Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang juga Ahli Parlimen Kawasan Sandakan berkeyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan semula ketiga-tiga kerusinya di kawasan Parlimen P.186 Sandakan DUN Tg Papat dan DUN Elopura menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Beliau berkata, parti itu tiada masalah untuk berdepan dengan mana-mana pembangkang berikutan kesiapsiagaan komponen kini berada dalam tahap paling terbaik.
Katanya, kekuatan parti turut didorong hasil semangat semua pihak terutama program Jalinan Rakyat (JR) menambah keyakinan rakyat terhadap BN apabila pelaksanaan program murni ini sampai ke peringkat akar umbi sekali gus mendengar apa jua permasalahan.
"Kita sudah pun siap sedia dan perkara menggembirakan saya apabila rakan-rakan komponen BN menunjukkan laporan yang semuanya bersiapsiaga menghadapi PRU-13 yang akan diadakan tidak lama lagi," jelasnya semasa ditemui wartawan pada Taklimat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sandakan Kali Kedua di di Ballroom Sabah Hotel di sini, kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Liew meminta rakyat supaya tidak memperbesar-besarkan kejadian di Kampung Sim-Sim di mana tiga orang lelaki mencurigakan dilaporkan. Beliau berharap rakyat jangan membuat andaian sendiri, tetapi sebaliknya menghubungi polis untuk menyiasat.
"Sebenarnya, kejadian ini sudah dapat diatasi apabila pasukan keselamatan bertindak segera selepas mendapat maklumat orang awam. Jadi, tidak perlu lagi merasa bimbang keadaan adalah terkawal," katanya. - Sabahkini
PUTERI PASTIKAN SEMUA KERUSI BN KEKAL
Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Sandakan, Siti Haiba Majid, berkata jenteranya sudah bersiap sedia bagi memastikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Menurut beliau, kekuatan BN terutama di Parlimen P.186 Sandakan tidak perlu dibimbangi kerana setiap sayap yang sedia ada telah pun digerakkan dengan melibatkan kerjasama rakan-rakan komponen BN.
Beliau berkata, sokongan rakyat dilihat terus bertambah apabila setiap kali mereka turun padang masyarakat setempat memberikan maklum balas yang positif sekali gus menunjukkan bahawa sokongan kepada BN tidak pernah berbelah-bahagi.
Katanya, keyakinan rakyat itu hasil daripada keikhlasan dan keprihatinan kerajaan yang mampu memikul tanggungjawab ditambah lagi pendekatan murni Puteri Umno yang sentiasa mendekati golongan wanita muda.
"Saya yakin pada PRU-13 calon-calon BN di kawasan ini akan beroleh kemenangan mudah memandangkan sokongan rakyat tidak pernah pudar; malahan semakin baik. Ini dapat dibuktikan menerusi program yang kami jalankan mendapat reaksi sangat baik.
"Saya mengambil contoh program yang dilaksanakan pada petang ini telah dihadiri kalangan beliawanis. Ini menunjukkan bahawa hubungan parti dengan semua golongan kian akrab," jelasnya.
Siti Haiba menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Belia Parlimen Sandakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Indah Jaya, dekat sini kelmarin.
Dalam pada itu, Haiba menasihatkan kepada ahli-ahli Puteri UMNO Sandakan agar tidak mendengar khabar-khabar angin yang kini masih lagi disebarkan oleh beberapa orang yang tidak bertanggungjawab yang sengaja menakut-nakutkan; kononnya keadaan daerah Sandakan kurang selamat itu sama sekali tidak betul.
“Kita tak perlu takut kerana pihak keselamatan seperti Polis dan Tentera kini telah membuat kawalan ketat disetiap sudut tempat sama ada diteluk-teluk persisiran pantai mahupun di darat khususnya disepanjang jalan Sandakan ke Kota Kinabalu dan Sandakan ke Lahad Datu,” ujarnya. - Sabahkini
dia pasti akan terus pertahankan sandakan
ReplyDelete