Showing posts with label PATI. Show all posts
Showing posts with label PATI. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

Sindiket Pemalsuan Punca Kebanjiran PATI Yang Memiliki IC

KOTA KINABALU: Kesediaan pendatang tanpa izin membayar sebarang amaun untuk mendapatkan kad pengenalan (IC) Malaysia telah membawa kepada kewujudan sindiket pemalsuan IC di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah, diberitahu Iisnin.

Pensyarah kanan Sosial Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayang Suria Mulia berkata memperoleh IC merupakan strategi pendatang tanpa izin untuk kelangsungan hidup di Sabah dan mereka bersedia membayar harga tinggi untuknya.

"Mereka berpendapat dengan memiliki IC Malaysia akan memudahkan mereka di sini kerana terdapat banyak kelebihan dengan memiliki IC," katanya.

Dayang Suria juga berkata pendatang tanpa izin mempunyai saudara-mara di Sabah yang memudahkan mereka untuk datang ke sini.

Beliau menjelaskan saudara-mara berkenaan akan membantu menjamin keselamatan mereka apabila mereka masuk ke negeri ini menerusi saluran tidak sah.

Dayang Suria berkata dalam kajiannya mengenai pendatang yang tidak mempunyai dokumen pada 1999, beliau mendapati mereka yang tidak mempunyai dokumen berpendapat ia memberi kebebasan untuk mereka bertukar kerja.

Katanya jika seorang pekerja asing mempunyai permit untuk bekerja dalam sektor perladangan, sekiranya dia mahu tukar ke sektor lain, dia perlu memohon permit kerja yang baharu.

"Apa yang saya dapati menarik (dalam kajian itu), tidak mengira betapa ketatnya undang-undang ke atas mereka, terdapat mereka yang tidak bimbang, terdapat mereka yang tidak takut (kepada undang-undang). Sesetengahnya memilih untuk tidak mempunyai dokumen," katanya.

Dayang Suria juga menegaskan industri-industri di Sabah, khususnya dalam sektor perladangan dan pembuatan, amat bergantung kepada bekalan pekerja asing.

Beliau menjelaskan atas hakikat bahawa penduduk tempatan tidak bersedia menjadi buruh kasar, majikan terpaksa bergantung kepada agensi penyumberan luar bagi memenuhi keperluan mereka.

Ditanya oleh pegawai pengendali Datuk Azmi Ariffin adakah industri akan lumpuh tanpa sokongan pekerja asing, Dayang Suria berkata industri akan terjejas walaupun tidak lumpuh kerana ia memberi kesan kepada produktiviti.

Sementara itu, anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) Mohd Ansar Maidin menafikan dakwaan dalam sebuah blog tahun lepas bahawa DPPIMS terlibat dalam mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk pendatang tanpa izin.

Beliau berkata anggota DPPIMS sentiasa memastikan mendapatkan permit kerja untuk pekerja asing mereka, dan tidak membantu mereka mendapatkan kewarganegaraan.

Suruhanjaya itu diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. Anggota panel juga terdiri daripada bekas Naib Canselor UMS Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas Peguam Besar negeri.

Prosiding siasatan bersambung tengah hari esok.

Wednesday, April 3, 2013

ICQS mampu tangani kebanjiran PTI


Bermula 2 April ini, tiga buah Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) akan beroperasi di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) iaitu di Lahad Datu, Kudat dan Pos Kawalan Imigresen Bersepadu Kerakit, Pulau Banggi, Kudat. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 12 kabin akan digunakan sebagai pejabat sementara yang merangkumi enam kabin di ICQS Lahad Datu, empat kabin (Kudat) dan dua (Pulau Banggi). 

Beliau berkata, sebanyak 14 pegawai akan ditempatkan sementara di setiap ICQS dan pos kawalan itu termasuk Unit Risikan dan Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia. 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kewujudan ICQS itu membolehkan pemantauan dibuat terhadap pergerakan keluar masuk, khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), selain menjamin keselamatan kapal dagang yang melalui perairan ini. 

Secara langsung dapat memperketatkan kawalan setempat di Pantai Timur Sabah, di samping memberikan kemudahan laluan masuk kepada warga asing dari perairan pantai timur yang mempunyai dokumen perjalanan sah menggunakan laluan diwartakan.

Penubuhan Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) di negeri ini dilihat akan memperkuatkan lagi usaha pihak berkuasa menangani kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) khususnya di Pantai Timur termasuk menyekat kewujudan ‘laluan-laluan tikus’.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata dengan adanya ICQS yang mula beroperasi kelmarin telah membuktikan ketelusan kerajaan dalam menangani isu PTI dan sekaligus memberi kemudahan kepada kemasukan mereka menerusi laluan yang diwartakan.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen telah dijadikan pasukan hadapan setelah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ditubuh dan untuk itu, tujuh inisiatif bakal dilaksanakan secara berperingkat yang salah satunya adalah menerusi ICQS.

“Namun kita percaya dengan adanya ICQS ini akan dapat mengatasi masalah laluan tikus yang digunakan PTI terutama dari negara Filipina memasuki negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Imigresen Sabah, Kompleks Pentadbiran Persekutuan di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Alias menjelaskan bahawa laluan tikus yang digunakan oleh PTI adalah disebabkan kurangnya kemudahan pintu masuk secara sah ke negeri ini.

Alias berkata, menerusi langkah itu telah menambah laluan masuk yang sah seperti sedia ada di daerah Semporna, Tawau dan Sandakan bagi kemasukan warga asing ke Sabah.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, kita mesti buka pintu masuk yang sah kepada warga asing yang ingin ke sini,” katanya sambil menambah, bermula kelmarin, semua warga asing yang memasuki negeri ini termasuk menggunakan kapal, bot dan lain-lain perlu melaporkan diri kepada penguasa Imigresen di pusat ICQS.

Terdahulu, difahamkan lebih 50 laluan tikus di perairan Sabah termasuklah di Pantai Timur sering digunakan PTI untuk menyelinap masuk ke negeri ini.

Sementara itu, Alias turut mendedahkan bahawa pihaknya menerusi Wisma Putra telah memaklumkan kerajaan Filipina berhubung penubuhan ICQS di Sabah.

“Kita telah memaklumkan kepada mereka (kerajaan Filipina) dan mereka telah memberikan respon positif.

“Kita telah maklumkan kepada mereka bahawa sesiapapun yang ingin ke Sabah mestilah mempunyai dokumen yang sah dan mestilah juga melalui ICQS,” katanya. - The Borneo Post

Saturday, February 23, 2013

Sindiket memperoleh lebih RM11 juta melalui kegiatan pengeluaran KP

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah hari ini diberitahu bahawa keuntungan wang ringgit merupakan satu-satunya motif di sebalik pengeluaran kad pengenalan (KP) kepada pendatang di Sabah oleh beberapa individu dan ejen. 

Superintenden Ahmad Fauzan Mohamad, seorang pegawai cawangan khas di Kuala Lumpur, berkata tidak terdapat motif lain di sebalik pengeluaran KP oleh sindiket berkenaan, melainkan untuk mendapatkan wang. 

"Mereka (pendatang) dikenakan bayaran RM50 hingga RM1,400 bagi setiap KP yang dikeluarkan kepada mereka. Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan dengan politik, melainkan hanya untuk mendapatkan keuntungan wang ringgit. Pengeluaran KP di Sabah menghasilkan wang. 

"Kegiatan itu (pengeluaran KP) dirancang dengan teliti dan saya dapati selain pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), orang awam juga terlibat sebagai ejen dan sub ejen," katanya ketika menjawab soalan pegawai siasatan Manoj Kurup. 

Ahmad Fauzan, yang kini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Sindiket Pemerdagangan Manusia di Polis Cawangan Khas Kuala Lumpur, berkata berdasarkan maklumat risikan yang ditelitinya, sindiket berkenaan memperoleh lebih RM11 juta melalui kegiatan pengeluaran KP itu. 

Walaupun ditanya berkali-kali, saksi itu berkata beliau berpuas hati bahawa penilaiannya mengenai maklumat risikan tentang sindiket KP ketika itu ialah ia bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kewangan. 

Kata Ahmd Fauzan, beliau ditugaskan membuat penilaian terhadap maklumat risikan mengenai sindiket KP Sabah di Bukit Aman (Ibu Pejabat Polis Persekutuan) dari akhir 1995 hingga Februari 2010. 

Saksi ke-56 itu berkata sejumlah 94 individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) antara 1995 hingga 2001. 

Katanya jumlah itu termasuk pegawai JPN, penjawat awam lain serta individu dan mereka ditahan mengikut ISA kerana mengancam keselamatan negara. 

Beliau berkata kegiatan itu bukan saja mengancam keselamatan negara, tetapi juga kestabilan politik, sosial dan ekonomi Malaysia. 

Kata saksi itu lagi, daripada jumlah mereka yang ditahan mengikut ISA, 80 dikenakan tahanan selama dua tahun, enam dikenakan perintah kediaman terhad dan lapan dibebas tanpa syarat. 

Ditanya siapakah yang memandatangani perintah tahanan itu, Ahmad Fauzan berkata ia ditandatangani timbalan menteri dalam negeri ketika itu. 

Ditanya kenapa tidak seorang pun daripada mereka yang ditahan mengikut ISA itu tidak dihadapkan ke mahkamah setelah dibebaskan, beliau berkata ia merupakan amalan biasa bagi semua kes ISA. 

Ahmad Fauzan bagaimanapun berkata kira-kira 3,035 orang yang memiliki KP palsu dihadapkan ke mahkamah. - Sabahkini

Sunday, January 27, 2013

RCI Sabah: pandangan bekas orang kanan Anwar Ibrahim

Rakyat Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak perlu menunggu hasil siasatan dari Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum membuat apa-apa spekulasi dan kesimpulan mengenai motif di sebalik pemberian kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing pada masa lampau. Ini bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran jelas tentang apa sebenarnya berlaku. 

Sekiranya testimoni dari sesetengah pihak diterima bulat-bulat sebagai perkara sebenar, kita mungkin terperangkap dengan mempercayai sumber yang belum tentu sahih daripada satu hakikat kebenaran yang rumit. Lagipun, kenyataan oleh beberapa saksi pada hari ketiga siasatan telah disangkal oleh testimoni berikutnya pada hari keempat dan kelima. Perkara sebegini merupakan kebiasaan dalam siasatan yang dikendalikan secara terbuka dan berhemah. 

Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mengambil langkah berani dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu kontroversi yang telah menjadi perbalahan dalam politik di Sabah selama lebih dari tiga dekad. Langkah ini menunjukkan kesediaan Kerajaan untuk menerima kebenaran tanpa mengira implikasi yang bakal ditimbulkan. Kebenaran yang bakal terungkai dari hasil siasatan ini akan membebaskan penduduk Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama dari keraguan dan syak wasangka yang telah menjadi duri dalam daging kepada hubungan etnik di Sabah. 

Namun demikian, dalam konteks ini, rakyat tidak seharusnya terlepas pandang mengenai satu aspek kritikal dalam pemberian hak kerakyatan kepada warga asing;iaitu sejumlah besar daripada pendatang asing yang memegang kad pengenalan merupakan mangsa perang berlarutan di Mindanao yang telah melarikan diri dari tempat asal untuk berlindung di Sabah sejak tahun 70-an. Aspek kemanusiaan ini merupakan pertimbangan utama dalam pemberian hak kerakyatan, terutamanya untuk negara seperti Malaysia, sebuah negara yang berpegang teguh kepada keadilan dan berbelas kasihan. 

Menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara pada tahun 1957, sejumlah satu juta penduduk Cina dan India yang bermastautin di Malaya telah diberi kerakyatan dalam sekelip mata. Ini berasaskan beberapa faktor tertentu seperti peranan dan kepentingan mereka dalam sektor ekonomi iaitu getah dan bijih timah, ancaman pemberontak komunis dan yang paling utama ialah perpaduan kaum yang telah disyaratkan oleh British untuk Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Sebagaimana pandangan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepimpinan UMNO pada masa tersebut juga telah bersedia untuk mengenepikan pemberian hak kerakyatan secara konvensional dalam usaha untuk menarik semua penduduk Tanah Melayu untuk turut sama memperjuangkan kemerdekaan. Pendekatan ini amat berbeza dengan kepemimpinan negara berbilang kaum lain dimana dikotomi atau pengasingan telah wujud di antara pribumi dan bukan pribumi hasil dari pemerintahan penjajah seperti Indonesia dan Myanmar. Di negara-negara seperti itu, peraturan pemberian kerakyatan amat ketat bagi memastikan asimilasi antara komponen kaum yang wujud. 

Sebaliknya di Malaysia, pemberian hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu dan bukan Bumiputera telah mengubah lanskap negara sama sekali. Tanah Melayu yang telah wujud melalui Kesultanan Melayu sejak berkurun lamanya kini cumalah satu komuniti kaum Melayu di dalam pelbagai komuniti kaum lain yang wujud dalam negara. Dalam erti kata lain, pemberian hak kerakyatan secara mudah kepada orang Cina dan India telah mengubah sifat dan ciri utama pembangunan negara. Disebabkan inilah, cabaran terbesar negara sejak 55 tahun yang lalu adalah menyesuaikan hak orang Melayu yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu dengan kepentingan bukan Melayu melalui integrasi kaum memandangkan kesemuanya merupakan rakyat Malaysia. 

Jika dilihat dari satu sudut, perkara yang sama juga berlaku di Sabah, di mana penduduk Sabah turut melalui satu perubahan akibat dari pemberian hak kerakyatan kepada pelarian daripada negara jiran. Kaum Bumiputra bukan Islam yang merupakan kaum terbesar di Sabah sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963, telah hilang majoritinya kepada Bumiputra Islam. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan bimbang dan runsing penduduk yang terdiridari kalangan pelbagai kaum dan situasi ini haruslah ditangani dengan bijak dan berempati. 

Menyeimbang dan mengharmonikan kepentingan kedua segmen Islam dan bukan Islam serta elemen Bumiputra dalam perkara ini memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan kepimpinan negara.Dalam perkara ini, negeri Sabah amat beruntung kerana mempunyai tokoh pemimpin seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang dikenali kerana kematangan fikiran beliau dan pengalaman politik yang luas telah berjaya mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Sabah.

Ditulis oleh bekas orang kanan Anwar iaitu Dr. Chandra Muzaffar (Yayasan1Malaysia)
Terjemahan oleh: mymassa

Saturday, January 26, 2013

RCI: inikah "Perkara Sebenar" yang dimaksudkan Salleh?

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebelum ini ada mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu perkara sebenar mengenai pendatang tanpa izin kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja. Beliau menegaskan Anwar perlu berbuat demikian kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, dan menurutnya, "beliau (Anwar) seorang yang amat berkuasa dan tahu apa yang berlaku di Sabah".

Mungkinkah jawapan bagi persoalan yang dibangkitkan oleh DS Salleh ini terjawab melalui pendedahan blogger mymassa? Menurut blogger ini, Anwar mula merosakkan politik aman negeri Sabah pada tahun 1986 melalui beberapa proksi pemimpin pemuda USNO bagi melancarkan satu gerakan menjatuhkan Tun Datu Mustapha. Kesan daripada "sentuhan tangan" Anwar Ibrahim, maka terbubarlah USNO dan digantikan dengan UMNO.

Menurut mymassa juga, Semua Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang pro Tun Datu Mustapha, Tun Ghafar Baba, Pak Lah telah dimatikan dengan cara memberikan seberapa banyak wang kepada proksinya bagi tujuan menumbangkan sesiapa sahaja yang tidak menyokong Anwar. 
Pada tahun 1995, apabila ramai orang-orang Anwar yang sedang memegang jawatan Ketua Bahagian hendak dilawan, Anwar menggunakan apa saja cara untuk mengalahkan mereka. Anwar bukan sahaja memberi wang tunai, tetapi Lot-Lot Saham yang boleh ditukar di bank-bank Bumiputera. Ramai Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian yang pro-Anwar kaya mendadak!  
Satu contoh, Anwar telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan pihak keselamatan supaya menangkap individu-individu yang kononnya terlibat dalam projek IC. Inilah manusia yang paling Hikpokrit! Dia menyuruh orang itu mengatur IC Projek, kemudian dia mengarahkan pihak polis menangkap orang itu semula. Tujuannya supaya orang itu tidak menang Ketua Bahagian, kerana jika dia menang dia akan mencalonkan Tun Ghafar Baba bukannya Anwar Ibrahim. - mymassa
Menurut mymassa juga, Anwar turut menggunakan kuasanya untuk menumbangkan PBS dengan pendekatan "apa cara sekalipun". 

Selain itu, Anwar juga bertanggungjawab membawa masuk warga asing ke negeri Sabah melalui pemilikan ladang kelapa sawit yang luas di Sandakan. Menurut mymassa, ladang milik Anwar ini hanya mengambil PATI sebagai pekerja, bukannya warga tempatan Sabahan.

Tidak cukup itu, mymassa turut mendedahkan pekung asal-usul Yong Teck Lee yang mana bapa Yong bukanlah orang Sabah, sebaliknya warga asing dari China yang datang ke Sabah dan kemudian membuka bengkel di Lahad Datu. Menurut mymassa, Anwar Ibrahim telah melantik Yong Teck Lee menjadi ketua menteri Sabah bagi mempermudahkan hasrat beliau (Anwar) mengumpul kekayaan di Sabah.