Friday, March 15, 2013

Insiden Pencerobohan: Kerajaan fokus siasatan pembabitan pihak ketiga


Wisma Putra Kumpul Maklumat Dakwaan Pihak Ketiga Terbabit Pencerobohan Di Sabah

PUTRAJAYA, 14 Mac (Bernama)-- Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman tidak menafikan pembabitan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan Sabah oleh pengganas Sulu seperti dilaporkan akhbar Filipina baru-baru ini.

Oleh itu, beliau berkata Wisma Putra akan mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan sejawatannya bagi memulakan penyiasatan di negara ini untuk memastikan sama ada rakyat Malaysia menjadi dalang dalam mewujudkan ketidakstabilan berkenaan.

"Saya telah meminta rakan sejawatan saya untuk terus memberi maklumat berkaitan apa yang dilapor akhbar Filipina berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga.

"Beberapa diplomat dan duta turut mempersoal mengapa ia berlaku sekarang? Itu adalah soalan yang kerap ditanya ketika ini.

"Jadi, selain fokus dan keutamaan mencari penyelesaian masalah di Lahad Datu, pada masa yang sama, kita juga akan memulakan siasatan berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga," katanya selepas sesi taklimat dengan kor diplomatik dan media berkaitan 'Operasi Daulat' di sini Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa risikan menyiasat dakwaan seorang pemimpin pembangkang mempunyai peranan dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Akhbar the Philippine Daily Inquirer menyiarkan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata pengganas terbabit ke Sabah atas jemputan seorang ahli politik dari parti pembangkang di Malaysia.

The Manila Times pula menyiarkan dakwaan pencerobohan itu ada kaitan dengan kempen pembangkang di Malaysia untuk melepas wilayah autonomi Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Anifah berkata mesti ada bukti kukuh untuk memastikan kebenaran memandangkan dakwaan itu adalah sesuatu yang serius. - Bernama

Kerajaan Timbang Tubuh RCI Atau Buka Kertas Putih Siasat Pencerobohan Di Sabah

SANDAKAN, 14 Mac (Bernama) -- Malaysia tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti motif sebenar pencerobohan itu termasuk kemungkinan ada pihak yang membiayai militan dari selatan Filipina itu untuk menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

"Siasatan lebih menyeluruh perlu untuk kita tahu apa sebenarnya yang berlaku...ini kami akan lakukan sama ada menggunakan RCI atau buka kertas putih.

"Saya sendiri pun hendak tahu dalang di belakang pencerobohan ini dan siapa yang membiayai atau merancang kerana ini semua menyentuh kepada keselamatan nasional," katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sandakan di sini, hari ini selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa di Sandakan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong.

Mengenai sama ada hasil siasatan itu akan didedahkan kepada umum, Hishammuddin berkata ia akan dibincangkan oleh pucuk pimpinan apabila perkara itu selesai kelak.

Mengulas keadaan keselamatan di Sabah, Hishammuddin berkata secara keseluruhannya keadaan bertambah baik termasuk di Tawau, Semporna dan Sandakan dengan keyakinan masyarakat umum terhadap ketenteraman di negeri itu semakin meningkat. - Bernama

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.