Tuesday, October 9, 2012

Lajim akui dirinya Winnable Candidate

Lajim Ukin
Belum pernah berlaku dalam sejarah politik tanahair dimana ahli politik tanpa segan silu mengaku yang dirinya "winnable candidate". Ketika menjawab beberapa soalan dari wartawan Sinar Harian, Datuk Seri Lajim Ukin bersungguh-sungguh cuba mempromosikan diri beliau dengan membangkitkan beberapa perkara bagi menunjukkan yang beliau adalah seorang pemimpin yang disenangi oleh rakyat.

Berdasarkan wawancara tersebut, Lajim memberitahu wartawan bahawa beliau keluar meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional kerana budaya cantas-mencantas yang kononnya diamalkan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman. Selain itu, Lajim juga membangkitkan isu bekalan air, elektrik dan masalah banjir di kawasan beliau (Beaufort). Secara jujurnya, alasan-alasan ini tidak cukup untuk membuktikan yang beliau adalah "winnable candidate".

Tidak sangka pula, sebelum dan selepas Lajim meninggalkan BN, beliau tetap tegar menggunakan pendekatan simpati untuk meraih sokongan/undi. Ketika masih dalam BN, dia minta dirinya dipecat, selepas keluar dari BN, dia tuduh pula yang dirinya dicantas oleh Pengerusi BN Sabah.

Jika benar Lajim menjadi mangsa budaya cantas-mencantas yang kononya diamalkan oleh Datuk Musa Aman, bagaimana beliau boleh memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta mengekalkan kerusi MP Beaufort sehinggalah beliau sendiri keluar meninggalkan BN July lalu? kedudukan "kukuh" beliau sepanjang berada dalam BN tidak sedikitpun menggambarkan yang beliau dicantas.

Berkenaan dengan kes PRU 2008 dimana Ketua Wanita Umno Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun melawan beliau, kenapa bukan waktu itu sahaja beliau meninggalkan BN? kenapa perlu tunggu selepas hampir 4 tahun atau lebih tepat lagi ketika PRU13 semakin hampir? bukankah ini menunjukkan beliau mempunyai agenda lain selain dari perkara-perkara yang beliau bangkitkan dalam wawancara ini?

Berkenaan dengan masalah bekalan air, elektrik serta banjir; Bullet ingin bertanya kepada Datuk Lajim Ukin tentang dimana hilangnya peruntukkan lebih dari RM100 juta ringgit yang TELAH disalurkan oleh kerajaan bagi meningkatkan pembangunan prasarana di kawasan Parlimen Beaufort sepanjang Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9)?? Datuk Lajim Ukin sendiri yang mengumumkan peruntukkan ini pada 26 November 2009.

Rujuk artikel ini: LEBIH 100 JUTA DIBELANJAKAN UNTUK PROJEK PEMBANGUNAN DI PARLIMEN BEAUFORT

Pada 22 April tahun lepas pula, Lajim ada buat kenyataan seperti berikut;
"bukanlah masa yang sesuai untuk mempertikaikan kepimpinan yang ada sekarang khususnya kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebagai Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah." Artikel (DISINI)

Jika benar Datuk Lajim dicantas pada tahun 2008, bagaimana dia boleh buat kenyataan seperti di atas pada tahun 2011? adakah beliau semakin tidak waras, nyanyuk atau diracuni fikirannya oleh Anwar Ibrahim?

Antara kenyataan lain Datuk Lajim Ukin sebelum beliau keluar meninggalkan BN ialah seperti berikut:

"sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan parti kompenan boleh dibawa berbincang dan bukannya disuarakan menerusi media." - dia sendiri yang guna media untuk dapat simpati ketika masih bersama-sama BN.

"Sabah di bawah kepimpinan Datuk Musa terus membangun dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi."

"Rakyat boleh menilai sendiri pembangunan yang dibawah oleh Datuk Musa yang sentiasa bekerja keras untuk memastikan Sabah terus membangun."

"kerajaan Persekutuan turut memberi jaminan bahawa Sabah merupakan negeri yang diberi keutamaan untuk dibangunkan termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-Sepuluh."

Ada banyak lagi kenyataan-kenyataan Lajim yang memuji pentadbiran Datuk Musa Aman dan kerajaan Barisan Nasional. Cuma malas Bullet mahu sertakan dalam page ini. Makin banyak Bullet baca previous statement dia, makin pening kepala Bullet fikir apa spesis makhluk yang ada dalam kepala orang tua ni..

***siapa-siapa yang mahu debat dengan Lajim, guna saja statement lama dia, confirm dia kantoi***

By: Borneo Bullet

Monday, October 8, 2012

Tidak ada peluang kedua untuk Bumburing

"The opposition must go all out to win in the coming 13th general election as the opportunity to topple the Barisan Nasional (BN) will not come again,"

Sumber: No second chance to topple BN

Menurut Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, pembangkang tidak akan mempunyai peluang kedua untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional jika bukan pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Jika dilihat dari sudut pandangan pembangkang, sudah tentulah alasan mereka kononnya kerajaan BN akan menggunakan strategi kotor untuk mengekalkan kuasa. Sebaliknya, bagi Bullet, kenyataan Bumburing "no second chance" itu sendiri sudah menggambarkan situasi pembangkang yang semakin lama semakin rapuh.

Yang Bullet pelik dengan kenyataan Bumburing, kenapa dia sebut istilah "peluang kedua"? adakah bagi beliau, PRU13 ini adalah peluang keemasan bagi pembangkang untuk merampas kerajaan? jika benar PRU13 ini adalah peluang keemasan, atas sebab apa? sebab berbagai demonstrasi jalanan telah dilaksanakan? atau berbilion ringgit dana asing telah disalurkan kepada pembangkang? atau pelbagai bentuk fitnah dan pembohongan telah disebarkan? atau sebab Anwar akan bersara selepas PRU13 (jika Pakatan Kalah)?

Sepatutnya, selepas RCI ditubuhkan dan selepas penambahbaikkan sistem pilihanraya dilaksanakan, peluang pembangkang untuk memerintah negara semakin cerah, bukan sahaja pada PRU13 malah PRU yang seterusnya. Jika Pakatan boleh merampas 5 buah negeri pada PRU12, kenapa tidak untuk PRU13 dan berikutnya setelah banyak penambahbaikkan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan juga pihak SPR?

Bertentangan dengan alasan Bumburing, terjemahan Bullet berkenaan dengan "no second chance" lebih tertumpu kepada kelebihan dipihak kerajaan BN. Dibawah pentadbiran Datuk Musa Aman, pertumbuhan ekonomi negeri berjaya memperlihatkan trend positif yang jelas mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas dan prospek ekonomi, kestabilan politik dan tahap keselamatan di negeri ini. Aliran pelaburan yang sentiasa menggalakkan ini pasti akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan prasarana/infrastruktur, peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup dan yang paling penting sekali ialah penghapusan istilah "negeri termiskin". Jika istilah ini berjaya dihapuskan, maka hilanglah modal politik pembangkang pada PRU14 nanti.

Suku pertama tahun ini sahaja, Sabah telah menerima pelaburan swasta tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak RM10 bilion. Dan sehingga 30 September lepas jumlah pelaburan terkumpul sektor swasta menerusi Projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah mencecah RM114 bilion sejak pelancarannya pada tahun 2008.

Dalam pelan pelaksanaan kedua RMK-10, Sabah diperuntukkan RM4.376 bilion bagi tahun 2012 untuk melaksanakan sebanyak 743 projek pembangunan di negeri ini. Pasti Bumburing sudah sedia maklum bahawa semua projek-projek pembangunan ini akan dinikmati oleh rakyat bukan sahaja di tahun ini malah di tahun-tahun berikutnya (selepas PRU13). Sebab itu dia kata "no second chance".

Lebih menguatkan terjemahan Bullet apabila semua program dan agenda pembangunan kerajaan untuk Sabah sebagaimana yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bakal menyaksikan penyeragaman harga barangan, pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia dan perluasan kawasan jelapang padi di negeri ini.

Kesemua perkembangan ini menggambarkan penyelesaian secara menyeluruh telah dirancang dan sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan bukan sahaja untuk dinikmati oleh rakyat, malah untuk menghapuskan terus bahan-bahan politik pembangkang sehingga Bumburing dengan nada terdesak terpaksa mengakui bahawa tidak ada peluang kedua untuk pembangkang jika mereka gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada PRU13 yang dijangka bermula tidak lama lagi.

***kan lagi tepat jika Bumburing cakap tidak ada peluang kedua untuk dirinya.. siapa suruh lompat***

By: Borneo Bullet

Sunday, October 7, 2012

SPRM akui siasatan sudah selesai

Mohd Shukri Abdull
“The investigation against Musa is on corruption (not abuse of power) and we have completed the investigation, but the panel has instructed us to get more evidence,”


Menurut Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull, pihaknya perlu mendapatkan lebih banyak bahan bukti untuk mendakwa Datuk Musa Aman. Bermakna sejak tahun  1996 (tahun dimana bermulanya rasuah Datuk Musa Aman menurut Sarawak Report) sehingga tahun 2012, badan pencegah rasuah ini masih kehulu-kehilir mencari bahan bukti?

Malah pihak SPRM sendiri mengakui bahawa siasatan sudah selesai. Bermakna badan ini telah gagal membuktikan bahawa Datuk Musa Aman terlibat dengan skandal rasuah pembalakan. Adakah disebabkan desakan bertubi-tubi pihak pembangkang, maka SPRM terpaksa berusaha membuktikan pihak yang tidak bersalah sebagai bersalah?

Ketiadaan atau kekurangan bahan bukti selepas 16 tahun isu ini dimainkan cukup untuk membuktikan bahawa Datuk Musa Aman tidak terlibat dengan skandal pembalakan atau skandal pengubahan wang haram sebagaimana yang dimomokkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dan juga NGO tajaan mereka.

Jika pemimpin-pemimpin pembangkang masih terus mendesak SPRM supaya membuktikan yang tidak bersalah sebagai bersalah, kenapa tidak desak SPRM untuk terus mencari bahan bukti bagi kes RM4 bilion Jeffrey Kitingan dan skandal SAS Datuk Yong Teck Lee? atau mungkin MP PAS Kubang Kerian Salahuddin Ayub sendiri perlu arahkan pihak polis untuk terus mencari bahan bukti bagi kes liwat Anwar sekalipun perbicaraan kes itu sudah selesai.

Rakyat Sabah jangan mudah terpengaruh dengan dakyah politik pembangkang. Niat mereka hanya satu, iaitu untuk merampas kuasa, bukannya menegakkan kebenaran. Dipihak mereka sendiri banyak berlaku penyelewengan, penindasan, diskriminasi dan ketidak-cekapan pentadbiran.

Walau berpuluh tahun pun isu ini dimainkan, cukuplah hanya sekali Datuk Musa Aman menafikan tuduhan ini dan menegaskan bahawa beliau bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

By: Borneo Bullet

Laporan palsu Merdeka Centre cuba tutup rekod cemerlang Musa Aman

Merdeka Centre
Berdasarkan Sentiment Indicator Merdeka Centre, bagaimana boleh berlaku penurunan terhadap kelima-lima perkara diatas ketika Sabah dibawah pentadbiran Datuk Musa Aman berjaya mengekalkan kecekapan pengurusan kewangan serta membangunkan ekonomi negeri ini lebih baik dari tahun 2009? 

Kejayaan Sabah menguruskan kewangannya dengan cemerlang membuktikan kemampuan kerajaan negeri mengurus hasil-hasil negeri dengan baik. Petunjuk ini disifatkan sangat positif kerana peruntukan yang dijimatkan dan dividen yang disalurkan membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk faedah rakyat. Hasilnya kelak, peluang pekerjaan akan bertambah, pendapatan isirumah akan turut meningkat dan sekaligus meningkatkan kuasa beli rakyat di negeri ini.

Selain itu, Sabah juga menerima pelaburan bernilai RM23.9 bilion sejak bermulanya Rancangan Malaysia ke-Sepuluh (RMK-10) tahun lepas, hingga suku pertama tahun ini. Keseluruhan daripada jumlah pelaburan itu, RM12.4 bilion atau 53 peratus merupakan pelaburan tempatan, manakala RM11.4 bilion membabitkan pelaburan asing. Pelaburan ini telah menjana sejumlah 14,674 peluang pekerjaan. 

Selain itu, terdapat 31 lagi projek baru (EPP) dikenal pasti untuk dilaksanakan di Sabah bagi meningkatkan pendapatan negara dan mewujudkan peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada rakyat di negeri ini. Antara EPP itu, sektor petroleum dan gas menyumbang sebanyak RM18.72 bilion. Nilai Pendapatan Kasar (PNK) yang bakal dihasilkan ialah sebanyak RM12.8 bilion di samping bakal menyediakan 23,119 peluang pekerjaan.

By: Borneo Bullet

Siapa disebalik Merdeka Centre?

Seperti yang Bullet janjikan, berikut adalah sedikit latarbelakang penggerak utama Merdeka Centre berdasarkan maklumat dari blogger The Unspinners.

Ibrahim Suffian
Merdeka Centre bermula pada tahun 2002, selepas era reformasi yang diterajui oleh Ibrahim Suffian. Ibrahim Suffian adalah penyelaras dana “Canadian International Development Agency” (CIDA) yang mengambil tempat dalam pejabat Suruhanjaya Tinggi Kanada. CIDA dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Kanada menerusi Suruhanjaya Tingginya untuk kegiatan mempromosi nilai-nilai demokrasi, hak asasi manusia dan ketelusan proses pilihanraya di Malaysia yang masih dianggap rendah. Begitulah yang diakui tetapi peranan sebenar mereka adalah lebih berupa operasi covert untuk tujuan seperti menjatuhkan kerajaan yang ada.

Sejak zaman reformasi 1999, Ibrahim Suffian telah diberi peranan oleh Suruhanjaya Tinggi Kanada untuk menjadi “agen of influence” dan perantara bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada NGO dan parti pembangkang untuk menggerakkan aktiviti anti-kerajaan di negara ini. Berselindung di sebalik aktiviti bercorak pembangunan demokrasi, dana disalurkan kepada NGO pro-demokrasi termasuklah Malaysiakini.com, Tenaganita, Pertubuhan Kebajikan Budi Malaysia (BUDI), SUARAM, HAKAM, dan Malaysia Citizan Election Watch (MCEW).

Pendirian politik Ibrahim Suffian adalah pro Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum pru 2008 yang lalu, Ibrahim Suffian sering menghadiri mesyuarat bersama DSAI di ibu pejabat PKR, Merchant Square Tropicana, Petaling Jaya bagi membincangkan strategi pilihan raya. Ibrahim Suffian juga terlibat merencana strategi politik DSAI, dan tidak mustahil serangan bertubi-tubi pihak luar terhadap kerajaan negeri Sabah juga adalah rancangan dari beliau.

Sepanjang tahun ini banyak strategi rampasan kuasa Anwar ditumpukan di Sabah. Bermula dengan demonstrasi jalanan, serangan media asing Sarawak Report, serangan NGO asing Bruno Manser Fund, mendalangi siri pembelotan MP BN Sabah, dan yang terbaru menggunakan badan penyelidik bebas Merdeka Centre untuk mempengaruhi persepsi rakyat Sabah berkenaan dengan populariti kepimpinan Datuk Musa Aman. Untuk pengetahuan umum, serangan politik anwar bukan sehala, ia banyak hala, samada secara direct, halus, belakang dan sebagainya asalkan matlamatnya mahu menduduki kerusi Perdana Menteri  tercapai.

Sebab itulah dalam pendirian Bullet sebelum ini sangat tidak bersetuju dengan hasil kajian Merdeka Centre yang sudah tentu mempunyai agenda lain (mengikut telunjuk Anwar). Amat bahaya jika rakyat memberikan mandat kepada pemimpin yang suka menerima bantuan dari kuasa asing untuk menghancurkan negara ini. 

Jika masih kurang yakin dengan wajah sebenar Merdeka Centre, cuba lihat gambar di bawah. Bagaimana logo DAP (Pulau Pinang), PAP (Singapura) dan Merdeka Centre hampir sama?? ada kaitan??..

By: Borneo Bullet

Kajian Merdeka Centre terhadap Datuk Musa Aman diragui

Bullet agak ketinggalan sedikit mengulas isu-isu terhangat dan terkini berbanding dengan blogger Sabahan yang lain. Namun, sempat juga Bullet berlegar-legar di ruangan maya memerhatikan pandangan beberapa blogger berkenaan dengan hasil kajian Merdeka Centre terhadap populariti Datuk Musa Aman. Ada yang tidak bersetuju, ada juga yang bersetuju dan ada juga blogger yang menyerang pandangan jujur blogger lain, tapi pandangan peribadi blogger tu entah kemana pula hala-tujunya.

Pertama sekali ingin Bullet mengulas kaedah kajian yang digunakan pakai oleh Merdeka Centre. Seperti yang kita sedia maklum, Merdeka Centre menggunakan kaedah panggilan telefon secara rawak. Sesiapa sahaja boleh menjawab panggilan telefon itu atau menjawab melalui sistem pesanan ringkas (SMS) secara sambil lewa atau membuta tuli. Satu daripada batas tinjauan melalui telefon ialah jenis soalan yang boleh disoal. Soalan perlu pendek dan agak ringkas dan jenis pilihan jawapan mestilah pendek dan sedikit. Bila jawapan itu pendek dan ringkas, bolehkah ianya diambil kira sebagai maklumat lengkap untuk menggambarkan populariti seseorang?

Yang kedua ialah bentuk soalan yang dikemukakan oleh pihak Merdeka Centre. Kepada yang pernah dihubungi oleh Merdeka Center, mungkin mereka tidak sedar bahawa soalan-soalan yang diajukan adalah bersifat “leading question”. “Leading question” bermaksud suatu pertanyaan yang diungkapkan padahal jawapannya telah ada dalam pertanyaan itu sendiri. Ia bersifat berat sebelah, atau “bias”. “Leading question” tidak memberi kebebasan kepada responden kerana soalan dicipta terarah kepada jawapan yang dimahukan oleh pihak yang bertanya soalan. Jesteru, bagaimana untuk Merdeka Centre bersikap neutral sedangkan soalan-soalan yang diajukan bersifat “leading question”? Sebagai contoh:

"Apakah Datuk Musa Aman gagal membela nasib rakyat?  - a)Ya b) Tidak"

sedangkan, untuk menilai pendapat rakyat, bentuk soalan yang harus ditanya ialah:

"Apa pendapat anda tentang kepimpinan/pentabiran Datuk Musa Aman?"

Maka, terpulang kepada rakyat, untuk memberi buah fikiran, atau pendapat mereka tentang Datuk Musa Aman, kerana jawapan yang diberikan itu adalah bersifat bebas dan tidak terarah kepada satu-satu perkara.

Secara keseluruhannya, Bullet juga tidak bersetuju dengan hasil kajian Merdeka Centre atas sebab kaedah kajian masih boleh dipertikaikan. Malah hasil kajian Merdeka Centre juga amat bertentangan dengan realiti sambutan rakyat Sabah dalam setiap majlis yang dihadiri oleh Datuk Musa Aman. Berbanding dengan hasil kajian Merdeka Centre, Bullet lebih setuju jika kemenangan BN Sabah ketika PRK Batu Sapi 2010 dijadikan sebagai penanda aras tentang populariti Datuk Musa Aman.

***ikuti pendedahan seterusnya siapa disebalik Merdeka Centre...

By: Borneo Bullet

Saturday, October 6, 2012

kerajaan Negeri memandang serius isu NCR


Osman Jam
Kenyataan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal pada 26 September 2012 yang mengatakan bahawa Hak NCR Bumiputera sudah tidak berkuat-kuasa sejak 13 Disember 1930 dan pemohon selepas tarikh itu tidak lagi mempunyai hak demikian; hanya merupakan tafsiran peribadi dan bukannya tafsiran rasmi atau tafsiran dipihak kerajaan BN Sabah.

Jika benarlah tafsiran yang dibuat oleh Datuk Osman Jamal, bermakna beliau telah menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930. Malah kemenangan penduduk Kg. Lakang, Paitan dalam Daerah Beluran bagi kes tuntutan Tanah Adat pada July tahun ini juga mungkin boleh diragui keputusannya jika tafsiran Datuk Osman Jamal diambil kira.
 
Musa Aman
Sebaliknya, Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman sendiri pernah membincangkan perkara ini secara mendalam ketika mesyuarat kabinet negeri awal tahun ini susulan kenyataan yang sama dibuat oleh Peguam Besar Sabah Datuk Roderic Fernandez pada waktu itu. Kesudian Datuk Musa Aman membawa perkara ini ke mesyuarat kabinet negeri menunjukkan pendirian kerajaan Sabah sangat memandang serius isu Tanah Adat Negeri (NCR) dan berusaha mencari penyelesaian terbaik yang boleh menguntungkan semua pihak terutamanya penduduk pribumi negeri ini.

Maximus
Malah Datuk Maximus Ongkili sendiri memberikan jaminan bahawa sekiranya tafsiran ini benar, PBS akan bertindak dengan mendesak kerajaan supaya melakukan pindaan dalam Ordinan Tanah Sabah bagi melindungi hak penduduk pribumi di negeri ini. Selain Maximus, Tan Sri Bernard Dompok juga tidak bersetuju dengan kenyataan atau pandangan yang cuba menafikan hak-hak pribumi Sabah.

Melalui pendirian tegas pemimpin-pemimpin komponen BN Sabah ini, rakyat Sabah tidak perlu risau untuk terus mempertahankan dan menuntut hak-hak mereka walaupun ada segelintir individu yang memegang portfolio tertentu dalam kerajaan yang cuba menafikan hak-hak penduduk Sabah.

Menurut Ordinan Tanah Sabah Bab 68, sesuatu kawasan akan diiktiraf sebagai kawasan Tanah Adat jika mana-mana daripada terma berikut dipatuhi:
 
  1. Perolehan tanah menurut Pegangan Adat/Kaum (di mana termanya diterangkan di "Seksyen 65");
  2. Tanah yang ditanami dengan buah-buahan, di mana jumlah pokok adalah antara 50 atau lebih pada setiap hektar;
  3. Pengasingan pokok buah-buahan, sagu, rotan atau lain-lain tanaman yang mempunyai nilai komersial yang mana dapat dibuktikan oleh penuntut kepada pemunggut tanpa keraguan;
  4. Tanah perladangan/ternakan;
  5. Tanah yang telah dimajukan atau diusahakan dalam masa tiga tahun berturut-turut;
  6. Tanah perkuburan atau tempat keramat;
  7. Jalan masuk biasa bagi orang atau binatang. 
Bukankah kewujudan terma-terma ini dalam Odinan Tanah Sabah membuktikan bahawa hak NCR Bumiputera masih berkuat-kuasa sehingga hari ini?

Kerajaan BN Sabah pada dasarnya menyokong tuntutan penduduk terhadap Tanah Adat ini dan tidak mahu kebajikan dan hak penduduk dipinggirkan. Lantaran itu, kawasan yang dituntut berkenaan jika terbukti mematuhi salah satu daripada terma-terma diatas melalui penyiasatan yang sistematik dan telus, perlu dan akan dikembalikan kepada penuntut mengikut keluasan yang sesuai. Kawasan berkenaan tidak boleh diberi kepada penduduk atau syarikat luar tanpa persetujuan majoriti penduduk asal kawasan berkenaan.

Jika ada pihak yang berpendapat bahawa kerajaan BN Sabah tidak melakukan apa-apa bagi menyelesaikan masalah ini, bagaimana boleh wujudnya cadangan mengeluarkan kawasan Tanah Adat menjadi Tanah Kerajaan yang boleh dipohon penduduk sama ada dalam bentuk geran persendirian atau geran komunal? 
 
Namun, malangnya usaha perjuangan penuntut (Rakyat) dan penambah-baikan (Kerajaan) ini bukan mudah dilaksanakan memandangkan wujud media informasi, peranan NGO, Suhakam dan pembangkang yang lebih suka menggunakan kehebatan mereka untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan rakyat berbanding dengan penyelesaian atau penjelasan.

By: Borneo Bullet

Wednesday, October 3, 2012

Musa Aman: "bersedia memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa jika perlu"

"Saya nafikan semua dakwaan ini. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa saya tiada sebarang urusan perniagaan apa pun dengan individu bernama Michael Chia,"

"Malangnya terdapat pihak di luar sana yang akan terus mengitar semula tuduhan-tuduhan seperti ini apabila pilihan raya semakin dekat"

 “Rakyat Sabah boleh buat keputusan berdasarkan rekod prestasi saya. Bukan mereka yang tidak dikenali dan tidak bernama yang menggunakan blog untuk berkhidmat demi kepentingan politik mereka,”

"Bagaimanapun Musa menambah bersedia memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa jika perlu namun menegaskan pada masa sama mahu memberikan fokus kepada negeri pimpinannya."
 
Masih ingat dengan kenyataan-kenyataan di atas? kenyataan diatas ialah jawapan ringkas Datuk Musa Aman kepada media-media tajaan pembangkang yang cuba menuduh Ketua Menteri Sabah ini kononnya terlibat dalam skandal pembalakan dan skandal penggubahan wang haram di Hong Kong dan Switzerland.

Walaupun agak ringkas, namun perkembangan semasa tuduhan ini seolah-olah memihak kepada penafian yang telah dibuat oleh Datuk Musa Aman. Buktinya, sehingga hari ini tidak ada tindakan dikenakan terhadap Datuk Musa Aman, baik dipihak SPRM mahupun ICAC. Malah tidak ada laporan terkini dipihak pendakwa raya Switzerland yang sebelum ini dikatakan telah membuka fail siasatan berkenaan dengan jenayah pengubahan wang haram ke dalam UBS.

Walau seribu kalipun tuduhan ini dikitar semula, jika tuduhan itu hanya fitnah dan bermotifkan politik, hasilnya tetap sama. Tidak akan ada tindakan dipihak mahkamah, melainkan dipihak rakyat (pengundi) yang mungkin akan melaksanakan "hukuman" di peti undi akibat terpengaruh dengan tuduhan tidak bertanggungjawab oleh media tajaan pembangkang ini. Jelas sekali tujuan mereka bukan untuk menegakkan kebenaran, sebaliknya sekadar untuk "menegakkan" kerajaan pembangkang yang selama ini mengidam jawatan-jawatan kabinet.

Sebelum ini Datuk Musa Aman pernah menyuarakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menyiasat semua tuduhan-tuduhan yang dikaitkan dengan beliau. Bukankah kesediaan beliau ini menunjukkan beliau tidak sedikitpun gentar dengan tuduhan-tuduhan ini (dan kerana beliau tidak bersalah)? Malah beliau terus memberikan komitmen penuh terhadap tugas utama beliau untuk memacu pembangunan negeri ini ketika media-media tajaan pembangkang terus-menerus memainkan isu-isu kitar semula.

Cukuplah badan-badan seperti SPRM, ICAC dan pendakwa raya Switzerland sahaja yang menyiasat kes ini. Media-media pro pembangkang hanya perlu melaporkan hasil siasatan atau perkembangan siasatan, bukannya mendahului siasatan dengan melaporkan perkara-perkara yang tercetus dari imaginasi jijik politik pembangkang.

"Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin dekat, banyak isu kini dikitar semula dan disegarkan untuk survival politik pakatan pembangkang"

By: Borneo Bullet 

Sunday, September 30, 2012

Bajet 2013: Ulasan Lajim terburu-buru

"KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin melahirkan rasa kekecewaan apabila kerajaan Umno BN terus meminggirkan rakyat Sabah dan Sarawak pada Bajet 2013 yang dibentangkan kelmarin."

Sebelum BB ulas lebih lanjut berkenaan dengan kenyataan Datuk Seri Lajim Ukin ini, eloklah kita imbas kembali kenyataan beliau ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan Barisan Nasional.
Dulu dia cakap Sabah telah menerima kesan pembangunan infrastruktur melalui Bajet 2011, hari ini dia cakap Sabah TERUS dipinggirkan pula. Jika benar Sabah TERUS dipinggirkan, bagaimana dia boleh cakap Sabah telah menerima kesan pembangunan sebelum ini? Seolah-olah dia nafikan sendiri pengakuan yang telah dia buat.
 
Selain menafikan pengakuan sendiri, ulasan Datuk Lajim melalui artikel di atas juga terlalu lemah dimana beliau hanya melihat "jelapang padi" dan "bantuan RM250 kepada belia" daripada keseluruhan teks ucapan Datuk Seri Najib. 

Sepanjang pembentangan bajet ini, apa yang Datuk Lajim buat hinggakan dua perkara itu sahaja yang mampu dia ingat? Bagaimana dengan insentif cukai dan bukan cukai untuk minyak dan gas di Sipitang, pemasangan CCTV untuk PBT di Sabah, pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Luar Bandar (RTC), 40 ribu tangki air, pengangkutan bas berkualiti, program penyeragaman harga dan sebagainya? Semua ini ada dibentangkan oleh Datuk Najib, bukan hanya jelapang padi.

Berkenaan dengan bantuan RM250 kepada belia bujang pula, Datuk Lajim cuba mempertikaikan bantuan itu dengan alasan ianya bukan bersifat jangka panjang yang boleh manjamin masa depan belia muda. 

Memang betullah bantuan itu bukan bersifat jangka masa panjang, namun perlu diingat, dalam pembentangan bajet 2013 ini juga turut memberi penekanan kepada masa depan belia muda melalui Graduate Employability Blueprint, Program Skim Latihan 1Malaysia, peruntukan RM738 juta ringgit bagi pembangunan belia dan sukan, program Y-Creative, penubuhan New Entrepreneur Foundation, Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U dan Pakej Komunikasi Belia. Bukankah semua ini untuk masa depan belia muda?

Agak menghairankan bila Datuk Lajim membangkitkan persoalan-persoalan itu selepas jawapannya telah dibentangkan. BB rasa eloklah Datuk Lajim baca balik intipati bajet 2013 kerajaan BN sebelum membuat ulasan-ulasan yang bersifat dangkal dan memesongkan fakta sebenar.

**Dalam 7 teras Belanjawan Pakatan Rakyat 2013, tidak ada tumpuan diberikan kepada masa depan belia muda. Yang ada cuma "mengangkat martabat wanita". Belia??**

By: Borneo Bullet

Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013: Sabah tidak dipinggirkan

Bajet 2013 yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat, Sebuah Janji Ditepati" telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada jam 4 petang kelmarin. Keseluruhan intipati bajet 2013 ini memberi tumpuan kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara dengan memberi penekanan terhadap meningkatkan taraf hidup rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Sebagaimana yang telah dibentangkan, bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.

Berikut adalah tumpuan yang diberikan oleh kerajaan BN melalui Bajet 2013 terhadap negeri Sabah yang BB telah ringkaskan daripada teks asal pembentangan Bajet oleh Datuk Seri Najib Razak;


Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar US telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.

Bagi sektor perladangan pula, Sabah tentunya akan menerima impak dari peruntukkan sebanyak 432 juta ringgit yang disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit memandangkan Sabah mempunyai kawasan penanaman kelapa sawit terbesar berbanding negeri lain iaitu seluas 1.36 juta hektar daripada 4.69 juta hektar keluasan tanaman di seluruh negara.

Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan.

Di bawah misi "Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni", Kerajaan akan menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Di bawah Program Transformasi Bandar atau UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Di luar bandar, Kerajaan telah membuka Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Dibawah "Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli", Sebanyak Rm100 juta ringgit akan diperuntukkan bagi membekal 40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

Dan yang paling penting sekali, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.


Kesimpulannya, ringkasan intipati Bajet di atas sudah cukup menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib sangat mengambil berat keperluan dan tuntutan rakyat di Sabah. Belum termasuk peruntukan-peruntukan lain yang tentunya akan turut dinikmati oleh rakyat di negeri ini, cuma tidak dijelaskan secara terperinci dalam teks ucapan beliau; seperti peruntukkan kepada pendidikan, jalanraya, pembasmian kemiskinan dan sebagainya.


**Seperti bajet negara yang dibentangkan sebelum ini, Bajet 2013 juga padat dengan pelbagai hadiah istimewa kepada rakyat di SELURUH negara.**

Teks Asal (DISINI)

By: Borneo Bullet