KUALA LUMPUR: Kemunculan pertama kali Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar di Dewan Rakyat Isnin menarik perhatian anggota Parlimen terutama pembangkang yang cuba menguji keupayaan beliau.
Memulakan bicara dengan menghulurkan salam persahabatan, beliau tampil yakin menjawab soalan keempat mengenai penggangguran yang diajukan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada sesi soal jawab.
Katanya pertumbuhan ekonomi negara yang mampan sejak 20 tahun lepas telah memastikan kadar pengangguran kekal di bawah 4 peratus dan berdasarkan takrifan ekonomi, negara yang mempunyai kadar penggangguran kurang daripada 4 peratus dianggap mencapai guna tenaga penuh.
Beliau berkata peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi yang baik sejak tahun 2011 daripada 5.1 peratus kepada 5.6 peratus tahun lepas menyaksikan sebanyak 438,800 peluang pekerjaan disediakan pada tahun 2012, berbanding 385,000 tahun sebelumnya.
"Ini bermakna kadar pengangguran telah menurun daripada 3.1 peratus pada 2011 kepada 3 peratus untuk tahun 2012, dan ini merupakan satu kadar yang amat rendah," katanya.
Abdul Wahid berkata walaupun kadar pengangguran adalah rendah, kerajaan sama sekali tidak merasa begitu selesa, malah pelbagai program bagi meningkatkan peluang pekerjaan dilaksanakan antaranya program memadankan pekerja dan majikan dengan mewujudkan agensi Jobs Malaysia, Skim Latihan 1Malaysia dan melatih lebih 10,000 graduan melalui insentif Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah.
Penjelasan Abdul Wahid, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, itu mendapat pujian Mohamed Azmin yang menyifatkan jawapan yang beliau kemukakan jauh lebih baik daripada menteri yang lebih senior.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada senator yang dilantik sebagai jemaah menteri, dan kalau diteliti jawapan yang diberi adalah jauh bezanya kerana walaupun soalan tak sama tetapi bila dilontarkan statistik, Yang Berhormat Senator mampu menjawab dan mengupas dengan baik," katanya sebelum mengemukakan soalan tambahan berhubung isu pengangguran.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula "bercanggah" pendapat apabila beliau meminta Abdul Wahid tidak hanya membaca jawapan disediakan pegawai.
Abdul Wahid menyanggah dakwaan Anwar dengan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa setiap data yang dinyatakan sebenarnya bukan hanya membaca jawapan yang telah disediakan tetapi turut berdasarkan pengalamannya berkhidmat di sektor swasta.
Anggota Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa statistik 3 peratus pengangguran adalah tidak realistik berdasarkan andaian terdapat kira-kira 80,000 siswazah yang menganggur, malah untuk menganggap kadar itu cukup baik juga tidak tepat kerana mereka yang bekerja itu juga termasuk dalam kategori "under employment".
"Jadi, harus diambil kira bahawa 3 peratus itu tidak mengambil kira jumlah yang bekerja tetapi termasuk dalam kategori 'under employment'. Cuba Senator yang baharu ini bagi objektif yang lebih jelas dan tidak hanya baca kenyataan daripada para pegawai," katanya.
Abdul Wahid menjawab pengangguran pada kadar 3 peratus sebenarnya adalah satu tahap yang 'respectable', berbanding kadar di beberapa negara maju lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang berada pada tahap 8 dan 6 peratus.
Berhubung pengangguran di kalangan siswazah, beliau berkata kajian pada 2012 menunjukkan hampir semua siswazah mendapat pekerjaan dalam tempoh dua tahun selepas memperoleh ijazah.
"Melalui kajian susulan yang dijalankan ke atas siswazah pada tahun 2008 hingga 2012, kita dapati kira-kira 60 peratus daripada siswazah mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan, manakala 15 peratus lagi melanjutkan pelajaran dan selebihnya mungkin mengambil masa lebih yang lama untuk mendapat kerja," katanya.
Abdul Wahid, 49, mengangkat sumpah sebagai senator pada 5 Jun untuk menjawat portfolio yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).
-- BERNAMA
moga penggangguran akan terus menurun
ReplyDelete