Sunday, May 12, 2013

Pakatan Rakyat Hasut Anak Muda Hantar Memorandum Kepada SPR

PUTRAJAYA: Memorandum yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada beberapa pergerakan belia dan mahasiswa semalam dibuat berdasarkan fitnah dan hasutan termasuk daripada pemimpin pakatan rakyat yang tidak bertanggungjawab dan media sosial. 

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata memorandum itu jelas menunjukkan bahawa ia dibuat tanpa penyelidikan dan oleh mereka yang tidak memahami undang-undang negara. 

“Inilah akibat meracuni fikiran anak-anak kita, pelajar kita di universiti-universiti, kolej-kolej, dengan pembohongan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR di sini kelmarin. 

Wan Ahmad berkata memorandum itu antara lain menyebut tentang kehadiran pengundi asing pada pilihan raya umum Ahad lepas, sedangkan penjelasan telah diberikan mengenai proses pendaftaran pengundi di negara ini iaitu adalah mustahil untuk warga asing mengundi. 

Mengenai manipulasi dan penipuan yang didakwa dilakukan SPR termasuk mengenai pengundi hantu, beliau meminta bukti-bukti mengenainya dibawa ke mahkamah. 

Wan Ahmad berkata golongan muda selalunya mempunyai sikap ‘menentang’ dan ingin membuat perkara yang berlainan, dan perkara itulah yang diambil kesempatan oleh pemimpin-pemimpin pakatan rakyat yang tidak bertanggungjawab. 

“Saya difahamkan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya (Rabu lepas), 80 peratus (yang hadir) adalah berusia 40 tahun ke bawah dan ada sebahagiannya tak sampai umur 21 tahun, tak tahu apa tapi seronok pergi stadium. Pemimpin (pakatan rakyat) ambil kesempatan cakap berapi-api kerana kecewa tak dapat jadi Perdana Menteri, inilah yang berlaku di negara kita sekarang,” katanya. 

Wan Ahmad menegaskan apa yang dibuat SPR adalah mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara dan parti-parti politik sedia maklum mengenai undang-undang tersebut, malah banyak buku-buku penjelasan mengenainya telahpun diterbitkan. 

“Anak-anak muda yang dihasut pemimpin pembangkang mungkin tak baca buku undang-undang, tapi pemimpin politik baca. 

“Kalaulah pihak berwajib tidak membetulkan segala dakyah yang berlaku ini, amat malang sekali kerana Malaysia sudah berjaya dalam pelbagai bidang, kemajuan ekonomi, sosial…proses demokrasi berlandaskan undang-undang, namun pihak yang kalah mengajar rakyat tak mahu terima undang-undang akan membawa negara ke arus kehancuran,” katanya. 

Semalam, sekumpulan kira-kira 50 pemuda yang mendakwa daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia dan Gerakan Mahasiswa 13, menghantar memorandum kepada SPR di sini antaranya mendesak pegawai SPR meletak jawatan, penubuhan SPR di bawah satu kepimpinan baharu dan pilihan raya umum diadakan semula.

1 comments:

  1. pakatan tidak patut menghasut dan menggunakan anak muda untuk kepentingan mereka

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.