Tuesday, July 2, 2013

Kelewatan Menangani Pengganas Sulu Kerana Perlu Kerjasama Kerajaan Asing

KUALA LUMPUR: Penyiasatan yang memerlukan kerjasama negara asing merupakan antara sebab berlaku kelewatan dalam tindakan untuk menangani kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata memandangkan penceroboh merupakan rakyat asing, siasatan yang dijalankan polis tertumpu kepada tujuan kemasukan terlebih dahulu dalam usaha menjaga hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina.

"Setelah memulakan siasatan dan apabila polis diserang barulah diketahui kelompok ini bertujuan menceroboh dan mengganas. Namun penyiasatan juga melihat kepada hubungan dengan Filipina dalam semangat serantau...sebab itu penyiasatan memakan masa lama kerana memerlukan kerjasama kedua negara.

"Jadi, dalam keadaan sedemikian kita perlu berhati-hati dan selepas mengetahui serta mengenalpasti tujuan mereka barulah kerajaan menghantar tentera dan memulakan gerakan ketenteraan yang akhirnya menamatkan pencerobohan itu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kenapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap penceroboh dari selatan Filipina itu sehingga mencetuskan pelbagai persepsi di kalangan masyarakat, terutama rakyat Sabah.

Wan Junaidi berkata masyarakat juga perlu sedar keadaan pantai di timur Sabah yang menjangkau 1,700km serta jarak yang begitu hampir antara Lahad Datu dan selatan Filipina menyukarkan pasukan keselamatan mengawal keadaan.

Beliau berkata pencerobohan itu bukan disebabkan soal kecanggihan teknologi dan kelengkapan pasukan keselamatan kerana situasi serupa juga berlaku di Mexico dan Amerika Syarikat apabila kecanggihan teknologi yang dimiliki belum dapat mengatasi kes pencerobohan, terutama di laut.

"Sekarang kita dah letakkan segala mekanisme, perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan Filipina juga telah dijalankan. Jadi, keselamatan di Sabah dan pulau borneo terjamin dengan tindakan yang dibuat," katanya merujuk kepada penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac lepas.

Pembentukan Esscom yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkumi 1,400 kilometer membabitkan daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu bertujuan menjaga kedaulatan serta keselamatan kawasan pantai timur Sabah susulan insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Tungku pada Februari lepas.

Insiden yang berlarutan lebih sebulan itu menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan terkorban.

Menjawab soalan Bung Moktar sama ada benar pencerobohan di Kampung Tanduo itu turut melibatkan rakyat negara ini dan tindakan susulan yang diambil, Wan Junaidi berkata kerajaan belum bercadang mendedahkan maklumat lanjut mengenainya kerana siasatan rapi berhubung insiden dan individu yang disyaki masih dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah membuat pendakwaan ke atas 30 individu yang terlibat dalam insiden bersenjata itu secara berperingkat.

Daripada jumlah itu, empat orang adalah rakyat Malaysia dan seorang pemastautin tetap manakala selebihnya rakyat asing.

Mereka yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 66 tahun itu ialah antara 108 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

6 comments:

  1. Kumpulan pengganas yang tidak mewakili mana-mana negara ini adalah ancaman yang perlu diberi perhatian...kumpulan itu boleh menjadi satu cabaran jika dipergunakan pihak lain untuk politik atau agenda mereka," katanya.

    Zulkifeli berpendapat pengganas Sulu yang tiba di Kampung Tanduo pada 12 Feb lepas menyasarkan serangan ketika Parlimen Malaysia dibubarkan dan seterusnya mencetus huru-hara terhadap kerajaan sementara.

    ReplyDelete
  2. "Mereka tiba kerana banyak desas-desus pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah selepas Tahun Baharu Cina dan mereka hendak mengumpulkan kekuatan sebelum melakukan serangan besar-besaran untuk menuntut Sabah.

    "Saya tidak tahu siapa yang memberi maklumat strategik kepada mereka tetapi bersyukurlah kita dapat mengesan mereka awal sebelum Parlimen dibubarkan dan mengambil tindakan menghalang mereka," katanya.

    ReplyDelete
  3. Terdapat perkara sulit berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah yang belum didedahkan kepada umum, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

    Menurutnya perkara itu masih dirahsiakan kerana tidak mahu menjejaskan proses mahkamah yang kini dalam proses pendakwaan.

    ReplyDelete
  4. Masih ada lagi yang belum diceritakan mengenai mengapa semua ini terjadi, kami akan tunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannnya...adalah sukar untuk menerima hakikat kira-kira 200 orang berpakaian celoreng dan bersenjata secara tiba-tiba muncul," katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas syarahan bertajuk 'Kerjasama Antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semasa Ops Daulat: Satu Usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan' anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini Selasa.

    ReplyDelete
  5. Syarahan itu turut disertai Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bagi membincangkan kerjasama antara ATM dan PDRM dalam usaha menangani insiden pencerobohon pengganas Sulu terhadap negara ketika Operasi Daulat di Sabah.

    Khalid berkata pihaknya akan mendedahkan perkara mengenai pencerobohan itu kepada umum apabila tiba masanya nanti.

    ReplyDelete
  6. "Kes itu masih berjalan di mahkamah, jadi kami tidak mahu mengganggu perbicaraan kes itu. Sebagaimana saya katakan apabila tiba masanya, jika perlu kami akan mendedahkannya," katanya.

    Sementara itu, Zulkifeli berkata pasukan keselamatan negara akan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi kumpulan-kumpulan yang sebelum ini dianggap tidak memberi ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.

    ReplyDelete

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Borneo Bullet.