Penulis amat bersetuju apabila Datuk Dr Ewon Ebin berkata sekatan masuk aktivis ke Malaysia Timur adalah mengikut undang-undang dan peraturan. Malah, kerajaan tidak bertindak secara suka hati dengan menghalang sesiapa sahaja dari memasuki kedua-dua negeri borneo ini tanpa sebarang sebab. Pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat perlu belajar menghormati undang-undang jika tidak mahu dilabelkan sebagi pemusnah sistem demokrasi, kedaulatan, keamanan dan keharmonian negara ini.
Kuasa istimewa ketua menteri ini telah wujud sejak 1963. Malah pembangkang mungkin tidak sedar bahawa di dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada Kerajaan Negeri Sabah oleh Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut, Kerajaan Negeri Sabah tidak perlu memberikan sebarang alasan. Tidak ada dinyatakan dalam mana-mana peraturan Ketua Menteri Sabah perlu memberi penjelasan atau mewartakan sebab musabah menahan 'Persona Non Grata' daripada memasuki Sabah.
Kerajaan selama ini sudah cukup bertolak ansur dengan cubaan pembangkang menimbulkan pelbagai bentuk provokasi dan suasana tidak aman dalam negara. Kerajaan juga telah bertolak ansur dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang gemar menggunakan pengaruh asing terutamanya NGO dan media bagi memburuk-burukkan negara dimata dunia. Kerajaan juga telah bertolak ansur dengan sikap pembangkang yang kerjanya setiap hari menghasut rakyat supaya menentang kerajaan dan menentang apa sahaja projek pembangunan yang hendak dilaksanakan kerajaan.
Pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat perlu cermin diri sendiri sebelum membuat bantahan atau kritikan. Apa lagi yang tidak cukup dengan pembangkang? mereka sudah diberikan kebebasan menghasut 24jam sehari tanpa henti, bebas keluar masuk negeri, bebas keluar masuk negara, diberikan akta perhimpunan aman, ISA dimansuhkan, dan banyak lagi bentuk kebebasan yang telah diberikan kerajaan untuk memuaskan hati para pemimpin pembangkang. Namun apa sumbangan mereka kepada negara ini?
Anwar bangga duduk dalam jet mewah, bersiar-siar dalam bas mewah, berkempen menggunakan helikopter, tidur dibanglo mewah.. Tapi sekali beliau menyanyikan lagu Sabah akan hilang, berduyun-duyun pengganas Sulu menyelinap masuk ke Sabah. Bila perkara seumpama ini berlaku, siapa yang lebih merasai kesengsaraannya? Ada mana-mana pemimpin pembangkang sanggup berada dibarisan hadapan untuk mempertahan kedaulatan negara dan negeri Sabah? Jawapannya tidak ada... Mereka lebih gemar bersembunyi seperti tikus dan hanya keluar apabila keadaan kembali tenang.
Namun, apabila ketua menteri Sabah dan Sarawak menggunakan sepenuhnya kuasa mereka untuk menghalang sebarang anasir-anasir yang tidak baik, atau dalam kata lain bagi memastikan keamanan negeri masing-masing terus terpelihara, tanpa diduga para pemimpin Pakatan terpekik-pekik mengutuk tindakan itu. Salahkah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mempraktikkan amalan mencegah lebih baik dari mengubati? Salahkah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak meragui niat orang luar yang terbukti lebih banyak mendatangkan masalah dari penyelesaian?
Clare Rewcastle Brown juga bukanlah insan mulia yang dilahirkan untuk memperjuangkan hutan dan nasib hidupan liar di Sabah dan Sarawak. Jika bukan kerana beliau mengikut telunjuk Pakatan Rakyat, sudah pasti negeri-negeri yang dijajah Pakatan Rakyat juga turut tersenarai dalam portal kebanggannya. Mana mungkin Brown boleh manafikan bahawa hutan di kedua-dua negeri borneo ini lebih terpelihara berbanding dengan hutan di negeri-negeri jajahan Pakatan Rakyat jika beliau tidak bersekongkol dengan parti politik tunggangan anak-beranak Anwar Ibrahim itu.
Mungkin disebabkan istilah "deposit tetap" bagi Sabah dan Sarawak, maka pembangkang terutamanya Pakatan Rakyat terpaksa bersekongkol dengan pengaruh asing bagi menjatuhkan kerajaan Malaysia Timur ini. Jika benarlah teori ini, bermakna segala tindak tanduk mereka lebih layak dikategorikan sebagai bermotifkan politik berbanding dengan tindakan menyekat masuk aktivis oleh kedua-dua kerajaan negeri ini. Satu perkara yang perlu rakyat tahu ialah, sepanjang waktu berkempen, sehinggalah selepas proses pengundian, pemimpin-pemimpin pembangkang dari Semenanjung tidak ada yang disekat dari memasuki Sabah dan Sarawak.
Jesteru, pembangkang perlu berhenti dari mempolitikkan isu sekatan ini kerana apa yang dilakukan oleh kedua-dua kerajaan negeri ini adalah berdasarkan undang-undang, bukan atas arahan Najib sebagaimana pemimpin-pemimpin Pakatan bertindak mengikut telunjuk Anwar..