Monday, March 4, 2013

Industri sawit Sabah memandang serius pemuliharaan alam semula jadi

Langkah kerajaan memperkenalkan aspek pertanian di negeri ini bagi mengurangkan penggantungan kepada balak tidak menjejaskan saiz hutan di Sabah. Ia ekoran pelaksanaan sistem hutan simpan yang menjadikan kira-kira 60 peratus muka bumi Sabah masih dilitupi hutan.

Sekalipun negeri ini menyaksikan perubahan lanskap yang pesat sejak beberapa dekad yang lalu namun kerajaan berjaya mengekalkan kira-kira empat juta hektar muka bumi Sabah masih diliputi hutan, yakni, hutan simpan, taman dan santuari hidupan liar.

Kadar penerokaan hutan bagi tempoh 1970 hingga 2010 adalah 0.5 peratus dengan kemuncaknya sekitar 1990 dan 2000 iaitu ketika tempoh letusan ladang kelapa sawit. Namun, hutan hujan di Sabah berjaya dipulihkan dengan sebahagian besar aset biologinya kekal utuh serta tiada rekod mengenai kepupusan haiwan. 

Langkah kerajaan memberikan penekanan kepada sektor pertanian telah berjaya meletakkan industri ini kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri Sabah. Pada tahun lepas (2012), kawasan tanaman sawit negara telah mencecah seluas lima juta hektar meliputi 73.2 peratus kawasan tanah pertanian negara di mana Sabah mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang mempunyai kawasan tanaman sawit terbesar dengan keluasan 1.43 juta hektar. 

Tambahan daripada itu, pengeluaran minyak sawit mentah pada tahun lepas juga meningkat sebanyak 11.3 peratus iaitu daripada 16.99 juta tan pada tahun 2010 kepada 18.91 juta tan tahun lepas. Malah pengukuhan harga sawit di pasaran global turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan eksport produk sawit dengan nilai eksport pada tahun lepas mencatatkan peningkatan 34 peratus iaitu RM83.4 bilion berbanding dengan RM62.2 bilion pada tahun 2010.

Dengan 124 kilang minyak sawit dan kilang pemecah isi rong minyak sawit serta kilang-kilang dalam industri hiliran minyak sawit di Sabah, industri minyak sawit adalah signifikan bukan sahaja kepada ekonomi negeri tetapi juga kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Namun disebalik kejayaan kerajaan negeri Sabah menjana pendapatannya melalui industri pertanian secara mampan, malah berjaya menyediakan sebanyak 2,200 peluang pekerjaan secara langsung ekoran daripada penubuhan kilang-kilang industri hiliran minyak sawit dan gudang-gudang di POIC Lahad Datu yang mana kebanyakan pekerjaan itu telah diisi oleh rakyat tempatan, ada pula pihak luar yang cuba mengulangi kerja-kerja sabotaj seperti rangkaian Zoo Victoria di Australia bagi melancarkan kempen anti minyak sawit dengan melemparkan tuduhan mengaitkan pengeluaran minyak sawit dengan kemusnahan hutan dan kepupusan habitat hidupan liar. 

Perlu diingat, tomahan dan tanggapan negatif terhadap minyak sawit atau penanaman sawit di Malaysia, terutamanya di Sabah, oleh NGO-NGO barat sudah pernah dijawab sebelum ini dengan tertubuhnya Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia (MPOWCF).


Pada tahun 2008, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (pada waktu itu), Datuk Peter Chin Fah Kui merasmikan Persidangan Minyak Sawit Mampan Antarabangsa (International Palm Oil Sustainability Conference 2008 - IPOSC 2008) di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah.

Antara topik yang dìbentangkan ialah penilaian kemapanan dan kitaran hidup di dalam industri minyak sawit; kemampanan, tanggunawab Sosial korporat (CSR) dan pensijilan minyak sawit dan kawasan tanah paya (wetlands); pemuliharaan hidupan liar dan penjagaan alam sekitar; dan keseimbangan karbon.

Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, IPOSC menjadi satu platform yang amat baik untuk industri minyak sawit Malaysia dalam melenyapkan dan menangkis segala tuduhan dan sangkaan negatif yang melanda industri sawit selama ini. Pada majlis yang sama, Dana Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Wildlife Conservation Fund - MPOWCF), dana berpusing dengan jumlah sebanyak RM20 juta yang ditubuhkan oleh kerajaan dan juga syarikat perladangan minyak dilancar dengan rasminya. 


Pelancaran Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia (MPOWCF) ini adalah bukti komitmen kerajaan dan industri untuk membiayai program-program kajian dan penyelidikan, dimana ianya akan membantu dalam usaha-usaha memelihara persekitaran dan pelbagai bionya. Ini mengukuhkan lagi mesej bahawa industri sawit amat memandang serius terhadap pemuliharaan alam semula jadi. Ia juga salah satu daripada usaha tanggungjawab Sosial korporat (CSR) dan penjagaan alam sekitar yang ditekankan oleh industri minyak sawit Malaysia.

Pihak-pihak yang sebelum ini banyak memberikan tomahan atau tanggapan buruk terhadap perladangan kelapa sawit di negeri ini sepatutnya mengkaji semula objektif penubuhan MPOWCF yang mana penubuhannya adalah untuk memulih dan menonjolkan imej bersih minyak sawit Malaysia dengan jaminan bahawa penanaman sawit TIDAK memusnahkan kawasan hutan serta habitat hidupan liar di negeri ini.

Jika kemusnahan hutan adalah isu membimbangkan NGO pro alam sekitar, Bullet ingin mengingatkan bahawa Australia yang mempunyai bilangan penduduk lebih kecil berbanding Malaysia memusnahkan hutannya 5 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia (lebih setengah juta hektar setiap tahun di antara tahun 2000 dan 2010). Jika NGO pro alam sekitar berhasrat menghalang kemusnahan hutan, Australia adalah negara yang lebih sesuai untuk diberi perhatian. 

Pelancaran MPOWCF (DISINI)

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.