Showing posts with label Datuk Seri Anifah Aman. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Anifah Aman. Show all posts

Saturday, August 3, 2013

Akhbar Singapura Menjadi Alat Burukkan Malaysia?

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia kesal dengan akhbar The New Paper, Singapura yang menerbitkan tajuk berita mengelirukan dan sensasi yang mendakwa pembunuhan murah di Malaysia. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan Jumaat berkata tajuk berita itu mempunyai niat jahat dan menyebarkan tanggapan salah tentang keadaan keselamatan di Malaysia. - Bernama

Akhbar The New Paper pada 31 Julai, telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk ‘Welcome To Malaysia Where... Death Is Cheap and Staying Alive Costly. Dari tajuk ini sahaja kita sudah boleh simpulkan bahawa akhbar Singapura ini cuba memberikan gambaran yang tidak baik mengenai Malaysia untuk tatapan masyarakat global. Penulis sendiri kurang pasti apa motif Singapura membenarkan akhbar sebegitu disiarkan, namun unsur-unsur provokasi tetap jelas kelihatan lebih-lebih lagi tajuk itu terpampang besar dimuka hadapan akhbar berkenaan.

Penulis tidak nafikan berlakunya jenayah sebegitu di negara ini namun penulis merasakan tidak adil untuk akhbar itu mensensasikan isu tersebut ketika kerajaan dan pihak berkuasa di negara ini bertungkus-lumus mengurangkan kadar jenayah. Mana-mana negara juga menghadapi masalah yang sama.. Malah negara sekecil Singapura, yang sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memfokuskan usaha membanteras jenayah, masih tetap berhadapan dengan masalah itu walaupun jumlah kes di republik itu sedikit berbanding negara lain.

Mungkin lebih tepat dan adil jika akbar asing ini turut memuatkan tindak-tanduk pembangkang negara ini terutamanya Pakatan Rakyat dalam peningkatan kadar jenayah di Malaysia. Sebagai sebuah negara yang paling hampir dengan Malaysia, Singapura sepatutnya tahu bahawa kerajaan negara ini sangat menitikberatkan keselamatan rakyatnya melalui penubuhan akta ISA dan Ordinan Darurat. Namun, malangnya akta itu terpaksa dimansuhkan atas desakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuklah parti politik yang mempunyai hubungan rapat dengan parti pemerintah Singapura, iaitu DAP.

Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan dakwaan ia tidak demokratik. Sejak itu, hampir 2,000 penjenayah telah dibebaskan. Begitu juga dengan akta ISA, dimana Pakatan terus mendesak kerajaan supaya membebaskan semua tahanan. Malah, kecenderungan pembangkang yang pro kepada penjenayah berbanding dengan orang awam semakin jelas kelihatan apabila puak-puak ini gigih membela nasib banduan dalam penjara berbanding dengan mangsa jenayah. Jika kita imbas kembali tindak-tanduk pakatan, jarang sekali kita lihat pemimpin-pemimpin mereka membangkitkan atau membela nasib mangsa jenayah. Namun apabila ada banduan yang mati dalam penjara, mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk mensensasikan isu itu di serata dunia.

Pakatan juga gemar menimbulkan kekacauan dalam negara dengan menghasut rakyat supaya bertempur dengan anggota keselamatan disamping melakukan aksi-aksi ganas yang bertujuan untuk membangkitkan rasa kurang aman di negara ini. Disamping menyusahkan orang awam, anggota keselamatan juga terpaksa membazirkan banyak masa untuk melayan karenah Pakatan Rakyat sehingga mereka tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugas menjaga keselamatan orang awam.

Namun, hari ini akhbar Singapura dengan sewenang-wenangnya cuba menimbulkan provokasi terhadap negara ini melalui isu jenayah tembak menembak sedangkan mereka tahu bahawa Pakatan Rakyat lebih sinonim dengan ciri-ciri penjenayah serta menyokong jenayah. Malah saudara mereka di Malaysia iaitu DAP juga sebahagian dari parti yang membantah keras sebarang akta atau undang-undang yang bertujuan untuk mengekang jenayah dalam negara.

Friday, May 24, 2013

Jika Ada Tiga Anifah Aman, Sabah Sudah Maju 15 Tahun Dihadapan Selangor

JIKA ada tiga orang Anifah Aman, mungkin Sabah sudah maju 15 tahun di hadapan Selangor kerana Sabah kaya dengan sumber alam. Namun Sabah hanya mempunyai seorang Anifah yang telah berani menegur Kerajaan Persekutuan dan GLC yang digelar 'lintah darat' oleh rakyat Sabah iaitu Petronas. 

Bagaimanapun Pembangkang tidak mempunyai ahli politik berkaliber di Sabah untuk meraih lebih kerusi parlimen dan hanya berjaya mendapat 3 kerusi parlimen sekalipun gedang perang yang dipalu seolah-olah BN kehilangan kesemua 25 kerusi parlimen. 

Tidak ada walau seorang pemimpin atau ahli politik di Malaysia dapat membaca apa yang ada di minda Anifah sejak lima tahun lalu (2008) pada pilihanraya 5 Mei lalu; jika ada, sudah pasti BN kehilangan banyak kerusi jika pembangkang dapat memainkan isu yang disuarakan Anifah; malah jika pemimpin BN arif; tidak ada satu kerusi parlimen dan DUN jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada 5 Mei lalu. 

Kerajaan Transformasi 2013 seharusnya mengkaji semula apa yang telah dijelaskan oleh Anifah dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan boleh disemak terus daripada Hansard Parlimen kerana Sabah tidak mungkin dibina dalam tempoh 24 jam! 

Berikut Hansard Parlimen bertarikh 7 Mei 2008 yang tersimpan rapi dalam Sejarah Politik Malaysia membuktikan apa yang dikata Anifah di Dewan Parlimen bukan omong kosong dan terbukti didasarkan daripada kajian mendalam yang dilakukan; sebelum dicerakinkan dalam bentuk pembangunan.

Baca Selanjutnya di SABAHKINI

Friday, March 15, 2013

Insiden Pencerobohan: Kerajaan fokus siasatan pembabitan pihak ketiga


Wisma Putra Kumpul Maklumat Dakwaan Pihak Ketiga Terbabit Pencerobohan Di Sabah

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama)-- Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman tidak menafikan pembabitan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan Sabah oleh pengganas Sulu seperti dilaporkan akhbar Filipina baru-baru ini.

Oleh itu, beliau berkata Wisma Putra akan mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan sejawatannya bagi memulakan penyiasatan di negara ini untuk memastikan sama ada rakyat Malaysia menjadi dalang dalam mewujudkan ketidakstabilan berkenaan.

"Saya telah meminta rakan sejawatan saya untuk terus memberi maklumat berkaitan apa yang dilapor akhbar Filipina berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga.

"Beberapa diplomat dan duta turut mempersoal mengapa ia berlaku sekarang? Itu adalah soalan yang kerap ditanya ketika ini.

"Jadi, selain fokus dan keutamaan mencari penyelesaian masalah di Lahad Datu, pada masa yang sama, kita juga akan memulakan siasatan berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga," katanya selepas sesi taklimat dengan kor diplomatik dan media berkaitan 'Operasi Daulat' di sini Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa risikan menyiasat dakwaan seorang pemimpin pembangkang mempunyai peranan dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Akhbar the Philippine Daily Inquirer menyiarkan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata pengganas terbabit ke Sabah atas jemputan seorang ahli politik dari parti pembangkang di Malaysia.

The Manila Times pula menyiarkan dakwaan pencerobohan itu ada kaitan dengan kempen pembangkang di Malaysia untuk melepas wilayah autonomi Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Anifah berkata mesti ada bukti kukuh untuk memastikan kebenaran memandangkan dakwaan itu adalah sesuatu yang serius. - Bernama

Kerajaan Timbang Tubuh RCI Atau Buka Kertas Putih Siasat Pencerobohan Di Sabah

SANDAKAN, 14 Mac (Bernama) -- Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

"Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku...ini kami akan lakukan sama ada menggunakan RCI atau buka kertas putih.

"Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancang kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional," katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan di sini, hari ini selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa di Sandakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong.

Mengenai sama ada hasil siasatan itu akan didedahkan kepada umum, Hishammuddin berkata ia akan dibincangkan oleh pucuk pimpinan apabila perkara itu selesai kelak.

Mengulas keadaan keselamatan di Sabah, Hishammuddin berkata secara keseluruhannya keadaan bertambah baik termasuk di Tawau, Semporna dan Sandakan dengan keyakinan masyarakat umum terhadap ketenteraman di negeri itu semakin meningkat. - Bernama

Thursday, January 17, 2013

Anifah gesa Petronas lakukan transformasi dan kikis amalan penjajah

PETRONAS harus melakukan transformasi total terlebih dahulu termasuk menghakis amalan penjajah yang mengamalkan kasta dalam pengurusan sehingga membelakangkan hak rakyat Sabah untuk membangunkan Malaysia secara bestari. 

Menteri Luar, Datuk Seri Panglima Anifah Haji Aman berkata demikian kepada Sabahkini.net ketika ditanya pandangan beliau berhubung kenyataan Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan, Joseph Podtung, dalam Sabahkini.net kelmarin dulu yang menghebahkan lima projek mega Petronas di Sabah untuk 2013. 

"Untuk memastikan Malaysia menjayakan Dasar Transformasi Negara, Petronas wajib melakukan transformasi terlebih dahulu kerana dasar yang diwarisi daripada penjajah harus dikikis. Kita sudah hampir 50 tahun merdeka dan sejak 1976, rakyat Sabah melihat Petronas sebagai liabiliti dan menjadi modal politik pembangkang," ujar Anifah yang mengalu-alukan Petronas membuka pintu kepada usaha bumiputera untuk mendapatkan ruang dan peluang di SOGT. 

Transformasi Petronas, kata Anifah, harus mencakupi segala bidang termasuk menaiktaraf pengusaha dan penglibatan mereka dalam kontrak mega termasuk melalui usahasama atau kerjasama bestari. 

"Jika dahulu rakyat tempatan menjadi tukang masak, kini mereka patut menjadi pembekal makanan. Jika dulu mereka subkontraktor, Petronas patut menjadikan mereka kontraktor utama. Jika modal mereka kecil, lakukan secara usahasama atau konsortium. Amalan meneruskan tradisi mengekalkan mereka di status lama adalah amalan penjajah. Inilah yang harus dikikis," kata Anifah yang meyakini kontraktor bumiputera mampu bersaing di persada antarabangsa. 

Jika Petronas memberi peluang dan kepercayaan kepada kontraktor bumiputera sejak dua dekad lalu, kata Anifah, tidak mustahil Sabah mungkin sudah lebih maju daripada Singapura. 

"Petronas jangan jadikan Sabah (Kimanis) sebagai Bintulu yang telah dikuasai oleh orang luar dan menafikan peluang rakyat Sarawak dalam ekuiti Petronas," ujar Anifah berhubung kecenderungan Petronas melantik kontraktor luar sebagai sub-kontraktor mereka. 

Kata Anifah, masa untuk Petronas menunjukkan ego kepada rakyat Sabah sudah berakhir dan sewajarnya menghentikan sindrom telunjuk lurus kelingking berkait agar tidak dipandang serong menjelang PRU-13. 

"Tiba masanya Petronas menjelaskan kepada rakyat Sabah hakikat sebenar yang disembunyikan selama ini berhubung 'kemurahan hati' dan 'ketinggian budi' yang berselindung di sebalik anugerah projek pembangunan yang tidak telus. 

"Persoalan inilah yang berstigma di dalam minda majoriti rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan melayan Sabah secara tidak adil dan beragenda, sehingga menghakis keyakinan rakyat kepada Kerajaan BN," kata Anifah yang agak keliru dengan penjelasan Joseph Podtung sebagai menjawab teguran beliau melalui artikel bertajuk 'Petronas Slammed On Projects'

"Berlandaskan kepada jawapan Joseph Podtung, saya melihat Petronas seolah-olah bukan lagi GLC kerana membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

"Keegoan mereka begitu terserlah, terutama dalam soal agehan kek ekonomi kepada kontraktor bumiputera yang kelihatan melukut di tepi gantang dan menjadi pengemis di negeri sendiri sejak akhir-akhir ini," ujar Anifah yang menggesa Petronas menjelaskan beberapa persoalan penting yang menjadi enigma kepada Pemimpin BN di Sabah. 

Kata Anifah, Joseph Podtung seharusnya jujur memberikan penjelasan berhubung agehan kontrak sebanyak RM45 billion kerana daripada siasatan beliau, rakyat Sabah hanya mendapat manfaat langsung kurang daripada 2 % dan selebihnya bocor kepada syarikat luar yang tidak langsung menyumbang dana kepada ekonomi dan rakyat Sabah. 

"Kita tidak mahu isu ini menjadi modal pembangkang untuk menyerang kerajaan pada PRU-13 dan kerana itu saya meminta penjelasan Joseph Podtung untuk memaklumkan secara telus kepada saya, kepada siapa kontrak RM45 bilion berkenaan diagehkan," kata Anifah. 

Tegasnya lagi, beliau kesal dengan keangkuhan Petronas yang mengungkit pembinaan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) bernilai RM30.5 juta yang hanya memberi manfaat kepada 48 pelajar di Kampus Sementara di Membakut Jaya.

SOGT KIMANIS (Pemandangan udara): Semoga RM45 bilion beri manfaat 
kepada rakyat tempatan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN.

Sikap Petronas yang menjadi 'Tuan' di Sabah dengan membelakangkan Menteri Kabinet, Kerajaan Negeri Sabah dan Ahli Parlimen serta Adun; bakal menjadi agitasi politik dan modal kempen pembangkang yang menggelar Petronas sebagai 'Perompak' wang rakyat Sabah. 

"Pandangan mereka tidak salah dan sinonim dengan sikap dan tindakan Petronas sejak 1976. Sekalipun dilenturkan oleh pembayaran royalti 5 % yang menjadi pertikaian sejak sekian lama, namun agak malang bagi Sabah jika kelangsungan ini berterusan untuk beberapa dekad yang akan datang," kata Anifah yang meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula perjanjian dengan Petronas. 

Kata Anifah, agehan kek ekonomi perlu selaras dengan janji kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah menjadi salah sebuah negeri maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi; namun visi berkenaan akan gagal jika Petronas tidak telus dalam agehan 5 projek mega yang diumumkan. 

"Buat apa kita bercakap tentang RM45 bilion, jika rakyat Sabah hanya mendapat tidak sampai RM2 bilion, itupun melalui GLC kerajaan (Yayasan Sabah) sehingga kontraktor dan rakyat tempatan hanya menjadi pemerhati atau berputih mata," ujar Anifah mendesak agar Petronas bersikap telus dan tidak melakukan By-Pass yang keterlaluan. 

Kini kata Anifah, tugas untuk mengeluarkan Sabah daripada kancah kemiskinan terletak di bahu Petronas melalui 5 projek mega bernilai RM45 bilion dan bukan lagi menjadi beban Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

"Jadilah GLC yang berpegang kepada janji dan sentiasa mengenang budi dan bukannya menggigit jari kepada orang menyuapkan makanan," ujar Anifah melalui tamsilan. 

Kata Anifah, walaupun operasi Petronas kini berkembang di luar negara, namun mereka tidak boleh mengabaikan rakyat Sabah yang berhak mengecapi kemewahan dan menikmati pembangunan hasil daripada 5 projek mega yang diumumkan Petronas di Sabah. 

"Melalui Dasar Transformasi Ekonomi Negara, rakyat Sabah bukan lagi bekerja sebagai kuli, malah berhak menjadi pengusaha dan pemegang saham dalam projek pelaburan Petronas di Sabah," kata Anifah yang agak kesal dengan ketidak pekaan Petronas yang berbangga kerana menawarkan 1,558 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. 

Melalui teguran ikhlas ini kata Anifah, Petronas wajib menggubah semula kerangka perancangan dan hala tuju pembangunan agar tidak dijadikan modal kempen pembangkang di Beaufort, Sipitang, Kimanis dan Papar kerana rakyat sekitarnya berhak menikmati limpahan pelaburan projek mega Petronas. 

"Kini jelas kepada kita bahawa BN tidak memerlukan pembangkang kerana Ahli Parlimen BN sentiasa peka dengan sebarang perubahan iklim pelaburan, sekalipun melibatkan soal dalaman atau luaran Petronas (GLC)," kata Anifah yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat setempat dan kepentingan negeri Sabah. - Sabahkini

Monday, January 14, 2013

SDC bakal tarik pelabur Romania

Pada tanggal 12 January 2013, Pembangkang bersama-sama jentera propaganda mereka bertungkus-lumus merosakkan imej negara di mata dunia melalui penganjuran perhimpunan rakyat secara besar-besaran. Niat pembangkang untuk menumbangkan kerajaan, dan dalam masa yang sama cuba menghancurkan ekonomi negara ternyata gagal apabila dilaporkan sasaran mereka untuk menghimpunkan sejuta rakyat tidak tercapai. 

Lebih hampa lagi apabila perhimpunan yang turut diadakan di negeri ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkkan dikalangan rakyat melainkan hanya dihadiri ahli-ahli parti pembangkang sendiri. Malah objektif mereka bagi memberikan gambaran kepada masyarakat dunia bahawa kononnya kerajaan BN mengamalkan pentadbiran yang zalim sama-sekali tidak memberi kesan kepada negara-negara yang berhasrat mahu melabur di negeri ini.

Perkembangan terbaru ekonomi Sabah membuktikan dunia luar menyakini dan mempercayai kecekapan pentadbiran kerajaan BN walaupun pembangkang negara ini telah beberapa kali melakukan cubaan memburuk-burukkan kerajaan diperingkat antarabangsa. Ikuti laporan New Sabah Times dibawah;
KOTA KINABALU: Malaysia, khususnya Sabah, berharap lebih banyak perniagaan Romania akan mencari peluang pelaburan di negara ini, khususnya di Koridor Pembangunan Sabah (SDC). 
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berharap langkah mewujudkan konsulat kehormat Romania di Sabah semalam akan menggalakkan hubungan ekonomi dan memudahkan lebih banyak lawatan dari Romania ke Sabah. 
“Bagi pihak saya, saya mengesahkan jaminan bahawa Wisma Putra dan pejabat wilayah di Sabah akan menggunakan keupayaan terbaik kami membantu pejabat anda melaksanakan tugas dan tanggung jawab di Kota Kinabalu,” katanya pada majlis makan malam bagi menandakan pembukaan konsulat kehormat itu di sini, malam kelmarin. 
Anifah juga berkata, beliau berkeyakinan dengan pelantikan ahli perniagaan Datuk Clarence Bongkos Malakun sebagai konsul kehormat Romania dan Malakun akan memainkan peranan aktif menggalakkan hubungan Malaysia-Romania dan akan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara. 
Malakun berkata, walau pun pembukaan rasmi konsulat itu diadakan semalam, sesetengah tanggung jawabnya sebagai konsul kehormat telah bermula lebih awal, yang termasuk usaha merapatkan hubungkan antara kepentingan perniagaan Sabah dan Romania. 
“Saya berharap dapat mengetuai delegasi perdagangan ke Bucharest, Romania pada tempoh terdekat bagi menjalin urus niaga perniagaan dan meneroka peluang perniagaan baharu bagi ahli perniagaan dan usahawan Malaysia serta menjemput para ahli perniagaan dan usahawan Romania untuk datang dan melabur di Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya. 
Yang turut hadir ialah Duta Romania ke Malaysia Constantin Nistor yang menyatakan langkah membuka konsulat kehormat yang baharu itu, yang menandakan hampir 44 tahun hubungan Malaysia-Romania. New Sabah Times