Showing posts with label skandal pembalakan. Show all posts
Showing posts with label skandal pembalakan. Show all posts

Saturday, March 15, 2014

Buka semula siasatan kes RM40 juta Musa Aman!

(Oleh Rafizi Ramli)

Saya alu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengenai hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atas Michael Chia. Kes yang membabitkan permit membalak di Sabah itu adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan peribadi.

Kejayaan pendakwaan terhadap Michael Chia itu membuktikan bahawa SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan yang berjaya.

Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?

Michael Chia tidak mempunyai apa-apa pengaruh atau jawatan di dalam kerajaan, maka dia sendiri tidak ada kuasa untuk memberikan permit membalak. Hakikatnya dia boleh mengutip wang dari syarikat-syarikat balak memberi gambaran bahawa syarikat dan pengusaha balak tahu bahawa dia menjadi orang tengah bagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa dan pengaruh dalam menentukan pemberian permit balak.

Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Dato Sri Musa Aman. Fakta kes sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat dari ICAC di Hong Kong menunjukkan bahawa memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah keraa wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.

Dengan keputusan bersalah ini, saya menyeru supaya SPRM membuka kembali siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman dalam kes wang RM40 juta yang dikaitkan dengan kutipan dari syarikat-syarikat balak kerana bukti-bukti pemindahan wang melibatkan Michael Chia sendiri.

Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia, terutamanya apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini. Apatah lagi apabila Dato’ Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu.

Walaupun keputusan terhadap Michael Chia ini adalah satu peningkatan baik yang ditunjukkan SPRM, rakyat memerhati sama ada SPRM bakal mendakwa penjawat-penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat sama.

Jika tidak, selama-lamanya SPRM dilihat hanya mendakwa bilis sedangkan jerung terus terlepas.

KEADILAN DAILY

Wednesday, February 13, 2013

Isu pembalakan: MB Kedah jadikan rakyat sebagai tebusan untuk dapat RM100 juta


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah meminta kerajaan persekutuan membayar pampasan sebanyak RM100 juta sekiranya mahu penebangan balak di negeri itu tidak dilakukan.

"Kalau bising sangat (mengenai penebangan balak), bayar kami RM100 juta... hutan hak Kedah...lagipun tak tebang kawasan tadahan air, kawasan hutan simpan saja tebang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini. - Sinar Harian

Jawapan MB Kedah seperti diatas berhubung isu skandal pembalakan yang sedang berleluasa di negeri itu nampak sangat tidak profesional, malah lebih kepada meroyan. Bermakna, MB Kedah ini tidak langsung sensitif terhadap kepentingan rakyat di negeri beliau walaupun pelbagai bantahan disuarakan termasuk penganjuran perhimpunan secara aman pada awal bulan lepas.

Apalah dosa rakyat Kedah sehingga MB keparat ini tergamak menjadikan mereka sebagai tebusan untuk mendapatkan RM100 juta dari kerajaan Persekutuan? Jika tidak ada RM100 juta itu, maka rakyat Kedah terpaksa berhadapan dengan bencana banjir lumpur dan terpaksa bergantung dengan sumber air tercemar semata-mata untuk memuaskan nafsu MB keparat ini yang kononnya berjuang membina sebuah "Negara Berkebajikan"???

Tidak sangka MB keparat ini masih berselera meneruskan pembohongan kononnya pembalakan itu bukan berlaku dikawasan tadahan air sedangkan bukti dalam bentuk gambar telahpun tersebar ke seluruh negara.



Gelombang pertama membantah kepimpinan kerajaan PAS Kedah yang semakin rakus merompak khazanah Hutan Simpan Tasik Pedu tiba ke kemuncaknya apabila lebih 12,000 rakyat dari seluruh negeri itu berkumpul menyertai perhimpunan secara aman anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) di lokasi penebangan berdekatan Tasik Empangan Padu, Padang Terap.


Ironinya, lokasi Himpunan Bantah Pembalakan Di Kawasan Tadahan Air itu terletak hanya beberapa meter dari kawasan yang dahulunya merupakan hutan hujan tropika, sekaligus menjadi tempat tadahan air kepada rakyat Kedah sejak tahun 1960an lagi. Malangnya, akibat kerakusan kerajaan PAS yang diterajui Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Razak untuk mengaut khazanah negeri, kawasan hutan yang berkeluasan kira-kira 500 hektar habis digondolkan sejak setahun lalu tanpa kawalan.

Kalaupun ada antara pemimpin-pemimpin PAS/PR yang sedar dan melihat wujudnya kezaliman terhadap rakyat dibawah pemerintahan Azizan Razak ini, mereka hanya akan menepisnya dengan alasan masalah tersebut dimulakan oleh kerajaan BN; iaitu satu alasan atau jawapan ‘standard’ kerajaan PAS Kedah untuk menghalalkan jenayah yang mereka lakukan di negeri itu.

Kerana asyik menuding jari, maka masalah pembalakan tidak terkawal di Kedah kini bukan sahaja tidak selesai tetapi semakin hari semakin buruk dan bakal menjadi satu bencana besar. Ini disahkan oleh pakar-pakar melalui ujian dan penilaian oleh Jabatan Alam Sekitar. Antara bencana yang dijangka ialah masalah banjir lumpur dalam skala yang jauh lebih besar daripada yang berlaku pada 2010, di Sik, Kedah yang menjejaskan 6 buah kampung – iaitu berita yang langsung tidak dilaporkan oleh Harakah, media rasmi PAS.

Selain itu, bencana yang kini sedang berlaku dan semakin parah ialah masalah kualiti air kesan dari pengeksploitasian tanah yang tidak terkawal; iaitu merangkumi pembalakan, perlombongan dan korek pasir sekali gus, di kawasan tadahan yang mencemarkan air di empangan. Setakat ini sahaja, kadar kekeruhan kawasan tadahan di Kedah berada di tahap 8,000 – 18,600 Nephelometrik Turbidity Unit (NTU) yang mana telah terlalu jauh mengatasi kadar yang dibenarkan iaitu 50 NTU, bagi kawasan tadahan, dan 1000 NTU bagi sungai-sungai mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Dalam kes ini, kenapa Rafizi Ramli, Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Anwar Ibrahim dan Sarawak Report tidak mengecam tindakan MB Kedah yang semakin berani mempertaruhkan kepentingan rakyat semata-mata mahu mendapatkan RM100 juta sebagai ganti menghentikan aktiviti pembalakan di negeri itu?

Dan, adakah MB Kedah sudah terlalu nyanyuk sehingga tidak mampu memikirkan alternatif lain untuk menjana pendapatan bagi negeri Kedah selain dari merosakkan alam sekitar?

Di Sabah, walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Datuk Musa Aman kononnya mendalangi aktiviti pembalakan di negeri ini, namun dengan sendirinya tuduhan itu dinafikan apabila pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton memilih Sabah sebagai destinasi terakhir lawatan mereka di negara ini untuk menikmati keindahan kawasan hutan hujan tropika Lembah Danum yang dipelihara baik oleh kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Musa Aman.

Malah industri pelancongan yang semestinya menuntut pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar juga dilihat semakin berkembang dengan jumlah ketibaan pelancong yang semakin meningkat setiap tahun disamping berjaya menjana pendapatan untuk negeri ini lebih dari RM5 bilion pada tahun lepas.

Membayangi kerakusan Azizan Razak hari ini, disokong pula dengan sikap berat sebelah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (yang mungkin juga turut sama berkongsi hasil haram tersebut), selamatkah hutan-hutan di Sabah jika pemimpin-pemimpin ini diberikan peluang memerintah Sabah???

Tuesday, January 8, 2013

Pendapatan negeri Pakatan dijanakan menerusi cukai tanah dan kerosakan alam sekitar


Punyalah kemaruk untuk dikenali sebagai pentadbir yang baik dan hebat sehingga mampu meningkatkan pendapatan negeri, PAS Kedah menyusun langkah yang lebih berstrategi dan lebih cekap. Strategi yang dimaksudkan, bukannya mencari sumber pendapatan yang baru, atau membolehkan rakyat Kedah mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, sebaliknya meningkatkan cukai tanah yang akan menyebabkan ramai rakyat Kedah berhadapan dengan risiko kehilangan tanah yang mereka duduki, usahakan dan miliki semenjak zaman berzaman.

PAS Kedah sangat cekap dalam bab-bab mencerut kesusahan rakyat. Walaupun ketika mengambil Kedah dari tangan UMNO-BN pada PRU12 lalu PAS telah diberikan prasarana yang terbaik untuk memacu pertumbuhan ekonomi, namun PAS yang selama ini cukup terkenal dengan derma tabung milo mereka, mengambil jalan mudah untuk bermegah-megah.

Pendapatan negeri dijanakan menerusi kerosakan alam sekitar yang amat teruk. Industri utama Kedah adalah pembalakan. Manakala bidang industri dan pembuatan yang suatu ketika pernah menjadi nadi ekonomi Kedah selain memberikan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat Kedah, penduduk di utara Perak, Pulau Pinang dan Perlis, tidak dipedulikan langsung. Kalau ada pun, hanyalah berita-berita yang melibatkan penglibatan entiti-entiti Kerajaan Pusat seperti MITI dan MIDA, manakala Kerajaan Negeri Kedah pula, sekadar berlakon untuk mengambil nama dan kredit sahaja.

Keputusan Kerajaan Negeri Kedah menaikkan cukai tanah setinggi yang mungkin di Pulau Langkawi, Alor Star dan Bandar Baharu, memberi kesan kepada ratusan rakyat dan penduduk Kedah. Pada masa yang sama, kenaikan cukai tanah tersebut juga akan memberi kesan kepada bidang pelancongan, industri dan hartanah.

Anehnya, para pecacai Pakatan Rakyat, khususnya para penyokong PAS yang bersungguh-sungguh menyatakan bahawa Kedah di bawah PAS adalah sebuah negeri yang mementingkan kesejahteraan rakyat, tidak langsung menyebut apa-apa tentang cukai tanah yang telah dinaikkan oleh Kerajaan PAS Kedah.

Kalau PAS Kedah cuba berbangga menerusi Laporan Ketua Audit Tahun 2012 tentang kenaikan pendapatan dan perolehan negeri, sedangkan pada masa yang sama, mereka gagal menjelaskan kepada rakyat Kedah bahawa hampir keseluruhan peningkatan tersebut adalah disebabkan cukai tanah yang telah dinaikkan dan ditinggikan, pastinya semakin mengesahkan yang PAS Kedah memang bodoh bertalun-talun.

Selama empat tahun berturut-turut, PAS Kedah berbangga kononnya pengurusan ekonomi dan wang negeri yang sangat baik. Malah PAS Kedah amat berbangga dengan hasil balak serta hasil mineral yang telah menjadikan Kedah lebih kurang seperti permukaan bulan dan telah menghasilkan banjir lumpur yang sangat teruk di seluruh negeri tersebut, selain kerugian besar kepada kaum petani, khususnya penanam-penanam padi.

Walaupun PAS Kedah cuba mendabik dada kononnya mereka juga telah berusaha menarik pelabur dari luar untuk melabur di negeri itu sekaligus, mewujudkan peluang pekerjaan kepada puluhan kalau tidak pun ratusan ribu rakyat Kedah, hakikatnya PAS Kedah tidak pernah berminat dengan kaedah itu. Sebabnya sangat mudah…

Tidak sahaja PAS Kedah kurang berkemampuan dan mempunyai inisiatif untuk menambah pelaburan, pelaburan yang menggunakan modal rakyat Kedah juga telah hangus begitu sahaja seperti mana yang berlaku di Papua New Guinea.

Cuma yang anehnya, sebelum PAS merampas Kedah, kebanyakan pemimpin PAS Kedah terutama yang 'kecil-kecil' dan kurang ternama, hidup mereka tidaklah sesenang mana. Alih-alih apabila PAS berjaya merampas Kedah, kekayaan mereka tiba-tiba sahaja mencurah dari langit.

Justeru kita tunggu, berapa lamakah masa yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk menjelaskan kewajaran mereka menaikkan cukai tanah di Pulau Langkawi, Bandar Baru dan Alor Star.

Sunday, November 25, 2012

Mana pejuang alam sekitar Sarawak Report dan Bruno Manser?

Ikuti pendedahan blogger Team Media Kedah berkenaan dengan kerakusan pemimpin Pakatan Rakyat memusnahkan hutan semata-mata untuk mengaut hasil balaknya.
pembalakan berhampiran Tasik Pedu yang menjadi punca air orang Kedah semakin parah! Apabila Pas Kedah tanpa bertimbang rasa dan tamak terus menerus menerjah kekawasan berkenaan dengan gelojoh dan kejamnya.

Bila kita tanya MB awat buat macam ni, nak tau orang tua tu kata apa? Dia kata penebangan balak membabitkan kawasan seluas 400 hektar di hutan simpan Tasik Pedu, Padang Terap adalah bagi membangunkan taman agropelancongan pertama negara.

Katanya projek itu akan tetap diteruskan sekalipun Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menolak laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Ini kerana katanya JAS memperuntukkan EIA bagi kawasan yang berada pada paras 240 meter dari aras laut, manakala Jabatan Perhutanan pula mensyaratkan hanya kawasan pada ketinggian 750 meter yang perlukan EIA.

"Nak ikut yang mana...tanah telah ditolak. Peruntukan RM20 juta untuk projek ini akan dimasukkan dalam Belanjawan 2013," katanya kepada media.

Antara lain, laporan itu memetik Timbalan Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai berkata kerajaan Kedah pimpinan PAS tidak mematuhi arahan JAS agar kerja membersih hutan di kawasan Tasik Pedu dihentikan selepas menolak laporan EIA.

Semalam Mc dan TMK ada menemubual Bekas MB Kedah yang juga Adun Pedu, Mahdzir Khalid, beliau juga terkilan dengan Kerajaan Negeri Kedah, dan menganggap cadangan untuk membuat agropelancongan itu hanyalah sebagai alasan untuk 'menyapu' bersih balak dikawasan berkenaan.

Mc pun sokong apa yang Tok Det katakan tu. Memang puak Pas ni nak sapu balak buat duit saja. Agropelancongan tu hanya alasan untuk puak tu menghalalkan cara tebas balak!

Nampak gaya, Pas Kedah dan balak tak dapat dipisahkan. Semakin hari, semakin teruk. Kalau la Pas Kedah terus menjadi kerajaan negeri, rasanya kemusnahan alam sekitar di negeri Kedah ni akan berterusan.
Cuba lihat jarak empagan pedu dengan kawasan pembalakan, hanya beberapa meter sahaja
cuba bayangkan bila hujan lebat, tentunya air lumpur akan mengalir masuk kedalam empangan
Licin
kawasan hutan simpan bernilai tinggi musnah sama sekali
agro-pelancongan?
adehh
masih berjalan
Mana Sarawak Report, Bruno Manser Fund dan Rafizi? kenapa bila negeri Pakatan Rakyat melakukan penggondolan hutan secara besar-besaran, tidak ada bantahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat dan juga NGO yang kononnya berjuang atas isu alam sekitar?

Mereka asyik menuduh Ketua Menteri Sabah memusnahkan hutan di negeri ini sedangkan aktiviti pembalakan di negeri ini cukup terkawal di bawah pentadbiran Datuk Musa Aman. Beliau bukan sahaja lantang dalam soal perlindungan hutan malah beliau sentiasa meggalakkan aktiviti konservasi di negeri ini. Malah Datuk Musa Aman satu-satunya ketua menteri Sabah yang berjaya menghentikan pembalakan di Ulu Segama Malua dan Maliau basin yang mana hasil daripada tindakan itu telah mewujudkan buffer hutan seluas tiga kali ganda keluasan Singapura.

Berbeza dengan negeri Pakatan Rakyat, kerajaan negeri Sabah sentiasa mengamalkan pengurusan hutan yang mapan malahan 'bertambah baik' di bawah kepimpinan Musa Aman. Dasar terbuka diamalkan oleh kerajaan dan semua bidang pengurusan hutan adalah terbuka kepada pihak ketiga dan juga penelitian pihak NGO. Lesen pembalakan jangka panjang “tertakluk kepada pengauditan pihak ketiga (audit bebas) sejak 2010 (juruaudit bebas pasti akan dapat mengesan pembalakan haram besar-besaran jika ia berlaku).

 
Hasil dari pengurusan hutan yang mapan oleh kerajaan negeri Sabah, jumlah rizab hutan di bawah kategori Kawasan Keseluruhan Terlindung (TPAS) telah meningkat kini “mencecah 1.3 juta hektar atau kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan tanah di Sabah (melebihi piawaian antarabangsa sebanyak 10 peratus). Kawasan rizab hutan TPAS memiliki peningkatan terbesar di bawah pemerintahan Musa. Sekurang-kurangnya 800,000 hektar hutan Sabah adalah sebahagian atau sepenuhnya diperakui di bawah pelbagai sistem yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Forest Stewardship Council (FSC), Skim Pensijilan Balak Malaysia (MTCS) atau Pan European Forest Scheme (PEFC).

Jika benar dakwaan Sarawak Report, BMF dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bahawa hutan di Sabah adalah yang paling buruk di dunia, bagaimana kerajaan negeri Sabah mampu memperolehi pelbagai anugerah daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia, Forest Stewardship Council (FSC) dan the Prince Charles Charity, bagi menghargai kejayaan kerajaan negeri Sabah dalam usaha pemuliharaan hutan?

Oleh itu, sudah tiba masanya Sarawak Report dan Bruno Manser Fund mengalihkan serangan mereka kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Dan Rafizi Ramli juga sepatutnya tampil membuat laporan kepada SPRM atau Polis terhadap MB Kedah ekoran keengganan beliau menghentikan pemusnahan hutan di negeri berkenaan. Jika kita susuri siri tuduhan pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO tajaan mereka terhadap kemusnahan hutan di Sabah (walaupun tidak berlaku), bukan main lantang lagi mereka tuduh Musa Aman menyalahgunakan kuasa dan terlibat dengan skandal pembalakan. Tapi kenapa mereka tidak buat tuduhan yang sama terhadap Menteri Besar Kedah?

Jika beginilah sikap pemimpin dan NGO tajaan mereka, apa jaminan bahawa hutan di Sabah akan selamat jika Pakatan Rakyat memerintah? apa jaminan bahawa negara ini akan bebas dari gejala rasuah jika Pakatan Rakyat Memerintah? 

By: Borneo Bullet

Thursday, October 11, 2012

Sah! Musa Aman bersih dari skandal wang haram

Meroyan tak henti-henti la pembangkang selepas ini apabila isu yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak 2008 tidak sempat dimanfaatkan pada PRU13 nanti. Hancur luluh harapan pembangkang apabila Peguam Negara memutuskan tidak ada unsur rasuah yang membabitkan Datuk Musa Aman dengan ahli perniagaan Micheal Chia Tien Foh, sekaligus menafikan penglibatan Datuk Musa Aman dalam skandal pembalakan haram serta penggubahan wang haram sebagaimana yang disensasikan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang, media serta NGO tajaan mereka.

Dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkenaan dengan tuduhan ini, maka berakhirlah persoalan yang selama ini menjadi teka-teki dikalangan rakyat Sabah. Penjelasan ini bukan sahaja membuktikan bahawa Datuk Musa Aman tidak bersalah, malah membuktikan bahawa penyebaran pembohongan seperti ini sudah menjadi rutin harian pemimpin-pemimpin pembangkang.

Jika kita imbas kembali siri tuduhan skandal penggubahan wang haram ini, banyak situasi yang tidak memihak kepada pihak yang membuat tuduhan. Terutama sekali berkenaan dengan siasatan ICAC. Seperti yang kita sedia maklum, ICAC adalah sebuah badan pencegahan rasuah yang paling telus di Asia Tenggara. Pegawai-pegawai mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekalipun individu yang hendak disiasat itu merupakan pemimpin tertinggi sesebuah negara. Jesteru, kenapa pegawai-pegawai ICAC ini hanya menjalankan siasatan terhadap Micheal Chia dan Richard Barnes? sedangkan suspek utama ialah Datuk Musa Aman sebagaimana yang "dikempenkan" oleh pemimpin-pemimpin pembangkang. Bukankah kegagalan ICAC menyiasat Datuk Musa Aman ini menunjukkan bahawa pihak ICAC juga sependapat dengan SPRM dimana tidak wujud unsur-unsur rasuah antara Datuk Musa Aman dengan Micheal Chia?

Sebagai sebuah badan pencegah rasuah yang memiliki reputasi cemerlang, agak dangkal bila ada pihak yang mengatakan badan ini tunduk dengan desakan pihak tertentu di negara ini.

Walau sebanyak manapun dokumen yang didedahkan, jika kesahihan dokumen itu diragui, tetap tidak akan mampu membuktikan seseorang itu bersalah. Siasatan ICAC dan SPRM bukan berdasarkan jumlah dokumen, sebaliknya berdasarkan kesahihan dokumen serta prosedur-prosedur siasatan yang lain. Lebih menguatkan lagi dakwaan ini selepas Laman Pembocor Maklumat Sarawak Report sebelum ini pernah “terkantoi” menggunakan dokumen SSM palsu atau yang telah diubah suai untuk menjatuhkan kerajaan Taib Mahmud (dokumen pembohongan Sarawak Report (DISINI)).

Menyedari dokumen ciptaan Sarawak Report tidak memberikan apa-apa kesan, mulalah mereka beralih tumpuan kepada landskap Sabah dengan membuat tuduhan kononnya hutan di negeri ini berada dalam keadaan kritikal semata-mata untuk mewujudkan perkaitan antara skandal pembalakan dengan tuduhan asal mereka iaitu skandal pengubahan wang haram. Namun sekali lagi usaha mereka gagal selepas pasangan diraja Britain Putera William dan isterinya Kate melahirkan rasa puas hati terhadap kerja-kerja konservasi alam sekitar melalui usahasama antara kerajaan negeri pimpinan Datuk Musa Aman dengan NGO tempatan dan antarabangsa sempena lawatan pasangan diraja ini di Lembah Danum pada pertengahan bulan lalu.

“Sudah jatuh, ditimpa tangga”, itulah ibarat yang paling sesuai untuk menggambarkan nasib malang Sarawak Report dan juga pemimpin-pemimpin pembangkang apabila kes yang difailkan di Mahkamah Switzerland yang berbentuk permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC juga kini sudah ditarik balik atas alasan sama iaitu ketiadaan unsur-unsur rasuah yang melibatkan Datuk Musa Aman.

Perkembangan ini sudah tentu membuatkan segelintir pihak khususnya pembangkang berada dalam keadaan tertekan kerana sedikit demi sedikit bahan politik mereka berjaya ditepis oleh kerajaan Barisan Nasional. Seperti biasa, pasti akan keluar berbagai-bagai kenyataan merapu dari pemimpin-pemimpin pembangkang serta media tajaan mereka mengenai perkembangan ini.

By: Borneo Bullet

Monday, September 17, 2012

Sabahkini2u Gelabah: Sam Mannan Tolong Jawab?

"Datuk Sam Mannan, Pengarah Perhutanan Negeri Sabah melalui artikelnya Utusan Malaysia nampaknya telah berusaha menjawab isu pembalakan haram di Negeri Sabah yang berleluasa. Katanya itu tuduhan!. Sama ada beliau menjawab dengan betul atau tidak itu terpulanglah kepada pentafsiran masing-masing. Mungkin selepas ini ada pihak lain pula akan menjawab atau menafikan."

 Sumber: MUSA AMAN GELABAH! SAM MANNAN TOLONG JAWAB?

Agaknya blogger pro pembangkang sudah ketandusan idea untuk menyerang kepimpinan Ketua Menteri Sabah selepas penjelasan yang dibuat oleh Datuk Sam Mannan sarat dengan fakta-fakta yang meyakinkan bagi menepis tuduhan berkenaan dengan skandal pembalakan di Sabah. Salahkah Datuk Sam Mannan menjawab tuduhan itu sedangkan beliau adalah Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah yang tentunya tahu banyak perkara berkenaan dengan hutan di Sabah?
 
Untuk pengetahuan blogger Sabahterkini2u, sebelum ini Datuk Musa Aman juga telah menafikan tuduhan yang dicetuskan oleh Sarawak Report melalui artikel "Musa Aman nafi dakwaan Sarawak Report". Secara ringkasnya, dipihak Datuk Musa Aman, beliau telah melakukan tugasnya iaitu menafikan tuduhan tersebut. Beliau tidaklah berdiam diri sehingga memaksa Datuk Sam Mannan menjawab bagi pihak beliau. Sebaliknya Datuk Sam Mannan tampil menyangkal dakwaan Sarawak Report atas kapasiti beliau sebagai Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, bukannya sebagai "orang suruhan" kepada Datuk Musa Aman sebagaimana yang dibayangkan oleh blogger Sabahterkini2u.

Jika Datuk Musa Aman gelabah hanya kerana Datuk Sam Mannan menjawab bagi pihak beliau, bermakna Datuk Yong Teck Lee juga gelabah berkenaan dengan isu SAS kerana Melanie Chia sering tampil menjawab tuduhan itu bagi pihak beliau. Lebih teruk lagi ketua umum Pakatan, Anwar Ibrahim, yang bukan sahaja banyak bergantung dengan orang bawahanya untuk menjawab tuduhan, malah gemar menengking wartawan bila diajukan soalan berkenaan dengan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau.

Kesimpulannya, soal siapa yang menjawab tuduhan itu, tidak perlulah dijadikan isu. Semua ahli-ahli politik juga tidak terlepas dari menjawab tuduhan bagi pihak ketua atau parti mereka.

Bukankah lebih molek jika blogger Sabahterkini2u menyangkal satu-persatu fakta-fakta yang dikemukakan oleh Datuk Sam Mannan daripada mengambil jalan singkat demi mempertahankan tuduhan Sarawak Report dengan mempertikaikan tindakkan Datuk Sam Mannan kononnya menjawab bagi pihak Datuk Musa Aman?. Nampak sangat blogger pro pembangkang cuba meremehkan kredibiliti penjelasan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah dengan bermodalkan teori "Tolong Jawab" setelah mereka sendiri "mati akal" untuk mempertikaikan butir-butir penjelasan tersebut.

By: Borneo Bullet