Wednesday, June 12, 2013

BN Fail Petisyen Pilihan Raya Bagi Kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Batu

KUALA LUMPUR: Seorang calon Barisan Nasional (BN) dan seorang pengundi, masing-masing di Parlimen Batu dan Lembah Pantai, memfailkan petisyen pilihan raya untuk memohon pengisytiharan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kawasan-kawasan itu tidak sah.

Calon BN Parlimen Batu, Dr Dominic Lau Hoe Chai, 46, dan pengundi Parlimen Lembah Pantai, Mohamad Sazali Kamilan, 40, memfailkan petisyen itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi. Dominic menamakan calon PKR Chua Tian Chang (Tian Chua), pegawai pengurus bahagian pilihan raya parlimen Batu Mustafa Mohd Nor dan SPR sebagai responden.

Menerusi petisyen tersebut, Dominic mendakwa Tian Chua tidak berkelayakan untuk bertanding kerana Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara, atas kesalahan mencederakan anggota polis pada 2007.

Beliau mendakwa selaras dengan Perkara 48 1(e) dan 48(5) Perlembagaan Persekutuan, sabitan jenayah dan denda tidak kurang daripada RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua telah tidak melayakkan Tian Chua untuk bertanding dan dipilih sebagai ahli Parlimen.

Tambah Dominic, responden kedua Mustafa Mohd Nor telah gagal untuk menolak kertas penamaan calon Tian Chua semasa hari penamaan dan ia merupakan perlanggaran Peraturan 7(1)(c) Peraturan-peraturan (Perjalanan Pilihanraya) Pilihanraya 1981 yang akan menjadi asas bagi Hakim Pilihan Raya untuk mengisytiharkan pilihan raya itu tidak dijalankan mengikut undang-undang.

Beliau juga mendakwa Tian Chua mempamerkan bahan kempen pilihan raya sebelum hari penamaan dan sebelum tempoh berkempen. Sementara itu Mohamad Sazali telah menamakan calon PKR Nurul Izzah Anwar, pegawai pengurus bahagian pilihan raya Parlimen Lembah Pantai Rolan Abd Rahman dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.

Mohamad Sazali mendakwa pada 4 Mei lalu (sehari sebelum pengundian), Nurul Izzah telah mengganggu pengundi kawasan itu supaya tidak mengundi calon BN Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan memberi kenyataan palsu di laman web Malaysiakini. Beliau berkata kenyataan palsu itu juga telah diterbitkan dan disebarkan secara meluas kepada penduduk Lembah Pantai untuk merosakkan reputasi Raja Nong Chik.

Dakwanya, tindakan tersebut menyalahi undang-undang perjalanan pilihan raya dan Rolan, yang menguruskan tempat mengundi gagal melaporkan kepada SPR bahawa dua peti undi yang digunakan bagi bahagian Lembah Pantai telah dimusnahkan, dirosakkan atau diganggu.

Mohamad Sazali berkata keadaan itu berlaku berikutan tindakan penyokong PKR yang menghalang kenderaan yang membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi dan mereka juga memaksa bonet penyimpanan dibuka.

Beliau berkata berikutan keadaan itu, SPR sepatutnya menetapkan hari dan waktu untuk pengundian semula atau secara alternatifnya mengumumkan Raja Nong Chik memenangi kawasan tersebut.

Bagi Parlimen Batu, Tian Chua mengalahkan Dominic dengan majoriti 13,284 manakala Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah mengalah Raja Nong Chik, majoriti 1,847.

--MSTAR

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.