Showing posts with label Kesultanan Sulu. Show all posts
Showing posts with label Kesultanan Sulu. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

Pencerobohan Lahad Datu Tiada Kaitan Tuntutan 'Sultan Sulu' - Musa

KOTA KINABALU: Pencerobohan di Lahad Datu tidak ada kaitan dengan tuntutan 'Sultan Sulu' tetapi adalah tindakan pengganas yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Sabah, tegas beliau, adalah sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat dalam Malaysia. 

Sambil merujuk buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by Self-proclaimed Sultanate of Sulu', beliau berkata Peguam Negara Malaysia menyatakan status negeri Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang sah adalah berdasarkan dua asas utama. 

"Pertama, berdasarkan instrumen ikatan yang sah dan mengikut undang-undang, 'Sultan Sulu' pada masa dahulu telah secara sukarela menyerahkan sepenuhnya dan muktamad wilayah yang sekarang dikenali sebagai Sabah untuk selamanya semua tuntutan dan hak selain menerima hak bayaran wang serahan tahunan. 

"Kedua, sebarang tuntutan atau hak 'Sultan Sulu' terhadap Wilayah Sabah walaupun ia sah atau wujud pada tahun 1962/1963 telah menjadi terbatal dan termansuh apabila penduduk Sabah membuat satu keputusan sendiri melalui pungutan suara pada tahun 1962 oleh Suruhanjaya Cobbold pada bulan Ogos hingga bulan September 1963," katanya. 

Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Setiausaha Agungnya telah melaksanakan satu lagi pungutan suara di mana rakyat di Sabah telah menyatakan hasrat mereka secara sukarela untuk merdeka daripada penjajahan British dan justeru, bersetuju untuk bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia. 

Musa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) sama ada benar pihak Sultan Sulu III menuntut hak ke atas negeri Sabah dan siapakah yang disyaki sebagai dalang penerobohan itu, semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini Selasa. 

Musa yang juga pengerusi jawatankuasa keselamatan negeri berkata pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Tentera Di Raja Kesultanan Sulu' yang dianggarkan seramai 200 orang dikesan menceroboh di Lahad Datu pada 9 Februari lepas. 

"Dalang pencerobohan ini ialah Datu Agbi Muddin Datu Kiram dan Jamalullail Kiram serta penglibatan warga Malaysia yang masih dalam siasatan polis. 

"Dalam kejadian tersebut, pengganas-pengganas berkenaan enggan berundur dari kawasan yang dicerobohi. Dengan itu pasukan keselamatan telah melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh dari Sulu tersebut pada 5 Mac," katanya. 

Beliau berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 80 orang terkorban, termasuk lapan anggota polis dan dua tentera Malaysia serta memaksa penduduk kampung meninggalkan rumah kediaman mereka. 

Bagi menjamin keselamatan wilayah yang terlibat, katanya kerajaan telah mengisytiharkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai Kawasan Keselamatan Khas dan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan berkenaan. 

Musa berkata penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)yang diumumkan Perdana Menteri pada 7 Mac lepas adalah berikutan insiden pencerobohan di daerah Lahad Datu. 

Penubuhan ESSCOM yang diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen. 

Ketua menteri berkata antara aspek utama yang dipertanggungjawabkan kepada ESSCOM ialah untuk meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan Perairan Pantai Timur Sabah selain meningkatkan kemampuan risikan di kawasan berkenaan. 

Sehubungan itu, Musa berkata 10 daerah diwartakan sebagai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. 

Katanya ESSCOM kini berada di landasan yang betul dan mampu bergerak seiring dengan visi, misi dan matlamat yang telah ditetapkan. 

Justeru, visi ESSCOM adalah untuk menjadi peneraju kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Pantai Timur Sabah menjelang tahun 2017, katanya. 

Beliau berkata ini termasuk mengekal dan meningkatkan aktiviti keselamatan di Kawasan Pantai Timur Sabah daripada sebarang ancaman musuh. 

Ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu memacu pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat, katanya. 

Selain itu, Musa berkata ESSCOM juga bermatlamat untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia secara amnya dan di kawasan Timur secara khususnya, memastikan kesejahteraan penduduk terutama dalam menjaga kesihatan awam di kawasan yang terlibat. 

Penubuhan ESSCOM turut memastikan anggota masyarakat bebas untuk membuat perjalanan di kawasan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi orang yang menduduki tanah atau premis secara tidak sah di dalam kawasan berkenaan. 

Musa berkata bagi memastikan visi, misi dan matlamat dapat dicapai, ESSCOM mengenal pasti lima teras strategik yang akan dilaksanakan mulai tahun 2013 hingga 2017. 

Ini termasuk memperkukuhkan kawalan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah secara bersepadu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula selaras dengan keperluan pemeliharaan keselamatan awam bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya. 

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat Kawasan Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan perpaduan nasional dan menyelaras program pembangunan sosio ekonomi sebagai pemangkin kepada perkembangan keselamatan kawasan Pantai Timur Sabah. 

Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh ESSCOM, antaranya mengadakan pelbagai mesyuarat dan pemantauan terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman semasa pilihan raya umum ke-13 dengan menempatkan dua pegawai kanan ESSCOM di kesemua 10 daerah yang diwartakan sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). 

Katanya pihak ESSCOM berusaha mempertingkatkan jumlah anggota keselamatan dan aset bagi menghadapi sebarang anaman di masa hadapan. Kesemua agensi keselamatan dan penguatkuasaan akan berusaha untuk memastikan peristiwa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu tidak akan berulang. 

Musa berkata kerajaan telah mengambil pelbagai yang wajar ke arah mewujudkan prasarana yang sesuai untuk menempatkan aset pasukan keselamatan di bawah ESSCOM. 

Sehubungan itu, katanya lima batalion akan ditempatkan di Kawasan Pantai Timur Sabah yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Kerajaan masih meneliti lokasi yang sesuai untuk menempatkan kesemua lima batalion tersebut. Pada masa kini, pembinaan kabin khususnya bagi ibu pejabat ESSCOM dan beberapa balai polis hanya bersifat sementara. 

"Di samping itu, kerajaan juga prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung yang terlibat semasa penerobohan tersebut. Justeru, kerajaan mempunyai dua cadangan bagi penempatan semula kampung di Tajung Batu dan kampung di Tanjung Labian yang terlibat dalam insiden pencerobohan pengganas baru-baru ini," katanya. 

Bagi penduduk kampung di Tanjung Batu, Musa berkata penempatan kampung berkenaan sedang dalam proses pembinaan di atas Tanah Cadangan Simpanan Kampung Tanjung Batu yang berkeluasan 6.1 hektar, melibatkan pembinaan 25 buah rumah baharu. 

"Empat daripada rumah tersebut dibina di atas tanah bergeran, manakala sebanyak 21 buah rumah lagi dibina di atas tanah kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek pembinaan rumah-rumah tersebut telahpun bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2013," katanya. 

Beliau berkata bagi cadangan penempatan penduduk kampung di Tanjung Labian, penempatan akan dibina di atas Tanah Simpanan Rancangan Penempatan daerah Lahad Datu iaitu Kampung Tenagian, melibatkan pembinaan sejumlah 52 buah rumah baharu. 

Kebenaran bagi memasuki dan memulakan pembinaan telahpun diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur tetapi proses bagi menentukan sempadan masih belum diputuskan oleh Juruukur Daerah, katanya. 

Sementara itu, sejumlah 106 rumah yang rosak semasa insiden tersebut telah dibaiki sepenuhnya oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Giat Mara dan Felcra Sdn Bhd. 

Berikutan pencerobohan itu, Musa berkata seramai 31 orang telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan dalang dalam pencerobohan itu. 

Beliau berkata ketika ini tahap keselamatan di Sabah khususnya di daerah di bawah liputan ESSCOM adalah terkawal, dan sehingga kini, tidak ada insiden pencerobohan baru yang dilaporkan. 

Bagaimanapun, Musa berkata ESSCOM sentiasa memantau perkembangan keselamatan terutama di Kawasan Pantai Timur Sabah dan menegaskan agensi keselamatan termasuk ATM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sentiasa membantu dan akan bertindak sekiranya terdapat sebarang ancaman baharu ke atas keselamatan Sabah. 

Wednesday, March 6, 2013

Fakta: Sabah bukan milik Kesultanan Sulu


1. Siapakah Yang Menceroboh?

Kumpulan penceroboh yang dikenali sebagai ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ (The Royal Sulu Sultanate Army)1 datang dari Selatan Filipina dan dianggarkan terdiri daripada kira-kira 200-400 orang, dengan 20-100 orang daripada mereka bersenjata2.

Kumpulan ini diketuai oleh ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, adik kepada ‘mantan sultan’ Jamalul Kiram III dan ‘sultan’ Ismael Kiram II.3, 4 Jamalul Kiram III pernah bertanding untuk jawatan senator dalam pilihanraya Filipina.


2. Adakah Kumpulan Penceroboh Ini Mewakili Kesultanan Sulu?

Tidak.

Ini kerana kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986. Kini terdapat dua pihak utama yang mengaku sebagai Sultan Sulu:

Pertama, Muedzul Lail Tan Kiram, anak kepada Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina, Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram. Beliau dilantik sebagai Raja Muda pada hari penabalan bapa beliau sebagai sultan.

Kedua, Ismael Kiram II, abang kepada ketua penceroboh, ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram.
Majlis penabalan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai Sultan Sulu pada 1974. Kelihatan sedang berjalan ialah anak beliau, Muedzul Lail Tan Kiram, yang ditabalkan sebagai Raja Muda. Kumpulan penceroboh ialah pengikut Ismael Kiram II, yang tidak pernah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang diiktiraf oleh kerajaan Filipina.

3. Apakah Tujuan Kumpulan Penceroboh?

‘Mantan sultan’ Jamalul Kiram III menyatakan bahawa kumpulan ini ingin menjadikan Sabah sebagai ‘rumah’ mereka:
 “Mengapa kami harus meninggalkan rumah kami sendiri? Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami). Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang ke Filipina. Sabah ialah rumah kami”.2

4. Adakah Filipina Pernah Membuat Tuntutan Terhadap Sabah?

Ya.

Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana menganggap Kesultanan Sulu, yang pernah berpusat di Filipina, memiliki hak ke atas Sabah.

Setiausaha Kehakiman, Kementerian Luar dan Pejabat Presiden Filipina kini telah diarahkan untuk melakukan kajian mengenai tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah.5


5. Adakah Malaysia Boleh Membuat Tuntutan Terhadap Wilayah Milik Filipina Sekiranya Kesultanan Sulu Menjadikan Sabah Sebagai Pusat Pentadbiran?


Sabah tidak pernah menjadi pusat Kesultanan Sulu.

Malah, Sabah dianggap kurang penting oleh Kesultanan Sulu sehinggakan ia diserah kepada British North Borneo Company pada 22 Januari 1878.

Pusat Kesultanan Sulu terletak di Maimbung, Jolo.

Istana Sultan di pusat pentadbirannya di Maimbung, Jolo. ‘Kesultanan Sulu’ tidak memiliki apa-apa kuasa politik di Jolo tetapi mahu menuntut kuasa politik di Sabah.

6. Adakah Pihak Di Malaysia Yang Menyokong Tuntutan Kesultanan Sulu Ke Atas Sabah?

Wakil The Manila Times di Mindanao, Al Jacinto, melaporkan bahawa pencerobohan ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ berlaku ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pakatan Rakyat, mencadangkan agar Sabah diberikan kuasa autonomi.6


The Manila Times melaporkan bahawa pencerobohan ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ berlaku ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Sabah diberikan kuasa autonomi.

ABS-CBN News melaporkan bahawa kumpulan penceroboh tersebut telah dijemput oleh seorang ahli politik pembangkang:
A Philippine military officer interviewed by Reuters also said the men were followers of the heirs of the Sultan of Sulu – an island group off the southern Philippines – who had been invited to Sabah by a Malaysian opposition politician to discuss land issues.7 
(Seorang pegawai tentera Filipina yang ditemuramah Reuters juga berkata bahawa kumpulan tersebut merupakan pengikut kepada waris Sultan Sulu – sebuah kepulauan di selatan Filipina – yang diundang ke Sabah oleh seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk membincangkan isu tanah.)


ABS-CBN News melaporkan seorang pegawai tentera Filipina memberitahu Reuters bahawa kumpulan penceroboh telah diundang seorang ahli politik pembangkang.

The Star melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditanya samada laporan yang mengatakan bahawa pihak pembangkang menjemput kumpulan penceroboh tersebut ke Sabah adalah benar, menjawab:
Who is the one who gave it?8
(Siapa yang beri?)
7. Benarkah Malaysia Membayar Sewa Kepada Filipina Untuk Sabah?

Tidak.

Malaysia membayar ‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun kepada waris Sultan Sulu.

Cession money‘ ialah bayaran penyerahan, dan bukan bayaran sewa. Selain Sabah, terdapat wilayah-wilayah lain di dunia yang diserahkan (ceded) dengan bayaran, contohnya:


1. Louisiana, diserah oleh Perancis kepada Amerika Syarikat dengan bayaran berjumlah USD15 juta, atau kurang USD0.03 seekar.

2. Alaska, diserah oleh Russia kepada Amerika Syarikat dengan bayaran USD7.2 juta, atau USD0.02 seekar.

 

* Nota MyKMU.Net:

- Ada info lain pula menyebut pada 1878, wujud satu Perjanjian Baron Gustavus Von Overbeck dengan Kesultanan Sulu di mana berlakunya penyerahan hak tanah di bawah kuasa Sultan Sulu kepada Syarikat Overbeck dengan bayaran $5,000.00 setahun (nilaian matawang Mexico), apabila Sabah berpindah tangan, sewaan tersebut diteruskan oleh penguasa selepasnya..

- Apabila Sabah merdeka bersama Malaysia, maka bayaran sewa RM5,300.00 termasuk tambahan RM300.00 diteruskan. Pada klausa akhir Perjanjian 1878 itu ada menyatakan sewaan ke atas Sabah harus dibayar sehingga tidak ada matahari dan bulan ataupun pada ertikata sebenar “Sewaan Sampai Kiamat. (rujukan lengkap sila klik: The Untold Story – Sabah Luv)

8. Apakah Wilayah Yang Menjadi Hak Kesultanan Sulu?

Royal House of Sulu9, laman web rasmi Muedzul Lail Tan Kiram, mendakwa bahawa wilayah-wilayah yang menjadi hak Kesultanan Sulu termasuklah Jolo, Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina, selain Sabah dan Pulau Balambangan di Malaysia. Kepulauan Spratly juga didakwa di bawah hak Kesultanan Sulu.

Jolo, Basilan dan Tawi-Tawi sekarang berada di dalam wilayah pentadbiran Filipina yang dinamakan ARMM (Autonomous Region in Muslim Mindanao – Wilayah Autonomi Muslim Mindanao). ARMM dicadang untuk digantikan dengan wilayah autonomi baru yang dikenali sebagai Bangsamoro.

9. Adakah Filipina Mengiktiraf Kesultanan Sulu?

Tidak.

Kali terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Sultan Sulu ialah pada 24 Mei 1974 apabila Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos, mengeluarkan Memorandum Order No. 427 yang menabalkan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai sultan.

Sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu.



Memorandum Order No. 427 ialah bukti terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Kesultanan Sulu. Tiada sebarang memorandum dikeluarkan untuk mana-mana individu yang mengaku ‘sultan’ selepas itu. Filipina tidak mengiktiraf Kesultanan Sulu tetapi pernah menuntut wilayah yang kononnya masih menjadi hak Kesultanan Sulu.

10. Adakah Ini Bermakna Filipina Memanipulasi Kesultanan Sulu Untuk Menuntut Sabah?

Filipina dilaporkan pernah memulakan ‘Operation Merdeka‘ pada 1967, satu operasi ketenteraan untuk melatih pasukan komando daripada etnik Tausug dan Sama yang beragama Islam bagi menimbulkan ketidakstabilan dan kacau-bilau di Sabah.

Namun, sebaik sahaja mengetahui matlamat sebenar operasi ini ialah untuk memerangi kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, pelatih-pelatih etnik Tausug dan Sama ini telah menuntut agar dihantar pulang. Walau bagaimanapun, Pasukan Bersenjata Filipina (AFP – Armed Forces of the Philippines) dikatakan telah menembak mati para pelatih ini. Dilaporkan seramai 11-64 orang telah mati ditembak. Kejadian ini dikenali sebagai Jabidah Massacre (Pembunuhan Jabidah) atau Corregidor Massacre (Pembunuhan Corregidor).

William Larousse10, Michael Leifer11, Andrew T. H. Tan12 dan Alfred W. McCoyfer13 adalah antara para penulis yang telah melaporkan kejadian ini.

11. Apakah Peluang Filipina Untuk Menuntut Sabah Sekiranya Kes Ini Dibawa Ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)?

Tipis.

Pertama, kerana waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sehingga ke hari ini. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

Kedua, kerana Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

Geran pajakan yang dijadikan sumber konflik telah ditandatangani oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul A’lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili British North Borneo Company, pada 22 Januari 1878.

Ketiga, geran pajakan yang ditandatangani antara British North Borneo Company dan Kesultanan Sulu itu telah diatasi oleh Protokol Madrid 1885.

Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah Kesultanan Sulu ketika itu, telah menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah:
Article 3
The Spanish Government relinquishes as far as regards the British Government, all claim of sovereignty over the territories of the continent of Borneo which belong, or which have belonged in the past, to the Sultan of Sulu (Jolo), including therein the neighboring islands of Balambangan, Banguey and Malawali, as well as all those islands lying within a zone of three marine leagues along the coasts and which form part of the territories administered by the Company styled the ‘British North Borneo Company’. 
(Kerajaan Sepanyol melepaskan kepada Kerajaan British, semua tuntutan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki, atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo), termasuk pulau-pulau Balambangan, Banguey dan Malawali yang berhampiran, dan semua pulau-pulau yang berada di dalam zon tiga liga marin di sepanjang pesisir pantai dan membentuk sebahagian wilayah yang ditadbir oleh Syarikat yang digelar ‘British North Borneo Company‘.)
Keempat, Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, yang menyerahkan segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.

Kelima, kerajaan Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk membangunkan prasarana bagi kemudahan para penduduk Sabah sejak 1963 tanpa bantahan Kesultanan Sulu mahupun kerajaan Filipina. Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran yang aman secara berterusan oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah. Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ – International Court of Justice), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, sepertimana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.

Keenam, laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 mendapati bahawa 1/3 penduduk Sabah dan Sarawak menyokong kuat pembentukan Malaysia, 1/3 lagi menyokong projek Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi, manakala kumpulan 1/3 yang terakhir terbahagi antara mereka yang mahukan kemerdekaan dan mereka yang mahukan pentadbiran British diteruskan.

Ketujuh, Setiausaha Agung PBB, U Thant, telah melaporkan pada 1963 bahawa penduduk Sabah “ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka” (“wish to bring their dependent status to an end and to realize their independence through freely chosen association with other peoples in their region”).

Kelapan, jika Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka, maka adalah konsisten bagi Kesultanan Sulu untuk tidak sahaja membuat tuntutan terhadap Sabah semata-mata, malah juga menuntut dan menguasai pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, selain wilayah Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina yang juga mereka dakwa merupakan milik mereka.

Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tidak memiliki apa-apa kuasa politik terhadap wilayah-wilayah yang terletak di Filipina ini.

1. “Sulu sultan’s army stakes Sabah claim,” philstar.com, 16 Februari, 2013, http://www.philstar.com/headlines/2013/02/16/909400/sulu-sultans-army-stakes-sabah-claim
2. “Pengikut Sultan Sulu Tidak Akan Tinggalkan Lahad Datu,” mStar Online, 18 Februari, 2013, http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/2/18/mstar_berita/20130218160807&sec=mstar_berita
3. “Salasilah Hubungan Kesultanan Brunei-Suluk,” SMJ-Site, http://www.freewebs.com/julabbi_cairo12/familytree.htm
4. “The true Sultan of Sulu,” http://www.fakesulusultans.com/
5. “Gov’t to assess Sabah claim,” BusinessWorld Online, 21 Februari, 2013, http://www.bworldonline.com/content.php?section=Nation&title=Gov%E2%80%99t-to-assess-Sabah-claim&id=66237
6. “Our Sultan of Sulu and Sabah,” The Manila Times Online, 16 Februari, 2013, http://www.manilatimes.net/index.php/opinion/editorials/41591-our-sultan-of-sulu-and-sabah
7. “‘Royal Sulu Army’ in Malaysia stand-off,” ABS-CBNnews.com, 15 Februari, 2013, http://www.abs-cbnnews.com/nation/02/14/13/royal-sulu-army-malaysia-stand
8. “We did not invite Sulu gunmen, says Anwar,” The Star Online, 22 Februari, 2013, http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2013/2/22/nation/12745258&sec=nation
9. “Sultan of Sulu,” Sultaniyyah Sin Lupah Sug, http://www.royalsultanateofsulu.org/#!sultan-of-sulu
10. William Larousse, A Local Church Living For Dialogue: Muslim-Christian Relations in Mindanao-Sulu (Philippines), Editrice Pontificia Universita Gregoriana, 2001.
11. Michael Leifer, Michael Leifer: selected works on Southeast Asia, Institute of Southeast Asian Studies, 2005.
12. Andrew T. H. Tan, A Handbook of Terrorism and Insurgency in Southeast Asia, Edward Elgar Publishing Limited, 2007.
13. Alfred W. McCoy, Policing America’s Empire: The United States, The Philippines, and the Rise of the Surveillance State, The University of Wisconsin Press, 2009.
14. “Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan,” International Court of Justice, 17 Disember, 2002, http://www.icj-cij.org/docket/files/102/7714.pdf
15. “Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan,” World Court Digest, 23 Oktober, 2001, http://www.mpil.de/ww/en/pub/research/details/publications/institute/wcd.cfm?fuseaction_wcd=aktdat&aktdat=201010200400.cfm

SUMBER