Sunday, March 17, 2013

Jaminan Datuk Seri Musa Aman Untuk Rakyat Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau tidak akan membiarkan seinci pun tanah bumi Sabah diserahkan kepada penceroboh dan tetap akan mempertahankan keamanan dan kedaulatan negeri itu.

Beliau berkata meskipun kemelut pengganas militan Sulu di Lahad Datu dan Semporna mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan negara namun ia tidak mematahkan semangat pihak berkuasa dalam membanteras kumpulan itu.

“Pencerobohan anasir luar itu hanya ingin memporak-porandakan negara ini khususnya rakyat Sabah yang telah melalui kehidupan di bumi ini yang aman damai,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerja di Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kayu, di sini, kelmarin.

Musa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, berkata berdasarkan kemampuan dan kekuatan kerajaan Barisan Nasional (BN), negara mampu menangani krisis pencerobohan kumpulan pengganas dari selatan Filipina itu.

Beliau mengajak seluruh rakyat supaya memperkukuhkan perpaduan serta berkongsi tanggungjawab mempertahankan negara dengan menyokong apa jua tindakan untuk menghapuskan musuh negara itu.

Musa, yang juga Pengerusi BN Negeri, turut mengingatkan rakyat agar terus menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang termasuk usaha yang dilakukan kerajaan sedia ada demi kesinambungan pembangunan yang berterusan.

Menurutnya, ini berikutan kerajaan BN telah banyak berjasa kepada rakyat dengan memperkenalkan pelbagai projek, dasar dan program terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menunjukkan betapa komited dalam usaha membela nasib rakyat. - New Sabah Times

2 comments:

  1. kedaulatan Sabah akan terus dipertahankan.

    ReplyDelete
  2. negara aman, rakyat sihat dan selamat.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.