KOTA KINABALU, 19 Jan - Lebih 100 artis tempatan yang mewakili enam persatuan artis dan penggiat seni Sabah pada Sabtu menyatakan tanda sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Persatuan artis berkenaan adalah Persatuan Rumpun Artis Sabah (PARAS), Kelab Artis 1Malaysia (KA1M), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Persatuan Usahawan Industri Muzik dan Perfileman Sabah (PERINTIS), Sabah Creative Industry Group Movement (SCGIM) dan Persatuan Industri Kreatif Filem dan Muzik.
Presiden PARAS Abu Bakar Ellah yang dilantik pengerusi Sekretariat Artis Sabah sebagai badan antara artis dan kerajaan, akan turut sama membantu melaksanakan agenda pembangunan kesenian dan kemasyarakatan.
Beliau berkata sebagai pertubuhan yang menghimpunkan barisan artis dan penggiat seni tanah air, sekretariat itu akan berusaha membabitkan penyertaan seberapa ramai penggiat seni dan artis dalam pelbagai program bersama pemimpin dan masyarakat.
"Kami akan merangka jawatankuasa bagi membentuk ruang dan cara untuk terlibat secara langsung membantu kerajaan dalam pilihan raya umum. Kita akan mencari ruang mendekati masyarakat secara lebih santai dan mudah diterima," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis khas bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini. Bernama
Kerajaan Negeri Hargai Penglibatan Artis, Penggiat Seni Sabah - Musa Aman
KOTA KINABALU, 19 Jan - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri amat menghargai kerjasama dan penglibatan para artis serta penggiat seni tempatan bagi membangunkan negeri ini.
Beliau berkata penglibatan dan komitmen mereka amat penting kerana sentiasa menjadi contoh ikutan di kalangan generasi muda pada masa ini.
"Artis dan penggiat seni berpotensi berjaya dalam bidang masing-masing dan mereka adalah contoh terbaik kepada orang muda, mampu memberi galakan dan ikutan kepada generasi itu," katanya ketika berucap pada majlis khas bersama penggiat seni dan artis Sabah di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, Sabtu. Bernama






