengisytiharkan keputusan Pilihanraya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas yang diadakan pada tahun 1999 sebagai batal kerana terdapat pengundi hantu yang tidak wujud dalam daftar pemilih kawasan itu. Calon PBS, Dr. Chong Eng Leong sendiri yang meminta mahkamah mengeluarkan perintah bagi membatalkan keputusan pilihan raya tersebut kerana terdapat pemilih daripada kalangan bukan rakyat Malaysia yang mengundi di kawasan Likas.

Sementara itu, seorang lagi calon yang juga bekas Ketua Menteri, Harris Salleh, turut mengemukakan petisyen serupa dengan mendakwa terdapat kegiatan bercanggah pada pilihan raya 1999 untuk DUN Likas. Petisyen Harris itu mendakwa terdapat parti yang memasang empat papan pameran di sekitar kawasan pusat mengundi Likas dan tindakan itu melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengenai petisyen yang dikemukakan oleh Harris, Hakim Muhammad Kamil berkata, berdasarkan kepada seluruh keterangan, beliau mendapati Yong selaku responden telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) dan (d) serta Seksyen 32 Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya. Kesannya, mahkamah telah memutuskan Datuk Yong Teck Lee bersalah dan tidak di benarkan bertanding dalam pilihanraya selama 5 tahun sehingga 2007.

Berdasarkan fakta ini, apa pandangan ahli atau pemimpin-pemimpin SAPP yang cuba menuding jari kepada Datuk Yee Moh Chai yang kononnya bertanggungjawab memindahkan alamat pengundi ketika Presiden mereka sendiri telah terbukti melalui saluran mahkamah telah melakukan taktik-taktik kotor ketika pilihanraya 1999? Jika pemimpin-pemimpin SAPP ikhlas berjuang bagi menuntut pilihanraya BERSIH dan adil, mereka sepatutnya menolak kepimpinan Datuk Yong Teck Lee terlebih dahulu. 

Sekiranya SAPP diberikan mandat memerintah negeri ini selepas PRU13, sudah tentu mereka akan berkuasa selama-lamanya kerana rekod lampau Datuk Yong Teck Lee telah membuktikan bahawa beliau akan menggunakan taktik kotor sebagaimana yang dilakukan oleh beliau ketika pilihanraya 1999.

""Yang bersalah bukan sahaja dilindungi, malah dibantu untuk merampas jawatan Ketua Menteri, sebaliknya yang tidak bersalah pula yang dimomokkan sebagai bersalah""

By: Borneo Bullet