Showing posts with label Kemiskinan. Show all posts
Showing posts with label Kemiskinan. Show all posts

Sunday, August 4, 2013

Isu Kemsikinan: Junz Wong Miskin Idea Tahap Hardcore

Junz Wong
Samada kerajaan BN gagal menangani isu kemiskinan rakyat, atau pembangkang seperti DAP yang gagal menangani isu "kemiskinan" idea dikalangan pemimpin-pemimpinya. Lazimnya pembangkang tidak akan pernah melihat kepada fakta dan situasi sebenar, malah mereka akan terus menyalahkan kerajaan kononnya tidak melakukan apa-apa bagi menyelesaikan kemelut kemiskinan di negeri ini walaupun isu itu berjaya ditangani dengan baik secara berperingkat oleh kerajaan. Penulis simpulkan bahawa pembangkang tertutamanya DAP Sabah tidak sanggup menerima kenyataan bahawa negeri ini telah menyaksikan penurunan drastik kadar kemiskinan sejak Musa Aman menduduki kerusi Ketua Menteri. Disebabkan itu juga, Junz Wong diperalatkan untuk menyebarkan pembohongan seolah-olah kerajaan telah gagal membasmi kemiskinan sejak 50 tahun merdeka.

Terlebih dahulu penulis ingin mengajak pembaca untuk melihat kepada statistik terbaru mengenai penurunkan kadar kemiskinan di negeri ini. Berdasarkan keputusan awal Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2012 bagi Sabah, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff dipetik sebagai berkata, kadar kemiskinan di Sabah berkurangan daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus tahun lalu, penurunan kadar kemiskinan tersebut adalah yang TERTINGGI dicatatkan dalam negara. Berdasarkan kajian itu juga, penurunan tertinggi yang dicatatkan adalah di bahagian pedalaman iaitu sebanyak 15.8 peratus. Jesteru, bagaimana Junz Wong boleh mengklasifikasikan program pembasmian kerajaan gagal mencapai matlamat? Apa bentuk kajian atau statistik yang dirujuk oleh beliau bagi menyokong pandangannya?

Walaupun kerajaan berjaya menurunkan kadar kemiskin di negeri ini, namun kerajaan tidak pernah menafikan bahawa masih wujud golongan miskin tegar di kawasan pedalaman. Sebab itu kerajaan pimpinan Datuk Seri Musa Aman sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda pembasmian kemiskinan sejak beliau memegang tampuk pemerintahan negeri. Malah dalam 16 perkara manifesto kerajaan BN Sabah yang diumumkan sebelum pilihanraya umum ke-13, turut menyenaraikan agenda pembasmian kemiskinan dengan mengurangkan tahap kemiskinan kepada 3% dalam tempoh 5 tahun. Samada Junz Wong sedar atau tidak, negeri jajahan DAP juga masih bergelut dengan isu kemiskinan, cuma ianya kurang diambil perhatian kerana golongan miskin di Pulau Pinang banyak terdiri dari kaum Melayu. Malah di negara-negara maju juga masih terdapat golongan miskin yang hidup merempat di pusat-pusat bandar. Fenomena ini bukan disebabkan kegagalan kerajaan, sebaliknya disebabkan oleh cara berfikir, tahap kemahiran dan kecekapan individu itu sendiri.

Pencapaian positif kerajaan dalam membasmi kemiskinan di negeri ini adalah hasil pelaksanaan projek pembangunan ekonomi dalam pelbagai sektor khususnya di luar bandar. Antaranya, projek Mini Estet Sejahtera (Mesej), agropolitan, ladang Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), 1Azam, Program Bantuan Rumah (PBR), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Setakat ini terdapat 29 buah Mesej sawit dan getah, akuakultur (enam), mikro pertanian (tujuh) dan Mesej Bersepadu pula dua telah diwujudkan di kawasan-kawasan miskin di seluruh negeri. Malah, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan pembinaan sebanyak 2,000 buah unit rumah baru di Sabah di bawah PBR. Jumlah keseluruhan rumah baru yang dibina sejak PBR bermula di negeri ini dua tahun lalu adalah sebanyak 7,149 buah. Inikah yang dikatakan oleh Junz Wong sebagai janji kosong??

Diperingkat pusat pula, kerajaan telah memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, pembinaan lebih banyak Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA), pemberian bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) dan Menu Rakyat 1Malaysia. Malah pada awal Mac tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan Program 1Malaysia 1Harga bagi menyeragamkan harga barangan keperluan asas di Sabah, Sarawak dan Labuan. Semua program-program pembasmian kemiskinan ini bukan sekadar penyedap halwa telinga malah telah dibuktikan berkesan dalam mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini. Kesungguhan kerajaan bagi menangani isu kemiskinan ini seringkali diterjemahkan dalam bentuk tindakan, tidak seperti pembangkang yang hanya tahu membohong, memfitnah dan putar belit... Sebaliknya pembangkang lebih gemar "membasmi kemiskinan" para pemimpin-pemimpinnya hinggakan Anwar dan konco-konconya tidak segan silu tersengih-sengih dalam jet mewah, bas mewah, treler mewah dan banglo mewah.

Mengenai dakwaan Junz Wong bahawa terdapat penduduk miskin Sabah di kawasan pedalaman yang masih belum memiliki sijil lahir dan kad pengenalan, ingin penulis bertanya, bukankah pembangkang juga yang menghalang pihak JPN untuk mendaftarkan penduduk tempatan ini melalui program pendaftaran bergerak? Setiap kali kerajaan tampil dengan inisiatif membantu penduduk kampung dengan cara turun padang, setiap kali itu juga pembangkang memfitnah kerajaan kononnya melakukan kerja-kerja mendaftarkan PATI. Apabila tinjauan mereka (pembangkang) mendapati masih terdapat penduduk miskin dan penduduk yang tidak memiliki kad pengenalan, akhirnya yang disalahkan adalah kerajaan sedangkan merekalah yang sentiasa mengganggu kelancaran setiap program-program kerajaan.

Tuesday, July 9, 2013

Kalah PRU13: Pakatan Upah Cendikiawan Burukkan Malaysia Timur Dan Kerajaan BN

"Ini mungkin sudah sedang berlaku di sini. Apa yang berlaku di Malaysia Timur dari segi kadar kemiskinan menimbulkan persoalan kerana isu pembelian undi memang sudah lama berlaku di situ tetapi taraf hidup majoriti rakyat tempatan masih tidak berubah," - Bridget Walsh

Penulis kesal dengan segelintir pihak yang pro kepada pembangkang kerana sering menjadikan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak sebagai contoh bagi menggambaran sesuatu yang buruk berlaku di negara ini. Sedarkah para cendikiawan pembangkang bahawa tindakan mereka menjadikan kedua-dua negeri Malaysia Timur sebagai sasaran kutukan dan cacian mereka turut menyumbang kepada berlakunya sentimen kenegerian? Disebabkan tanggapan serong seperti itu, maka rakyat seluruh negara yang tidak pernah melihat keadaan sebenar mengenai Sabah dan Sarawak pasti turut sama bersetuju dengan pandangan yang keluar dari mulut seorang cendikiawan.

Hanya kerana Sabah dan Sarawak tidak memberikan kemenangan besar kepada pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat, maka rakyat di kedua-dua negeri ini layak dihukum dengan melabelkan mereka sebagai pengemis, miskin, tidak matang berpolitik, dan sebagainya??? Adakah semua dakwaan ini disertakan sekali dengan fakta atau bukti yang kukuh?? Atau mereka sekadar berselindung disebalik status cendikiawan memandangkan golongan ini lebih dipercayai pandangannya berbanding dengan ahli politik walaupun bercakap tanpa bukti??

Daripada mengambil contoh yang jauh seperti Malaysia Timur, kenapa tidak mangsakan saja negeri mundur di Semenanjung seperti Kelantan? Penulis juga boleh bangkitkan persoalan tentang kenapa rakyat di negeri itu terus setia menyokong kerajaan PAS selepas parti itu gagal memajukan negeri Kelantan dalam tempoh lebih 20 tahun? Jika kita melihat kepada saiz negeri, PAS atau Pakatan Rakyat tidak sepatutnya menghadapi masalah untuk memajukan Kelantan kerana keluasan negeri itu hanya layak dipanggil daerah di Sabah. Jesteru, kenapa tidak bangkitkan persoalan itu atau menuduh kerajaan negeri itu sebagai mengamalkan politik wang untuk kekal memerintah??

Sedar atau tidak, sikap seperti ini juga telah menjadi punca penolakan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap agenda politik pembangkang. Mana mungkin rakyat di kedua-dua negeri ini sudi menyokong parti politik yang gemar menjadikan negerinya sebagai objek yang sedia untuk dikutuk dan dicaci oleh masyarakat seluruh negara. Ini bukan kali pertama pihak-pihak yang pro kepada pembangkang menuding jari kepada rakyat Sabah dan Sarawak ekoran kekalahan pembangkang, dan bukan juga kali pertama mereka memberikan gambaran yang kurang tepat mengenai Malaysia Timur. 

Oleh itu, eloklah para cendikiawan pembangkang ini menyelidiki dahulu fakta-fakta mengenai Sabah dan sedikit mengenai Sarawak (DISINI) sebelum teori mereka melencong lebih jauh..

Friday, February 22, 2013

Penurunan drastik kadar kemiskinan Sabah bukti program kerajaan BN berhasil

KOTA BELUD: Penurunan drastik kadar kemiskinan di Sabah daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus tahun lalu menunjukkan program kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman membuahkan hasil, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Salleh Said Keruak. 

Sambil menyangkal dakwaan pembangkang kononnya kerajaan BN gagal membawa pembangunan di Sabah termasuk dalam konteks pembasmian kemiskinan, beliau berkata, kejayaan itu adalah fakta yang jelas dan benar, sekali gus melenyapkan keraguan tentang kemampuan kerajaan BN membangunkan negeri ini. 

Beliau berkata, kredit seharusnya diberi kepada Ketua Menteri dan Kabinetnya atas program kemiskinan yang sasarannya tepat dan membuahkan hasil. 

"Saya harap rakyat Sabah tidak terkeliru dengan dakyah pembangkang yang cuba menidakkan apa juga kejayaan program kerajaan BN, semata-mata mahu meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang," katanya kepada BERNAMA ketika dihubungi hari ini. 

Bekas Ketua Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Dr Rahamat Bivi Yusoff berhubung perkara itu. 

Ketika mengumumkan keputusan awal Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2012 bagi Sabah di sini semalam, Rahamat Bivi dipetik sebagai berkata, kadar kemiskinan di Sabah berkurangan daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus tahun lalu, penurunan TERTINGGI kadar kemiskinan yang dicatatkan dalam negara. 

Beliau berkata, kadar kemiskinan di kawasan luar bandar mencatatkan pengurangan daripada 32.8 peratus pada 2009 kepada 12.9 peratus tahun lalu, manakala di kawasan bandar, angka itu berkurangan daripada 9.8 peratus kepada 5.3 peratus.

Rahamat Bivi juga dipetik sebagai berkata, hasil kajian HIS 2012 itu menunjukkan pendapatan isi rumah purata bagi Sabah pada 2012 meningkat kepada RM4,013 sebulan berbanding RM3,102 pada 2009, peningkatan 29.4 peratus dengan kadar pertumbuhan purata 8.6 peratus setahun. 

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, berkata kejayaan itu membuktikan program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya menepati sasaran. 

Katanya, jumlah dana yang besar disediakan kerajaan BN ternyata memberi kesan positif dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah. - BH

Sunday, November 18, 2012

Agenda Pembasmian Kemsikinan Kerajaan Sabah 2013



Agenda untuk pembasmian kemiskinan akan diteruskan di bawah Rolling Plan ke tiga RMKe 10. Dalam Bajet 2013, peruntukan sebanyak RM202.12 juta disediakan untuk pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan dengan matlamat sasaran pensifaran miskin tegar dan pengurangan miskin relatif.

Dalam teks ucapan bajet tersebut, Datuk Musa Aman turut menekankan bahawa program-program pembasmian kemiskinan tegar seperti program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Ladang-Ladang PPRT, satu program usahasama kerajaan negeri dengan Kumpulan Sawit Kinabalu yang diperkenalkan sejak beberapa tahun yang lalu telah menampakkan impak yang ketara dan kini sedang mengeluarkan hasil .

Peserta-peserta Ladang PPRT Tongod dan Ladang PPRT Kalabakan terdiri daripada 1,167 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) kini sedang menerima dividen masing masing bernilai RM400 sebulan yang merupakan tambahan kepada pendapatan bulanan mereka sekaligus membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan tegar.

MESEJ Sungai Laba, Pulau Sebatik di daerah Tawau dan MESEJ Bunang 1 di daerah Keningau sudah mengeluarkan hasil sejak akhir tahun 2011. MESEJ Bunang 2 (Liawan) di Keningau; MESEJ Labang di Nabawan dan MESEJ Balat di Kinabatangan dijangka akan mengeluarkan hasil dalam masa terdekat. Memandangkan keberkesanan MESEJ sebagai mekanisme pembangunan kesejahteraan rakyat khususnya Ketua Isi Rumah Miskin Tegar, kerajaan akan terus memberikan keutamaan kepada program tersebut. Pada tahun 2013, 4 buah MESEJ baru masing-masing di daerah Beaufort, Kinabatangan, Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut akan dilaksanakan sebagai tambahan kepada 44 buah MESEJ yang sedia ada di seluruh negeri Sabah.

Selain program-program pembasmian kemiskinan yang disebutkan tadi, kerajaan melalui Yayasan Usaha Maju (YUM), menyediakan kemudahan pinjaman kepada golongan miskin, mudah miskin dan miskin tegar yang sebahagian besarnya melibatkan golongan wanita. Kemudahan pinjaman diberikan untuk menjalankan aktiviti keusahawanan dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, perniagaan jual beli, pemprosesan, pertukangan, jahit menjahit dan perkhidmatan. Sehingga kini, YUM telah mengeluarkan pinjaman kepada seramai 22,861 orang peminjam wanita termasuk ibu tunggal yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM149 juta dengan kadar bayaran balik pinjaman melebihi 95%. YUM akan terus membantu usahawan wanita dengan menyasarkan penyerahan pinjaman berjumlah RM40 juta pada tahun hadapan yang bakal dimanfaatkan oleh hampir 10,000 orang peminjam. Untuk membolehkan YUM memperluaskan operasinya, maka dalam Bajet 2013, pemberian sebanyak RM7.5 juta dicadangkan kepada YUM.

Kerajaan yakin dengan pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan ini dan disokong lagi oleh program-program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini, masalah kemiskinan khususnya kemiskinan tegar di negeri Sabah akan dapat ditangani dengan berkesan.

Sumber: Ucapan Bajet Negeri Sabah 2013

Isu Kemiskinan - Temu Bual Bersama Datuk Dr Ewon Ebin

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Dr Ewon Ebin mengupas isu kemiskinan Sabah dalam temu bual dengan Ketua Biro Bernama Sabah, Newmond Tibin.

Berikut ialah petikan temu bual itu:-

BERNAMA: Bagaimana Datuk melihat perbezaan kadar kemiskinan sebelum Sabah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dan selepas merdeka?

DR EWON: Kalau kita lihat keadaan di negeri Sabah sebelum merdeka memang jelas kadar kemiskinan amat tinggi sekali khususnya di luar bandar. Ini disebabkan beberapa faktor.

Pertama ketiadaaan infrastruktur yang boleh menghubungkan satu kawasan ke kawasan lain di luar bandar. Yang kedua orang di luar bandar dulu menggunakan cara tradisional untuk mengusahakan tanah mereka.

Tetapi keadaan sekarang jauh berbeza. Sekarang ini, banyak kawasan luar bandar yang mendapat kemudaahan asas yang begitu baik. Jalan raya atau jalan kampung ada di sana sini bukan sahaja menghubungkan kampung-kampung tetapi juga menyediakan kemudahan jalan sehingga ke kawasan tanah pertanian, sekaligus membantu meningkatkan ekonomi mereka.

Misalnya di kawasan saya di Kudasang pada tahun 1985, ada penduduk kampung yang terpaksa berjalan kaki sehingga enam jam dari satu kampung yang ada jalan ke kampung terpencil yang tidak ada jalan raya tetapi sekarang kawasan ini sudah ada jalan raya. Selain itu, kerajaan juga memberi pelbagai bantuan kepada orang kampung termasuk khidmat nasihat mengenai cara mengusahakan tanah.

Begitu juga dalam soal pendidikan, dulu terlalu sedikit kanak-kanak di luar bandar yang mendapat pendidikan tinggi atau mempunyai pengetahuan yang sesuai dan diperlukan untuk membolehkan mereka bersaing di pasaran kerja. Kini keadaaan sudah berubah. Hampir semua kawasan luar bandar mempunyai bangunan sekolah sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah. Banyak orang kita yang dapat belajar dan mendapat ilmu pengetahuan. Jelas sekali, terdapat kesedaran penduduk luar bandar tentang pentingnya pendidikan. Selain itu, penyediaan kemudahan bekalan elektrik dan air turut menyumbang keselesaan golongan miskin di Sabah.

BERNAMA: Sejauh manakah kejayaan program pembasmian kemiskinan di Sabah terutama selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih semula tampuk pemerintahan negeri pada tahun 1994?

DR EWON: Kejayaan program ini amat membanggakan. Namun masih ada ruang untuk memperbaiki lagi keadaan. Sebenarnya, kerajaan negeri telah melaksanakan banyak program untuk membasmi kemiskinan selepas kerajaan BN mengambil alih semula tampuk pemerintahan negeri pada tahun 1994. Antaranya ialah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Banyak keluarga miskin atau termiskin yang mendapat faedah daripadanya. Kerajaan juga memberikan bantuan zink untuk atap rumah dan tangki air untuk kemudahan keluarga miskin. Bantuan subsidi padi juga diberikan kepada petani yang layak yang mengusahakan tanah mereka untuk penanaman padi (sawah). Saya fikir bantuan seumpama ini sedikit sebanyak meringankan beban untuk mengusahakan tanah mereka.

BERNAMA: Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa kerajaan lambat bertindak atau kurang berjaya menangani isu kemiskinan di Sabah. Apa komen Datuk tentang tanggapan ini?

DR EWON: Saya kurang bersetuju dengan tanggapan ini. Sebenarnya, kerajaan begitu sungguh-sungguh untuk mencari jalan penyelesaiaan masalah ini. Dari semasa ke semasa, kerajaan sentiasa merancang strategi tertentu untuk membela nasib rakyat miskin khususnya di kawasan luar bandar, dan pada masa yang sama kita cuba menukar minda mereka supaya bersikap terbuka dan sedia menerima pembaharuan.

Misalnya, pada masa pemerintaan Parti Berjaya dulu, kerajaan cuba menempatkan penduduk kampung terpencil yang berselerak di kawasan pedalaman di satu tempat yang difikirkan sesuai. Malangnya ramai yang merasa tidak secocok dengan kehidupan di kawasan penempatan baru kerana mereka sudah biasa kehidupan yang simple. Bagi mereka asalkan ada makanan, garam dan sayur yang diperoleh atau ditanam di kawasan hutan, mereka boleh hidup selesa.

Sebab itu program penempatan semula atau pemberian rumah itu kurang sambutan dan sekaligus menjejaskan sedikit kelancaran program pembasmian kemiskinan di negeri ini. Dalam hal ini, apa yang kita lakukan ialah mendorong dan meyakinkan mereka supaya merubah minda dan cuba mengusahakan tanah mereka dengan pelbagai tanaman, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan mereka tetapi juga untuk tujuan komersil, sekaligus meningkatkan taraf hidup mereka.

BERNAMA: Adakah Datuk bersetuju pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990) banyak menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat Sabah, sekaligus membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan?

DR EWON: Sememangnya Dasar Ekonomi Baru adalah satu dasar kerajaan yang baik dan dasar itu antara lain bertujuan membasmi kemiskinan menerusi strategi serampang dua mata iaitu mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarat di negara ini termasuk di Sabah.

Memang banyak perbezaan dahulu dan sekarang. Sebelum DEB diperkenalkan, banyak perkara yang didominasikan oleh satu pihak sahaja dan selepas DEB diperkenalkan banyak kaum Bumiputera termasuk di Sabah yang kebanyakannya dari kawasan luar bandar menikmati faedah daripada dasar itu yang memberikan kuota khas kepada Bumiputera dalam semua bidang termasuk bidang ekonomi.

Saya lihat kerajaan melalui dasar ini benar-benar berusaha untuk membantu meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin melalui proses memodenkan kawasan luar bandar dan jelas sekali Dasar Ekonomi Baru ini berjaya membawa perubahan yang ketara kepada rakyat negara ini khususnya kaum Bumiputera di Sabah.

BERNAMA: Satu daripada projek pembasmian kemiskinan di luar bandar ialah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Sejauh manakah kejayaan pelaksanaan projek itu? Ada pihak yang mengatakan bahawa ramai penduduk kampung yang layak tetapi tidak diberi peluang memiliki rumah itu, apa komen Datuk?

DR EWON: Hasrat kerajaan melancarkan projek PPRT adalah begitu ikhlas tetapi tidak dinafikan ada juga penduduk yang layak, â€Å“tertinggal”. Bagaimanapun kita akan cuba mencari jalan untuk membantu mereka secepat yang mungkin. Projek PPRT ini sebenarnya mendapat sokongan yang kuat daripada kerajaan Pusat dan baru-baru ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah mengumumkan untuk membina sekitar 50,000 rumah PPRT di seluruh negara dan kebanyakannya akan dibina di Sabah dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Saya fikir dengan terlaksananya program perumahan ini banyak rakyat yang miskin atau miskin tegar akan memiliki rumah yang lebih selesa. Setiap tahun kita laksanakan program PPRT dan tahun ini sahaja kita akan membina antara 35 dan 50 rumah PPRT di setiap daerah di Sabah yang akan diagih-agihkan kepada mereka yang layak. Kita berharap dalam tempoh tiga tahun akan datang lebih ramai lagi golongan miskin yang kita dapat berikan kemudahan rumah PPRT. Kita ada senarai rakyat miskin yang mempunyai pendapatan kurang RM900 yang sepatutnya diberi keutamaan dalam program PPRT.
Sumber: New Sabah Times

Saturday, November 17, 2012

Pembasmian Kemiskinan di Sabah Berjaya Capai Matlamat

Datuk Musa Aman
Usaha pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan di negeri ini berjaya mencapai matlamat apabila kadarnya menurun daripada 24.2 peratus pada 2004 kepada 19.7 peratus pada 2009. Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, penurunan tertinggi dicatatkan adalah di bahagian pedalaman iaitu sebanyak 15.8 peratus.

Pencapaian positif kerajaan dalam membasmi kemiskinan di negeri ini adalah hasil pelaksanaan projek pembangunan ekonomi dalam pelbagai sektor khususnya di luar bandar. Antaranya, projek Mini Estet Sejahtera (Mesej), agropolitan, ladang Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), 1Azam, Program Bantuan Rumah (PBR), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Setakat ini terdapat 29 buah Mesej sawit dan getah, akuakultur (enam), mikro pertanian (tujuh) dan Mesej Bersepadu pula dua telah diwujudkan di kawasan-kawasan miskin di seluruh negeri. Daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 12 Mesej dan Mesej mikro (enam) telah siap sepenuhnya manakala empat Mesej baru sedang dalam proses pengukuran dan permohonan tanah untuk dilaksana bermula 2012.

Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan pembinaan sebanyak 2,000 buah unit rumah baru di Sabah di bawah PBR. Jumlah keseluruhan rumah baru yang dibina sejak PBR bermula di negeri ini dua tahun lalu adalah sebanyak 7,149 buah. - Datuk Seri Musa Aman

Dr. Ewon Ebin
Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Ewon Ebin berkata sebahagian besar peruntukan RM18.5 juta untuk program pembasmian kemiskinan tahun depan akan dibelanjakan bagi meneruskan projek-projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) yang masih dalam pelaksanaan, di samping memulakan beberapa Mesej baharu.

Di samping itu, peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah Pembangunan Usahawan Desa akan membolehkan kementerian ini meneruskan pelaksanaan pusat-pusat keusahawanan desa sebagai tambahan dan naik taraf kepada tiga Pusat Usahawan Desa yang telah dibangunkan di Pitas, Beluran dan Penampang.

Ewon berkata kementerian itu turut memperoleh peruntukan RM55 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) di Sabah tahun depan. - Dr. Ewon Ebin