KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng Khamis mengulangi pendiriannya untuk tidak memohon maaf berhubung dakwaan beliau bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara, termasuk Israel.
Walaupun berdepan tindakan dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Liang bertegas untuk tidak menarik balik dakwaannya kerana menyifatkan ia dibuat berdasarkan tanda-tanda adanya campur tangan negara asing dalam politik negara.
Mempertahankan tindakannya di Dewan Rakyat Khamis, Liang berkata penjelasan diminta daripada kerajaan kerana menyifatkan maklumat yang dipetik daripada laman web Wikileaks itu membabitkan isu penting dan menyentuh soal keselamatan negara.
Liang berkata demikian ketika diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu selepas perkara itu dibangkitkan Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong).
Pendirian sama ditegaskan Liang semalam ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat.
Liang turut menegaskan beliau akan hanya memohon maaf atau menarik balik dakwaan berkenaan jika siasatan mendapati tiada unsur-unsur campur tangan kuasa asing seperti didakwa.
Liang 'diserang' hebat anggota Parlimen pakatan pembangkang susulan pendedahannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, yang mengaitkan anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang itu memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta dengan memetik maklumat daripada WikiLeaks.
Memutuskan perkara itu, Pandikar Amin berkata beliau akan meneliti notis yang diserahkan dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Buat masa ini saya tidak boleh tentukan hukuman setimpal, kalau YB Simpang Renggam (Liang) mohon maaf, isu selesai...tapi Simpang Renggam (Liang) tak ada sebut nak minta maaf atau tarik balik, maka saya akan teliti notis ini dan ambil tindakan sewajarnya," katanya.
Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Jeff Ooi berkata beliau dan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) telah menyerahkan usul rasmi kepada Pandikar Amin pada 4 petang semalam bagi merujuk anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengelirukan dewan serta gagal mengemukakan bukti berhubung sumber maklumat yang dipetik.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ini terdiri daripada Yang di-Pertua sebagai pengerusi dan enam orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.