Showing posts with label Prof Madya Dr Asmady Idris. Show all posts
Showing posts with label Prof Madya Dr Asmady Idris. Show all posts

Sunday, January 20, 2013

Pakatan Pembangkang tidak faham industri Petroleum

KOTA KINABALU, 18 Jan (Bernama) -- Seorang tokoh akademik berkata sebarang cadangan mengenai kenaikan royalti minyak kepada Sabah harus diukur secara realistik, bukan dengan janji palsu.

Pensyarah Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Asmady Idris percaya kerajaan Barisan Nasional mempunyai formula terbaik untuk menambahbaik sasaran peratus royalti minyak negeri.

"Pihak pembangkang meletakkan sasaran peratus kenaikan royalti minyak sewenang-wenangnya tetapi rakyat bijak mengukurnya secara realistik," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha BN Negeri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mengingatkan rakyat bahawa janji pembangkang untuk menaikkan 15 peratus royalti minyak kepada Sabah akan akhirnya menjejaskan kewangan Petronas dan boleh membawa kepada muflis.

Abdul Rahman menegaskan bahawa berdasarkan formula semasa, bagi setiap RM100 hasil yang diraih daripada minyak Sabah, lima peratus akan ke tabung negeri manakala lima peratus lagi kepada tabung Persekutuan.

Kira-kira 45 peratus masuk ke dalam kos penemuan dan baki 45 peratus kepada keuntungan kasar usaha sama. Akhirnya, keuntungan Petronas, selepas mengasingkan hasil dengan yang lain dan selepas membayar cukai, hanya kira-kira 16.74 peratus, katanya dalam laporan akhbar baru-baru ini.

Dr Asmady berkata penambahan peratusan ke atas royalti minyak kepada Sabah bukan menjadi ukuran, sebaliknya penilaian rapi keperluan semasa dan pemantauan bekalan minyak itu kepada perkembangan sektor ekonomi negeri Sabah.

Beliau berpendapat bahawa cadangan pembangkang menaikkan 15 peratus royalti minyak kepada Sabah hanya sebagai bahan kempen pilihan raya dengan menjanjikan sesuatu yang belum pasti dapat ditunaikan.

Dalam musim menghadapi pilihan raya, pihak pembangkang boleh berkata apa sahaja sebagai landasan mencapai hasrat mereka tetapi pada akhirnya tiada apa-apa (berlaku), katanya.

Dr Asmady berkata kerajaan hari ini cukup bijak menangani isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk soal royalti minyak selain prihatin memikirkan kebaikan rakyat dan membangunkan ekonomi negeri ini ke tahap lebih baik, katanya.

Beliau mencadangkan semua pihak duduk berbincang termasuk Petronas, kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan bagi mengenal pasti segala faktor berkaitan, termasuk pemantauan domestik kepada prestasi eksport dan import semasa.

Sementara itu, bekas ahli akademik Program Hubungan Industri Sekolah Sains Sosial UMS Prof Madya Dr P. Balakrishnan pula berkata sebarang perubahan ke atas penambahbaikan peratusan royalti minyak harus dibincang secara rapi demi manfaat rakyat.

"Penambahbaikan untuk naik royalti minyak kalau memberi kebaikan kepada rakyat boleh diambil kira," katanya.

Balakrishnan yang kini pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata Petronas perlu membuka lebih peluang ke atas pelaburan dalam pelbagai sektor bagi membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Janji 20 Peratus Royalti Minyak Bukti Pakatan Pembangkang Tak Faham Industri Petroleum

TAWAU, 19 Jan (Bernama) -- Janji menaikkan royalti minyak antara 15 hingga 20 peratus kepada Sabah yang ditabur pakatan pembangkang sekiranya mereka memerintah menunjukkan pembangkang tidak memahami selok-belok industri petroleum.

Sambil menyifatkan ia sebagai janji bohong, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata sebagai jurutera yang pernah berkerja dengan syarikat petroleum antarabangsa, beliau mengetahui bahawa industri petroleum berisiko tinggi dan memerlukan modal pelaburan yang amat besar.

"Setiap hasil daripada 100 tong minyak Sabah yang dikeluarkan, lima peratus pergi kepada negeri Sabah dan lima peratus lagi kepada kerajaan persekutuan. Sebanyak 45 peratus untuk mencari gali minyak dan 45 peratus lagi adalah keuntungan (kasar) yang dikongsi Petronas dengan rakan syarikat cari gali seperti Shell dan Esso.

"(Selepas pembahagian hasil dan membayar cukai) Hasil yang diperoleh Petronas kira-kira 16 peratus. Sekiranya (royalti Sabah) diberi lagi 10 peratus, Petronas akan tutup," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan Elaun Sara Hidup kepada 504 nelayan Tawau di sini hari ini.

Tawfiq berkata sebagai sebuah daripada syarikat petroleum terbaik di dunia, Petronas perlu terus kukuh kerana ia amat penting kepada Malaysia untuk masa depan negara.