Friday, March 8, 2013

Kerajaan jamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah

Malaysia mewujudkan benteng pertahanan di sepanjang perairan pantai timur Sabah bermula dari Kudat di bahagian Utara hingga ke Tawau di bahagian Tenggara bagi menyekat sebarang elemen pencerobohan terutama dari wilayah kepulauan di selatan Filipina.

Perisytiharan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibuat berikutan kejadian pencerobohan kumpulan militan dari Sulu di Lahad Datu 12 Feb lepas dan sehingga kini insiden itu masih berlanjutan.

"Kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah...soal Sabah dalam Malaysia tidak harus dipertikai oleh sesiapa," kata Najib selepas melawat kawasan 'ground zero' di Felda Sahabat 16, Lahad Datu Sabah.

Kawasan Keselamatan Khas Sabah itu merangkumi Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, dan kerajaan akan menempatkan lima batalion tambahan terdiri daripada pasukan tentera dan polis di kawasan itu.

Menegaskan pendirian Malaysia, perdana menteri berkata operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan dan Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.

Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan memberi cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum melancarkan gerakan ofensif.

"Kita beri tempoh lebih tiga minggu (untuk rundingan) dan tangguh (serangan) empat kali, kita hanya bertindak bila mereka bunuh lapan anggota polis kita," kata Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi bersama pasukan polis dan tentera itu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.