Sunday, June 9, 2013

Nurul Izzah patut belajar menghormati Perlembagaan Negeri Sabah dan Persekutuan

APABILA membaca desakan yang dibuat oleh Nurul Izzah dan juga rancangan peguam PKR Sabah ke atas Datuk Seri Musa Aman, saya mewakili rakan Ketua Puteri UMNO bahagian di Sabah memandang berat ke atas apa yang berlaku.

Tindakan Ketua Menteri Sabah menyekat kemasukan Nurul Izzah Anwar ke Sabah adalah satu langkah yang tepat sekali. Harus dingat negeri Sabah cukup menjaga keharmonian perpaduan kaum yang selama ini amat terpelihara dan menjadi wadah perpaduan pelbagai etnik masyarakat Negeri Sabah.

Sudah tentu jika dibenarkan Nurul Izzah memasuki negeri Sabah, beliau akan menggunakan Pesta Kaamataan dijadikan gelangang untuk menghasut rakyat Sabah untuk membenci kerajaan BN Sabah dengan kononnya Pilihanraya ke 13 tidak adil. 

Persoalannya sekarang ialah Nurul Izzah telah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai dan pihak pembangkang juga memenangi beberapa negeri.

Jika mereka mengikhtiraf PRU13 tidak adil, maka seharusnya mereka dengan terhormat tidak menubuhkan kerajaan negeri di kawasan yang mereka menangi, tetapi semuanya indah khabar dari rupa. 

Saya menyeru kepada Nurul Izzah Anwar agar sedarlah dirimu siapa dan hormatilah aliran demokrasi pilihan rakyat Sabah sepertimana BN menghormati kemenangan beliau.

Sehubungan dengan itu, tindakan Ketua Menteri Sabah menjaga perpaduan dan keharmonian masayarakat Sabah adalah amat tepat sekali setelah rakyat Sabah menterjemahkan hati nurani mereka melalui undi dalam PRU-13 melalui kemenangan cemerlang BN Sabah dibawa kepimpinan Ketua Menteri Sabah.

Permintaan Nurul Izzah Anwar supaya Ketua Menteri Sabah memohon maaf adalah tidak masuk akal kerana amanah rakyat Sabah menjadi keutamaan YAB Ketua Menteri Sabah untuk beliau perjuangkan supaya keharmonian dan perpaduan masayarakat di negeri Sabah sentiasa dalam keadaan terpelihara dan aman.

Tidak ada dinyatakan dalam mana-mana peraturan Ketua Menteri Sabah perlu memberi penjelasan atau mewartakan sebab musabah menahan 'Persona Non Grata' daripada memasuki Sabah kerana terletak di bawah bidang kuasa istimewa beliau; manakala Pengarah Imigresen hanya melaksanakan tugas mengikut Undang-undang,

Isu kuasa istimewa Ketua Menteri ini telah berlarutan sejak 1963 namun jarang dipedulikan oleh Ahli Politik Pembangkang, melainkan setelah mengalami 'gangguan emosi' dan merasa malu kerana dikategorikan sebagai 'Persona Non Grata'. 

Tindakan menyaman Ketua Menteri Sabah atau Kerajaan Negeri Sabah tidak memberikan sebarang makna kerana hak-hak khas Perlembagaan dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan disekat masuk ke Sabah di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 dan akan mencabar keputusan menghalang itu di mahkamah. Namun, mungkin tidak sedar bahawa di dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada Kerajaan Negeri Sabah oleh Seksyen 65(1)(c) Akta tersebut, Kerajaan Negeri Sabah tidak perlu memberikan sebarang alasan.

Adalah mustahil, sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia dan warganegara Malaysia, Nurul Izzah mahupun mana-mana pemimpin pembangkang tidak menyedari wujudnya 'Kuasa Mutlak' Ketua Menteri Sabah yang WAJIB dilaksanakan oleh Pengarah Imigresen Sabah untuk menyekat kemasukan sebarang pergerakan rakyat Malaysia ke Sabah. 

Anggapan bahawa adalah tidak rasional dan menganggap tindakan sekatan ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik, hanyalah 'tindakan keanakan' seorang Ahli Parlimen Muda yang tidak tahu menghormati 'Tuan Rumah'. 

Sebagai 'Tuan Rumah' atau Ketua Menteri, YAB Musa Aman tidak perlu memberikan sebarang penjelasan kerana Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 sudah cukup jelas, malah tidak menghalang menggunakan hak Perlembagaannya untuk memfailkan saman mencabar keputusan Kerajaan Negeri Sabah.

Sewajarnya mulai sekarang, YB Nurul Izzah mahupun mana-mana pemimpin pembangkang patut belajar menghormati Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan sebelum berbahas di dalam Dewan Parlimen kerana orang bijaksana berbahas dengan minda dan bertingkah dengan tinta, bukannya demonstrasi atau membuat publisiti murahan.

Seharusnya Nurul Izzah sedar dengan 'sekatan' berkenaan dan menyokong 'Autonomi Sabah' yang kononnya diperjuangkan dalam Buku Jingga yang dijadikan manifesto Pakatan Rakyat di Sabah semasa PRU-13 lalu.

Saya percaya dengan sokongan padu daripada rakyat Sabah, Ketua Menteri Sabah akan terus mengotakan janji dalam Manifesto BN untuk rakyat Sabah mendapat faedah yang berterusan.

Salam Hormat,

HJH MUSLIATI MOSLIMIN

Ketua Puteri UMNO Sabah
Merangkap Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia

7 comments:

  1. Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dikatakan sedang menimbang
    tindakannya untuk mencabar larangan masuk ke negeri itu yang dibuat
    oleh pihak Imigresen atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah ke
    mahkamah.

    ReplyDelete
  2. Jika benar itu tindakannya sebagai tindakbalas terhadap keputusan pihak
    kerajaan negeri Sabah itu maka ini bermakna ianya pertama kali dalam
    sejarah negara ini seorang Ahli Parlimen Malaysia mahu mencabar salah
    satu perkara daripada 18/20 perkara di dalam perjanjian Sarawak/Sabah
    yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang
    memberi hak keistimewaan kepada kedua-dua negeri berkenaan.

    ReplyDelete
  3. Perkara 6 Akta Imigresen dalam perjanjian 18/20 perkara bagi
    Sarawak/Sabah yang cuba dicabar oleh Nurul Izzah berbunyi "Kawalan ke
    atas Imigresen ke dalam mana-mana bahagian di Malaysia dari luar harus
    dipikul oleh Kerajaan Pusat tetapi kemasukkan ke Borneo (Sarawak/Sabah)
    yang perlu juga mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

    ReplyDelete
  4. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mampu untuk VETO kemasukkan
    orang-orang ke dalam Borneo (Sarawak/Sabah) untuk tujuan Kerajaan Negeri
    kecuali atas bidang keselamatan. Borneo (Sarawak/Sabah) harus mempunyai
    kuasa sepenuhnya ke atas pergerakkan orang lain dari bahagian-bahagian
    lain di Malaysia ke Borneo (Sarawak/Sabah).

    ReplyDelete
  5. Perkara ini jelas dan telahpun dipersetujui oleh semua pihak sebelum berlakunya pembentukkan Malaysia pada 16 September 1963.

    ReplyDelete
  6. Dan apa yang penting ialah 18/20 perkara dalam Perjanjian Sarawak dan
    Sabah merupakan lambang kuasa autonomi yang diberikan oleh Kerajaan
    Persekutuan kepada kedua-dua negeri ini yang tidak boleh lagi
    dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

    ReplyDelete
  7. Inilah kuasa autonomi yang akan menjadi hak milik kekal Sarawak/Sabah
    sejak bersama-sama Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura membentuk
    negara Malaysia yang membolehkan kedua-dua negeri membentuk barisan
    kabinet negeri masing-masing serta harus dipertahankan sampai bila-bila
    oleh Sarawak/Sabah dan amat tidak wajar sama sekali bagi orang lain
    seperti Nurul Izzah untuk mencabar kuasa istimewa yang dimiliki oleh
    kedua-dua negeri Malaysia Timur ini di mahkamah.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.