Wednesday, March 6, 2013

Ops Daulat: Seorang lagi pengganas Sulu ditembak mati

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan seorang pengganas Sulu ditembak mati dalam operasi menggeledah di Kampung Tanduo kira-kira pukul 6.45 pagi Rabu.

Ismail turut menasihatkan agar orang awam berhati-hati kerana beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan pengganas kini menyamar sebagai penduduk kampung.

Bagaimanapun Ismail enggan mendedahkan butiran lanjut Ops Daulat termasuk jumlah mayat pengganas yang ditembak mati.

Pasukan keselamatan akan mengumumkan jumlah kematian dan kecederaan pengganas Sulu yang diserang dalam operasi besar-besaran semalam apabila Ops Daulat selesai sepenuhnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media di sini, pagi Rabu bagaimanapun enggan menjelaskan bila operasi tersebut akan berakhir.

Menurutnya sehingga kini operasi mencari dan menggeledah baki pengganas Sulu masih diteruskan. - mstar

Ops Daulat Diteruskan Pagi Ini, Keadaan Terkawal

LAHAD DATU, 6 Mac (Bernama) -- Operasi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, dekat sini diteruskan pada Rabu.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di Lahad Datu dan Semporna masih terkawal.

Di kawasan Felda Sahabat, kawalan pasukan keselamatan negara di bawah Ops Daulat masih ketat dengan zon penampan dikuat kuasa di kawasan-kawasan sekitar 10 kilometer persegi dari Kampung Tanduo.

Keadaan masyarakat setempat di kawasan terbabit berjalan seperti biasa dengan penduduk keluar melaksanakan rutin harian mereka.

Di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari Kampung Tanduo, keadaan masih terkawal dan tenang.

Pemeriksaan polis di sekatan jalan raya yang menuju ke Felda Sahabat juga diperketatkan. Nama wakil media yang bertugas di kawasan itu juga direkodkan pihak polis bagi tujuan keselamatan.

Pemeriksaan juga dilakukan terhadap van dan kenderaan yang membawa penumpang yang ramai.

Di SEMPORNA keadaan juga dilapor tenang dengan masyarakat meneruskan tugasan harian mereka serta premis perniagaan dibuka seperti biasa pada pagi ini. - Bernama

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.