Wednesday, June 19, 2013

Sindiket Pemalsuan Punca Kebanjiran PATI Yang Memiliki IC

KOTA KINABALU: Kesediaan pendatang tanpa izin membayar sebarang amaun untuk mendapatkan kad pengenalan (IC) Malaysia telah membawa kepada kewujudan sindiket pemalsuan IC di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah, diberitahu Iisnin.

Pensyarah kanan Sosial Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayang Suria Mulia berkata memperoleh IC merupakan strategi pendatang tanpa izin untuk kelangsungan hidup di Sabah dan mereka bersedia membayar harga tinggi untuknya.

"Mereka berpendapat dengan memiliki IC Malaysia akan memudahkan mereka di sini kerana terdapat banyak kelebihan dengan memiliki IC," katanya.

Dayang Suria juga berkata pendatang tanpa izin mempunyai saudara-mara di Sabah yang memudahkan mereka untuk datang ke sini.

Beliau menjelaskan saudara-mara berkenaan akan membantu menjamin keselamatan mereka apabila mereka masuk ke negeri ini menerusi saluran tidak sah.

Dayang Suria berkata dalam kajiannya mengenai pendatang yang tidak mempunyai dokumen pada 1999, beliau mendapati mereka yang tidak mempunyai dokumen berpendapat ia memberi kebebasan untuk mereka bertukar kerja.

Katanya jika seorang pekerja asing mempunyai permit untuk bekerja dalam sektor perladangan, sekiranya dia mahu tukar ke sektor lain, dia perlu memohon permit kerja yang baharu.

"Apa yang saya dapati menarik (dalam kajian itu), tidak mengira betapa ketatnya undang-undang ke atas mereka, terdapat mereka yang tidak bimbang, terdapat mereka yang tidak takut (kepada undang-undang). Sesetengahnya memilih untuk tidak mempunyai dokumen," katanya.

Dayang Suria juga menegaskan industri-industri di Sabah, khususnya dalam sektor perladangan dan pembuatan, amat bergantung kepada bekalan pekerja asing.

Beliau menjelaskan atas hakikat bahawa penduduk tempatan tidak bersedia menjadi buruh kasar, majikan terpaksa bergantung kepada agensi penyumberan luar bagi memenuhi keperluan mereka.

Ditanya oleh pegawai pengendali Datuk Azmi Ariffin adakah industri akan lumpuh tanpa sokongan pekerja asing, Dayang Suria berkata industri akan terjejas walaupun tidak lumpuh kerana ia memberi kesan kepada produktiviti.

Sementara itu, anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) Mohd Ansar Maidin menafikan dakwaan dalam sebuah blog tahun lepas bahawa DPPIMS terlibat dalam mendapatkan kewarganegaraan Malaysia untuk pendatang tanpa izin.

Beliau berkata anggota DPPIMS sentiasa memastikan mendapatkan permit kerja untuk pekerja asing mereka, dan tidak membantu mereka mendapatkan kewarganegaraan.

Suruhanjaya itu diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. Anggota panel juga terdiri daripada bekas Naib Canselor UMS Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas Peguam Besar negeri.

Prosiding siasatan bersambung tengah hari esok.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.