Friday, March 15, 2013

Penubuhan ESSCOM Rangsang Ekonomi Sabah

ESSCOM Mampu Tingkat Keyakinan Pelabur Asing Di Sabah

Kawasan Keselamatan Khas sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah yang akan dikenali sebagai Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing ke Sabah.

Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi berkata pelaksanaan kawasan itu sebagai pusat kawalan keselamatan akan meningkatkan keamanan di Sabah dan mewujudkan suasana kondusif untuk merangsang penjanaan ekonomi di negeri itu.

"Ini akan dapat meyakinkan pelabur asing untuk membuat pelaburan di negeri ini terutama di kawasan pantai timur Sabah yang mempunyai potensi dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan dan perkhidmatan," katanya kepada Bernama.

Pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Sabah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri itu.

Isnin lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa berkata penggunaan nama ESSCOM telah dipersetujui oleh Najib yang akan mengumumkan perincian butiran lanjut mengenainya tidak lama lagi.

Kawasan Keselamatan Khas Sabah merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu. Lahad Datu akan menjadi pusat pemerintahan ESSCOM.

Langkah itu untuk memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa dalam soal kedaulatan negara, kerajaan akan melakukan apa saja bagi menjamin keamanan dan kedaulatan negeri itu.

Salleh berkata harapan beliau adalah untuk melihat 308,000 penduduk di dalam kawasan parlimen Silam untuk turut merasai nikmat kemajuan ekonomi setelah pelaksanaan ESSCOM.

"Malah saya juga yakin kepada 52,054 pengundi di kawasan saya akan memilih Barisan Nasional kerana parti ini terbukti melaksanakan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan," katanya.

Terdapat tiga Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Silam iaitu Tungku, Lahad Datu dan Kunak. - Bernama

ESSCOM Dapat Tingkat Keyakinan Industri Pelancongan Sabah

Penubuhan kawasan keselamatan khas sepanjang 1,400km di pantai timur Sabah akan terus meningkatkan keyakinan pelancong serta pemain industri termasuk pengendali pelancongan pulau.

Menteri Pelancongan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata penubuhan Eastern Sabah Securtity Command (ESSCOM) menunjukkan bahawa kesejahteraan dan keselamatan merupakan keutamaan kerajaan 'walaupun pada hakikatnya Sabah sepanjang masa menikmati keamanan dan kestabilan'.

"Bagi pihak industri pelancongan di Sabah, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas langkah yang diambil bagi menjamin keselamatan Sabah dan rakyatnya serta memastikan pelawat turut berasa amat selamat," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Masidi berkata keputusan mewujudkan ESSCOM akan membantu menyelesaikan masalah kemasukan haram dan penyeludupan yang tiada berkesudahan di sepanjang pantai timur negeri itu.

Pada 7 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Felda Sahabat 16, berdekatan dengan Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Masidi juga berkata pengumuman Kementerian Dalam Negeri untuk membina lima buah balai polis baharu di lokasi strategik serta menaik taraf beberapa buah balai lain di negeri itu merupakan satu rahmat kepada sektor pelancongan negeri.

"Tidak syak lagi peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sejak beberapa minggu lepas memberi kesan kepada industri pelancongan di Sabah. Isu-isu persepsi dan khabar angin memberi kesan kepada keputusan sama ada mahu berkunjung ke Sabah atau tidak," katanya.

Masidi turut mengulangi jaminan kerajaan bahawa Sabah adalah selamat untuk dikunjungi dan menggesa semua pengusaha pelancongan tempatan supaya meneruskan perniagaan masing-masing seperti biasa.

Menurutnya Kampung Tanduo, iaitu kawasan pencerobohan pengganas Sulu sejak 9 Feb lepas, merupakan sebuah kampung terpencil terletak 140km dari pekan Lahad Datu serta tidak terletak dalam kawasan pelancongan Sabah.

Katanya beliau telah pergi ke Lahad Datu beberapa hari lepas untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mendapati penduduk menjalani kehidupan mereka seperti biasa.

"Kita ada banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memikat semula pelancong ke Sabah. Pihak berkuasa pusat dan negeri sedang melakukan yang terbaik untuk meningkatkan keyakinan dalam industri pelancongan di negeri ini," katanya.

Rakyat Sabah, katanya boleh membantu dengan tidak membenarkan diri mereka dijadikan alat penyebar khabar angin.

"Sila elak menghantar khabar angin yang tidak berasas dalam akaun Facebook dan Twitter anda. Keyakinan pelancong asing banyak bergantung kepada sikap dan tingkah laku anda," katanya. - Bernama

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.