Sunday, March 16, 2014

Pembinaan dua empangan mega akan tetap dibantah

Penduduk kampung di Ulu Papar kini berhati-hati dengan Ketibaan ‘pengkaji’ yang masuk ke kawasan mereka yang didakwa ada niat ‘menipu.’

KOTA KINABALU: Pembinaan empangan Kaiduan dan Tombotuan akan tetap dibantah oleh komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan alam sekitar dan penduduk yang terbabit secara langsung akan kesan memudaratkan jika projek mega itu diteruskan.

Dan kerajaan tidak ada pilihan kecuali perlu mendengar bantahan dan keluh kesah pelbagai masyarakat dan badan yang bimbang dengan rancangan itu yang dikatakan, bakal mengubah cara hidup tradisi penduduk yang terbabit.

Ini telah mendorong seramai 60 peserta daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat kampung dari pelusuk Sabah, terutamanya dari Ulu Papar dan Tombotuan berkumpul di kawasan Hutan Lipur Kawang, Sabtu pagi tadi, untuk menunjukkan lagi yang mereka serius dengan bantahan itu.

Mereka menyertai Program Pelancaran Kempen Sungai Ditangan Kita, yang bertujuan memupuk kesedaran di kalangan orang awam mengenai kepentingan pemuliharan sungai.

Program itu menjelaskan bahawa pemuliharaan sungai tidak membabitkan pembinaan empangan.

Jurucakap Gabungan Selamatkan Sungai Sabah, Mary Giun berkata, kempen dijalankan sempena merayakan Hari Tindakan Terhadap Empangan untuk Sungai, Air dan Kehidupan, dengan dihadiri gabungan pelbagai NGO alam sekitar.

“Semua yang hadir dapat merenung dan membangkitkan sesuatu untuk melindungi sungai dan berharap lebih ramai menyertai gabungan ini untuk kesejahteraan alam semulajadi dan bersuara bagi pihak yang tidak berdaya,” katanya dalam sidang akhbar pagi tadi.

Ditanya mengenai rancangan bantahan Empangan Kaiduan, Mary yang berasal dari kampung Terian – salah satu kampung yang terjejas jika projek diteruskan – kesal tindakan beberapa jabatan kerajaan dan juga seorang Menteri yang selama ini tidak menghiraukan keluhan mereka.

“Walaupun kami sudah menghantar beberapa surat bantahan dan jemputan sejak tahun 2009 untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian, wakil-wakil dari kerajaan termasuk menteri, tidak menghiraukan kami.

“Kami juga kesal tindakan sekumpulan orang yang kononnya melakukan ‘kajian’ tetapi kami tahu niat mereka adalah untuk menipu ketika melawat perkampungan di Ulu Papar,” kata Mary menambah kumpulan itu sebenarnya datang untuk memantau pembinaan empangan.

Mary yang bergiat dalam Pasukan Petugas Membantah Empangan Kaiduan berkata, hasil pendedahan ketibaan ‘pengkaji’ itu, penduduk kampung di Ulu Papar kini berhati-hati dengan orang luar yang masuk ke kawasan mereka.

Usaha ini katanya, berjaya menghalang cubaan sekumpulan ‘pengkaji’ pada Oktober 2012 lalu yang sebenarnya datang untuk memantau pembinaan empangan.

“Paling menyedihkan apabila pelbagai usaha, termasuk mencadangkan sumber tenaga mampan dan mesra alam yang dicadangkan, tidak mendapat reaksi daripada kerajaan,” katanya menambah.

Dalam pada itu, Mary menyuarakan rasa gembira kerana usaha mereka mendapat sokongan daripada beberapa Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

Gabungan Selamatkan Sungai Sabah terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan seperti Pasukan Petugas Membantah Empangan Kaiduan, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Partners for Community Organisation (Pacos Trust), School of Acting Justly, Loving Tenderly, Treading Humbly (SALT), Tompinai Ningkokoton Koburuon Kampung (Tonibung), Land Empowerment Animals People (LEAP), Borneo Youth Revolution (BYR) dan Environmental Awareness for Our River (CLEAR).

Turut hadir di majlis ini ialah wakil dari pelusuk Sabah seperti Tawau, Keningau, Ranau, Pitas, Kudat, Tongod, Ka Belud and Penampang.

BORNEO INSIDER

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.