Saturday, July 6, 2013

SPR Guna Dakwat Kekal Baru Untuk PRK Kuala Besut

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan mereka akan menggunakan jenis dakwat kekal baru yang kekal lebih lama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata penggunaan dakwat kekal telah termaktub dalam undang-undang yang ditetapkan dan perlu dicalit pada jari pengundi sebelum kertas undi diberikan.

"Dakwat kekal akan terus digunakan, kecuali undang-undang dipinda. Dakwat kekal adalah syarat mengesahkan undi seseorang itu.

"Bagaimanapun dakwat kekal yang bebeza akan digunakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibu pejabat SPR pada Jumaat.

Abdul Aziz memberi jaminan, kandungan silver nitrat yang terkandung dalam dakwat kekal yang baru mampu bertahan lebih lama daripada yang digunakan pada PRU-13.

"Kita ambil pertimbangan daripada kelemahan yang telah berlaku sebelum ini.

"Hasil maklumat yang kita terima pada 'post mortem' yang lalu, kita akan ambil kira mengenai ketahanan dakwat kekal itu, aduan ianya lambat kering dan mengakibatkan kertas undi kotor," katanya.

Ketika ditanya adakah SPR masih menggunakan pembekal yang sama untuk dakwat kekal yang baru itu beliau berkata, pembekal yang berlainan akan digunakan, siapa dan dari mana ia diambil tidak boleh dimaklumkan kepada umum.

"SPR dalam proses menempah bekalan dakwat itu. Kita harap kita akan dapat yang lebih baik dan elak kelemahan," katanya.

Mengenai cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk SPR memberi ruang kepada RTM membuat liputan secara langsung pada proses pengiraan undi itu bagi mengelak rasa curiga rakyat seperti insiden lampu padam yang berlaku sebelum ini Abdul Aziz berkata, setelah berbincang dengan kesemua panel SPR, cadangan itu tidak dapat dilaksanakan dalam PRK kali ini.

"Jika RTM mahu rekod pada proses pengiraan undi, SPR juga tidak dapat elak daripada pihak lain juga untuk rekod.

"Jadi SPR telah buat keputusan, bahawa kalau kita inginkan rakaman proses pengiraan undi itu, akan diuruskan oleh SPR sendiri tidak dari pihak lain," katanya.

Tambah beliau, parti yang bertanding tidak perlu bimbang kerana seperti kebiasaan akan ada wakil calon turut sama dalam bilik pengiraan undi itu.

Bagaimanapun, SPR tidak menolak pada pilihan raya akan datang boleh dilaksanakan rakaman secara langsung pada proses pengiraan undi.

"SPR adalah satu badan bebas, kita harus pertimbangkan permohonan-permohonan lain.

"SPR boleh berbincang dan kita akan maklum keputusan itu kemudian," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.