Monday, June 10, 2013

Musa Aman teruskan agenda pembangunan di seluruh negeri Sabah


Setelah mendapat mandat rakyat dalam PRU-13, Kerajaan BN negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, tidak menunggu lama sebaliknya terus turun padang memastikan kejayaan agenda pembangunan di seluruh negeri khususnya membela nasib rakyat di kawasan pedalaman. Ketika mengakhiri lawatan kerja sehari ke Long Pasia dan Long Mio hari ini, beliau telah meluluskan pembinaan jalan konkrit untuk penduduk Kg Long Mio. 

“Kerajaan BN sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab kepada nasib rakyat di seluruh negeri, kita komited dalam mengutamakan agenda pembangunan luar bandar apatah lagi di kawasan Long Pasia dan Long Mio, sebuah kawasan yang agak terpencil di pedalaman Sabah yang masih memerlukan lebih banyak keperluan dan kemudahan asas untuk rakyat”, katanya.

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan menggalakkan rakyat di kawasan itu menanam getah dan kopi bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi dan memberikan pekerjaan kepada penduduk setempat. 

“Dalam konteks ini kerajaan akan memberikan apa juga bentuk bantuan dan insentif yang sewajarnya bagi menjayakan usaha ini”, tambahnya lagi. 

Di samping itu beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan dan menambah baik sistem tenaga solar yang digunakan penduduk di kedua-dua kampung Long Pasia dan Long Mio. Mengenai permintaan untuk pembinaan sebuah sekolah menengah, Musa berkata bahawa kerajaan telah mengenal pasti sebuah kawasan di Maligan bagi tapak pembinaan sekolah menengah untuk para pelajar dari kampung-kampung yang berhampiran di kawasan ini. 

“Semua ini kita usahakan untuk memastikan anak-anak generasi muda di kawasan ini mendapat pendidikan yang terbaik demi masa depan mereka dan keluarga,”, tambahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Long Pasia, Mudin Sia, berkata lawatan kerja Ketua Menteri merupakan satu sejarah bagi penduduk Long Pasia dan mereka berasa gembira kerana dapat berjumpa dan beramah mesra dengan pemimpin negeri. 

“Dengan lawatan ini, beliau sendiri dapat melihat dengan lebih dekat bukan sahaja budaya, malah keadaan sebenar kehidupan rakyat di kawasan ini,”, tambahnya lagi.

Ketua Kampung Long Mio, Marung Padan, pula berkata “kami juga amat terharu dan berterima kasih dengan keprihatinan Ketua Menteri yang bukan sahaja turun padang untuk melawat kami tetapi sanggup mendengar masalah dan keperluan kami serta bersetuju meluluskan dan mempertimbangkan beberapa permintaan yang kami suarakan”.

Turut bersama dalam lawatan kerja tersebut ialah Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad, ADUN Sindumin Haji Ahmad Bujang, Pegawaii Daerahh Sipitang Latif Hj. Amat dan Pengaweah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Osman Jamal. Sepanjang lawatan kerja ke Long Pasia itu Musa telah melawat ke Perpustakaan Desa, Pos Kawalan Tentera, Sistem Tagal dan tapak lapangan terbang lama.

2 comments:

  1. Sabah akan berjalan seiring dengan visi Perdana Menteri kita untuk menjadi sebuah negera yang maju.

    http://bah-sabah-bah.blogspot.com/2013/06/malaysia-set-to-become-developed-nation.html

    ReplyDelete
  2. memandangkan long pa sia antara tempat terpencil di sabah, dengan pembangunan oleh kerajaan, perhubungan dan perjalanan penduduk akan menjadi lebih mudah.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.