Friday, January 18, 2013

Tiada Mana-Mana Pihak Bantu Pelarian Filipina Dapatkan IC

KOTA KINABALU, 17 Jan (Bernama) -- Beberapa pelarian Filipina yang memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di negeri Sabah pada Khamis memberitahu bahawa tiada mana-mana pihak yang membantu mereka bagi mendapatkan kad pengenalan (IC).

Abd Salam Ali, yang datang ke Sabah pada 19 Jan 1971 berkata beliau sendiri yang berusaha mendapatkan IC nya itu.

"Saya sendiri usahakan permohonan pas sementara di Jabatan Imigresan dan kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah, di Wisma Dang Bandang," katanya semasa menjawab soalan pegawai pengendali Jamil Aripin pada prosiding yang masuk hari keempat itu.

Menceritakan proses bagaimana beliau mendapatkan IC itu, Abd Salam berkata ketika mula-mula tiba ke negeri ini beliau telah memohon pas sementara iaitu pas jalan di Jabatan Imigresen Sabah yang mesti diperbaharui setiap tiga bulan sekali tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Saksi ke-16 itu berkata selepas tiga bulan, beliau memohon pas kuning iaitu IMM-13 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dengan bayaran RM20 bagi tempoh setahun. Bapa tujuh anak itu berkata selepas 10 tahun, beliau memohon IC hijau iaitu bagi taraf penduduk sementara dan sementara menunggu ianya dikeluarkan beliau diberikan resit sementara.

Saksi itu berkata setahun selepas itu beliau diberikan IC hijau tersebut dan kemudiannya beliau memohon IC biru pada 1989. Semasa ditanya adakah permohonannya untuk memperolehi IC biru itu mendapat sokongan sesiapa, Abd Salam berkata tiada dan beliau sendiri pergi ke JPN.

Abd Salam, 54, berkata IC biru itu siap tiga tahun selepas itu dan kini beliau memegang MyKad. "Saya juga telah mendaftar sebagai pengundi dan telah mengundi sebanyak tiga kali di kawasan Kinaruk," katanya.

Saksi ke-17 Sakandar Anding yang datang ke Sabah pada 1973 berkata beliau sendiri membuat permohonan bagi mendapatkan pas IMM-13, IC hijau dan seterusnya IC merah (taraf penduduk tetap). Sakandar, 59, yang tinggal di skim penempatan Kinaruk berkata beliau memohon IC merah pada tahun 2004 dan pada 2010 JPN Sabah mengeluarkan IC tersebut.

Hatta Ghani, 53, yang datang ke Sabah pada 1976 dengan menaiki bot bersama 50 yang lain berkata beliau juga memohon sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak bagi mendapatkan IC. Hatta yang juga tinggal di skim penempatan Kinaruk berkata beliau juga telah beberapa kali mengundi menggunakan IC biru yang diperolehinya.

Bagaimanapun, ketika ditanya adakah mereka datang ke Sabah membawa sebarang dokumen negara Filipina, kesemua saksi itu menjawab "Tiada". Saksi-saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Jamil bahawa skim penempatan yang mereka diami itu mempunyai masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan jenayah lain.

Ketika ditanya sama ada mereka hendak pulang ke negara asal mereka di Filipin, masing-masing menjawab tidak kerana sudah selesa dan selamat berada di negara ini. Kesemua mereka berkata mereka datang ke sini kerana keadaan peperangan di selatan Filipina ketika itu.

Seorang lagi pelarian Filipina, Ismail Balaka, berkata semasa tinggal di kem penempatan di Keninguk, ada beberapa orang datang ke penempatan itu untuk mengisi borang, mengambil gambar dan cap jari pelarian Filipina di situ.

Beliau yang datang ke Sabah pada 1975 berkata beliau tidak tahu apa tujuan mereka itu mengisi borang berkenaan tetapi beliau diberitahu kawannya bahawa itu adalah untuk proses pengeluaran IC. Saksi itu berkata selepas tiga bulan beliau diberikan kad pengenalan.

Sementara itu bekas pengarah JPN Sabah, Datuk Abdul Rauf Sani menafikan Beliau bertindak atas arahan pihak atasan berhubung pengeluaran IC kepada pendatang Islam Filipina dan Indonesia di negeri itu. Beliau juga mengaku ada mengetuai satu unit yang dikenali sebagai G17 semasa menjadi pengarah JPN Sabah pada 1990, sebuah unit yang menguruskan pengeluaran IC biru kepada pendatang asing.

Abdul Rauf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) pada pada April 1996 memberitahu suruhanjaya itu bahawa beliau tahu dan sedar mengenai aktiviti pengeluaran IC itu. "Saya lakukannya bersendirian. Tiada siapa arahkan saya. Sebagai pegawai kerajaan sebarang arahan mesti ada surat," katanya yang kini merupakan ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat di bawah kementerian kewangan.

Beliau juga mengesahkan keterangan seorang saksi semalam bahawa beliau dan beberapa pegawai JPN Sabah telah pergi ke Kuala Lumpur bagi melaksanakan tugas khas berhubung pengeluaran IC kepada pelarian di Sabah.

Ditanya mengapa beliau ditahan di bawah ISA, saksi ke-15 itu berkata beliau dituduh kerana terlibat dalam pengeluaran IC biru tidak mengikut proses undang-undang bagi mendapatkan wang. Katanya beliau ditahan di bawah ISA selama 60 hari dan selepas itu dibebaskan dari tahanan tetapi dikenakan sekatan duduk di rumah sehingga November 1996.

Merujuk keterangan bekas tahanan ISA yang juga bekas pegawai JPN Sabah semalam bahawa sebanyak 40,000 IC sebulan yang telah ditandatangani diserahkan kepada pelarian Filipina, Abdul Rauf berkata beliau tidak pasti mengenainya. "Mungkin ratus, mungkin ribu, saya tidak ada catitan kerana perkara itu pegawai-pegawai saya yang uruskan," katanya.

Sementara itu, wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Paul Allen Vernon, dalam keterangannya berkata kerajaan negeri Sabah telah mempelawa badan itu bekerjasama dengan kerajaan negeri berhubung pelarian Filipina di negeri itu.

Katanya UNHCR telah bekerjasama dengan kerajaan negeri dari 1977 hingga 1987 dan selepas itu, badan berkenaan masih memantau dan menghubungi pasukan petugas untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung isu pelarian di Sabah.

Saksi itu berkata penting bagi kerajaan menyediakan dokumentasi atau ruang mendapatkan taraf kewarganegaraan kepada pelarian bagi mengelakkan masalah dengan generasi kedua pelarian berkenaan.

Pendengaran di hadapan panel lima anggota diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung esok. Bernama

3 comments:

  1. pemberian IC adalah mengikut undang2.

    ReplyDelete
  2. bermakna selama ini pembangkang membohong kononnya pelarian2 ini diberikan IC oleh kerajaan BN..

    ReplyDelete
  3. apa2pun biarlah RCI habiskan siasatan, tidak perlulah pembangkang memberikan ulasan atau mempolitikkan hasil2 siasatan yang belum lengkap..

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.