Friday, July 5, 2013

Apa Sebenarnya Yang Berlaku Antara APS Dan PKR Sabah?

Apa sebenarnya yang berlaku antara Wilfred Bumburing dan PKR Sabah? Kenapa tiba-tiba Bumburing terfikir untuk menyertai DAP atau menubuhkan parti baru selepas memenangi kerusi DUN Tamparuli atas tiket PKR? Walaupun dalam kenyataan beliau bahawa Angkatan Perubahan Sabah (APS) tetap menyokong PR, namun jika benar beliau bertindak menyertai DAP atau menubuhkan parti baru dalam masa terdekat ini, spekulasi serta persoalan tidak mungkin boleh dielakkan begitu sahaja. Pasti ada sebab kenapa Bumburing enggan bersekongkol lebih lama dengan Anwar Ibrahim menerusi PKR sedangkan sebelum ini beliau tampil penuh bersemangat berjuang bersama-sama ketua pembangkang hipokrit itu.

Dalam fikiran saya, mungkinkah disebabkan persengketaan dan perang mulut antara Bumburing dan ketua PKR Tuaran, Ansari Abdullah? Semua rakyat Sabah tahu bahawa sejak Bumburing ditabalkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tuaran, ramai pihak terutamanya dikalangan ahli-ahli PKR negeri ini membantah keras pencalonan itu kerana Bumburing bukan ahli PKR, malah Bumburing juga hanya berjinak-jinak dengan PKR selepas sedar dirinya gagal mendapat perhatian pucuk pimpinan untuk menjadi calon PRU13 ketika masih bersama-sama dalam Barisan Nasional. Kegagalan Anwar memberikan keadilan serta autonomi kepada PKR Sabah dalam membuat keputusan, akhirnya memaksa Ansari mempertaruhkan anak perempuannya Erveana untuk menentang Bumburing menerusi tiket bebas.

Saya pasti konflik dikalangan ahli-ahli PKR dan APS tidak berhenti setakat 5 Mei 2013. Malah mungkin menjadi lebih kritikal selepas jangkaan ahli-ahli PKR Tuaran bahawa kerusi Parlimen itu akan terlepas ketangan BN benar-benar menjadi kenyataan angkara gandingan songsang Anwar dan Bumburing. Maka benar jugalah teori penulis sebelum ini bahawa ribut kencang yang melanda restoran Singgah Singgarung sebaik ceramah politik Pakatan bermula bagi meraikan kehadiran Lajim dan Bumburing dalam Pakatan Rakyat adalah petanda buruk bagi gabungan pembangkang itu. Walaupun kita tidak melihat keretakan dalam kerjasama singkat antara PKR dan APS, namun kita juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa wujud asakan atau desakan dari dalam sehingga memaksa Bumburing memecahkan keegoan sendiri dengan menyusun langkah kebelakang.

Atau mungkin juga Bumburing sedar bahawa PKR tidak mampu menjanjikan masa depan politik yang cerah untuk beliau selepas melihat prestasi buruk parti itu pada pilihanraya umum yang lepas. Jesteru, beliau terpaksa menyenaraikan DAP sebagai alternatif lain bagi menyelamatkan karier politiknya memandangkan parti itu jauh lebih menyerlah berbanding dengan PKR. Namun, selagi Bumburing berada dipihak pembangkang, walau apapun keputusan yang dibuat, hasrat beliau untuk melihat Pakatan memerintah negeri ini tidak mungkin akan tercapai kerana BN tetap menjadi pilihan majoriti rakyat di negeri ini.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.