Wednesday, April 3, 2013

ICQS mampu tangani kebanjiran PTI


Bermula 2 April ini, tiga buah Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) akan beroperasi di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) iaitu di Lahad Datu, Kudat dan Pos Kawalan Imigresen Bersepadu Kerakit, Pulau Banggi, Kudat. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebanyak 12 kabin akan digunakan sebagai pejabat sementara yang merangkumi enam kabin di ICQS Lahad Datu, empat kabin (Kudat) dan dua (Pulau Banggi). 

Beliau berkata, sebanyak 14 pegawai akan ditempatkan sementara di setiap ICQS dan pos kawalan itu termasuk Unit Risikan dan Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia. 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kewujudan ICQS itu membolehkan pemantauan dibuat terhadap pergerakan keluar masuk, khususnya di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), selain menjamin keselamatan kapal dagang yang melalui perairan ini. 

Secara langsung dapat memperketatkan kawalan setempat di Pantai Timur Sabah, di samping memberikan kemudahan laluan masuk kepada warga asing dari perairan pantai timur yang mempunyai dokumen perjalanan sah menggunakan laluan diwartakan.

Penubuhan Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) di negeri ini dilihat akan memperkuatkan lagi usaha pihak berkuasa menangani kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) khususnya di Pantai Timur termasuk menyekat kewujudan ‘laluan-laluan tikus’.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata dengan adanya ICQS yang mula beroperasi kelmarin telah membuktikan ketelusan kerajaan dalam menangani isu PTI dan sekaligus memberi kemudahan kepada kemasukan mereka menerusi laluan yang diwartakan.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen telah dijadikan pasukan hadapan setelah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ditubuh dan untuk itu, tujuh inisiatif bakal dilaksanakan secara berperingkat yang salah satunya adalah menerusi ICQS.

“Namun kita percaya dengan adanya ICQS ini akan dapat mengatasi masalah laluan tikus yang digunakan PTI terutama dari negara Filipina memasuki negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Imigresen Sabah, Kompleks Pentadbiran Persekutuan di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Alias menjelaskan bahawa laluan tikus yang digunakan oleh PTI adalah disebabkan kurangnya kemudahan pintu masuk secara sah ke negeri ini.

Alias berkata, menerusi langkah itu telah menambah laluan masuk yang sah seperti sedia ada di daerah Semporna, Tawau dan Sandakan bagi kemasukan warga asing ke Sabah.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, kita mesti buka pintu masuk yang sah kepada warga asing yang ingin ke sini,” katanya sambil menambah, bermula kelmarin, semua warga asing yang memasuki negeri ini termasuk menggunakan kapal, bot dan lain-lain perlu melaporkan diri kepada penguasa Imigresen di pusat ICQS.

Terdahulu, difahamkan lebih 50 laluan tikus di perairan Sabah termasuklah di Pantai Timur sering digunakan PTI untuk menyelinap masuk ke negeri ini.

Sementara itu, Alias turut mendedahkan bahawa pihaknya menerusi Wisma Putra telah memaklumkan kerajaan Filipina berhubung penubuhan ICQS di Sabah.

“Kita telah memaklumkan kepada mereka (kerajaan Filipina) dan mereka telah memberikan respon positif.

“Kita telah maklumkan kepada mereka bahawa sesiapapun yang ingin ke Sabah mestilah mempunyai dokumen yang sah dan mestilah juga melalui ICQS,” katanya. - The Borneo Post

2 comments:

  1. Salam bro.. Blog bro telah pun saya pautkan.. Mohon pautkan kembali blog saya

    http://bilarentapbangkit.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Salam bro.. Blog bro telah pun saya pautkan.. Mohon pautkan kembali blog saya

    http://bilarentapbangkit.blogspot.com/

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.