Showing posts with label Datuk Azizah Mohd Dun. Show all posts
Showing posts with label Datuk Azizah Mohd Dun. Show all posts

Thursday, May 2, 2013

Negara Akan Dijajah Jika Pembangkang Memerintah

BEAUFORT: Negara dikhuatiri akan dijajah semula sekiranya pihak pembangkang diberi peluang untuk memerintah, kata Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia. 

Datuk Azizah Mohd Dun berkata terdapat dakwaan bahawa pemimpin parti pembangkang mempunyai hubungan akrab dengan pihak tertentu di luar negara yang berkeinginan untuk menguasai negara ini melalui era penjajahan baru. 

“Jangan benarkan pembangkang menjadi pemerintah kerana kita khuatir akan dijajah semula. Ini disebabkan mereka sanggup menjadi kuda tunggangan anasir luar yang mahu menguasai negara kita seperti apa yang telah terjadi di beberapa negara lain,” katanya pada program Ziarah Pemimpin Bersama Pengundi di Kota Klias, di sini malam kelmarin. 

Hadir sama, mantan Ahli Parlimen merangkap Pengarah Jentera Pilihanraya BN Parlimen Beaufort, Datuk Nurnikman Abdullah, Ketua Bahagian PBS Dun Klias, James Digi, Pengerusi Parti Gerakan Beaufort, Robert Lee, Setiausaha Umno Bahagian Beaufort, Jali Nordin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Beaufort, Ishak Ibrahim, Ketua Puteri Umno Beaufort, Saridah Mohd Dun dan mantan Naib Presiden SAPP, Datuk Rashid Gadur. 

Calon Barisan Nasional Parlimen Beaufort itu meminta pengundi memilih kerajaan yang ada sekarang demi memastikan kemerdekaan dan kedaulatan negara ini terus terpelihara. 

“BN merupakan parti terbaik di negara ini. Sebuah kerajaan yang menyayangi rakyat apatah lagi di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

“Apa yang rakyat perlukan sudah banyak yang dipenuhi dan akan terus diberikan kerajaan BN. Untuk itu kita perlu memberi mandat yang besar kepada BN untuk memastikan segala kebaikan yang dibawa oleh BN dapat dinikmati sehingga kepada generasi seterusnya. 

“Keputusan bijak kita bakal mencorak masa depan yang baik kepada anak cucu kita. Sayangilah mereka dengan mengundi BN,” katanya. 

Azizah yang hadir bersama calon BN Dun Klias, Isnin Aliasnih, juga mengingtkan perkara yang sama di Majlis Pemimpin BN Bersama Rakyat di Kg Parit Kelabu, Beaufort pada hari sama.

Sunday, April 28, 2013

Azizah gariskan visi dan misi pembangunan holistik bagi Beaufort

BEAUFORT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun menggariskan visi dan misi pembangunan yang holistik untuk kawasan Beaufort. 

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, bakal dicabar bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin yang kini mengetuai Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) tetapi bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Azizah berkata, misi itu lebih menumpukan kepada usaha memperkasa pembangunan Beaufort yang maju dalam semua aspek kehidupan termasuk daripada segi sosio-ekonomi, budaya, sahsiah dan penguasaan ilmu yang seimbang. 

Bagi mencapai tujuan itu, beliau berazam untuk meneruskan perkhidmatan yang terbaik untuk semua rakyat selaras dengan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin BN yang mendukung konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. 

“Kita juga mahu melihat taraf ekonomi di kalangan penduduk berbilang kaum dapat ditingkatkan melalui penyertaan penduduk dalam program dan bantuan yang disediakan kerajaan selain memperhebat penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya. 

Azizah juga bertekad untuk menjadikan Beaufort sebagai Hab Pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing dan mempunyai jati diri negara bangsa bagi memenuhi keperluan sebagai negara maju menjelang 2020, sekurang-kurangnya 1 Kampung 1 Profesional. 

“Kita mahu memperkasa kepimpinan di peringkat akar umbi bagi memastikan kawasan dan penduduk setempat tidak terpinggir daripada program-program pembangunan kerajaan,,” katanya. 

Beliau berkata, nasib golongan belia Beaufort tidak diabaikan, malah misi beliau turut merangkumkan usaha mentranformasi daya ke pimpinan generasi muda dalam usaha melahirkan pemimpin pelapis demi kesinambungan perjuangan pemimpin terdahulu dan masa kini. 

“Saya juga berhasrat untuk mewujudkan bandar lestari (Beaufort) yang memenuhi cita rasa dan aspirasi penduduk dengan perkembangan semasa. 

Turut menjadi fokus beliau jika diberi mandat untuk lima tahun akan datang ialah meningkatkan penglibatan penduduk tempatan memajukan industri pelancongan di Beaufort

Mengenai pilihan raya umum kali ini, Azizah berkata BN adalah pilihan terbaik untuk Beaufort demi masa depan yang lebih baik dan beliau yakin rakyat Beaufort bijak memilih kerajaan yang boleh menjamin masa depan mereka. 

“Kita tidak boleh terlalu ikut emosi memilih ketokohan individu sehingga tidak dapat melihat kebaikan berada di bawah payung kerajaan Barisan Nasional yang sudah teruji mampu membela nasib rakyat termasuk di Beaufort. 

“Orang muda kita sekarang mahu melihat sesuatu agenda pembangunan yang “konkrit” atau jelas. Misalnya dalam soal perumahan, individu tertentu mungkin boleh menyediakan beberapa rumah tetapi penduduk Beaufort ini ramai, tidak mungkin individu berkenaan boleh menyediakannya,” katanya. 

Katanya lagi, kerajaan BN telah membawa banyak perubahan dan pembangunan, sama ada di daerah Beaufort atau daerah Kuala Penyu, terutama peluang pekerjaan dan pendidikan. 

Sambil memberi contoh pembangunan industri minyak dan gas di Sipitang dan Kimanis, beliau berkata ramai generasi muda dari kawasan Beaufort bakal mendapat pekerjaan di situ. 

“Bagaimanapun, mereka perlu diberi latihan bagi merebut peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas dan hany kerajaan BN yang boleh melakukannya. Ini terbukti melalui program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.


Lajim Ukin telah diberikan peluang untuk mengubah nasib penduduk Beaufort, namun beliau telah gagal melaksanakan misi itu. Tanpa rasa bersalah, Lajim bukan sahaja enggan mengakui kelemahannya malah tergamak melakukan pembelotan terhadap penduduk yang mengundi beliau dengan keluar meninggalkan BN. Segala kelemahan dan kegagalan beliau, akhirnya ditanggung oleh Barisan Nasional yang telah memperuntukkan ratusan juta ringgit kepada Lajim bagi melaksankan misi pembangunan di daerah itu.

Jesteru, pada 5 Mei ini, penduduk Beaufort WAJIB menolak pemimpin hipokrit seperti Lajim dan Anwar Ibrahim, kerana kedua-dua pemimpin ini telah terbukti lebih mementingkan survival politik dan pangkat berbanding dengan agenda memperjuangkan nasib rakyat. Azizah sejak lima tahun lepas dilihat kerap turun padang mendengar dan membantu penduduk yang kurang bernasib baik. Fokus beliau bukan hanya kepada golongan wanita, malah merangkumi semua golongan yang memerlukan bantuan samada dari segi peruntukkan mahupun nasihat.

Tuesday, April 23, 2013

KERUSI PANAS BEAUFORT: PERTEMBUNGAN ANTARA LAJIM UKIN & AZIZAH

Rekod pencapaian cemerlang dalam PRU-12 dengan majoriti 10,914 yang dimenangi oleh Lajim Ukin tidak akan mengguburkan semangat BN untuk terus berjuang di Beaufort melalui wakilnya Dato' Azizah Mohd Dun bagi kerusi Parlimen dan Isnin Aliasnih bagi kerusi Dun Klias. Masih ada masa untuk berkempen, dan belum tentu kemenangan akan berpihak kepada Lajim Ukin walaupun ada ura-ura mengatakan bahawa Beaufort adalah kubu kuat beliau. 

Tertekan dengan kritikan pelbagai pihak ekoran tindakan Lajim Ukin berpaling tadah disaat-saat akhir, pada 5 januari 2013, beliau telah mengadakan satu sidang media di Pejabat PPS Putatan untuk menangkis kenyataan MP Kota Belud yang telah mempersoalkan kredibliti beliau sepanjang 26 tahun karier politiknya bersama-sama dengan Barisan Nasional, terutamanya dalam soal pencapaian beliau. 

Antara pencapaian yang dihuraikan oleh Lajim untuk mengembalikan populariti beliau yang semakin tercalar, adalah; berjaya membawa pembangunan infrastruktur di kawasan P. 177 Beaufort dan juga di N 25 Klias iaitu dengan sebanyak 80%. Lajim juga menyatakan dia adalah pencetus idea kepada penubuhan Yayasan Usaha Maju, disamping berjaya membangunkan Wisma Pertanian ketika beliau masih menyandang jawatan sebagai Menteri Pertanian Negeri. 

Sedar tak sedar Lajim Ukin mengakui bahawa kerajaan BN Sabah dibawah pimpinan Datuk Seri Musa Haji Aman banyak membantu rakyat khususnya dikawasan yang diwakilinya. Sekaligus, menunjukan kepekaan BN dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat di negeri ini. Kenyataan Lajim itu juga ibarat meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri. 

Jika sebelum ini Lajim mempersoalkan dan mempertikaikan soal pembangunan di Sabah, terutamanya di kawasan yang diwakili oleh beliau, akhirnya beliau sendiri juga yang tampil menjawab apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN untuk manfaat rakyat di kawasan tersebut. Secara tidak langsung, beliau sendiri mengakui bahawa kerajaan telah membawa impak yang besar dalam pembangunan ekonomi negeri Sabah, dan semua sumbangan-sumbangan kerajaan ini tidak mampu dinafikan termasuklah oleh beliau sendiri.

Kenyataan dari mStar pada 27 Disember tahun lalu melaporkan bahawa majoriti penduduk di kawasan Parlimen Beaufort kekal menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun anggota Parlimen dan Ketua Umno Bahagiannya iaitu, Datuk Seri Lajim Ukin telah meninggalkan Umno beberapa bulan lepas. Malah, baru-baru ini, persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu telah berikrar untuk terus menyokong calon Barisan Nasional yang akan bertanding di kawasan Parlimen Beaufort dan Sipitang.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Klias Datuk Azizah Mohd Dun berpesan supaya penduduk tidak terpedaya dengan putar belit pembangkang yang hanya menabur janji-janji kosong. Pada hari penaman calon 20 April lalu, Azizah yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri berkata beliau bertekad untuk menjadikan Beaufort sebagai Hab Pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing dan mempunyai jati diri negara bangsa bagi memenuhi keperluan sebagai negara maju menjelang 2020, sekurang-kurangnya 1 Kampung 1 Profesional. Inilah pemimpin yang kita perlukan tanpa menunjukkan rasa gentar kepada pesaingnya Lajim Ukin, Azizah terus bertekad berjuang untuk penduduk di kawasan yang diwakilinya. 

-- HIDUP BN!
-- TATAP BN!

Monday, April 15, 2013

Penduduk Dapat Geran, BN Dapat Undi

SERAMAI 16 penduduk Kg Jimpangah Beaufort merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penyandang wakil rakyat Dun Klias, Datuk Azizah Mohd Dun atas usaha dan komitmen beliau membantu penduduk dalam urusan permohonan tanah sehingga diluluskan. 

Sarina Agang yang mewakili penduduk terbabit berkata kumpulan penduduk akan terus memberi sokongan kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana mereka yakin hanya BN yang dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk khususnya di luar bandar. 

“Kami amat gembira kerana telah mendapat kelulusan tanah yang kami pohon sebanyak 10 ekar seorang. Dalam kesempatan ini kami ingin merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan Datuk Azizah. 

“Selain itu beliau adalah wakil rakyat yang sentiasa turun padang untuk memastikan semua penduduk di sini tidak terpinggir dari arus pembangunan negara. 

Di sini juga kami berjanji akan menyokong calon BN pada pilhanraya ini untuk mempertahankan pemerintahan BN,” katanya pada program Pemimpin Bersama Rakyat yang dirasmikan Azizah. 

Hadir sama, Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih, Naib Ketua Umno Beaufort, Datuk Kimjs Duin, Ahli Jawatankuasa Umno Beaufort, Sadi Nasah, KDM Ludin Gumat dan ketua-ketua parti kompone n BN Beaufort. 

Azizah yang juga Exco Wanita Umno Malaysia berkata beliau akan terus turun padang untuk mendengar denyut nadi rakyat. 

“Kita diangkat oleh rakyat untuk membantu rakyat. Inilah perjuangan sebenar pemimpin BN,” katanya.

Thursday, January 24, 2013

Ibu Tunggal: kerajaan BN Sabah beri RM11 juta, kerajaan Selangor disaman RM10.9 juta

KOTA KINABALU: Sebanyak RM11,261,065 bantuan disalurkan kepada ibu-ibu tunggal di seluruh Sabah pada tahun lalu bagi membantu meringankan bebanan golongan itu, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Azizah Mohd Dun. 

Beliau berkata bantuan itu yang disalurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Am Sabah membuktikan golongan berkenaan tidak pernah dilupakan oleh kerajaan. 

“Bagaimanapun, kita tidak mahu ibu-ibu tunggal terus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya kita mahu mereka berusaha mempertingkatkan taraf hidup masing-masing. 

“Dalam hal ini kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk mengubah nasib golongan ini termasuklah melaksanakan program peningkatan motivasi diri, kursus latihan dan kemahiran serta pemberian geran ibu tunggal bagi mereka yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengguna: Bajet 2013 dan Pelaksanaan Gaji Minimum di Wisma Wanita, di sini, kelmarin. 

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Asnimar Haji Sukardi, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah Datuk Hajah Mariati Robert dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah Datuk Hajah Siti Sapoo Ahok. 

Azizah berkata, selain itu kementerian dan beberapa jabatan di bawahnya seperti Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWS), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan Perpustakaan Negeri turut mengendalikan program Azam Kerja dan Azam Niaga. 

Katanya, hasil pemantauan terhadap program Azam Niaga yang disertai 522 peserta oleh JHEWS, 318 orang atau 17 peratus daripadanya melepasi indeks miskin tegar. 

“Pemantauan ini akan diteruskan dan kita berharap peratusannya akan terus meningkat. Apa yang penting para peserta kini mempunyai punca pendapatan sendiri dan tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan. 

“Usaha ini menunjukkan komitmen dan iltizam pihak kementerian memastikan golongan wanita di negeri ini mendapat manfaat sepenuhnya daripada inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan kerajaan,” katanya. 


Berkenaan dengan Bajet 2013, Azizah berkata kesan insentif bajet itu telahpun dinikmati oleh rakyat Sabah sekaligus menzahirkan komitmen kerajaan “apa yang dikata pasti dikota-sebuah janji ditepati”. 

“Bajet 2013 jelas menunjukkan keyakinan dan pengiktirafan kerajaan kepada golongan wanita dengan menyediakan peruntukan khusus sejumlah RM50 juta sebagai pemangkin dalam melonjakkan lagi fungsi dwiperanan wanita dalam pembentukan keluarga bahagia dan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara. 

“Di samping belanjawan negara menerusi Bejet 2013, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM10.96 juta untuk melaksanakan program-program pembangunan wanita. 

“Saya yakin peruntukan yang disediakan ini dapat dibelanjakan dengan cekap,” katanya. 

Beliau berkata, pada tahun lalu JHEWS berjaya membelanjakan 97.60 peratus atau RM585,624 daripada RM600,000 yang telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan wanita di negeri ini. 

Azizah berkata, menyedari pentingnya pendidikan awal kanak-kanak terutama peringkat para sekolah, kerajaan turut memperuntukkan RM1.2 bilion termasuklah Program Permata. 

“Sehingga kini terdapat 13 buah Pusat Anak Permata Negara di Sabah termasuk yang sudah beroperasi, telah siap dibina dan diperingkat awal pembinaan. 

“Tiga buah telahpun beroperasi iaitu di Tuaran, Beaufort dan Kota Belud. Dua buah lagi telah siap dibina iaitu di Papar dan Matunggung. Manakala lapan buah berada diperingkat awal pembinaan iaitu di Ranau, Penampang, Kudat, Kimanis, Kota Kinabalu, Putatan, Sandakan dan Batu Sapi,” katanya. 

Azizah berkata dengan terbinanya Pusat Anak Permata Negara ini, masyarakat yang berpendapatan rendah iaitu pendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah sebulan di kawasan luar bandar dan RM2,500 ke bawah di bandar, layak menghantar anak merekea ke pusat ini secara percuma. - New Sabah Times

2,020 ibu tunggal saman RM10.9 juta

SHAH ALAM 22 Nov. - Sebanyak 2,020 ibu tunggal hari ini mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri Selangor bagi menuntut tunggakan elaun bulanan berjumlah RM10.9 juta yang dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang lalu. 

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners bagi pihak kesemua ibu tunggal berkenaan yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.20 pagi ini. 

Mereka selaku pihak plaintif menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP defendan pertama manakala Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri defendan kedua. 

Dalam saman tersebut, plaintif mendakwa, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk mereka untuk memberi elaun bulanan kepada ibu tunggal sekiranya defendan pertama memenangi pilihan raya umum 2008. 

Menurut mereka, berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama. 

Pihak plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup mereka melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal. 

Dakwa mereka lagi, defendan kedua telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran kepada mereka dan golongan ibu tunggal di Selangor. 

Oleh itu, pihak plaintif menuntut sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 2,020 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan (1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012) menjadikan jumlah kesemua tuntutan mencecah RM10.9 juta daripada defendan pertama selain daripada kos. - Utusan

Monday, January 21, 2013

UMNO Beaufort tidak tergugat walaupun tanpa Lajim Ukin

WALAUPUN ramai melihat gelora melanda lautan politik Barisan Nasional Parlimen Beaufort, namun hakikatnya anak-anak kapal yang ditinggalkan nakhodanya masih dapat mengemudi bahtera keramat Umno untuk meneruskan pelayaran menuju destinsasi perjuangan membela rakyat di bawah panji-panji Barisan Nasional.

Mengimbas kembali peristiwa mantan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin meninggalkan anak-anak buahnya, ramai pemerhati melihat gelombang itu akan mencetuskan satu lanskap politik baru di Parlimen Beaufort, maka ia dianggap sebagai kawasan panas di kalangan penganalisis politik.

Sejak itu ramai ingin tahu sebarang perkembangan tentang tahap kelajuan tiupan angin dan ketinggian ombak perubahan samudera politik di Beaufort yang selama ini menjadi kubu kuat BN.

Pelbagai tanggapan dan ramalan diutarakan oleh pemerhati politik samada dari pemerhati politik kelas atasan hinggalah kepada pemerhati politik yang bermain-main di kaki lima dan kedai-kedai kopi.

Ada juga yang membuat andaian bahawa bahtera Umno akan tenggelam kerana konon banyak cawangan akan dibubarkan apabila ahli-ahli di peringkat cawangan akan mengikut jejak pemimpin yang bergelar Janang Gayuh itu.

Semua orang bebas memberi pendapat dan teorinya dan kini sudah beberapa purnama tragedi kecil itu menjadi secebis sejarah dalam Umno Beaufort, namun sehingga artikel ini ditulis tiada satu pun cawangan yang telah dibubarkan; sekali gus menafikan ramalan pihak yang sudah melupakan jasa Umno setelah menghisap madu di sarang lebah milik rakyat.

Isnin Aliasnih yang telah diisytiharkan menjadi Pemangku Ketua Umno di peringkat bahagian Oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak pernah patah semangat.

Apatah lagi segala ilmu pelayaran dalam politik dicurahkan secara berterusan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno di bahagian itu, Datuk Azizah Mohd Dun yang telah masak dengan sepak terajang di gelanggang politik sejak berusia 30 tahun itu berdiri teguh bersama Isnin dan barisan kepimpinan jawatankuasa Umno Beaufort yang majoritinya masih taat setia kepada perjuangan parti.

Menyedari mungkin ada sedikit kekeliruan di pemikiran rakyat akar umbi yang bertubi-tubi diracuni oleh pengkhianat parti, Isnin sebagai anak sulung yang telah matang dan Azizah sebagai ibu kepada keluarga Umno Beaufort; tidak berhenti turun padang menemui rakyat untuk menangkis segala fitnah dan tohmahan pihak pembangkang terhadap kerajaan yang telah lama menghidupkan rakyat dalam keadaan sejahtera sejak sekian lama.

Kini realiti menjelaskan segalanya. Isnin dan Azizah tidak berjalan sendirian, di kiri kanan mereka ada Ketua Pergerakan Pemuda, Ishak Ibrahim dan Ketua Pergerakan Puteri, Saridah Mohd Dun. Di belakang mereka pula terdapat bala tentera barisan ahli jawatankuasa induk, pemuda dan puteri bahagian menjadi perisai bersama ahli-ahli Umno daripada 253 cawangan.

Sedikit sinopsis dari berjuta langkah perjuangan Umno Beaufort masa kini menterjemahkan bahawa segala kekuatan dan keutuhan Umno bahagian itu tidak pernah terggugat walaupun bom fitnah dan tohmahan sering dilemparkan ke markas perjuangan Umno.

Segala kekuatan yang ditunjangi perpaduan dan persefahaman di kalangan seluruh barisan kepemimpinan Umno Beaufort dibuktikan apabila mereka sering bersama-sama menemui rakyat di peringkat akar umbi.

Baru-baru ini, pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi Limbawang A, barisan hadapan kepimpinan Umno bahagian telah bersatu hati rela hadir bersama-sama.

Ahli umno dan penduduk yang hadir menyaksikan sendiri Azizah, Isnin, Ishak, Saridah dan barisan jawatankuasa bahagian melestari makna perpaduan dalam perjuangan parti. Malah kehadiran pemimpin parti komponen BN Beaufort yang lain turut memberi isyarat bahawa BN Beaufort akan terus bertapak kukuh.

Setiap perjuangan perlu mempunyai senjata yang utuh. Sebagai pemimpin wanita yang diketahui rajin memabaca dan sering belajar dari sejarah, Azizah yang juga Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia, menghunus senjata perjuangan dengan keris perpaduan.

“Kita tidak punya waktu untuk berpecah belah. Ayuh kita terus bersatu dalam Umno-BN. Kita tidak ada ruang lagi untuk benci-membenci jauh sekali untuk dengki-mendengki antara satu sama lain. Kita mesti bekerja kuat untuk mencapai kemenangan dan mempertahankan Parlimen Beaufort dan Dun Klias.

“Marilh kita terus meningkatkan permuafakatan. Kita ketepikan soal-soal kecil demi kepentingan perjuangan. Kalau ada masalah dan rasa tidak puas hati kita selesaikan secara baik. Saya percaya kejayaan dan kemenangan akan bersama kita,” katanya sambil mengingatkan supaya tidak mengalah dengan serangan pihak pembangkang.

“Jangan ambil peduli dengan sebarang tohmahan dan serangan-serangan melalui SMS dan Facebook. Mereka hanya ingin memecah belahkan kita. Kita tidak harus tewas dengan propaganda jahat mereka,” katanya disambut tepukan gemuruh penduduk yang hadir.

Adun Klias yang memegang jawatan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna itu juga mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan pembohongan pihak pembangkang.

“Kalau orang kata tidak ada pembangunun, itu adalah satu pembohongan yang besar. Yang terbukti di Kampung Limbawang ini sahaja antaranya kita sudah ada Klinik 1 Malaysia dan Perpustakaan Desa. Ini belum lagi pembangunan yang kita ada di seluruh daerah ini. Kita ada kompleks sukan, perpustakaan, jambatan kedua, dewan baru, Kolej Komuniti, jalan raya yang dinaiktaraf dan banyak lagi,” katanya sambil meminta rakyat menyedarinya.

Pada program yang bertemakan 1Malaysia Tolak Pembangkang itu, Isnin pula berkata kepimpinan BN dan kerajaan melaksanakan tanggungjawab untuk kepentingan dan kebaikan rakyat dan ia berbeza dengan pendekatan pemimpin pembangkang yang mahu mewujudkan kekeruhan di antara rakyat dengan kerajaan.

“Pemimpin-pemimpin BN turun padang memberitahu rakyat tentang dasar-dasar kerajaan, tentang program-program pembangunan, bantuan, peluang-pelunag yang disediakan oleh kerajaan.

"Tetapi pemimpin pembangkang menemui penduduk dengan perkara-perkara negatif. Menjaja cerita memburuk-burukkan kerajaan BN. Pelbagai tohmahan dilemparkan dengan tujuan meracuni pemikiran rakyat agar membenci kerajaan.

"Semua itu mereka sanggup lakukan demi kepentingan politik peribadi,” katanya sambil berharap kepada kira-kira 3,000 pengundi muda di kawasan itu dapat menilai dengan bijak.

Pada majlis itu, Isnin yang juga Setiusaha Politik kepada menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, menyampaikan sumbangan kewangan kepada Persatuan Belia Kg Kukut dan Kumpulan Gambus Kg Lajau yang masing-masing menerima RM3,000.

Sumbangan sebanyak RM1,000 pula diberikan kepada Kumpulan Klias Rhytam of Gambus dan Kelas Pendidikan Kesejahteraan Keluarga Kg Kebidang.

Majlis yang merimbun keceriaan dan subur mekar mewangi sebuah perjuangan demi masa depan generasi masa depan menyaksikan beberapa pengunjung tersenyum gembira membawa pulang hadiah kerana menjadi pengunjung bertuah. Sebilangannya pula kembali ke rumah dengan langkah syukur membawa sekampit beras buah tangan pemimpin. - Sabahkini

Friday, December 28, 2012

Majoriti Penduduk Beaufort Tetap Sokong BN

BEAUFORT, 27 Dis (Bernama) -- Majoriti penduduk di kawasan Parlimen Beaufort kekal menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun anggota Parlimen dan Ketua Umno Bahagiannya Datuk Seri Lajim Ukin meninggalkan Umno beberapa bulan lepas.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Klias Datuk Azizah Mohd Dun berkata maklum balas penduduk di kawasan itu menunjukkan sokongan terhadap BN semakin meningkat.

Rakyat sudah bijak dan lebih rasional untuk menilai bahawa selama ini BN banyak berjasa dalam kehidupan mereka di negara ini, kata Azizah yang juga Exco Wanita Umno dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah pada majlis Jelajah Salam Sayang di Kampung Kukut di sini, Khamis.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk sentiasa bekerjasama dan bersatu padu memberi sokongan kepada BN bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan putar belit pembangkang yang hanya pandai menabur janji-janji kosong.

-- BERNAMA