Monday, June 24, 2013

Rakyat Ditipu Lagi: Lepas Berhimpun, Anwar Angkat Sumpah Iktiraf Keputusan PRU13

Ketika para pecacai dan penyokong Pakatan Rakyat cuba menimbulkan kekecohan dengan 'kekuatan' seramai lebih kurang 200 orang di luar pekarangan bangunan Parlimen dan menyusahkan pengguna-pengguna jalanraya pada pagi Isnin untuk ke tempat kerja terutama yang menggunakan laluan ke Damansara dari arah Kuala Lumpur, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan seramai 89 orang, mengangkat sumpah jawatan masing-masing dengan penuh bersahaja dan selamba tanpa menghiraukan apa yang mereka laung-laungkan sebelum ini. 

Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah pada jam 11:50 pagi dengan menyatakan bahawa:
"Saya, Dato Seri Anwar bin Ibrahim setelah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan, dengan jujur, menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang sedemikian dengan segala upaya saya dan saya akan menumpahkan segala taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan negara."
Sekaligus, kepala yang beria-ia benar mahukan demonstrasi menumbangkan kerajaan yang dipilih menerusi pilihanraya yang diselenggarakan oleh SPR, telah pun memperakui bahawa keputusan PRU13 tidaklah sebagaimana dakwaannya. Bahkan secara tidak langsung, dia sendiri telah memperakui keputusan PRU13 yang sebelum ini dipertikaikan.

Kekecohan yang dilakukan oleh para penyokongnya di luar pekarangan Parlimen, nampaknya langsung tidak merencatkan Anwar Ibrahim untuk bergelar Ahli Parlimen. Sebaliknya, memorandum yang hendak disampaikan oleh kumpulan yang melakukan kekecohan dengan liputan penuh daripada stesen televisyen antarabangsa, Al-Jazeera tersebut, hanya diterima oleh ‘balacinya’, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam pada jam 12:05 tengah hari yang kemudian mengeluarkan arahan agar mereka bersurai.

Anwar Ibrahim yang semalamnya bersungguh-sungguh berucap walaupun sedikit hambar setelah melihat ramai yang meninggalkan venue tunjuk perasaan iaitu Padang Merbok, ternyata hari ini kekal sebagai seorang penipu dan pemerdaya terbesar. 

Daripada memujuk rakyat Malaysia agar turun berdemonstrasi untuk menzahirkan penolakan terhadap keputusan PRU13 dan PRU13 yang dikendalikan oleh SPR, akhirnya setelah bersungguh-sungguh para pengikutnya cuba merealisasikan impian dan hajatnya, Anwar Ibrahim dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berjumlah 88 orang yang lain, tanpa menghiraukan para pengikut mereka, mengangkat sumpah terima tugas.

Agak pelik dengan gelagat para pemimpin Pakatan Rakyat. Ketika bersama-sama penyokong, mereka menjadi manusia yang sangat kuat berpegang kepada prinsip. Mereka melafazkan pelbagai omongan yang dilihat mampu mempengaruhi para pengikut agar menuruti segala kehendak mereka, sekalipun terpaksa melanggar segala peraturan dan undang-undang di negara ini.

Namun apabila mereka sendiri mendapat peluang, segala yang dijanjikan kepada para pengikut yang sanggup menggadaikan keselamatan diri, bahkan sanggup dibuang kerja atas alasan perjuangan, akhirnya menjadi hampas belaka. 

Bukti terbaru adalah apabila para pemimpin Pakatan Rakyat yang menang dalam PRU13 lalu, tidak membuang masa untuk mengangkat sumpah walaupun pada awalnya, bersungguh-sungguh pula mereka merancang untuk memboikot perjalanan Parlimen Malaysia atas alasan, keputusan PRU13 meragukan. 

Apakah sekarang ini, melihat kepada bukti-bukti ciptaan yang ada tidak mampu untuk mengubah keputusan, maka para pemimpin Pakatan Rakyat terutama sekali Anwar Ibrahim enggan melepaskan peluang menjadi Ahli Parlimen? 

Atas alasan apa pula mereka menerima tugas selaku Ahli Parlimen, sedangkan setahu ramai, bahkan rekod juga telah membuktikan, hampir kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada PRU12 lalu, tidak pernah menjalankan tugas mereka selaku wakil rakyat pun. Banyak masalah rakyat terbiar dan akhirnya diselesaikan oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Mereka sendiri, lebih banyak berkempen ke serata pelusuk negara untuk menaikkan sentimen rakyat, sekaligus mewujudkan suasana tidak tentera dan politik yang tidak stabil. 

Walau apa pun, ternyata peristiwa hari ini jelas menunjukkan bagaimana para pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Anwar Ibrahim lebih memikirkan perihal tekak dan perut mereka sendiri berbanding rakyat. Di sebalik laungan dan cemuhan terhadap SPR sehingga sanggup pula menganjurkan demonstrasi dengan sasaran penyertaan 1 juta orang, hari ini, mereka terlebih awal berada di Parlimen untuk mengangkat sumpah, sekaligus menerimapakai keputusan PRU13 yang mereka pertikaikan sebelum ini!

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.