Saturday, May 11, 2013

5 muka baru anggotai Kabinet Sabah

Kota Kinabalu: Lima muka baru antara 11 anggota Kabinet Sabah yang dibentuk selepas Barisan Nasional (BN) menang majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad lalu.

Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (Menteri Belia dan Sukan), ADUN Karambunai, Datuk Jainab Ahmad (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna), ADUN Paginatan, Datuk Siringan Gubat (Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat) dan ADUN Melalap, Datuk Radin Malleh (Menteri Pembangunan Luar Bandar). 

ADUN Tanjong Kapor, Datuk Teo Chee Kang dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas iaitu portfolio baru diwujudkan bagi menggantikan Kementerian di Jabatan Ketua Menteri yang sebelum ini dijawat ADUN Senallang, Datuk Nasir Sakaran yang digugurkan. 

Bagaimanapun, Nasir dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Sabah (Sedco) baru yang bertaraf menteri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman kekal sebagai Menteri Kewangan negeri manakala tiga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (Menteri Pembangunan Infrastruktur), Datuk Yahya Hussin (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah (Menteri Pembangunan Perindustrian).

Dilantik semula

Raymond dilantik semula ke jawatan itu bagi mengisi kuota kaum Cina dan menggantikan Datuk Dr Yee Moh Chai yang tidak dipilih semula selepas tewas di DUN Api-Api pada PRU-13. 
Sementara itu, dua muka lama dalam Kabinet Sabah kekal memegang jawatan sebelum DUN dibubarkan iaitu ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor kekal (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan) dan ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar).

Semua mengangkat sumpah dalam upacara khas di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada jam 4 petang, semalam.

Pembantu menteri

Sementara itu, sembilan muka baru dilantik pembantu menteri iaitu ADUN Kuamut, Masiung Banah (Pembantu Menteri Belia dan Sukan), ADUN Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris serta ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam (Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan) dan ADUN Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban (Pembantu Menteri Kewangan), 

ADUN Membakut, Datuk Ariffin Arif (Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas) dan ADUN Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samad (Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat), ADUN Tandek, Anita Baranting (Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna), ADUN Kunak, Datuk Nilwan Kabang (Pembantu Menteri Luar Bandar) dan ADUN Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi (Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar).

Mereka yang dikekalkan ialah ADUN Tanjung Aru, Datuk Edward Yong Oui Fah serta ADUN Sook, Datuk Ellron Angin (Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas), ADUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail (Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian), ADUN Merotai, Datuk Pang Nyuk Ming (Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan ADUN Labuk, Datuk Michael Asang (Pembantu Menteri Kewangan), 

ADUN Nabawan, Datuk Bobbey Suan serta ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur) dan ADUN Liawan, Datuk Sairin Karno serta ADUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli (Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan).

Bercakap kepada pemberita di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, Musa menyifatkan Kabinet menggabungkan muka lama dan baru itu sebagai pasukan yang kukuh, dinamik dan boleh bekerjasama bagi meneruskan perancangan serta agenda untuk membangunkan negeri ini.

6 comments:

  1. Datuk Musa Aman sebagai Ketua Menteri sabah yang mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap perlantikan jemaah menteri yang diterajuinya.

    ReplyDelete
  2. Jemaah Menteri Sabah yang mengangkat sumpah di Istana Negeri di depan TYT Sabah mencerminkan bahawa jumlah anggota jemaah menteri berasaskan komposisi kaum bukan berasaskan atas sokongan undi.

    ReplyDelete
  3. Kenapa dikatakan demikian? PBS adalah parti yang mengalami kekalahan teruk semasa PRU-13, di mana 7 kawasan DUN dan satu Parlimen yang ditandinginya mengalami kekalahan, pun demikian enam daripada tujuh wakil rakyatnya dilantik menganggotai jemaah menteri.

    ReplyDelete
  4. Demikian juga kaum cina, daripada 13 kawasan yang diwakili kaum cina samada parlimen mahupun dun, 6 dimenangi Bn dan 7 dimenangi pembangkang.

    ReplyDelete
  5. Namun, dalam jemaah menteri Sabah, kaum itu diwakili dua menteri penuh dan dua pembantu menteri.

    ReplyDelete
  6. Daripada 29 anggota jemaah menteri Sabah, 14 merupakan daripada kaum bumiputera islam lain, manakala 11 daripada KDM dan 4 kaum cina.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.