INI KALI LAH! pemimpin-pemimpin BN tidak perlu membidas tindakan pemimpin-pemimpin PKR yang suka sangat menganjurkan demonstrasi di negeri ini. Rakyat sendiri tampil mengutuk tindakan yang bukan sahaja tidak menguntungkan rakyat, malah menyusahkan rakyat kerana mengganggu proses pembangunan di negeri ini.
Pakatan Rakyat perlu sedar bahawa rakyat Sabah tidak sama dengan penyokong-penyokong pembangkang di Semenanjung yang mudah rasa terhibur bila ada demonstrasi dianjurkan pembangkang. Rakyat Sabah juga tidak sama dengan penyokong-penyokong pembangkang di Semenanjung yang suka mengambil kesempatan disebalik demonstrasi ini untuk melepaskan geram sehingga mendatangkan bahaya kepada orang awam dan juga negara.
KENINGAU: Pemimpin masyarakat di lapan buah kampung di Pensiangan kesal dengan tindakan pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pensiangan yang menganjur demontrasi membantah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menerokai kawasan yang membabitkan kampung-kampung berkenaan.
Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Mukim Pensiangan Kinon Limpas berkata, tindakan pemimpin-pemimpin PKR yang menganjurkan demonstrasi itu adalah menghasut beberapa penduduk termasuk golongan muda sehingga mengikuti rancangan mereka.
Katanya, perbuatan mereka itu bukan sahaja bertentangan dengan budaya masyarakat di kawasan ini tetapi menghalang pembangunan yang berfaedah kepada rakyat khususnya bagi penduduk kampung yang terlibat.
“Yang amat mengecewakan kami, pemimpin-pemimpin PKR di kawasan ini membawa orang-orang dari luar yang tidak kena mengena di Mukim Pensiangan untuk menyertai demontrasi yang mereka anjurkan,” kata Kinon kepada media di sini pada Rabu.
Kinon memberitahu, pemimpin-pemimpin kampung yang terlibat iaitu Kg. Sikalabaan, Kg. Lirung, Kg. Sipuok, Kg. Sumabi, Kg. Siwalor, Kg. Mambu, Kg. Pilanas dan Kg. Bollah sudah sebulat suara menyokong LKTNS menerokai dan membangun tanah di kawasan itu dengan sawit untuk masa depan anak-anak penduduk di kampung-kampung berkenaan.
Katanya, selain pemimpin masyarakat, semua penduduk kampung-kampung yang terlibat juga telah menyatakan persetujuan kepada LKTNS dan mana-mana agensi kerajaan yang mampu membangun kawasan itu.
“Kami mahu kawasan kami dimajukan dengan tanaman sawit untuk meningkatkan taraf hidup dan merubah masa depan anak-anak muda di kawasan ini, disamping mengurangkan penghijrahan mereka ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan. Apabila kawasan berkenaan ditanam dengan sawit secara komersial ia sekali gus membawa kepada penaikantaraf jalan raya ke Mukim Pensiangan,” katanya.
Katanya, pada masa ini ramai anak-anak muda meninggalkan kampung halaman kerana mencari pekerjaan dan kebanyakannya berhijrah ke beberapa negeri di Semenanjung dan akhirnya terdapat anak-anak muda yang terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat yang merosakkan akhlak mereka.
Kinon berkata, perkara ini dapat dielakkan jika kawasan di sekitar kampung-kampung terbabit dibangunkan dengan tanaman sawit kerana ia akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dan sekali gus mengurangkan penghijrahan mereka untuk mencari pekerjaan di Semenanjung.
Dalam masa yang sama Kinon berkata, pemimpin-pemimpin masyarakat kampung yang terdiri ketua-ketua kampung dan pengerusi JKKK juga telah membuat bantahan balas dengan bantahan beberapa individu yang membantah LKTNS menerokai kawasan yang telah dipersetujui oleh penduduk kampung-kampung yang terlibat.
Katanya, surat batahan yang telah ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin masyarakat dan penduduk kampung itu telah diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dengan tangan semasa Persidangan Ketua-Ketua Adat Anak Negeri Sabah di Sandakan baru-baru ini.
“Surat bantahan balas itu turut ditujukan kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah, Pejabat Tanah dan Ukur Nabawan, Pengerusi LKTNS, Datuk Sapawi Hj. Ahmad; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Setiausaha Hasil Bumi, Jabatan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey Suan; Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup, Juru Ukur Jabatan Tanah dan Ukur Keningau dan Jabatan Perhutanan Daerah Nabawan.
Sementara itu, Ketua Kampung Sumabi KK Mantoi Paling berkata, adalah tidak wajar bagi pemimpin-pemimpin PKR mengheret rakyat di kawasan ini menyertai rancangan mereka mengadakan demontrasi membantah LKTNS.
Katanya, mereka yang menyertai demonstrasi itu bukanlah penduduk di kampung-kampung yang terlibat tetapi ada yang datang dari luar daerah seperti Sook dan sebagainya.
“Perbuatan mereka itu akan menimbulkan kemarahan penduduk kampung yang sudah menyatakan persetujuan kepada LKTNS untuk menerokai tanah mereka dengan tanaman sawit,” kata Mantoi.
Menurut Matoi, rata-rata mereka yang menyertai demonstrasi itu adalah masyarakat dari luar kampung yang dipercayai DIUPAH oleh pihak penganjur.
Dalam pada itu Mantoi meminta supaya orang-orang yang tidak berkenaan atau bukan penduduk kampung-kampung yang terlibat jangan mengganggu usaha penduduk untuk menarik LKTNS menerokai kawasan mereka. - New Sabah Times



