Wednesday, June 12, 2013

Naib presiden PAS Kalah Kes Saman Fitnah RM10 Juta

KUALA LUMPUR: Naib presiden PAS Datuk Husam Musa kalah dalam kes saman fitnah RM10 juta terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan empat yang lain berkaitan sebuah artikel mengenai jawatannya dalam parti dan kerajaan.

Peguam Zulqarnain Lukman yang mewakili Husam memberitahu pemberita Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Lee Heng Cheong membuat keputusan di dalam kamarnya bahawa artikel itu tidak bersifat memfitnah.

Lee juga katanya memutuskan bahawa kalaupun artikel itu berbaur fitnah, mahkamah mendapati perlindungan bersyarat dan kewartawanan secara bertanggungjawab yang dijadikan alasan dalam pernyataan bela diri defendan, adalah terpakai dalam kes ini.

Beliau berkata mahkamah turut mendapati Husam gagal membuktikan kesnya terhadap defendan dan oleh itu memerintahnya membayar kos RM20,000 kepada defendan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan tiga saksi daripada pihak Husam dan dua daripada pihak defendan.

Pada 2010, Husam memfailkan saman terhadap NSTP, dua pemberitanya Shuhada Elis dan Nik Imran Abdullah, bekas pengarang kumpulan NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan pengarang urusan kumpulan NSTP ketika itu Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa.

Dalam pernyataan tuntutannya, Husam berkata defendan, dengan niat jahat, menulis dan menerbitkan sebuah artikel pada 23 Nov 2009 tentang jawatannya untuk tujuan mencemar nama baik beliau.

Beliau menuntut ganti rugi RM10 juta, kos dan relief lain yang didapati wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan bela diri mereka, defendan menafikan bahawa perkataan yang digunakan dalam artikel itu bersifat memfitnah dan artikel berkenaan disiarkan berlandaskan perlindungan bersyarat.

Defendan diwakili peguam Lim Qi Si dan peguam Wee Jason.

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.