Showing posts with label Datuk Dr Awang Adek Hussin. Show all posts
Showing posts with label Datuk Dr Awang Adek Hussin. Show all posts

Monday, January 14, 2013

Tuntutan 20 peratus royalti lumpuhkan Petronas cari sumber baru

BACHOK:Tuntutan pembangkang supaya Petronas memberi royalti minyak dari lima kepada 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak boleh menyebabkan syarikat itu lumpuh untuk beroperasi di luar negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin. 

Beliau berkata, tuntutan itu tidak munasabah dan tidak bertanggung jawab. 

“Jika (royalti) dinaikkan, syarikat itu tidak mampu untuk beroperasi mencari minyak di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup secara tunai kepada nelayan kawasan Bachok di Pejabat Pendidikan Daerah Bachok di sini kelmarin. 

Beliau mengulas cadangan pembangkang yang mahu memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak jika dapat menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13. 

Katanya, Petronas perlu mempunyai simpanan modal untuk mencari sumber dan pendapatan baharu di negara-negara baharu yang memerlukan jumlah modal yang sangat besar. 

Awang Adek berkata jika usaha itu dihalang ia tidak mungkin dapat menyumbang dividen yang tinggi kepada negara yang kini berjumlah RM30 bilion setahun yang tidak termasuk pelbagai cukai. 

“Pembangkang kena ingat separuh dari keuntungan Petronas datangnya dari operasi di luar negara,” kata Ketua Umno Bahagian Bachok itu. 

Katanya dengan pendapatan itu kerajaan dapat menguruskan ekonomi negara dengan cemerlang terutama merangka projek-projek ekonomi, pelbagai bentuk subsidi dan kemudahan asas kepada rakyat. 

“Petronas kini paling berjaya meneroka minyak di 36 buah negara. Kenapa kita harus menyekat masa depannya dengan tindakan yang tidak bertanggung jawab? 

“Jangan mudah percaya dengan janji manis pembangkang,” katanya. New Sabah Times