Thursday, January 17, 2013

Anifah gesa Petronas lakukan transformasi dan kikis amalan penjajah

PETRONAS harus melakukan transformasi total terlebih dahulu termasuk menghakis amalan penjajah yang mengamalkan kasta dalam pengurusan sehingga membelakangkan hak rakyat Sabah untuk membangunkan Malaysia secara bestari. 

Menteri Luar, Datuk Seri Panglima Anifah Haji Aman berkata demikian kepada Sabahkini.net ketika ditanya pandangan beliau berhubung kenyataan Pengerusi Petronas Sabah dan Labuan, Joseph Podtung, dalam Sabahkini.net kelmarin dulu yang menghebahkan lima projek mega Petronas di Sabah untuk 2013. 

"Untuk memastikan Malaysia menjayakan Dasar Transformasi Negara, Petronas wajib melakukan transformasi terlebih dahulu kerana dasar yang diwarisi daripada penjajah harus dikikis. Kita sudah hampir 50 tahun merdeka dan sejak 1976, rakyat Sabah melihat Petronas sebagai liabiliti dan menjadi modal politik pembangkang," ujar Anifah yang mengalu-alukan Petronas membuka pintu kepada usaha bumiputera untuk mendapatkan ruang dan peluang di SOGT. 

Transformasi Petronas, kata Anifah, harus mencakupi segala bidang termasuk menaiktaraf pengusaha dan penglibatan mereka dalam kontrak mega termasuk melalui usahasama atau kerjasama bestari. 

"Jika dahulu rakyat tempatan menjadi tukang masak, kini mereka patut menjadi pembekal makanan. Jika dulu mereka subkontraktor, Petronas patut menjadikan mereka kontraktor utama. Jika modal mereka kecil, lakukan secara usahasama atau konsortium. Amalan meneruskan tradisi mengekalkan mereka di status lama adalah amalan penjajah. Inilah yang harus dikikis," kata Anifah yang meyakini kontraktor bumiputera mampu bersaing di persada antarabangsa. 

Jika Petronas memberi peluang dan kepercayaan kepada kontraktor bumiputera sejak dua dekad lalu, kata Anifah, tidak mustahil Sabah mungkin sudah lebih maju daripada Singapura. 

"Petronas jangan jadikan Sabah (Kimanis) sebagai Bintulu yang telah dikuasai oleh orang luar dan menafikan peluang rakyat Sarawak dalam ekuiti Petronas," ujar Anifah berhubung kecenderungan Petronas melantik kontraktor luar sebagai sub-kontraktor mereka. 

Kata Anifah, masa untuk Petronas menunjukkan ego kepada rakyat Sabah sudah berakhir dan sewajarnya menghentikan sindrom telunjuk lurus kelingking berkait agar tidak dipandang serong menjelang PRU-13. 

"Tiba masanya Petronas menjelaskan kepada rakyat Sabah hakikat sebenar yang disembunyikan selama ini berhubung 'kemurahan hati' dan 'ketinggian budi' yang berselindung di sebalik anugerah projek pembangunan yang tidak telus. 

"Persoalan inilah yang berstigma di dalam minda majoriti rakyat Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan melayan Sabah secara tidak adil dan beragenda, sehingga menghakis keyakinan rakyat kepada Kerajaan BN," kata Anifah yang agak keliru dengan penjelasan Joseph Podtung sebagai menjawab teguran beliau melalui artikel bertajuk 'Petronas Slammed On Projects'

"Berlandaskan kepada jawapan Joseph Podtung, saya melihat Petronas seolah-olah bukan lagi GLC kerana membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

"Keegoan mereka begitu terserlah, terutama dalam soal agehan kek ekonomi kepada kontraktor bumiputera yang kelihatan melukut di tepi gantang dan menjadi pengemis di negeri sendiri sejak akhir-akhir ini," ujar Anifah yang menggesa Petronas menjelaskan beberapa persoalan penting yang menjadi enigma kepada Pemimpin BN di Sabah. 

Kata Anifah, Joseph Podtung seharusnya jujur memberikan penjelasan berhubung agehan kontrak sebanyak RM45 billion kerana daripada siasatan beliau, rakyat Sabah hanya mendapat manfaat langsung kurang daripada 2 % dan selebihnya bocor kepada syarikat luar yang tidak langsung menyumbang dana kepada ekonomi dan rakyat Sabah. 

"Kita tidak mahu isu ini menjadi modal pembangkang untuk menyerang kerajaan pada PRU-13 dan kerana itu saya meminta penjelasan Joseph Podtung untuk memaklumkan secara telus kepada saya, kepada siapa kontrak RM45 bilion berkenaan diagehkan," kata Anifah. 

Tegasnya lagi, beliau kesal dengan keangkuhan Petronas yang mengungkit pembinaan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) bernilai RM30.5 juta yang hanya memberi manfaat kepada 48 pelajar di Kampus Sementara di Membakut Jaya.

SOGT KIMANIS (Pemandangan udara): Semoga RM45 bilion beri manfaat 
kepada rakyat tempatan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN.

Sikap Petronas yang menjadi 'Tuan' di Sabah dengan membelakangkan Menteri Kabinet, Kerajaan Negeri Sabah dan Ahli Parlimen serta Adun; bakal menjadi agitasi politik dan modal kempen pembangkang yang menggelar Petronas sebagai 'Perompak' wang rakyat Sabah. 

"Pandangan mereka tidak salah dan sinonim dengan sikap dan tindakan Petronas sejak 1976. Sekalipun dilenturkan oleh pembayaran royalti 5 % yang menjadi pertikaian sejak sekian lama, namun agak malang bagi Sabah jika kelangsungan ini berterusan untuk beberapa dekad yang akan datang," kata Anifah yang meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula perjanjian dengan Petronas. 

Kata Anifah, agehan kek ekonomi perlu selaras dengan janji kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah menjadi salah sebuah negeri maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi; namun visi berkenaan akan gagal jika Petronas tidak telus dalam agehan 5 projek mega yang diumumkan. 

"Buat apa kita bercakap tentang RM45 bilion, jika rakyat Sabah hanya mendapat tidak sampai RM2 bilion, itupun melalui GLC kerajaan (Yayasan Sabah) sehingga kontraktor dan rakyat tempatan hanya menjadi pemerhati atau berputih mata," ujar Anifah mendesak agar Petronas bersikap telus dan tidak melakukan By-Pass yang keterlaluan. 

Kini kata Anifah, tugas untuk mengeluarkan Sabah daripada kancah kemiskinan terletak di bahu Petronas melalui 5 projek mega bernilai RM45 bilion dan bukan lagi menjadi beban Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

"Jadilah GLC yang berpegang kepada janji dan sentiasa mengenang budi dan bukannya menggigit jari kepada orang menyuapkan makanan," ujar Anifah melalui tamsilan. 

Kata Anifah, walaupun operasi Petronas kini berkembang di luar negara, namun mereka tidak boleh mengabaikan rakyat Sabah yang berhak mengecapi kemewahan dan menikmati pembangunan hasil daripada 5 projek mega yang diumumkan Petronas di Sabah. 

"Melalui Dasar Transformasi Ekonomi Negara, rakyat Sabah bukan lagi bekerja sebagai kuli, malah berhak menjadi pengusaha dan pemegang saham dalam projek pelaburan Petronas di Sabah," kata Anifah yang agak kesal dengan ketidak pekaan Petronas yang berbangga kerana menawarkan 1,558 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. 

Melalui teguran ikhlas ini kata Anifah, Petronas wajib menggubah semula kerangka perancangan dan hala tuju pembangunan agar tidak dijadikan modal kempen pembangkang di Beaufort, Sipitang, Kimanis dan Papar kerana rakyat sekitarnya berhak menikmati limpahan pelaburan projek mega Petronas. 

"Kini jelas kepada kita bahawa BN tidak memerlukan pembangkang kerana Ahli Parlimen BN sentiasa peka dengan sebarang perubahan iklim pelaburan, sekalipun melibatkan soal dalaman atau luaran Petronas (GLC)," kata Anifah yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat setempat dan kepentingan negeri Sabah. - Sabahkini

23 comments:

  1. Projek2 utama Petronas yang akan mula beroperasi di Sabah diharap akan memberi keutamaan kepada penduduk tempatan.

    ReplyDelete
  2. Petronas merupakan antara 10 syarikat terbaik dunia. Jadi, beroperasilah dengan baik di setiap negeri2 pengeluar minyak supaya dapat kekalkan kedudukan tu.

    ReplyDelete
  3. Adakah kemarahan ini disebabkan Datuk Seri sendiri tidak mendapat agihan projek yang ada di Kimanis itu??

    ReplyDelete
  4. RAKYAT Sabah seharusnya melihat secara positif sumbangan Petronas terhadap program pembangunan di Sabah, terutama dalam sektor minyak dan gas

    ReplyDelete
  5. sumbangan Petronas kepada pembangunan ekonomi negeri ini, terutama dari
    segi peluang pekerjaan dan perniagaan, tidak boleh dinafikan.

    ReplyDelete
  6. Misalnya, kesemua stesen minyak Petronas di Sabah adalah 100 peratus milik orang tempatan. Ini tidak termasuk peluang projek (kontraktor) Petronas di
    Kimanis dan Sipitang

    ReplyDelete
  7. sumbangan Petronas kepada Sabah perlu dilihat dalam konteks yang menyeluruh dan bukan sekadar melihat isu royalti sahaja, seolah-olah sumbangan Petronas selama ini tidak diambil kira.

    ReplyDelete
  8. Petronas telah memutuskan untuk melaksanakan projek hiliran dan huluan minyak dan gas, yang melibatkan pelaburan modal yang disatukan sebanyak RM45 bilion untuk beberapa tahun akan datang.

    ReplyDelete
  9. Ini termasuk termasuk Terminal Minyak Gas Sabah, Kilang Gas Menggunakan
    Kuasa Ammonia Kimanis dan Projek Kilang Urea di Sipitang.

    ReplyDelete
  10. Berikutan pelaburan besar Petronas di Sabah, ribuan penduduk tempatan yang
    tinggal di sepanjang jalur Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang
    dijangka menikmati limpahan ekonomi dari projek Petronas.

    ReplyDelete
  11. Sambil memberi contoh Projek Kilang Loji Ammonia-Urea (Samur) Sabah milik
    Petronas Chemicals Group Bhd di Sipitang, Musa berkata projek itu
    dijangka memberikan kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat Sabah di
    dalam pelaksanaan projek itu, sekali gus membuktikan kesungguhan
    Petronas menyediakan rakyat Malaysia di Sabah peluang untuk menjadi
    pemain di dalam perniagaan minyak dan gas

    ReplyDelete
  12. Kontraktor Melayu dan bumiputera perlu menguasai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, pelancongan, carigali minyak untuk mendapatkan projek dari syarikat gergasi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tidak bergantung kepada kontrak kerajaan semata-mata.

    ReplyDelete
  13. Dengan pengalaman serta kemahiran tertentu yang dimiliki kontraktor, mereka tidak perlu berharap kepada projek kerajaan semata-mata sebaliknya para kontraktor mampu memperolehi sumber perolehan yang lain..

    ReplyDelete
  14. Melalui pengalaman dan kemahiran dalam bidang tertentu, kontraktor boleh memperolehi projek besar dari syarikat besar, yang antaranya Petronas, Tenaga Nasional Bhd dan GLC..

    ReplyDelete
  15. kontraktor Melayu dan Bumiputera juga diminta mengemukakan sebarang masalah kepada kerajaan sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu dasar yang diperkenal kerajaan.

    ReplyDelete
  16. Persatuan Kontraktor Minyak dan Gas Sabah (SOGCA) berkata pemberian kontrak kepada syarikat asing seperti yang berlaku di SOGT Kimanis bukan sahaja merampas hak asasi kontraktor tempatan dan para pekerja tempatan negeri Sabah malah ia juga menyebabkan pengaliran keluar wang ke luar negara.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sehubungan itu, Presiden SOGCA Datuk Iskandar Datuk Malik meminta pihak syarikat gergasi minyak dan gas yang beroperasi di Malaysia supaya menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada negeri Sabah.

      Delete
    2. Menurut Iskandar, peluang-peluang yang diberikan akan membantu negeri Sabah dalam mempertingkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri Sabah dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup rakyat.

      Delete
    3. “SOGCA menuntut dan mencabar pihak Petronas, Shell, Murphy, Exxon, Talisman dan syarikat gergasi minyak dan gas yang beroperasi di Malaysia terus memberikan peluang kontrak kepada ahli-ahli SOGCA dan kontraktor-kontraktor minyak dan gas di Sabah.

      Delete
    4. Dalam pada itu, Iskandar mengulangi pendirian dan komitmennya kepada ahli-ahli SOGCA untuk menjadikan SOGCA sebagai sebuah persatuan yang releven dengan berobjektifkan menjadikan persatuan tempatan yang akan menyuara dan mempertahan hak-hak ekonomi penduduk dan kontraktor-kontraktor minyak dan gas negeri Sabah.

      Delete
    5. Selain itu jelas Iskandar lagi SOGCA akan menyediakan agensi pelaksana tempatan yang berkesan dalam sektor minyak dan gas, membangunkan bekalan tenaga mahir tempatan dalam bidang minyak dan gas dan menyediakan panduan yang terkini dan berkesan serta bertaraf antarabangsa kepada kontraktor-kontraktor minyak dan gas tempatan.

      Delete
    6. Iskandar yang juga salah seorang Panel Penasihat kepada Pennwell, sebuah organisasi penganjur seminar antarabangsa yang beribu pejabat di Amerika Syarikat berkata juga akan terus bekerjasama dengan penganjur-penganjur seminar antarabangsa untuk menganjurkan seminar tentang aktiviti perusahaan minyak dan gas di Sabah dan Malaysia amnya.

      Delete
    7. “Ia adalah bertujuan untuk memberikan ruang pendedahan kepada kontraktor-kontraktor minyak dan gas di Sabah tentang perkembangan dan maklumat serta teknologi terkini dalam sektor minyak dan gas.“ katanya lagi.

      Delete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.