Showing posts with label Kebebasan Media. Show all posts
Showing posts with label Kebebasan Media. Show all posts

Thursday, March 28, 2013

Tolak tawaran bersiaran di RTM bukti PR takut bentang manifesto secara terbuka

KUALA LUMPUR, 26 Mac — PKR hari ini menyertai rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) DAP dan PAS apabila menolak tawaran untuk bersiaran 10 minit dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM), serta membidas ia satu “penghinaan” kerana saluran televisyen tersebut hanya menyiarkan berita dan iklan pro-Barisan Nasional (BN) sepanjang masa. - TMI

Persoalannya, apakah tawaran oleh kerajaan itu tidak menepati kebebasan media? Atau mereka sengaja ingin mengalih perhatian rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan kebebasan bersuara di negara ini? Walhal mereka sendiri tidak pernah mengamalkan kebebasan media seperti mana yang mereka laungkan dan perjuangkan.

Jika pembangkang berkeras mempertahankan kebebasan media, mereka juga sepatutnya telus dalam apa jua tindakan mereka. Tindakan DAP yang melarang wartawan akhbar Utusan Malaysia dalam membuat liputan mereka adalah satu contoh yang jelas kegagalan mereka mematuhi kebebasan media.

Pembangkang sedar bahawa kelemahan mereka akan terserlah jika mereka menggunakan RTM untuk menyiarkan kandungan manifesto mereka. Malah ia akan membongkar kegagalan mereka menunaikan janji-janji manifesto yang lepas kepada khalayak umum. Sebab itu mereka memberikan alasan kononnya kerajaan BN tidak mengamalkan kebebasan media sedangkan pada hakikatnya mereka juga menyekat kebebasan media dan sentiasa memanipulasikan pemikiran rakyat. 

Terbukti misi pembangkang mempertikaikan tawaran ini hanya bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti kerajaan BN. Mereka sedar, jika mereka menerima tawaran ini bermakna tuduhan mereka bahawa kerajaan tidak mengamalkan kebebasan media tidak lagi relevan untuk dimainkan di mana-mana kempen mereka. Jesteru, menolak tawaran ini adalah jalan paling tepat dan selamat walaupun sebelum ini mereka sendiri yang menuntut supaya pembangkang diberikan peluang bersiaran di RTM.

Media elektronik walaupun 10 minit, ianya lebih berkesan daripada berkempen berbulan-bulan. Namun disebabkan sikap hipokrit yang menebal dalam diri pemimpin-pemimpin pembangkang, maka mereka bukan sahaja tidak berterima kasih malah sentiasa mencurigai keikhlasan kerajaan persekutuan dalam apa jua isu. Tawaran keemasan ini ditolak bukan sebab kerajaan tidak ikhlas dalam memberikan keadilan kepada semua parti, tetapi disebabkan oleh sikap pembangkang yang terlalu liat mahu mengakui dan sentiasa mahu menanamkan persepsi di minda rakyat bahawa kerajaan tidak mengamalkan kebebasan media/bersuara.

Tindakan pembangkang menolak tawaran membentangkan manifesto pilihanraya umum melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), juga membuktikan mereka takut tidak dapat menandingi manifesto Barisan Nasional (BN). Pembangkang seharusnya menerima tawaran itu sekiranya mereka yakin skop manifesto yang ditawarkan boleh memanfaatkan rakyat, sekaligus boleh direalisasikan jika mereka berjaya merampas kerajaan kelak. 

Namun sudah menjadi sifat semulajadi pembangkang Malaysia bahawa dalam berkempen untuk pilihan raya, mereka lebih banyak memburuk-burukkan pihak lain, menyebabkan mereka akhirnya memberikan banyak alasan untuk menutup kelemahan sendiri termasuk menolak tawaran yang diberikan.

Malah, pembangkang juga tidak berani untuk membentangkan manifesto secara terbuka kerana PAS, DAP dan PKR tidak sehaluan dan mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza walaupun berada dalam kapal yang sama.

Sepatutnya pembangkang mengambil sahaja peluang yang ada terlebih dahulu sebelum memohon untuk dipanjangkan tempoh penyiaran jika manifesto mereka memerlukan lebih masa. Tempoh 10 minit boleh dimanfaatkan secara baik sekiranya pembangkang kreatif dalam mengiklankan manifesto mereka seperti menggunakan tayangan slide berbanding sesi wawancara yang memerlukan lebih masa.

Tawaran itu membuktikan kerajaan cuba melakukan pembaharuan dan bertolak ansur dengan kehendak pembangkang, sebaliknya pembangkang yang sering tidak berpuas hati, terus menuduh kerajaan sebagai tidak berlaku adil. Sedar atau tidak, peluang ini terbuka hasil daripada desakan pembangkang yang mahukan manifesto mereka disiarkan melalui kaca telivisyen, tapi bila kerajaan sudah memberikan peluang, hasrat murni kerajaan itu pula yang dipolitikkan oleh pembangkang untuk mendapatkan simpati rakyat dengan membuat tuduhan kononnya kerajaan tidak ikhlas.

Walau apapun tuduhan yang dibuat oleh pembangkang, bagi Bullet tawaran untuk membentangkan manifesto di televisyen merupakan permulaan yang baik dalam pembaharuan yang dilakukan kerajaan menuju ke arah kebebasan media. Seharusnya semua parti politik termasuk pembangkang menggunakan peluang ini sebaik-baiknya, dan jika terdapat kekurangan, ia boleh diutarakan untuk proses penambahbaikkan pada masa hadapan.

Friday, March 22, 2013

Janji Pembangkang Menghapuskan Undang-Undang Berkaitan Media Tidak Praktikal

Rakyat jadi keliru dan negara mudah huru-hara jika semua undang-undang berkaitan media dihapus dan rakyat disogok dengan pelbagai maklumat yang simpang-siur, kata beberapa pakar dan pengamal media.

Kata mereka pelbagai fitnah dan tohmahan mudah dilemparkan kerana tiada lagi undang-undang yang mengikat penyebaran maklumat selain etika kewartawanan tidak lagi bermakna dan pemilikan media massa oleh pihak asing yang berniat jahat terhadap negara juga mungkin berleluasa.

Lantaran itu kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya, janji pembangkang dalam manifesto mereka untuk menghapuskan semua undang-undang berkaitan media massa adalah tidak pratikal untuk dilaksanakan.

"Undang-undang menjadi satu keperluan bagi mendokong aspirasi nasional... termasuklah yang mengatur dan bukan mengekang kebijaksanaan media massa, yang selama ini membolehkan Malaysia muncul sebagai negara yang tertib dan harmoni, aman dan makmur," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

"Malah Amerika Syarikat, Eropah dan Britain juga ada undang-undangnya. Kerajaan Britain juga nak tubuhkan perundangan baharu untuk menjamin media tidak menyalahgunakan kebebasan," katanya.

Katanya kebebasan media memang perlu ada dalam sesebuah negara, tetapi pada masa yang sama perlu dipastikan kebebasan itu tidak mengancam keselamatan, keamanan dan persefahaman dalam masyarakat majmuk seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan kebebasan untuk bersuara tetapi ianya dihadkan jika mengancam kestabilan dan keamanan negara...jadi apakah logik jika tiada undang-undang?" kata Chamil yang menceburi bidang kewartawan sejak 1971.

Beliau berkata media massa di Malaysia sekarang sememangnya menikmati kebebasan yang dapat dilihat dengan kenunculan portal berita, blog, akhbar pembangkang yang sebahagian besarnya hanya mengecam usaha-usaha mensejahterakan rakyat yang dilakukan oleh kerajaan.

Chamil menganggap janji pembangkang itu hanya gimik kerana hakikatnya kebebasan media telah diberikan apabila kerajaan menghapuskan syarat pembaharuan lesen akhbar yang sebelum ini wajib dibuat setiap tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pembangkang, katanya enggan melihat perkembangan positif dalam industri media massa walaupun pelbagai pindaan dilakukan dan mereka tidak pernah jemu menyerang kerajaan serta media arus perdana yang tidak terpengaruh dengan dakyah dan tohmahan mereka.

Menurut Chamil, pembangkang kini cuba memberi janji-janji manis untuk menghapus kesemua akta yang kononnya menyekat kebebasan media, seperti yang diuar-uar dalam manifesto mereka, sedangkan mereka sendiri bertindak meminggirkan media arus perdana, malah menyaman pihak terbabit.

Lebih parah katanya tiada kebebasan media yang dipraktikkan oleh negeri-negeri yang diperintah oleh pihak pembangkang kerana kebebasan mendapatkan informasi daripada pihak berkuasa serta pemimpin negeri disekat.

"Di Selangor, pejabat-pejabat kerajaan negeri dilarang melanggan akhbar arus perdana... ini juga salah satu sekatan media oleh pihak pembangkang sendiri... buktikan dulu bahawa pihak pembangkang tidak melakukan sekatan terhadap negeri-negeri yang ditadbir mereka," katanya.

Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan pula menyifatkan janji pembangkang untuk menghapuskan undang-undang yang menyekat kebebasan media sebagai melucukan kerana hakikatnya mereka memberi pelbagai tekanan kepada media arus perdana.

"Kita terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dari segi tindakan mahkamah, kebebasan untuk wartawan bergerak, membuat liputan, mendapatkan maklumat dalam sidang akhbar. Tidakkah ini menimbulkan persoalan apakah sebenarnya dimaksudkan dengan kebebasan media yang mereka uar-uarkan?" katanya.

Menjelaskan situasi sebenar berkenaan kebebasan media, beliau berkata kebebasan telah diberikan sejak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diperkenalkan pada 1998 kepada media sosial khususnya.

Katanya kebebasan media yang diberikan di negara ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain.

"Singapura dan China juga ada sekatan, lebih sekatan tetapi ia tidak berlaku di Malaysia...kita patut bersyukur. Malangnya pihak pembangkang menggunakan media sosial untuk menyerang dan selalu bertindak apabila mereka tidak puas hati terhadap fakta yang disiarkan.

"Kalau kita lihat, mereka juga sering mengutuk kerajaan semasa tetapi tiada tindakan diambil oleh kerajaan jika dibandingkan dengan sikap pembangkang itu. Jadi soalan saya, apakah acuan yang ingin dibawa oleh mereka?," katanya yang berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang kewartawanan.

Kesal dengan perilaku pihak pembangkang, Zaini berkata kritikan adalah antara komponen dalam bidang kewartawanan dan seharusnya diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak.

"Kalau nak mengkritik pun tak boleh, saya tak tahu apa acuan yang mereka akan bawa kalau nak memerintah negara ini," kata Zaini.

Beliau berkata janji-janji yang diberikan dalam manifesto pembangkang sehingga kini berlambak yang belum dilaksanakan kerana hanya janji kosong untuk meraih undi dan simpati.

Apabila ditanya mengenai serangan bertalu-talu terhadap akhbar Utusan Malaysia, beliau berkata: "Terlalu banyak, hampir RM1 bilion di mana satu 'legal suit' mencecah sampai RM30 hingga RM40 juta... mereka tahu akhbar seperti ini berpengaruh dan sebab itu pembangkang suka menyaman organisasi-organisasi berpengaruh."

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Siti Zabedah Mohd Shariff pula berkata media perlu mempunyai kawalan tertentu untuk kebaikan negara dan masyarakat.

"Kita tidak boleh menyiarkan sesuatu berita tanpa 'gatekeepers' sebab sesetengah berita boleh menimbulkan perselisihan besar antara kaum. Jadi apa yang dijanjikan oleh pembangkang kemungkinan tidak mampu menjadi realiti.

"Sekiranya pembangkang perintah, sudah tentu dia tidak suka masyarakat melakukan sesuatu perkara menentang mereka," katanya yang memberi contoh beberapa pertubuhan seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri juga ada garis panduan tersendiri untuk media.

"Oleh itu, macam mana media mampu berfungsi tanpa garis panduan? Kalau mereka (pembangkang) ingin menghapuskan semua undang-undang yang sedia ada, nanti rakyat mudah dikelirukan dan negara akan menjadi huru-hara," katanya. - Bernama