Wednesday, March 13, 2013

Pilihan raya umum diadakan serentak termasuk Lahad Datu

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di Lahad Datu iaitu kawasan berlakunya kes pencerobohan pengganas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. 

Beliau berkata ini kerana keadaan di Kampung Tanduo dan sekitarnya kini bertambah baik dan yakin dalam masa terdekat kawasan itu akan kembali pulih seperti biasa. 

“Elok buat serentak untuk menjimatkan kos dan tenaga. Hari ini pun murid-murid sekolah (di Lahad Datu) sudah pergi ke sekolah sebab sekolah yang sebelum ini ditutup kini dibuka semula. 

“Begitu juga dengan para peniaga yang sudah mula berniaga. Jadi saya yakin dalam tempoh terdekat sehingga dewan dibubar atau pilihan raya diadakan, kawasan-kawasan itu akan bertambah aman,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat Susulan pegawai, pengurus, penolong pengurus dan pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi persiapan PRU Negara ke-13, di Pasific Sutera Harbour, di sini, kelmarin. 

Abdul Aziz berkata, terdapat dua pusat mengundi di kawasan yang diisytiharkan zon merah berikutan pencerobohan pengganas sejak 12 Feb lalu iaitu SK Tanjung Labian dan SK Tunku (kawasan Kampung Tanduo). 

“Saya tidak mahu ada spekulasi mengatakan apa akan terjadi jika … (keadaan di Lahad Datu khususnya di Tanduo dan sekitarnya) kerana saya cukup yakin dengan usaha pasukan keselamatan. 

“Sebab itu saya sangat yakin pilihan raya umum akan diadakan serentak di semua tempat di seluruh negara. Saya juga yakin kedua-dua kawasan itu (SK Tanjung Labian dan SK Tunku) akan menjadi kawasan selamat pada masa mengundi,” katanya. 

Abdul Aziz turut menasihatkan pemimpin parti-parti politik supaya tidak membangkitkan isu-isu sensitif semasa kempen pilihan raya khususnya yang ada kaitan dengan kes pencerobohan di Lahad Datu. 

“Saya ingin mengingatkan supaya dalam tempoh kempen semasa PRU-13, parti-parti politik yang berkempen perlu lebih bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan apakah isu yang sensitif di kawasan berkenaan. 

“Saya juga berharap agar pemimpin parti politik menasihatkan pengikut dan penyokongnya supaya berkempen secara bertanggunajwab. Jangan berkempen mengikut sesuka hati yang boleh menimbulkan kemaharan kumpulan-kumpulan tertentu. 

“Kalau semua pihak mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh SPR serta mengikut arahan pihak Polis, InsyaAllah PRU-13 akan berjalan dengan aman, damai dan harmoni,” katanya. 

Abdul Aziz juga mengingatkan semua parti supaya tidak menimbulkan provokasi dan tidak buruk-burukkan orang ketika berkempen. 

“Tapi saya tahu orang Sabah baik-baik belaka, tidak ada yang suka memburuk-burukkan orang lain,” katanya. Beliau percaya, kemampuan pasukan keselamatan untuk menjaga ketenteraman dan keamanan semasa kempen dan proses pengundian dijalankan. 

“Pihak polis akan mengawal keadaan di semua kawasan termasuk sepanjang tempoh kempen pilihan raya dan dalam keadaan tertentu, jika perlu kita boleh juga meminta bantuan dari pihak tentera,” katanya. - New Sabah Times

1 comments:

  1. nampaknya tiada yang ditangguhkan

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.