Tuesday, June 25, 2013

Speaker Sindir Pembangkang Ketika Hari Pertama Dewan Rakyat Bersidang

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia “memulangkan paku buah keras” kepada pembangkang apabila beliau menggunakan slogan-slongan yang sering dilaungkan oleh mereka sebelum ini sebagai intipati ucapannya yang menyeru ahli-ahli parlimen supaya bersikap lebih matang kali ini. Ini gara-gara mereka cuba bikin kecoh atas isu kertas undi untuk memilih jawatan Speaker antara beliau dengan calon pembangkang,Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Dalam ucapan selepas menang jawatan berkenaan,beliau berkata ,”Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya telah mendengar beberapa seruan yg seringkali dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin dan rakyat akar umbi seperti, ubah, transformasi, reformasi, ini kalilah, kalau bukan kita siapa lagi? kalau bukan sekarang bila lagi?.

“Mereka yang telah mempopularkan seruan ini mungkin mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Akan tetapi bagi saya, seruan-seruan ini bermesej menyeru “mengubah sikap untuk membuat kebaikan.”

“Maka bertolak dari roh maksud tafsiran ini, saya menyeru ahli-ahli Yang Berhormat sekelian untuk membudayakannya sewaktu bertugas di Dewan Rakyat. Ayuh! kita ubah, kita bereformasi, kita bertransformasi, kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi? ini kalilah!

“Ini kalilah…kita julang memartabatkan parlimen Malaysia ke tahap yang tinggi dengan menunjukkan sikap seperti yang disebut oleh Erskine May dalam bukunya, “Parliamentary Practice” yang bermaksud “kesabaran dan kesederhanaan adalah ciri-ciri berbahas di parlimen.

Bahasa parlimen adalah lebih menggamit apabila seseorang ahli sewaktu berbahas dapat mempengaruhi pendapat dan pendirian pihak lawan,” katanya.

Pandikar dipilih menjadi Speaker menerusi undian bersurat (undi sulit) di mana ahli-ahli parlimen dikehendaki menulis nama calon pilihan mereka di atas sekeping borang yang diedarkan dan menyerahkan semula kepada setiausaha parlimen.

Nama Pandikar dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Pembangkang, melalui Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Khalid Ibrahim, telah mencadangkan Kadir yakni bekas seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Cadangannya itu disokong oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Keadaan agak panas seketika selepas pembangkang buat kecoh kira-kira 15 minit tidak setuju undi bersurat yang mengkehendaki setiap ahli Parlimen menulis nama atas kertas undi. Untuk rekod, tulis nama dalam proses ‘undi bersurat’ merupakan sebahagian daripada peraturan mesyuarat.

Bagaimanapun kekecohan tersebut berhenti selepas, Setiausaha Parlimen 1 Datuk Rosmee Hamzah mengumumkan Pandikar menang dengan 133 undi dan Kadir mendapat 89 undi. Sejurus keputusan dibacakan, Pandikar telah mengangkat sumpah sebagai Speaker.

Pandikar dalam ucapan itu berkata, walaupun pemilihan Speaker telah diadakan secara bersurat, ia tidak bermakna Peraturan Mesyuarat 4 sudah “out-dated” atau terpesong daripada lunas-lunas tuntutan demokrasi. Katanya perubahan atau pindaan kepada cara persidangan dikendalikan akan dibuat mengikut keperluan atau tuntutan semasa.

Pandikar malah turut memberi jaminan bahawa dia juga akan berubah. Dalam nada gurau Pandikar turut memberitahu bahawa jubah yang dipakainya juga telah ditransformasi di mana rekabentuknya lebih canggih dari yang dulu.

Beliau turut mengumumkan perubahan kedudukan ahl-ahli parlimen kali ini, terutama membabitkan pembangkang telah diubah mengikut kekananan sebagai satu parti, berbeza dengan sidang parlimen ke-12 di mana tempat duduk ditentukan mengikut blog parti masing-masing.

Pandikar berkata beliau berharap perubahan berkenaan akan disusuli oleh pengwujudan barisan kabinet bayangan untuk memudahkan pengendalian perbahasan dalam konteks mengenalpasti pembahas-bahas terutama dari pihak pembangkang.

Pandikar dari Kota Belud, Sabah, dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat buat pertama kali pada mesyuarat pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-12 pada April 2008.

Dalam pada itu, Pandikar Amin turut memahsyurkan anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee dan anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mereka menang tanpa bertanding berikutan kegagalan pakatan pembangkang mengemukakan nama-nama calon untuk jawatan itu dalam tempoh 14 hari sebelum dewan bersidang hari ini.

Pakatan pembangkang sebelum ini dilapor mahu mencadangkan anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar untuk mengisi jawatan berkenaan.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.