Wednesday, June 12, 2013

Pantau Aktiviti Anak, Elak Terlibat Politik Jalanan Pembangkang

"mahasiswa juga perlu berhati-hati dalam berpolitik agar tidak terlibat dalam vandalisme undang-undang,"

KUALA LUMPUR: Penglibatan generasi muda dalam arena politik secara positif mampu menjana pemikiran dan membentuk peribadi mereka menjadi individu matang, demikian menurut penganalisis politik.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata bagi tujuan itu, ibu bapa perlu memantau dan membimbing agar penglibatan anak mereka tidak terarah kepada politik jalanan.

Katanya, ibu bapa mesti mempunyai sikap ambil tahu aktiviti yang dilakukan, di samping sentiasa mendidik anak dengan rasa tanggungjawab kepada negara dan tidak bersikap terlalu agresif ketika berpolitik.

"Sekiranya anak-anak masih tinggal bersama keluarga, ibu bapa perlu memantau dengan siapa mereka berkawan agar tidak dipengaruhi oleh individu tertentu termasuklah diperalatkan sehingga terlibat dalam aliran politik berhaluan kiri.

"Pemantauan ibu bapa penting kerana anak-anak yang menyertai politik sepatutnya menjadi individu yang lebih matang kerana 'nature' orang politik perlu sentiasa peka dengan isu semasa di samping terlibat dengan pelbagai aktiviti membangunkan negara," katanya kepada Bernama.

Mengenai peranan ibu bapa berhubung penglibatan mahasiswa dalam politik, Md Shukri berkata mereka tidak boleh bersikap lepas tangan dengan menyerahkan kepada pihak universiti untuk membentuk anak-anak menjadi modal insan berguna kepada negara.

Beliau berkata perasaan bebas daripada perhatian ibu bapa dengan persekitaran baharu bersama kawan-kawan apabila melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi, mendorong anak-anak membentuk idealisme sendiri, seolah-olah kehidupan baharu mereka lebih demokratik berbanding di rumah yang sering kali ditentukan ibu bapa.

Mengambil contoh tindakan aktivis muda propembangkang Adam Adli Abd Halim yang didakwa menghasut orang ramai mengguling kerajaan menerusi demonstrasi jalanan, beliau berkata perbuatan itu merupakan tindakan mempromosi diri dan meraih populariti.

"Adam Adli diangkat sebagai 'hero' oleh kelompok parti pembangkang. Dengan populariti yang diraih menjadikan seolah-olah mahasiswa hanya dihargai, menjadi popular dan bergelar jaguh sekiranya bersama pembangkang.

"Hakikatnya, Adam Adli hanya simbol kerakusan pembangkang yang menggunakan seorang anak muda untuk menjadi popular dan meraih perhatian rakyat. Apa yang dilakukan sebenarnya adalah (gerakan) politik bersifat radikal...," katanya.

Beliau berkata ibu bapa tidak boleh taksub akan parti politik tertentu bagi mengelak sikap berkenaan mempengaruhi pemahaman politik anak-anak.

Md Shukri berkata kebenaran berpolitik yang diperoleh penuntut universiti melalui pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 wajar dimanfaatkan melalui saluran yang betul dan tidak disalah guna.

"Inilah yang terjadi kepada segelintir mahasiswa... AUKU dipinda untuk memberi mereka ruang dan kebebasan dalam berpolitik tetapi apa yang berlaku apabila diberi kelonggaran, ia dirai dengan cara yang tidak sepatutnya, disalah guna ibarat kera dapat bunga.

"Undang-undang yang dibentuk ada ketertibannya, bukan untuk dilanggar tetapi untuk diperkemaskan agar menjadi panduan kepada masyarakat... mahasiswa juga perlu berhati-hati dalam berpolitik agar tidak terlibat dalam vandalisme undang-undang," katanya.

Pada masa sama, Md Shukri menyarankan persatuan ibu bapa dan ahli akademik diwujudkan di universiti bagi tujuan membincang dan memantau aktiviti mahasiswa dengan lebih berkesan.

Katanya, hubungan rapat di antara ahli akademik dengan ibu bapa mahasiswa secara langsung boleh mengubah persepsi bahawa universiti adalah milik mahasiswa dan ahli akademik sahaja, tanpa perlu peranan ibu bapa.

"Persatuan ibu bapa dan ahli akademik menggambarkan keterlibatan secara serius golongan ini dalam mendidik anak-anak. Tiba masanya kita membentuk inovasi dan kreativiti baru dengan mengubah landskap dalaman universiti yang sebelum ini tertutup hanya untuk ahli akademik dan penuntut sahaja.

"Jika kita boleh buat program berkonsepkan khidmat masyarakat seperti Bakti Siswa dengan menghantar mahasiswa keluar universiti, kenapa kita tidak boleh mengajak ibu bapa pula masuk ke universiti dan sama-sama terlibat dengan anak-anak mereka dalam aktiviti kokurikulum?" soalnya dan berpendapat cara tersebut memberi peluang kepada ibu bapa bersama-sama dalam aktiviti anak mereka.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tuisyen Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Suhaimi Rashid berkata tindakan segelintir anak muda yang kononnya bangkit menyuarakan hak mereka dengan memberi ceramah mengandungi kata-kata menghasut rakyat bagi mengguling kerajaan, hanya merugikan diri sendiri.

"Ada dalam kalangan anak muda yang terlibat dengan demonstrasi dan politik jalanan ini merupakan individu bijak dalam akademik namun kerana terpengaruh di samping dijanjikan habuan lumayan seperti material dan jawatan, mereka bertindak seperti orang tidak berpelajaran.

"Mereka sewajarnya bijak berfikir, tidak bertindak mengikut perasaan dan menggunakan saluran yang betul serta tidak sesekali memilih politik jalanan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.