Friday, September 14, 2012

Sumazau hanya tarian tradisional

Sebagai warga Sabah, BB rasa terpanggil untuk memperbetulkan persepsi masyarakat Malaysia berkenaan dengan status tarian Sumazau yang kini digunakan oleh pihak-pihak pro Pakatan dalam usaha mereka meluaskan empayar jajahan mereka.

Dakwaan Suara Pakatan Rakyat bahawa kononnya tarian Sumazau berunsur pemujaan adalah sangat tidak tepat, kerana Sumazau hanya sebuah tarian tradisional masyarakat KadazanDusun, dan tidak ada kena-mengena langsung dengan unsur keagamaan. Terdapat 21 jenis agama di dunia dan tidak ada satupun agama ini menyenaraikan tarian Sumazau sebagai sebahagian daripada amalan agama itu. Malah, penari juga tidak perlu membaca mantera sebelum mempersembahkan tarian ini.

 
Untuk pengetahuan SPR, tarian Sumazau sudah sekian lama dipersembahkan di kebanyakan majlis keramaian seperti perkahwinan, keraian menyambut ketibaan orang kenamaan, di mana ia turut ditarikan semua hadirin tanpa mengira suku kaum, agama dan peringkat umur bagi memeriahkan sesuatu majlis. Jesteru, memandangkan tarian ini sudah lama dipraktikkan di negeri ini, kenapa penulis blog SPR tidak bangkitkan saja isu ini sejak dulu? kenapa perlu tunggu Datuk Seri Najib menari tarian ini? bukankah ini menunjukkan bahawa SPR dengan bermotifkan politik, cuba mencemarkan imej Datuk Seri Najib tetapi dalam masa yang sama cuba memangsakan kebudayaan masyarakat KDM di Sabah?.

Berlainan pula dipihak Pakatan Rakyat dimana pemimpin serta penyokong-penyokongnya sibuk menafikan bahawa blog ini bukan milik mereka dan bukan dipihak mereka, sebaliknya mereka menuduh bahawa blog ini milik umno yang kononnya menggunakan nama Pakatan. Jika benarlah tuduhan mereka ini bahawa blog SPR dikendalikan oleh pihak pro umno atau kerajaan, bagaimana boleh wujud pautan(link) dengan blog PR yang lain seperti Keadilan Daily, Suara Keadilan, Roket kini dan sebagainya?? malah blog ini telah beroperasi setahun, tetapi tidak ada pula pemimpin-pemimpin Pakatan menafikan bahawa blog ini bukan milik mereka.

Walaupun penulis SPR telah memohon maaf dan menarik semula artikel penghinaan tersebut, kerajaan melalui pihak polis perlu juga menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas sekiranya perlu.

Syabas kepada Gerakan, KDCA, PBS, UPKO dan UMNO Sabah kerana tegas memperjuangkan serta mempertahankan maruah, keharmonian dan kebudayaan rakyat di negeri ini.

By: Borneo Bullet

Thursday, September 13, 2012

Cabaran sepanjang tahun sebagai Ketua Menteri Sabah

Walaupun kepimpinan BN Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang tahun ini, Pengerusi BN Sabah selaku Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman tidak sedikitpun kelihatan gusar, malah beliau sentiasa tenang dan ceria menghadapi semua cabaran itu tanpa sedikitpun menjejaskan reputasi beliau dan juga parti yang diwakili.Cabaran yang datang pula bukan sahaja dikalangan pemimpin-pemimpin pembangkang, malah dikalangan ahli parti sendiri dan juga pihak luar yang tidak ada langsung kena mengena dengan pentadbiran kerajaan negeri Sabah.
 
Isu 1: Borneonisasi
Bermula dengan isu Borneonisasi, ada pihak yang mendakwa bahawa kerajaan negeri Sabah dikawal oleh Kuala Lumpur sehingga mendorong dua penduduk Sabah mengemukakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan Negeri kerana gagal melaksanakan Pemborneonisasian terhadap perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah. Dakwaan ini sebenarnya tidak benar sama sekali kerana hala tuju negeri ditentukan oleh Jemaah Menteri atau Kabinet Negeri yang ada. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan menteri-menteri persekutuan tidak pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri Sabah. Malah, jika kita lihat jabatan-jabatan kerajaan di Sabah hari ini, jawatan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Pengarah Kastam, Pengarah Imigresen dan Pengarah Pelajaran Negeri telah diketuai oleh pegawai-pegawai tempatan Sabah. Itu antara bukti Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kebolehan orang Sabah dan menghormati pentadbiran kerajaan negeri.

Isu 2: Lajim & Bumburing
Sedikit masa lalu, kita dikejutkan dengan tindakan dua pemimpin BN (Lajim dan Bumburing) keluar meninggalkan parti masing-masing ketika pilihanraya umum dijangkakan sudah semakin hampir. Ramai pihak menjangkakan bahawa tindakan kedua-dua bekas pemimpin BN ini akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN Sabah. Namun, bagi BB, BN di Sabah tidak akan tergugat dengan tindakan tersebut kerana rakyat Sabah hari ini bijak menilai setiap permainan yang dibawa oleh pembangkang. Tanggapan-tanggapan buruk yang dilemparkan oleh bekas pemimpin-pemimpin BN ini samada terhadap parti mahupun Datuk Musa Aman hanya dakyah pembangkang semata-mata dalam usaha mereka mengelirukan rakyat di Sabah ketika mereka tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk berhadapan dengan parti lawan. Mereka sekarang sibuk mengatakan kononnya akan berjuang untuk membantu rakyat. Tapi kenapa mereka tidak lakukan tugas itu ketika mereka masih memegang pelbagai jawatan sama ada menteri atau timbalan menteri sebelum ini?. Ini menunjukkan perjuangan mereka tidak ikhlas melainkan sekadar memberikan alasan lemah untuk keluar daripada parti demi mengejar cita-cita yang lebih besar.

Isu 3: Warga Asing
Kebanjiran warga asing di negeri ini sebenarnya adalah bukti nyata bahawa peluang pekerjaan sentiasa wujud di Sabah hasil dari usaha berterusan  kerajaan negeri pimpinan Datuk Musa Aman dalam memajukan dan memakmurkan ekonomi negeri Sabah. Namun, itu bukanlah alasan untuk kerajaan BN duduk diam tanpa melakukan apa-apa bagi menyelesaikan masalah kebanjiran warga asing di negeri ini.  Malah, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa pusat yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga jawatankuasa negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah tersebut secara bersama. Banyak program yang dijalankan termasuk penguatkuasaan melalui pelbagai agensi iaitu polis, tentera dan imigresen bagi menghantar mereka pulang ke negara masing-masing. Bagi warga Indonesia, kerajaan tidak ada masalah untuk menghantar mereka pulang kerana mereka mempunyai konsulat di Sabah. Sebaliknya, masalah melibatkan warga Filipina agak sukar diuruskan kerana negara itu tidak mempunyai konsulat di sini. Jika pembangkang mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa, ia adalah tidak benar sama sekali. Malah, baru-baru ini Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja bagi menangani masalah ini secara lebih komprehensif dan agresif.

Isu 4: Royalti Minyak
Bagi isu royalti minyak, BB sudah jelaskan sebelum ini (DISINI).  
Memang benar Petronas telah memperolehi pendapatan berbilion ringgit daripada usaha carigalinya di Malaysia termasuk di Sabah, tetapi mungkin pemimpin-pemimpin pembangkang lupa bahawa Petronas juga menanggung kos carigali sebanyak 85% di 46 buah negara di dunia, tidak termasuk Somalia dan Kazakhtan. Selain daripada itu, Petronas juga membiayai subsidi minyak kepada rakyat Malaysia serta membayar cukai korporat dan zakat perniagaan. Berdasarkan fakta ini, agaknya dari mana angka 20% dan 50% itu boleh dijana?? Sebab itu Datuk Musa Aman sebelum ini mempersoalkan janji 20% royalti minyak yang gagal dijelaskan secara panjang lebar oleh pembankang, bukannya mempertikaikan kenaikkan royalti. Malah Datuk Musa Aman menyokong penuh kenaikkan royalti minyak ini sehingga beliau sendiri tampil mendesak kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula royalti minyak Sabah. Dan disebabkan desakan itu juga DS Najib telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menyemak semula royalti petroleum ini sekaligus menentukan paras peratusan yang boleh ditingkatkan. 

Isu 5: Pembangunan Ekonomi
Pelaburan berjumlah RM10.2 bilion pada suku pertama tahun ini adalah satu petanda yang menunjukkan bahawa pelabur semakin berminat untuk melabur di Sabah. Ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri pimpinan Datuk Musa Aman telah melaksanakan tugas dengan baik. Rakyat dapat menerima faedah secara langsung dengan pelaburan itu melalui peningkatkan taraf infrastruktur di negeri ini yang kini telah menampakkan perbezaan ketara berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Selain itu, kejayaan ini juga turut memberi nikmat kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan. Contohnya perniagaan udang kara yang dijalankan di Semporna yang berjumlah berbilion ringgit turut memberikan peluang kerja kepada penduduk tempatan termasuk nelayan dan juga pengusaha di situ. 

Begitu juga industri pelancongan yang semakin berkembang di Sabah. Jumlah kehadiran pelancong asing dari Korea Selatan, Eropah serta Amerika Syarikat yang semakin meningkat turut menjana ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi. Pelbagai tempat menarik di negeri ini seperti Pulau Sipadan dan Gunung Kinabalu semakin mendapat sambutan diperingkat antarabangsa. Malah kehadiran pasangan di-raja William dan Kate ke negeri ini juga bakal meletakkan Sabah antara destinasi pelacongan terbaik dunia.

By: Borneo Bullet

Wednesday, September 12, 2012

Datuk Musa Aman terus memimpin negeri Sabah

Sepanjang tempoh lima dekad sejak 1963, hanya ada tiga orang pemimpin di Sabah yang berjaya memegang jawatan Ketua Menteri Sabah bagi tempoh yang lama. Antara pemimpin-pemimpin itu ialah Tan Sri Harris Salleh, Tan Sri Pairin Kitingan dan Datuk Seri Musa Haji Aman. Secara kebetulan, ketiga-tiga pemimpin ini telah dan sedang memegang jawatan tersebut bagi tempoh 9 tahun. Bermakna sepanjang tempoh lima dekad ini belum ada Ketua Menteri Sabah yang berjaya melepasi tempoh 10 tahun. Ramai pihak yang menjangkakan bahawa Datuk Musa Aman akan memecahkan rekod pemerintahan paling lama atau melepasi tempoh 10 tahun bagi kerajaan negeri Sabah.
 
Bagi BB, tidak mustahil Datuk Musa mampu terus memimpin negeri ini untuk beberapa penggal lagi berdasarkan reputasi cemerlang pemerintahan beliau sejak mengambil-alih tapuk pemerintahan negeri Sabah. Walaupun ada segelintir rakyat di negeri ini yang kurang berpuas hati dengan hasil pimpinan beliau, namun situasi itu bukan ditahap yang kritikal melainkan sekadar "disensasikan" oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Walaupun pembangunan di negeri ini masih tidak setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung, malah masih wujud masalah-masalah seperti kemiskinan dan kedaifan infrastruktur, namun itu bukanlah alasan kukuh untuk mempertikaikan kemampuan pimpinan Datuk Musa Aman kerana penduduk di setiap kawasan mempunyai Wakil Rakyat mereka sendiri yang lebih tepat untuk dpersalahkan. Dan yang paling penting sekali ialah pembangunan atau transformasi yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan adalah satu proses yang berterusan, bukannya mengikut penggal lima tahun.

Mengurus pulau Borneo, yang mana saiznya seluas Scotland yang hampir tiga suku adalah kawasan luar bandar dan kaya dengan sumber semulajadi, merupakan satu tugas yang sukar. Sabah dibahagikan kepada 33 daerah dengan saiz geografinya berbeza untuk memudahkan pentadbirannya. Daerah terbesar Sabah seluas 10,000 kilometer persegi ialah Tongod di timur Sabah, lebih besar dari negeri terkaya iaitu Selangor. Fakta ini sepatutnya cukup untuk memberikan gambaran bahawa Datuk Musa Aman sedang memikul tangungjawab berlipat kali ganda dari Ketua Menteri bagi negeri-negeri di Semenanjung. Dalam kata lain, Datuk Musa Aman sedang mengurus tadbir sebuah kawasan yang sepatutnya layak diurus tadbir oleh lima atau lebih Ketua Menteri.

Walau bagaimanapun, keluasan negeri Sabah bukan menjadi penghalang kepada Datuk Musa Aman untuk membuktikan kemampuan beliau dalam memajukan negeri ini. Buktinya, rezab kewangan Kerajaan Sabah telah berjaya dilonjakkan kepada lebih RM4 bilion sehingga mendorong Ketua Audit Negara untuk mengiktiraf pengurusan kewangan Sabah sebagai antara yang terbaik di Malaysia. Selain itu, kerajaan negeri pimpinan Datuk Musa Aman juga berjaya menarik ramai pelancong dan pelabur yang akhirnya mendorong kepada pelaksanaan pelbagai projek-projek pembangunan di negeri ini.

Mungkin disebabkan reputasi cemerlang Datuk Musa Aman, ramai pihak terutamanya pemimpin-pemimpin pembangkang cuba untuk menjatuhkan beliau dengan apa jua cara, sekalipun terpaksa bersekongkol dengan orang luar yang berpotensi menjahanamkan ekonomi negeri Sabah. Berlainan pula dengan pandangan BB, reputasi cemerlang Datuk Musa Aman ini akan membantu beliau memecahkan rekod pemerintahan paling lama di negeri ini.

By: Borneo Bullet

Tuesday, September 11, 2012

We urge William and Catherine to avoid meeting Musa: Jeffrey Kitingan

Sempena lawatan di-raja Britain, tidak ketinggalan Raja Katak Malaysia turut menyelitkan sepatah dua kata pandangannya di media antarabangsa dalam usaha beliau meletakkan namanya sebaris dengan Bruno Manser, seorang Pejuang palsu yang berselindung disebalik isu alam sekitar. Berikut adalah kenyataan ringkas beliau:

"Opposition politicians called on the royals to reconsider the meeting. One, Jeffrey Kitingan, said: "We urge William and Catherine to avoid meeting Musa as it will give the wrong message to the world."
 
Tidak perlulah Jeffrey menghalang rombongan di-raja William dan Catherine samada untuk melawat negeri ini mahupun berjumpa dengan Datuk Musa Aman. Pasangan di-raja ini tidaklah sebodoh yang disangkakan oleh Jeffrey kerana mereka sendiri boleh melihat usaha-usaha kerajaan dalam melindungi hutan di negeri ini samada melalui pengembaraan mereka mahupun melalui penjelasan dari The Royal Society yang telah banyak melakukan kajian dan penyelidikan berkenaan dengan hutan hujan Tropika di Lembah Danum.

Apa yang ditakutkan sangat oleh Jeffrey hingga tanpa segan-silu meminta William dan Catherine untuk tidak berjumpa dengan Datuk Musa Aman? Sedarkah Jeffrey bahawa dia hanya ahli politik pembangkang yang bercita-cita mahu merampas jawatan Ketua Menteri Sabah? beliau tidak layak membuat gesaan itu kepada rombongan di-raja ini kerana motif beliau bukan atas dasar perjuangan terhadap alam sekitar, sebaliknya atas perjuangan politik semata-mata.

Jeffrey Kitingan yang sinonim dengan gelaran "Raja Katak" sepatutnya faham dengan situasi yang dihadapi oleh Datuk Musa Aman kerana beliau sendiri pernah melalui situasi itu. Jeffrey pernah menjadi Pengarah Yayasan Sabah pada tahun 1984-1994. Sepanjang memegang jawatan itu, beliau pernah berhadapan dengan tuduhan terlibat dengan skandal RM4 Bilion, malah pernah dihadapkan ke makamah atas tuduhan itu. Jeffrey agak bernasib baik kerana mahkamah membebaskan beliau tanpa syarat ekoran kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bukti melampaui keraguan munasabah.

Selepas dibebaskan, Jeffrey dengan bangga mengumumkan bahawa beliau menjadi mangsa fitnah oleh pihak-pihak yang cuba memusnahkan kerjaya politik beliau. Tapi bukankah apa yang dia lakukan hari ini juga sama dengan "pihak-pihak" yang dikatanya memfitnah beliau? Jeffrey juga sebenarnya sedang memfitnah Datuk Musa Aman kononnya terlibat dengan skandal pembalakan besar-besaran di Sabah sedangkan sehingga hari ini belum ada tindakan dipihak mahkamah terhadap Datuk Musa Aman, malah ICAC dan pegawai pendakwa Swiss juga masih belum membuktikan bahawa Datuk Musa Aman bersalah dalam kes ini.

By: Borneo Bullet

Sunday, September 9, 2012

"dakwaan tidak berasas tersebut dibuat bermotifkan politik": Datuk Sam Manan

"Kami mempercayai dakwaan tidak berasas tersebut dibuat bermotifkan politik dan tidak didorong oleh cinta ke atas alam sekitar," kata Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan
  1. Isu itu 'diperbesarkan' dengan alasan dakwaan AS$90 juta bersamaan dengan 20,000 hektar hutan ditebang.
  2. Pihak negeri mengamalkan amalan pengurusan hutan yang mapan malahan 'bertambah baik' sepanjang di bawah kepimpinan Musa. 
  3. Lesen jangka pendek yang menyebabkan kerosakan besar kepada alam sekitar kredibiliti pengurusan hutan di Sabah berada di peringkat tertinggi. 
  4. Dasar terbuka diamalkan oleh kerajaan dan semua bidang pengurusan hutan adalah terbuka kepada pihak ketiga dan juga penelitian pihak NGO. 
  5. Lesen pembalakan jangka panjang “tertakluk kepada pengauditan pihak ketiga (audit bebas) sejak 2010(juruaudit bebas pasti akan dapat mengesan pembalakan haram besar-besaran jika ia berlaku). 
  6. Jumlah rizab hutan di bawah kategori Kawasan Keseluruhan Terlindung (TPAS) telah meningkat kini “mencecah 1.3 juta hektar atau kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan tanah di Sabah (melebihi piawaian antarabangsa sebanyak 10 peratus). 
  7. Kawasan rizab hutan TPAS memiliki peningkatan terbesar di bawah pemerintahan Musa. Sekurang-kurangnya 800,000 hektar hutan Sabah adalah sebahagian atau sepenuhnya diperakui di bawah pelbagai sistem yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Forest Stewardship Council (FSC), Skim Pensijilan Balak Malaysia (MTCS) atau Pan European Forest Scheme (PEFC).
"Ketua Jabatan Perhutanan tersebut turut mendakwa tuduhan tersebut bakal akan menyebabkan penurunan dalam jualan balak dan menyebabkan hutan Sabah kehilangan nilai ekonomi."

Dua artikel BB sebelum ini turut menyentuh soal "motif politik" dan "ekonomi" kesan dari tuduhan liar yang dibuat oleh BMF dan Sarawak Report terhadap pemimpin negeri Sabah. Walaupun ada perbezaan sedikit dari sudut ekonomi dimana BB lebih fokus kepada kesannya tehadap industri pelancongan, namun yang pasti pejuang yang berselindung di sebalik nama alam sekitar ini berpotensi mensabotaj ekonomi negeri Sabah.

BB sangat bersetuju dengan kenyataan Datuk Sam Mannan bahawa negeri ini mengamalkan pengurusan hutan secara mapan, dan bertambah baik dibawah pimpinan Datuk Musa Aman. Ini kerana, jika dakwaan BMF dan SR itu benar, bagaimana kajian environmentalist antarabangsa boleh meletakkan Taman Kinabalu di ranking ke-6 dunia sebagai "The Biggest and Popular Rainforest in the World" bagi tahun 2011? Malah kerajaan negeri Sabah bersungguh-sungguh mempertaruhkan tiga lagi kawasan hutan (iaitu Lembah Danum, Maliau Basin dan Imbak Canyon) untuk memperolehi pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia sama seperti Taman Kinabalu.

Berkenaan dengan AS$90 Juta bagi 20,000 hektar hutan yang kononnya ditebang diera pentadbiran Datuk Musa Aman, bagi BB tuduhan ini agak pelik sedikit. Kerana bekas Ketua Menteri sebelum ini (Datuk Yong Teck Lee) telah meluluskan 265 lesen pembalakan meliputi 300,000 hektar hutan di Sabah. Jika environmentalist luar negara boleh mengesan pembalakkan bagi keluasan 20,000 hektar, kenapa tidak untuk 300,000 hektar? Kalau ikut kiraan AS$90 juta bagi 20,000 hektar, bermakna era pentadbiran Yong Teck Lee telah berjaya mengaut keuntungan lebih dari AS$1.3 Bilion untuk 300,000 hektar hanya dalam tempoh dua tahun. Mana semua hasil keuntungan itu?

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah ini cukup untuk membuktikan bahawa era pentadbiran Datuk Musa Aman banyak memfokuskan kepada usaha-usaha konservasi hutan, sangat bertentangan dengan tuduhan yang dibuat oleh pejuang yang betopengkan alam sekitar.

By: Borneo Bullet

Friday, September 7, 2012

The Orang Sabah Style 'Oppa Gangnam' Parody

Hanya dalam masa 2 minggu selepas di masukkan ke Youtube, klip video "The Orang Sabah Style 'Oppa Gangnam' Parody" berjaya menarik kira-kira 1.4 juta penonton di seluruh dunia. Video yang berdurasi 4 minit ini dijayakan oleh sekumpulan 30 belia muda Sabahan dengan persembahan diketuai oleh Chai Nyit Sheng and Sunny Chai sementara lirik ditulis oleh Geoseph Liong.

Apa yang menarik minat BB dalam klip video ini ialah kesungguhan belia-belia muda Sabah dalam menterjemahkan semangat patriotik mereka melalui kaedah yang sangat keatif walaupun hanya digerakkan dalam kumpulan yang kecil. Malah, dalam masa yang sama, video ini juga mampu mempromosikan Sabah walaupun lokasi pengambaran terhad kepada beberapa lokasi sahaja seperti Centre Point, Suria Sabah, City Mall, Pantai Tanjung Aru dan Tambalang Horse Race Course di Tuaran.

 
BB amat berbangga dengan initiatif kumpulan ini walaupun ada segelintir komen-komen di Youtube yang bersifat negatif dan agak keterlaluan. Bagi BB, apa yang dilakukan oleh kumpulan belia Sabahan ini jauh lebih baik dari pengomen-pengomen Youtube yang hanya tahu mengeluarkan kata-kata kesat tapi tidak pernah melakukan sesuatu yang baik untuk negara atau negeri.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Peter Pang sendiri tertarik dengan video klip ini dan menggalakkan kumpulan ini untuk terus mempromosikan Sabah melalui lagu-lagu yang dihasilkan mereka, malah kementerian beliau juga bersedia menghulurkan bantuan untuk perancangan masa depan kumpulan ini.

Akhir kata dari BB,,, Syabas kepada belia-belia Sabah kerana berjaya menunjukkan cara yang betul, kreatif dan aman bagi sambutan Hari Merdeka.

By: Borneo Bullet

Thursday, September 6, 2012

Kenali siapa Bruno Manser Fund (BMF)

"The case has been opened in response to complaints by the rainforest advocacy group Bruno Manser Fund (BMF), which accuses UBS of having breached its due diligence duties in managing its relationship with Sabah’s chief minister, Musa Aman, who controls logging in the region."



Bruno Manser Foundation (BMF) 

1. Diambil sempena nama Bruno Manser iaitu seorang akitivis alam sekitar dari Switzerland.

2. Beliau hilang pada May 2000 dan dianggap sebagai mati di sebuah perkampungan di Sarawak berdekatan sempadan Kalimantan. (sebenarnya menyembunyikan diri kerana pas lawatan beliau telah tamat tempoh)


3. BMF adalah satu agensi bukan kerajaan yang berpangkalan di Switzerland yang memperjuangkan penyimpanan hutan simpan dan orang asli. (kini beralih kepada Orang Utan)


4. Agensi ini banyak memperjuangkan nasib pribumi Sarawak terutamanya Kaun Penan yang ditindas oleh Taib Mahmud.


5. Agensi ini bekerjasama dengan FINMA (Swiss Financial Market Supervisory Authority), sebuah organisasi yang mengawal aktiviti pembersihan wang haram di Switzerland untuk siasatan terhadap Taib Mahmud. (BMF gagal membuktikan kewujudan akaun sulit Taib di Switzerland)

 
Bruno Manser berusaha mendapatkan sokongan dan simpati di serata dunia kononnya untuk kaum Penan di Sarawak, khususnya di Baram. Dengan berselindung disebalik nama "Bruno Manser Foundation/Fund", beliau mengumpul dana di serata dunia kononnya untuk membantu kaum Penan yang digembar-gemburkan oleh beliau sebagai kaum miskin yang ditindas oleh kerajaan negeri Sarawak. Namun sehingga hari ini, tidak ada sesenpun yang digunakan hasil dari dana terkumpul itu untuk disalurkan kepada kaum Penan. Mana hilangnya dana itu (yang mungkin jumlahnya mencecah jutaan ringgit)?

Sepanjang beliau memperjuangkan nasib kaum Penan, sehingga kini tidak ada langsung bantuan disalurkan oleh beliau seperti klinik, sekolah, tandas dan lain-lain kemudahan sebagaimana yang dijanjikan oleh beliau kepada masyarakat asli ini.

Jelas sekali bahawa Bruno Manser (Fund) sekadar menjadikan masyarakat Penan sebagai objek atau bahan dagangan untuk di"jual" di serata dunia bagi mendapatkan dana untuk diri beliau sendiri.

Akhirnya, kerajaan BN jualah yang bertanggungjawab membawa pembangunan dan membantu meringankan beban kaum Penan.  Bahkan anak-anak kaum Penan juga diberi kemudahan asrama untuk belajar dan beberapa buah sekolah berasrama penuh sudah didirikan bagi membantu kaum Penan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. 

Bila kehidupan kaum Penan bertambah baik, agaknya Bruno Manser telah kehilangan "modal" sehingga memaksa beliau beralih kepada kerajaan negeri Sabah pula. Cuma bezanya, Bruno Manser tidak menggunakan masyarakat asli di negeri ini sebaliknya memfokuskan kepada Orang Utan, Gajah Pygmy dan Badak Sumatera yang didakwanya mengalami kepupusan yang teruk ekoran pemusnahan hutan bagi membolehkan beliau sekali lagi mengumpul dana di seluruh dunia.

Agaknya Bruno Manser lupa atau tidak tahu langsung sebagaimana rakan sekutunya Sarawak Report yang tidak pernah melawat Sabah tentang kewujudan Orang Utan Rehabilitation Center Sepilok, WWF-Malaysia, Kinabatangan Orang-utan Conservation Programme (Hutan), Land Empowerment Animals People(LEAP), Borneo Rhino Alliance dan Jabatan Hidupan Liar Sabah yang bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan liar di negeri ini.

Menurut Pakar Genetik Tumbuhan dan Penyelidik Bioteknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Wickneswari Ratnam, Malaysia yang berada ditempat kukuh dalam pemuliharaan hutan tropikanya boleh menjadi negara contoh khususnya kepada Barat yang telah pun kehilangan warisan hutan mereka. Malah, Malaysia telah pun mengatasi syarat minima mengekalkan 50 peratus dari keluasannya dipenuhi hutan belantara sebagaimana dipersetujui dalam beberapa persidangan antarabangsa.

Dalam 50% keluasan hutan belantara itu pula, Sabah adalah negeri yang memiliki spesis pokok dipterokarpa berkayu keras seperti Meranti, Balau, Kapur, Chengal dan Keruing yang paling tinggi di Malaysia iaitu 90%, diikuti Sarawak 75% dan Semenanjung Malaysia 57%. Malah, Sabah juga mempunyai antara pohon dipterokarpa tertinggi yang pernah dijumpai sehingga kini di dunia.

Jika benarlah Datuk Musa Aman terlibat dengan rasuah pembalakan, dan jika benar hutan di negeri ini berada dalam keadaan kritikal, bagaimana Sabah masih memiliki begitu banyak spesis pokok yang bernilai tinggi?

By: Borneo Bullet

Wednesday, September 5, 2012

Sarawak Report mensabotaj ekonomi negeri Sabah

Sarawak Report tidak henti-henti memburukkan pemimpin tertinggi kerajaan negeri Sabah malah kali ini lebih ganas dimana laporan mereka melalui artikel "Royal Blunder! – William And Kate Are Set To Meet Musa In Sabah!" bukan sahaja menjejaskan nama baik Datuk Musa Aman sebagai pemimpin yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini, malah menjejaskan industri pelancongan Sabah yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Dalam laporan mereka melalui artikel tersebut, Sarawak Report kononnya telah banyak kali memberikan amaran kepada pihak Istana England dengan memberikan gambaran bahawa Lembah Danum yang bakal dilawati oleh rombongan di-raja itu merupakan sebuah kawasan oasis yang terletak pada zon darurat alam sekitar paling buruk di dunia.

Jika Sarawak Report terus-menerus melancarkan misi mereka memberikan gambaran palsu kepada masyarakat dunia berkenaan dengan Sabah, industri pelancongan negeri ini yang banyak bergantung kepada keunikan hutan dan hidupan liar pasti akan terjejas. Niat mereka yang sebelum ini lebih kepada bermotifkan politik kini menular kepada mensabotaj industri pelancongan negeri Sabah atau lebih tepat lagi mensabotaj ekonomi NEGERI Sabah. 
Di bawah ini adalah perbandingan ilustrasi pembohongan Sarawak Report dan ilustrasi sebenar berkenaan dengan Lembah Danum:


Hanya bermodalkan sekeping gambar, Sarawak Report bukan sahaja cuba menghasut pihak Istana England untuk tidak mengiktiraf kejayaan kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Musa Aman dalam tugas-tugas konservasi alam sekitar, malahan cuba menghasut rombongan di-raja itu untuk membatalkan niat mereka menikmati keindahan hutan hujan di negeri ini.

BB melihat tindakan Sarawak Report ini lebih kepada menyelamatkan kredibiliti mereka. Sekiranya lawatan rombongan di-raja ini berjaya, sudah tentu kerajaan negeri pimpinan Datuk Musa Aman akan mendapat pengiktirafan dan pujian dari rombongan di-raja tersebut, sekaligus menafikan dakwaan Sarawak Report yang sebelum ini cuba menanamkan persepsi di minda masyarakat dunia bahawa hutan di Sabah berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Rakyat Sabah sepatutnya rasa bertuah kerana pasangan di-raja yang popular di seluruh dunia ini memilih Sabah sebagai destinasi lawatan mereka. Lawatan mereka bukan atas jemputan kerajaan negeri sebaliknya atas dasar minat terhadap konservasi hutan, dan kebetulan Sabah satu-satunya kepulauan di Asia Tenggara yang berjaya mengekalkan ketulenan hutan hujan tropika.

Jurugambar British Quintin Lake, dari Oxford, mengakui bahawa Lembah Danum adalah satu tempat yang sangat ajaib dengan keindahan gunung yang berkabus serta keramahan penduduk tempatan yang bagi Lake sememangnya berbaloi untuk rombongan di-raja ini meneruskan misi pengembaraan mereka. Malah Lake banyak mendiskripsikan tentang Lembah Danum berdasarkan pemerhatian dan pengalaman beliau kepada rombongan di-raja ini, tidak seperti Sarawak Report yang lebih banyak bergantung kepada pembohongan untuk melancarkan misi jahat mereka.

Selain pengakuan Lake, beberapa fakta di bawah ini juga cukup untuk membuktikan bahawa laporan Sarawak Report hanya pembohongan semata-mata.

"The Danum Valley Field Centre has the accolade as being the finest and most effective centre for research and teaching of old world Tropics Rainforests, along with La Selva in Costa Rica and Baro Colorado Island in Panama as described by the Royal Society of London."

"The British High Commissioner during his visit to Sabah this month, praised Sabah for doing so many good things in the interest of good forest management and recommended that it be told to the world."

Jika benar dakwaan Sarawak Report bahawa hutan di Sabah adalah yang paling buruk di dunia, bagaimana kerajaan negeri Sabah mampu memperolehi pelbagai anugerah daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia, Forest Stewardship Council (FSC) dan the Prince Charles Charity, bagi menghargai kejayaan kerajaan negeri pimpinan Datuk Musa Aman dalam usaha pemuliharaan hutan??

Pandangan BB untuk skandal/rasuah pembalakan Datuk Musa Aman (DISINI)

By: Borneo Bullet

Monday, September 3, 2012

Hari Merdeka yang ke-55, Hari Malaysia yang ke-49

Seperti tahun lepas, ketika Hari Kemerdekaan semakin hampir, pembangkang akan mempolitikkan secara agresif tarikh itu sehinggalah sambutannya menjadi hambar seolah-olah detik bersejarah itu tidak mempunyai nilai sejarah langsung. Agaknya rakyat keliru mana satu yang hendak disambut; samada kemerdekaan Malaysia, atau kemerdekaan Sabah, atau kemerdekaan Sarawak atau Hari Malaysia?

Yang kita sambut ini adalah kemerdekaan negara Malaysia. Bila melibatkan sebuah negara, sudah tentulah tarikhnya berdasarkan mana-mana wilayah yang lebih dulu mengecapi kemerdekaan, bukannya yang paling akhir. Tidak salah menyambut kemerdekaan sesebuah negeri, tapi bukankah lebih elok jika ianya disambut serentak atas satu tarikh yang telah dipersetujui dan diterima-pakai sejak sekian lama bagi melambangkan kesepaduan dan semangat kenegaraan dikalangan rakyat negara ini?

Bukan untuk melupakan sejarah Sabah tetapi sekadar membetulkan persepsi bahawa sambutan gilang-gemilang yang julung kali diadakan ini perlu membawa nama Malaysia, bukannya negeri.

Malah dakwaan pembangkang kononnya kerajaan mengabaikan Sabah dalam sambutan kemerdekaan, juga tidak tepat. Ini kerana, setiap tahun kita akan menyambut Hari Malaysia, dan Sarawak akan menjadi tuan rumah untuk sambutan Hari Malaysia yang ke-49 tahun ini.

Sambutan Hari Malaysia juga adalah bukti bahawa kerajaan memperingati detik-detik bersejarah kemasukkan Sabah dan Sarawak ke dalam persekutuan Malaysia sekaligus memperingati kemerdekaan untuk kedua-dua wilayah Borneo ini.

By: Borneo Bullet

Saturday, September 1, 2012

Penggubahan wang haram dan pemusnahan hutan bermotifkan politik

Ada banyak kemusykilan berhubung dengan skandal pembalakan yang kononnya melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman dan juga adiknya Datuk Anifah Aman selaku Menteri Luar Malaysia.

kenapa agaknya isu ini dibangkitkan oleh orang luar menggunakan platform(website) dari luar? kenapa bukan ahli-ahli politik tempatan saja yang membangkitkan isu ini? apa kepentingan Sarawak Report mencampuri urusan pentadbiran negeri Sabah sedangkan fokus utama mereka adalah untuk membela nasib masyarakat asli di Sarawak dan juga keberlangsungan hidupan liar seperti Orang Utan di negeri itu?

Ramai yang mengetahui bahawa dalang utama Sarawak Report ialah seorang wanita British kelahiran Sarawak, Clare Rewcastle Brown yang juga anak kepada bekas penjajah empayar Brooke satu ketika dulu. Pernahkah beliau datang melawat seluruh pelusuk negeri Sabah untuk mendapatkan gambaran sebenar sebelum memuatkan cerita-cerita berkenaan dengan Sabah (yang bagi BB lebih kepada fitnah) untuk dimuatkan ke lamanweb beliau? atau sekadar bergantung dengan maklumat-maklumat songsang dari pemimpin-pemimpin politik di negara ini yang berkemungkinan besar bertanggungjawab membiayai lamanweb beliau?
 
Tanpa membuang masa, BB ingin mengajak sekalian pelawat-pelawat blog ini untuk menilai kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee sebelum ini. Ketika menjawab soalan berkenaan dengan rampasan tanah yang berlaku di era beliau sebagai Ketua Menteri Sabah, beliau dengan jelas menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah telah memindahkan kuasa Ketua Menteri kepada Kabinet dengan menggubal Ordinan Tanah Sabah, Enakmen Hutan dan Ordinan Galian sebagai jaminan bahawa tiada mana-mana Ketua Menteri yang boleh menandatangani untuk meluluskan mana-mana kawasan tanah yang luas, hutan dan lombong demi kepentingan peribadi mereka.

Berdasarkan kenyataan Datuk Yong Teck Lee ini, bukankah ianya menunjukkan bahawa Ketua Menteri Sabah selepas beliau sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa eksekutif berkenaan dengan hutan dan juga tanah? Jadi, bagaimana Sarawak Report boleh menuduh Datuk Musa Aman mendalangi penggondolan hutan di negeri ini sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa keatas tanah, hutan dan juga lombong?

Berkenaan dengan tuduhan kononnya Datuk Musa Aman mempunyai simpanan di luar negara atau lebih tepat lagi penggubahan wang haram, bolehkah tuduhan ini dipercayai selepas ICAC sendiri gagal membuktikan bahawa Datuk Musa Aman terlibat dengan skandal yang dicetuskan oleh Micheal Chia sebelum ini? ICAC adalah sebuah badan paling telus di Asia Tenggara dan tidak akan bertolak ansur jika Musa Aman terlibat dalam skandal berkenaan. Namun agak pelik, kenapa mereka sanggup datang ke Malaysia hanya untuk memburu Michael Chia dan Richard Barnes; tetapi tidak pernah menemui Datuk Musa Aman?

Sebenarnya aktiviti pembalakan di negeri ini cukup terkawal di bawah pentadbiran Datuk Musa Aman. Beliau bukan sahaja lantang dalam soal perlindungan hutan malah beliau sentiasa meggalakkan aktiviti konservasi di negeri ini. Malah Datuk Musa Aman satu-satunya ketua menteri Sabah yang berjaya menghentikan pembalakan di Ulu Segama Malua dan Maliau basin yang mana hasil daripada tindakan itu telah mewujudkan buffer hutan seluas tiga kali ganda keluasan Singapura.

Jika pemusnahan hutan ini turut dikaitkan dengan penanaman kelapa sawit, bagi BB ianya hanya usaha Sarawak Report dan juga pihak-pihak dari luar Malaysia yang cuba menghidupkan kembali rangkaian Zoo Victoria di Australia yang sebelum ini pernah melancarkan kempen anti minyak sawit dengan melemparkan tuduhan mengaitkan pengeluaran minyak sawit dengan kemusnahan hutan dan kepupusan habitat orang utan. 

Suka untuk BB berkongsi maklumat bahawa Australia yang mempunyai bilangan penduduk lebih kecil berbanding Malaysia memusnahkan hutannya 5 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia (lebih setengah juta hektar setiap tahun di antara tahun 2000 dan 2010).

Jika conservationists atau lain-lain NGO pro alam sekitar berhasrat menghalang kemusnahan hutan, Australia adalah negara yang lebih sesuai untuk diberi perhatian. Ketika ini terdapat banyak haiwan di Australia yang sudah pupus atau terancam. 

Mungkin Sarawak Report bolehlah membuat liputan berkenaan dengan kemusnahan hutan di Australia pula.

Sekali lagi BB ingin tekankan bahawa Sabah selamat berada ditangan pihak yang bersungguh-sungguh melaksanakan Sustainable Forest Management. Segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Datuk Musa Aman hanya bermotifkan politik. Malah di Switzerland juga, isu ini dimain-mainkan oleh ahli politik pembangkang di negara itu. Sebab itu timbul pelbagai dakwaan kononnya fail siasatan telah dibuka sedangkan semua itu hanya digerakkan atas motif politik semata-mata baik di Switzerland mahupun di negara ini..

By: Borneo Bullet