KOTA KINABALU: Sebanyak RM11,261,065 bantuan disalurkan kepada ibu-ibu tunggal di seluruh Sabah pada tahun lalu bagi membantu meringankan bebanan golongan itu, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun.
Beliau berkata bantuan itu yang disalurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Am Sabah membuktikan golongan berkenaan tidak pernah dilupakan oleh kerajaan.
“Bagaimanapun, kita tidak mahu ibu-ibu tunggal terus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya kita mahu mereka berusaha mempertingkatkan taraf hidup masing-masing.
“Dalam hal ini kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengubah nasib golongan ini termasuklah melaksanakan program peningkatan motivasi diri, kursus latihan dan kemahiran serta pemberian geran ibu tunggal bagi mereka yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengguna: Bajet 2013 dan Pelaksanaan Gaji Minimum di Wisma Wanita, di sini, kelmarin.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Asnimar Haji Sukardi, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Hajah Mariati Robert dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Datuk Hajah Siti Sapoo Ahok.
Azizah berkata, selain itu kementerian dan beberapa jabatan di bawahnya seperti Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWS), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Perpustakaan Negeri turut mengendalikan program Azam Kerja dan Azam Niaga.
Katanya, hasil pemantauan terhadap program Azam Niaga yang disertai 522 peserta oleh JHEWS, 318 orang atau 17 peratus daripadanya melepasi indeks miskin tegar.
“Pemantauan ini akan diteruskan dan kita berharap peratusannya akan terus meningkat. Apa yang penting para peserta kini mempunyai punca pendapatan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Usaha ini menunjukkan komitmen dan iltizam pihak kementerian memastikan golongan wanita di negeri ini mendapat manfaat sepenuhnya daripada inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan kerajaan,” katanya.
Berkenaan dengan Bajet 2013, Azizah berkata kesan insentif bajet itu telahpun dinikmati oleh rakyat Sabah sekaligus menzahirkan komitmen kerajaan “apa yang dikata pasti dikota-sebuah janji ditepati”.
“Bajet 2013 jelas menunjukkan keyakinan dan pengiktirafan kerajaan kepada golongan wanita dengan menyediakan peruntukan khusus sejumlah RM50 juta sebagai pemangkin dalam melonjakkan lagi fungsi dwiperanan wanita dalam pembentukan keluarga bahagia dan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.
“Di samping belanjawan negara menerusi Bejet 2013, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM10.96 juta untuk melaksanakan program-program pembangunan wanita.
“Saya yakin peruntukan yang disediakan ini dapat dibelanjakan dengan cekap,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu JHEWS berjaya membelanjakan 97.60 peratus atau RM585,624 daripada RM600,000 yang telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan wanita di negeri ini.
Azizah berkata, menyedari pentingnya pendidikan awal kanak-kanak terutama peringkat para sekolah, kerajaan turut memperuntukkan RM1.2 bilion termasuklah Program Permata.
“Sehingga kini terdapat 13 buah Pusat Anak Permata Negara di Sabah termasuk yang sudah beroperasi, telah siap dibina dan diperingkat awal pembinaan.
“Tiga buah telahpun beroperasi iaitu di Tuaran, Beaufort dan Kota Belud. Dua buah lagi telah siap dibina iaitu di Papar dan Matunggung. Manakala lapan buah berada diperingkat awal pembinaan iaitu di Ranau, Penampang, Kudat, Kimanis, Kota Kinabalu, Putatan, Sandakan dan Batu Sapi,” katanya.
Azizah berkata dengan terbinanya Pusat Anak Permata Negara ini, masyarakat yang berpendapatan rendah iaitu pendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah sebulan di kawasan luar bandar dan RM2,500 ke bawah di bandar, layak menghantar anak merekea ke pusat ini secara percuma. - New Sabah Times
2,020 ibu tunggal saman RM10.9 juta
SHAH ALAM 22 Nov. - Sebanyak 2,020 ibu tunggal hari ini mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Selangor bagi menuntut tunggakan elaun bulanan berjumlah RM10.9 juta yang dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu.
Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners bagi pihak kesemua ibu tunggal berkenaan yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.20 pagi ini.
Mereka selaku pihak plaintif menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP defendan pertama manakala Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri defendan kedua.
Dalam saman tersebut, plaintif mendakwa, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk mereka untuk memberi elaun bulanan kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008.
Menurut mereka, berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama.
Pihak plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup mereka melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal.
Dakwa mereka lagi, defendan kedua telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran kepada mereka dan golongan ibu tunggal di Selangor.
Oleh itu, pihak plaintif menuntut sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 2,020 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan (1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012) menjadikan jumlah kesemua tuntutan mencecah RM10.9 juta daripada defendan pertama selain daripada kos. - Utusan








