Perdana Menteri telah pun melancarkan Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihanraya Umum ke 13 pada Sabtu lalu yang bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’. Ianya disambut baik oleh semua golongan dan lapisan masyarakat sekaligus menidakkan manifesto pembangkang yang semakin menjadi bahan jenaka selepas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menyifatkan manifesto pilihanraya mereka adalah "BUKAN JANJI".
Berlainan dengan kerajaan Barisan Nasional, setiap janji manifesto yang dibentangkan pasti bertepatan atau selari dengan slogan yang dilaungkan. Tidak pernah terlintas difikiran pemimpin-pemimpin kerajaan BN untuk mendifinisikan manifesto itu sebagai BUKAN JANJI. Pada tahun 1995, manifesto BN berbunyi Berwawasan, Adil dan Efisien. 1999 pula berbunyi Malaysia Bebas, Sepadu dan Maju, 2004 - Cemerlang, Gemilang dan Terbilang dan 2008 – Selamat, Aman dan Makmur. Kesemuanya dirangka sebaik mungkin bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Walaubagaimanapun, manifesto 2013 ini diangkat sebagai yang terbaik dalam sejarah oleh sesetengah pemerhati politik kerana sifatnya yang lengkap, padat dan yang paling penting, berasaskan senario kehidupan sebenar rakyat serta perkembangan dunia. Malah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Haji Aman turut mengakui bahawa manifesto akujanji Barisan Nasional (BN) yang dibentang Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kali ini sebagai hebat dan terbaik kepada seluruh lapisan rakyat.
Manifesto BN kali ini bukan sahaja berpijak di bumi nyata atau realistik menurut Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, namun di masa yang sama memberi keyakinan dan keazaman kepada rakyat untuk sama-sama berdiri di belakang BN dalam usaha kita membina sebuah negara yang lebih baik. Inti pati manifesto tersebut merupakan usaha dan janji kepada rakyat di mana ia akan dijalankan sebagai tanda terima kasih daripada parti Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.
Jom layan apa kata pemimpin Sabah mengenai manifesto BN yang dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak:
Manifesto BN hebat dan terbaik kepada rakyat jelata: Musa Aman
TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman menyifatkan manifesto akujanji Barisan Nasional (BN) yang dibentang Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kali ini sebagai hebat dan terbaik kepada seluruh lapisan rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, seluruh lapisan rakyat tidak kira berada di bandar atau di luar bandar, orang muda atau lama mahupun golongan wanita semuanya mendapat manfaat daripada akujanji itu.
“Satu manifesto yang tepat, lengkap kepada kita semua. Saya percaya ini yang dikehendaki rakyat yang mana mengambil kira semua lapisan dan semua sektor dan rakyat menyambut baik manifesto ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Roadshow Yayasan Sabah (YS) Bersama Rakyat-Program Transformasi Kumpulan YS peringkat Zon Pantai Timur Selatan di Dewan Masyarakat di sini.
Katanya, melalui akujanji itu rakyat akan lebih bersemangat dan kukuh serta kuat menyokong BN bagi meneruskan perjuangan kerana BN sentiasa menepati janji yang dilakukan.
“Saya minta kepada rakyat untuk menyokong BN, pemimpin dan parti-parti komponen BN bagi meneruskan perjuangan kita kerana rakyat tetap terbela dalam kerajaan BN dan hidup dalam keadaan aman dan damai,’’ katanya. - New Sabah Times
Manifesto BN berlandaskan bumi nyata: Abdul Rahman
KOTA BELUD: Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan manifesto BN yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu adalah sebuah manifesto yang berlandaskan pada bumi yang nyata.
Katanya, inti pati manifesto tersebut merupakan usaha dan janji kepada rakyat di mana ia akan dijalankan sebagai tanda terima kasih daripada parti Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.
“Manifesto berkenaan ada menyebut mengenai peluang pekerjaan untuk golongan muda pada masa kini selain pertambahan nilai pada Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan penurunan harga kenderaan nasional.”
“Seiring dengan itu, sebagai salah satu usaha untuk melaksanakannya saya akan memohon pembinaan sebuah Pusat Sokongan Minyak dan Gas di Kota Belud yang akan membuka peluang pekerjaan sebanyak 1200 bagi membantu golongan muda di sini untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya semasa merasmikan Majlis Perasmian Karnival Mini Koperasi Peringkat Parlimen Kota Belud, di sini, kelmarin (hari ini). - New Sabah Times
Manifesto BN bertepatan aspirasi rakyat: Liew Vui Keong
SANDAKAN: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada malam Sabtu lepas sesungguhnya amat bertepatan dengan aspirasi rakyat.
Ini katanya, keperluan dan kebajikan rakyat akan dapat ditunaikan kerana Mohd Najib adalah merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap apa jua keperluan tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bertemakan ‘1Malaysia, Janji Ditepati Membawa Harapan’ itu juga dilihat begitu signifikan dalam terus membantu golongan sasar.
“Selain itu, ia juga dilihat akan meningkatkan lagi pelbagai prasarana dan kemudahan untuk rakyat,” jelasnya semasa berucap pada Program Perjumpaan Bersama Wargatua Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Parlimen Sandakan di Balairaya Rumah Murah Sim-Sim, di sini, kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Awang Sham Haji Amit dan Ketua Kampung, Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, Haji Kahar Arbain.
Liew berkata, antara manifesto itu penambahan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan. - New Sabah Times










