Showing posts with label Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Show all posts

Thursday, April 11, 2013

PRU13 adalah yang paling bersih jika semua pihak mematuhi tata etika pilihanraya

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan yang terbaik untuk memastikan pengendalian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah yang terbaik. 

Sambil menolak tanggapan kononnya PRU13 bakal menjadi pilihan raya paling kotor, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata SPR telah membuat perancangan teliti di samping memperkenalkan banyak pembaharuan ke arah menjadikannya yang terbaik. 

Antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah pengundian awal untuk anggota polis, tentera, pengamal media dan rakyat Malaysia di luar negara serta penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pemilih berdaftar mengundi lebih daripada sekali. 

“Jika berlaku sedikit ‘kotor’ di sana, sini, ia bukan disebabkan oleh SPR, parti-parti politik, para penyokong mesti menghormati undang-undang, mesti mematuhi garis panduan, mesti mematuhi tata etika (pilihan raya). 

“Saya harap semua parti politik, pemimpin parti politik menasihatkan anggota dan penyokong anda supaya bersikap rasional dan tidak terlalu emosional. Patuhi undang-undang, patuhi peraturan dan patuhi nasihat polis dan SPR,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPR di sini yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3. 

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata SPR telah memperkenalkan sekurang-kurangnya 19 perubahan untuk penambahbaikan proses pilihan raya kali ini. 

Katanya, terdapat banyak undang-undang, panduan dan kod etika yang jika dipatuhi akan menghasilkan pilihan raya yang aman. 

Mengulas mengenai peruntukan RM400 juta untuk mengendalikan pilihan raya umum kali ini, Abdul Aziz berkata, antara lain, ia disebabkan oleh peningkatan jumlah pengundi. 

Beliau juga berkata keadaan cuaca dan tiada sebarang acara penting membabitkan semua komuniti merupakan antara faktor utama diambil kira SPR dalam menetapkan 5 Mei dan 20 April, masing-masing, sebagai Hari Pengundian dan Penamaan Calon. 

“Melihat kepada tarikh itu, dapat dilihat yang ia bebas daripada sebarang acara penting. Contohnya pada 20 April, tiada acara penting membabitkan mana-mana kaum di Malaysia pada tarikh berkenaan. 

“Tarikh-tarikh berkenaan mempunyai ramalan cuaca yang positif. Kita berdoa sama-sama supaya menjadi realiti,” katanya. 

Berdasarkan pengalaman SPR, beliau menjangkakan keputusan pertama PRU13 boleh diketahui seawal-awalnya 7.30 malam pada 5 Mei nanti. - New Sabah Times

Wednesday, March 13, 2013

Pilihan raya umum diadakan serentak termasuk Lahad Datu

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di Lahad Datu iaitu kawasan berlakunya kes pencerobohan pengganas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. 

Beliau berkata ini kerana keadaan di Kampung Tanduo dan sekitarnya kini bertambah baik dan yakin dalam masa terdekat kawasan itu akan kembali pulih seperti biasa. 

“Elok buat serentak untuk menjimatkan kos dan tenaga. Hari ini pun murid-murid sekolah (di Lahad Datu) sudah pergi ke sekolah sebab sekolah yang sebelum ini ditutup kini dibuka semula. 

“Begitu juga dengan para peniaga yang sudah mula berniaga. Jadi saya yakin dalam tempoh terdekat sehingga dewan dibubar atau pilihan raya diadakan, kawasan-kawasan itu akan bertambah aman,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Susulan pegawai, pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi persiapan PRU Negara ke-13, di Pasific Sutera Harbour, di sini, kelmarin. 

Abdul Aziz berkata, terdapat dua pusat mengundi di kawasan yang diisytiharkan zon merah berikutan pencerobohan pengganas sejak 12 Feb lalu iaitu SK Tanjung Labian dan SK Tunku (kawasan Kampung Tanduo). 

“Saya tidak mahu ada spekulasi mengatakan apa akan terjadi jika … (keadaan di Lahad Datu khususnya di Tanduo dan sekitarnya) kerana saya cukup yakin dengan usaha pasukan keselamatan. 

“Sebab itu saya sangat yakin pilihan raya umum akan diadakan serentak di semua tempat di seluruh negara. Saya juga yakin kedua-dua kawasan itu (SK Tanjung Labian dan SK Tunku) akan menjadi kawasan selamat pada masa mengundi,” katanya. 

Abdul Aziz turut menasihatkan pemimpin parti-parti politik supaya tidak membangkitkan isu-isu sensitif semasa kempen pilihan raya khususnya yang ada kaitan dengan kes pencerobohan di Lahad Datu. 

“Saya ingin mengingatkan supaya dalam tempoh kempen semasa PRU-13, parti-parti politik yang berkempen perlu lebih bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan apakah isu yang sensitif di kawasan berkenaan. 

“Saya juga berharap agar pemimpin parti politik menasihatkan pengikut dan penyokongnya supaya berkempen secara bertanggunajwab. Jangan berkempen mengikut sesuka hati yang boleh menimbulkan kemaharan kumpulan-kumpulan tertentu. 

“Kalau semua pihak mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh SPR serta mengikut arahan pihak Polis, InsyaAllah PRU-13 akan berjalan dengan aman, damai dan harmoni,” katanya. 

Abdul Aziz juga mengingatkan semua parti supaya tidak menimbulkan provokasi dan tidak buruk-burukkan orang ketika berkempen. 

“Tapi saya tahu orang Sabah baik-baik belaka, tidak ada yang suka memburuk-burukkan orang lain,” katanya. Beliau percaya, kemampuan pasukan keselamatan untuk menjaga ketenteraman dan keamanan semasa kempen dan proses pengundian dijalankan. 

“Pihak polis akan mengawal keadaan di semua kawasan termasuk sepanjang tempoh kempen pilihan raya dan dalam keadaan tertentu, jika perlu kita boleh juga meminta bantuan dari pihak tentera,” katanya. - New Sabah Times